Sila Klik Sini!

Friday, August 19, 2011

Amil Di Bulan Ramadhan

Nisfu Ramadhan dah berlalu.

Seperti biasa, saya sibuk di bulan Ramadhan ni. Menjadi amil tak rasmi di sekolah. Jawatan yang saya pegang sejak mula- mula masuk ke sini.

Saya suka jawatan ini walaupun sebenarnya saya tak suka pegang duit orang banyak- banyak. Sebabnya, saya tak ada duit untuk bersedekah dalam kuantiti yang banyak. Harap- harap, dengan menguruskan sedekah orang ni, dapatlah saya "komisen" sama.

Satu perkara yang saya senangi di sekolah ini ialah kewujudan Tabung Ihya Ramadhan, yang dilancarkan setiap Ramadhan. Kutipan tabung ini dibuat setiap hari dari kelas ke kelas, untuk menggalakkan murid- murid mengamalkan budaya infaq sejak mereka kecil. Hasil tabung tersebut akan dibahagikan kepada murid- murid anak yatim dan miskin pada minggu terakhir Ramadhan.

Tahun ini, banyak pula kutipan derma yang saya kena uruskan. Tabung Aman Palestin, pembinaan surau dan masjid dan asrama anak yatim.

Banyak juga penderma. Ada ibu bapa yang telefon saya bertanyakan jumlah anak yatim dan miskin di sekolah untuk berikan sumbangan.Saya rasa, jumlah kutipan tahun ini akan mengatasi tahun- tahun lepas.

Saya seronok dengan perkembangan ini. syukurlah dalam kebobrokan masyarakat hari ini, masih ramai insan yang prihatin terhadap kesusahan orang lain.

Wednesday, August 10, 2011

10 Pertama

10 pertama Ramadhan telah berlalu.

Alhamdulillah, dapat saya tempuhi dengan baik walaupun pada awalnya saya agak bimbang kerana kesihatan yang tidak berapa stabil di akhir Syaaban.

Suatu perkara yang saya dapat pada awal Ramadhan ini ialah rasa KESYUKURAN.

Entah kenapa, setiap kali makan waktu berbuka, saya selalu teringatkan nasib orang- orang yang tiada makanan yang cukup untuk berbuka. Bagaimanalah saudara- saudara saya yang miskin di Malaysia, di Selatan Thailand, di Palestin dan di seluruh dunia ini?

Saya bersyukur sebab saya ada makanan yang mencukupi, malah selalu berlebihan untuk dimakan. Saya bersyukur sebab Allah kurniakan saya kesihatan yang baik dan fizikal yang sempurna.

Saya cuba melupakan segala kekurangan yang saya kesali dengan mengingati betapa banyak nikmat yang Allah rezekikan kepada saya.

SAYA BELAJAR UNTUK MENJADI HAMBA YANG BERSYUKUR.

Saya bersyukur kerana Allah membuka pintu hati saya untuk BERSYUKUR.

Alhamdulillah!

Monday, August 1, 2011

Recovery & Discovery

Sepanjang minggu lepas saya rasa badan saya lemah dan tak bermaya.

Suami bising- bising fasal kesihatan saya. Dia belikan saya akar teratai untuk dibuat sup dengan ayam dan kurma merah. Sup yang biasa diminum oleh orang Cina. Dia juga belikan saya sekotak pati ayam untuk diminum.

Jadi, semalam saya mereneh sup ayam dengan akar teratai dan kurma merah. Hampir 3 jam sup itu terpaksa direneh untuk memastikan akar teratai lembut dan pati kurma merah meresap ke dalam kuah sup.

Sedapnya sup tu! Kuahnya rasa manis sebab pati kurma merah. Ayamnya pun lembut betul sebab terlalu lama dimasak.

Kesannya, hari ini apabila bangun tidur, saya rasakan badan saya SEGAR dan SIHAT. Rasa kuat dan bersemangat untuk buat kerja.

Saya memang rasa berbeza sangat berbanding sebelum ini. Tiba-tiba saya terfikir, agaknya inilah rahsia orang Cina sentiasa cergas dan kuat bekerja. Mungkin sebab itu juga anak- anak Cina lebih cergas otaknya dan dapat tumpukan perhatian pada pelajaran walaupun dalam jangka masa yang lama.

Nampaknya saya akan membudayakan makanan ini dalam kehidupan saya. Saya bawa sedikit akar teratai dan kurma merah balik ke Sri Jaya untuk dibuat sup supaya kawan- kawan serumah boleh rasa. Makanan ini tak biasa bagi orang Melayu. Mungkin sebab akar teratai susah didapati. Kata suami saya, diimport dari negara China.

Seronoknya saya dengan penemuan ini! Tapi saya rasa satu lagi faktor yang memulihkan saya mungkin juga sebab perhatian yang suami saya berikan.

Selamat berbuka!  Hari ini saya berbuka puasa di Tasik Selatan. Pukul 6 tadi dah ke bazar Ramadhan. setiap kali Ramadhan, kalau saya tak ke bazar Desa Tasik atau Sungai Besi, rasa macam tak lengkap je. Hari pertama puasa ni dah sampai ke sini, jadi bolehlah teruskan puasa di Sri Jaya dengan tenang.