Sila Klik Sini!

Thursday, January 13, 2011

Murid Oh Murid

Seminggu berlalu.

Tahun ini saya tak mengajar Pendidikan Islam untuk Tahun 1. Hanya ajar Bahasa Arab. Terasa satu kejanggalan pula sebab inilah tahun pertama saya tidak mengajar Tahun 1 dalam masa 5 tahun.

Murid Tahun 1 masih menjalani program transisi. Saya dah beberapa kali masuk ke kelas mereka. Pada mulanya, saya cuba untuk menunjukkan wajah yang serius dan cuba bersikap sedikit garang supaya melalui  first impression itu, mereka tak mengada- ngada dengan saya. Tetapi, apabila melihat wajah anak- anak yang comel dan innocent itu, saya terus lembut hati, terus rasa nak cubit pipi mereka dan usap kepala mereka. Al- hasilnya, budak- budak ni anggap saya cikgu yang baik, tak marah ...dan diaorang pun mula la mengada- ngada. 

Aduh....masalah betul! Tapi, yang saya pelik, kenapa tahun ni saya rasa paling lemah dan cair dengan budak- budak darjah 1 ni. Rasanya tahun-tahun lepas garang juga sikit. Agak diaorang ni comel sangat ke? Atau hati saya yang dah jadi makin lembut sebab saya perasan, saya dok geram sangat dengan  sorang anak rakan sejawat yang umur dua tahun, padahal tahun lepas pun dah selalu main dengan dia, tapi tak la rasa segeram tu.

Murid tahun 1 belum mula belajar lagi. Cuma apabila masuk kelas, saya ajar diaorang pegang pensil dengan betul, dan cara menulis huruf Arab dengan betul, iaitu dari kanan ke kiri. Saya beri kertas suruh mereka sambungkan titik- titik untuk bentuk huruf. Menurut pemerhatian saya, murid- murid tahun ni tak banyak sangat masalah untuk ikut peraturan dari kanan ke kiri tu. Cuma ada seorang sahaja yang suka sangat mengiri. 

Saya juga suruh mereka mewarna. Melalui aktiviti ni, saya mengesan bakat kreatif yang ada dalam diri beberapa orang murid.Ada seorang murid sangat mengagumkan saya kerana saya nampak hasil kerjanya yang kreatif dan asli. Saya kira murid ini memiliki kepintaran ruang (spatial intelligence). Saya katakan kepadanya sebagai satu doa, "Fariz ni besar nanti boleh jadi arkitek." 

Apa yang saya perhatikan, ibu bapa, malah guru orang Melayu ni kurang memerhatikan dan menilai bakat serta kepintaran yang ada dalam diri anak mereka. Sikap ini sebenarnya menghambat kemajuan bangsa kerana potensi sebenar anak-anak tidak dikembangkan secara sepatutnya. Sebenarnya, ramai kanak-kanak yang tidak berapa cemerlang dalam pelajaran itu memiliki bakat yang istimewa dalam bidang- bidang tertentu. Tetapi, dalam masyarakat kita yang konvensional, anak- anak ini sering dipinggirkan dan dibunuh potensi diri mereka dengan label MURID LEMAH, MURID PEMULIHAN dan sebagainya.

Sikap ini perlu diubah. Terutamanya oleh guru- guru yang belajar pedagogi dan pelbagai teori tentang perkembangan kanak-kanak. Malangnya, saya perhatikan, ramai guru yang masih berada di takuk lama, mengekalkan corak pemikiran orang-orang yang belum mendapat pendidikan, seolah- olah pendidikan yang mereka terima di institut perguruan ini tidak meninggalkan kesan pun dalam diri mereka. Apa yang dipelajari hanyalah untuk mendapatkan sekeping sijil semata- mata.

"AKU RINDUKAN ZAMAN KEBANGKITAN...PABILA NURANI BERSULAMAN FIKIRAN."

   Inilah "Prince Snow" yang saya dok geram. Rasa nak cubit- cubit pipi dia...

No comments:

Post a Comment