Sila Klik Sini!

Wednesday, December 19, 2012

Akhirnya....

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Akhirnya...PERMOHONAN PERTUKARAN SAYA DILULUSKAN! Hanya Allah yang tahu betapa jauh dan berliku perjalanan saya ke situ.

Sebelum ini, saya bercadang nak catatkan pengalaman saya memohon tukar di blog ini, tapi tak sempat. Inilah kronologinya :

3 Nov 2012 
Semak keputusan di eg tukar. PERTUKARAN ANDA TIDAK DILULUSKAN. Sekali lagi. Rakan serumah saya juga gagal. Saya rasa sangat sedih. Apatah lagi saya berharap sangat dapat tukar memandangkan ada surat doktor yang mengesahkan anak saya menghidap jantung berlubang.
Solat Isyak, saya menangis dan mengadu. Terasa betapa sakit dan pedihnya hati.

Keesokannya, saya bangun dengan perasaan yang lebih lega. Mungkin Allah belum beri saya tukar sebab saya belum berikan yang terbaik untuk murid- murid di sini. Saya berazam akan lakukan yang lebih baik untuk murid- murid tahun hadapan. Bagaimanapun, saya akan berusaha buat rayuan sebab selagi tak berusaha sehingga ke akhirnya, saya belum boleh terima sesuatu sebagai takdir. Itulah prinsip yang saya pegang. Kali ini, saya nekad untuk ke JPN Johor, KPM dan JPN Negeri Sembilan untuk buat rayuan. Alang- alang penyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan!

6 Nov 2012
Saya ke Jabatan Pelajaran Negeri di Johor Bahru. Linda rakan serumah ikut walaupun pada mulanya dia teragak- agak untuk buat rayuan. Mulanya, saya bercadang nak memandu ke sana. Siap minta cuti lagi daripada Guru Besar. Habis cuti rehat saya tahun ini. Terima kasih kepada Cikgu Wasmin yang luluskan cuti saya walaupun dengan berat hati. Tapi, sejak semalam Amina demam. Jadi, pada waktu pagi saya bawa dia ke klinik dulu. Rancangan ke JB awal pagi saya batalkan. Sebaliknya, saya tumpang Kak Lina yang kebetulan nak ke sana untuk urusannya sendiri. Dia bertolak jam 1 tengah hari. Alhamdulillah, Allah permudahkan jalan ke sana. Saya tak perlu memandu, yang kesannya sangat meletihkan. Tambahan pula, hujan lebat menyambut kami di JB.

Urusan di sana mudah. Saya dapat berjumpa dengan Ustaz Kahar Bachok. Layanan yang diberikan juga baik membuatkan saya menyimpan segala dialog sadis yang dah saya rancang dari awal. Saya cuma serahkan surat rayuan yang saya karang dengan penuh emosi itu dan memohon jasa baik Ustaz Kahar untuk pertimbangkan.

9 Nov 2012
Saya dan Linda ke Kementerian Pelajaran di Putrajaya pula untuk buat rayuan. Pada mulanya saya macam tak nak pergi sebab dah yakin dengan rayuan di JB tapi seorang cikgu di sekolah dah pengeruhi Linda bahawa rayuan lebih baik dibuat di peringkat tertinggi iaitu KPM.
Kami sampai agak lewat, siap silap jalan lagi. Hujan juga menyambut kami di sana. Layanan di KPM juga baik. Kami dapat berjumpa dengan pegawai, En Azli yang melayan dan mendengar aduan dengan baik. Urusan saya cukup mudah dan cepat. Jawapan dari En Azli juga memberangsangkan.

12 Nov 2012
Saya ke JPN Negeri Sembilan pula. Sesat juga sikit semasa cari tempat ni. Tak dapat jumpa pegawai. Hanya serahkan surat kepada kerani di kaunter. Layanan di sini tak berapa mesra.


Hari- hari seterusnya...BERDOA....BERHARAP....BERDOA.....BERHARAP.........

18 Dis 2012
Pertukaran anda ke Negeri Sembilan diluluskan. ....
Ya Allah, gembiranya!!!!!

Tapi, lepas tu, ada juga sedih. Manalah tak sedih nak tinggalkan tempat yang dah didiami selama hampir 7 tahun. Betapa banyak nostalgia di sini.

Apapun, banyak impian indah menanti di sana...rumah baru, rancangan nak sambung belajar, rancangan....rancangan.......dan rancangan.....

Semoga Allah permudahkan jalan mencapai impian dan realisasikan rancangan!

Saturday, September 29, 2012

Kursus KSSR Tahun 3 Kegunaan 2013

Hari ini hari kempat saya mengikuti Kursus KSSR Tahun 3 bagi kegunaan 2013.

Kursus seperti ini sentiasa memberikan inspirasi dan semangat baru untuk terus mengajar dengan baik. Terima kasih kepada Ustaz Nazihar  Sisak yang menayangkan video pemberi inspirasi untuk terus menjadi guru yang menawan hati murid

Ustaz Nazihar juga mengingatkan bahawa tujuan pengajaran Bahasa Arab di sekolah rendah ialah untuk menanam minat mempelajari Bahasa Arab di kalangan murid. Oleh itu, gunakanlah apa juga cara supaya murid tertarik dengan pelajaran ini.

Saya terasa betapa sekarang saya sudah tersasar daripada matlamat tersebut. Tidak banyak aktiviti yang saya buat untuk menarik perhatian murid. Mungkin kerana tugasan serta urusan peribadi yang semakin banyak.

Apapun, saya akan berusaha dan tetap akan cuba untuk memberikan yang terbaik bagi murid- murid saya. Saya takut pendapatan yang saya terima nanti kurang berkatnya apabila saya tidak memberikan sedaya saya dalam profesion ini.

Ya Allah, bantu saya!

Wednesday, September 26, 2012

Kisah Murid Saya

Saya menerima satu SMS daripada seorang bekas murid yang telah berpindah ke Sabah. Dia memberitahu yang ayahnya masuk penjara dan ibunya telah meninggalkan mereka dan berpindah ke Kuala Lumpur.

Saya menelefonnya untuk bertanya khabar. Sudah lebih seminggu dia tidak ke sekolah sebab tiada orang untuk menguruskan mereka adik- beradik. Mereka menumpang tinggal dengan neneknya.

Saya berasa sedih dan susah hati. Saya rasa mahu terbang ke sana untuk menolongnya. Apalah daya saya...

Tiba- tiba saya terfikir untuk menghubungi sekolahnya supaya dia dapat dibantu. Saya tanyakan nama sekolahnya. Kemudian saya mencari nombor telefon sekolah itu dari internet.

Syukur juga adanya kemudahan yang membolehkan semua maklumat berada di hujung jari kita.

Saya menghubungi Sekolah Kebangsaan Sahabat 16, Lahad Datu dan bercakap dengan Guru Penolong Kanan HEMnya. Kami berbincang masalah murid itu melalui telefon.

Terima kasih kepada guru itu atas kerjasama yang diberikan. Semoga murid saya yang malang itu dapat dibantu.

Wednesday, September 12, 2012

Menjelang UPSR 2012

10 September 2012 - sekolah mengadakan Majlis Ijazatul Ilmi atau Izin Ilmu. Terharu melihat murid- murid, ibubapa dan guru bersalaman dan saling bermaafan. Semoga anak- anak didikku berjaya dengan cemerlang!




Friday, July 27, 2012

Sebagai Guru & Ibu

Sudah habis minggu kedua saya kembali bertugas di sekolah!

Berbeza daripada 3 bulan lepas, saya kini bukan sahaja bergelar guru, malah ibu. Baru terasa cabaran untuk menggalas kedua- dua tugas tersebut serentak.

Di sekolah, saya terasa yang perasaan empati terhadap murid- murid bertambah. Terutamanya kepada anak- anak murid yang masih kecil. Apabila melihat mereka, terbayang- bayang wajah anak sendiri yang ditinggalkan di rumah. Terasa lebih susah untuk berkasar dengan mereka sebab dapat memahami betapa dalamnya rasa kasih sayang ibu mereka terhadap mereka. Juga betapa besar harapan ibu mereka terhadap anak- anak ini, sebagaimana perasaan saya terhadap Amina juga.

Semasa di sekolah juga, asyik terkenangkan anak di rumah. Apabila ada waktu luang, dan tiada tugasan yang mesti diselesaikan, saya balik menyusukannya. Tapi bukan setiap hari.

Di rumah, hampir tiada waktu untuk tugasan sekolah. Bayi memerlukan perhatian hampir setiap waktu. Syukur ada nenek dan mak sunya. Ada juga masa untuk saya berehat. Apabila keseorangan menjaganya nanti, terpaksalah sesuaikan diri dengan keadaan yang lebih mencabar.

Apapun, anugerah Allah yang tidak ternilai dalam hidup saya ini sangat saya syukuri. Saya akan cuba sedaya- upaya untuk mengimbangkan tugas di rumah dan sekolah. Semuanya untuk kepentingannya. Saya tak mahu terabai tugas sebagai guru yang akan memberi kesan kepada kehalalan dan keberkatan gaji saya. 

Ya Allah, bantulah saya! 

Friday, June 22, 2012

Nota Cinta Untuk Cikgu

Dah lama sangat saya tak menulis dalam blog ini. Sebenarnya memang tak ada yang nak dikongsi sebab dah lama bercuti.Satu lagi faktor ialah sibuk layan si kecil yang baru hadir dan asyik menulis blog tentangnya.

Dalam sibuk, sesekali sempat juga melayari internet. Semalam, secara tak sengaja terjumpa satu blog yang buat ulasan tentang buku sulung saya, Nota Cinta Untuk Cikgu, http://ms-potatohead.blogspot.com/2012/06/review-04-nota-cinta-utk-cikgu.html.

Seronok apabila mengetahui yang hasil karya saya berjaya memberikan "sesuatu" kepada orang lain. Memang itulah tujuan saya menulis, untuk berkongsi sesuatu yang positif (sekiranya ada) dengan orang lain, sebagaimana saya juga mendapat banyak kesan positif daripada buku- buku karya penulis lain.

Apapun, terima kasih kepada penulis blog, Puan Nurul Huda yang sudi berkongsi pandangan tentang buku saya melalui ulasan beliau. Sebelum ini, ada menerima beberapa komen daripada rakan- rakan, tetapi pandangan daripada insan yang tidak kita kenal secara peribadi rasanya lebih tulus dan murni. 

Monday, April 16, 2012

Kelahiran Sulung!

Saya baharu saja menyambut kelahiran sulung saya!



Sebuah buku bertajuk "Nota Cinta Untuk Cikgu"!

Alhamdulillah, dalam debar menanti kehadiran zuriat sulung, karya sulung ini lahir dahulu. Terima kasih kepada suami yang banyak mencabar (sesekali menggalakkan) saya menulis sebuah buku. Hasilnya, saya mewujudkan blog untuk melatih saya menulis pengalaman- pengalaman sepanjang bergelar guru. Penulisan tersebut saya kembangkan, kemudian dikompilasikan menjadi sebuah buku yang kini sudah pun berada di pasaran. 

Alhamdulillah. Segalanya dengan izin Allah jua. Moga- moga buku ini menjadi hadiah kepada bayi yang bakal lahir.Moga-moga dia akan menjadi seorang yang giat berdakwah melalui pena, suatu hari nanti.

Wednesday, March 21, 2012

MTQ Lagi!

Seperti tahun- tahun lepas, Majlis Tilawah al-Quran diadakan lagi. Bezanya, tahun ini saya tidak lagi menjadi jurulatih nasyid. Saya tak larat nak memainkan peranan yang berat tu. Saya cuma sediakan lirik dan bantu murid menguasai sebuah lagu, yang selebihnya diuruskan oleh Cikgu Fazlin, guru ganti kepada GPI sekolah saya yang bersalin.

Sekarang saya di sekolah, tengah latih murid yang menjadi peserta hafazan al-Quran. Saya sukakan tugasan ini. Selain agak ringan sebab saya tak perlu bergerak sangat, dan muridnya cuma 2 orang, saya memang suka menghafaz al-Quran. Sambil bimbing murid- murid ini, saya pun turut sama menghafaz dengan mereka. Saya harap, baby dalam perut ini pun turut menghafaz bersama kami. Saya harap sangat anak ini bakal menjadi seorang Al-Hafiz suatu hari nanti.

Saya rasa baby ni sukakan bacaan al-Quran dan nasyid. Apabila mendengar kedua- duanya, dia akan bergerak- gerak dengan agak aktif. Kalau mendengar muzik lain, dia tidak pula beri tindak balas yang sama. Mungkin sebab Mamanya asyik mengajar al-Quran dan melatih nasyid, jadi kecenderungannya ke arah itu.

Oh ya, baru- baru ini, saya juga melatih nasyid bagi pertandingan peringkat sekolah sempenan Maulidur Rasul. Pertandingan diadakan antara rumah sukan. Alhamdulillah, walaupun tidak sehebat mana, kumpulan yang saya latih bersama Teacher Zirah berjaya menjadi Johan!

Inilah hasil latihan yang kami buat sebanyak 4 kali dalam masa seminggu :

:

Friday, February 24, 2012

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Felda

22 Februari lepas, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Felda Sri Jaya diadakan di masjid.

Seperti biasa, kami di sekolah juga terlibat dengan perarakan dan majlis tersebut.

Pihak felda minta supaya sekolah sediakan persembahan nasyid. Saya ditugaskan untuk melatih murid- murid.
Saya buat je sekadar termampu. Untuk suka- suka.

Terima kasih kepada Teacher Zirah yang sudi membantu saya melatih budak- budak ni!


Thursday, February 16, 2012

Cikgu Yang Tamak

Sekolah saya menerima seorang guru j-QAF baharu. Ustaz ini masih dalam latihan. Opsyennya Bahasa Arab, sama dengan saya.

Sebelum ini, saya mengajar Bahasa Arab bagi semua kelas, dari tahun 1-6. Apabila ustaz ini datang, saya pun "terpaksa"  memberi sedikit masa mengajar saya kepadanya. 

Saya berasa SEDIH!

Saya pun tak faham kenapa saya boleh rasa macam tu. Sepatutnya, saya bersyukur sebab ada orang untuk kurangkan beban mengajar saya. Ramai rakan- rakan guru BA di sekolah lain yang merungut sebab mereka terpaksa ajar semua kelas di sekolah mereka. Malah, sesetengahnya minta kepada pihak pentadbir supaya memberikan sebahagian masa mereka kepada guru Pendidikan Islam sebab mereka rasa terbeban dengan masa mengajar yang banyak.

Tapi, saya berfikir dari sudut lain. Saya berasa seronok dapat berjumpa, kenal dan mengajar semua murid di sekolah ini. Hasilnya, saya kenal kesemua murid dari tahun 1-6. Saya rasa satu kehilangan apabila terpaksa melepaskan kelas kepada ustaz itu sebab saya rasa saya tidak rapat lagi dengan murid- murid apabila tidak mengajar kelas mereka.

Saya teringat beberapa tahun dahulu, ketika murid batch pertama j-QAF naik tahun 4. Semasa mereka berada dalam tahun 1-3, saya mengajar mereka kedua-dua subjek, B Arab dan P Islam. Apabila mereka di tahun 4, saya hanya boleh mengajar mereka Bahasa Arab sebab waktu mengajar saya bertambah banyak. Saya berasa sedih sebab hanya dapat masuk kelas mereka dua kali seminggu. Saya berasa renggang dengan mereka dan berasakan satu kehilangan!

Saya rasa kehilangan kali ini lebih besar lagi daripada yang saya alami beberapa tahun lalu. Sedihnya!

Tamakkah saya?

Wednesday, February 8, 2012

Kem Bestari Solat 1 2012

Alhamdulillah, Kem Bestari Solat 1 bagi murid- murid Tahun 1-6 pada tahun ini telah pun dijalankan!

Pada tahun lepas, saya berasa berdosa sangat sebab KBS hanya dapat dijalankan 2 kali sepanjang tahun (sepatutnya 4 kali). Saya rasa bersalah sebab tak menunaikan tanggungjawab dengan baik. Tapi, tahun lepas memang bukan saya yang jadi penyelaras bahagian ini.

Tahun ini, dari awal tahun saya merancang untuk mengadakan KBS secepat mungkin. Nampaknya memang KBS yang menjadi pembuka program kokurikulum. Saya merancang semuanya sebab takut tak sempat lagi untuk melaksanakan keempat- empat kem memandangkan hujung April ini saya akan mula bercuti panjang pula.

Lebih menyeronokkan, KBS bagi tahun 3-6 dijalankan di Masjid Felda Sri Jaya dengan kerjasama daripada pihak masjid. Seronok rasanya apabila pak- pak imam yang berpengalaman mengajar anak- anak ni solat jenazah. Saya rasa ilmu yang mereka beri itu sangat bernilai. Saya sendiri tidak mampu nak beri sebagaimana mereka. Yalah, mereka lebih berpengalaman dalam bidang ni. Saya rasa, budak- budak ni pun seronok apabila dibimbing oleh pak-pak imam tu berbanding dengan kami, ustaz ustazahnya.

Taklimat oleh Imam Haron sebelum kem dimulakan


Penerangan tentang solat jenazah oleh Imam Tarmidi

Amali kedudukan imam dan makmum semasa solat

Insya Allah, KBS 2 akan diadakan pada awal April, sebelum saya bercuti untuk menyambut kehadiran orang baharu.

Monday, January 16, 2012

Bermula Tahun Baharu

Lama saya tak menjengah blog ni.

Sibuk. Sekolah baru dibuka. Kuarters yang dah sebulan lebih ditinggalkan perlu dibersihkan.

Sekarang, masih pening fikir nak susun jadual tasmik sebab jadual yang sedia ada dah padat sangat. Banyak masa bertindan.
Kelas literasi al-Quran yang saya rancang untuk teruskan bagi murid- murid Tahun 5 pun masih belum bermula. pada awalnya, saya bercadang nak mulakan pada minggu ini.
Malangnya, sekarang saya bermasalah untuk ke sekolah pada sangat awal pagi. Sebabnya, saya agak liat untuk bangun sangat awal sekarang, dan kalau bangun awal pun, saya sibuk bersarapan sebelum ke sekolah. Dah jadi satu kewajipan makan awal- awal pagi.

Sejak berbadan dua ni, banyak juga rutin saya dah berubah. Pada mulanya, saya fikir tak mahu buat kelas literasi di awal pagi tu. Tapi, apabila tengok keadaan beberapa orang murid yang masih sangat lemah, malah tak tahu membaca al-Quran, saya rasa sangat bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan.

Saya akan cuba untuk bangun awal semula. Saya mesti teruskan kelas tersebut. Moga- moga apa yang saya lakukan akan memberikan kesan positif kepada bayi dalam kandungan ni.

Saya sendiri dah makin tenang. Dua hari lepas, semasa membaca al-Quran, saya terjumpa ayat 62 & 63 dari surah Yunus. Maksudnya lebih kurang :

Dan wali- wali Allah itu, tiada kebimbangan pada mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang- orang yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan mereka.

Saya berasa hati saya tenang apabila membaca ayat itu. Saya berazam untuk memasukkan diri saya dan anak dalam kandungan ini ke dalam golongan yang disebutkan itu. Saya tidak bimbang lagi. Saya keseorangan di sini, tetapi Allah sentiasa bersama saya. Saya percaya apa yang Dia tentukan itu merupakan yang terbaik untuk saya.