Sila Klik Sini!

Monday, January 16, 2012

Bermula Tahun Baharu

Lama saya tak menjengah blog ni.

Sibuk. Sekolah baru dibuka. Kuarters yang dah sebulan lebih ditinggalkan perlu dibersihkan.

Sekarang, masih pening fikir nak susun jadual tasmik sebab jadual yang sedia ada dah padat sangat. Banyak masa bertindan.
Kelas literasi al-Quran yang saya rancang untuk teruskan bagi murid- murid Tahun 5 pun masih belum bermula. pada awalnya, saya bercadang nak mulakan pada minggu ini.
Malangnya, sekarang saya bermasalah untuk ke sekolah pada sangat awal pagi. Sebabnya, saya agak liat untuk bangun sangat awal sekarang, dan kalau bangun awal pun, saya sibuk bersarapan sebelum ke sekolah. Dah jadi satu kewajipan makan awal- awal pagi.

Sejak berbadan dua ni, banyak juga rutin saya dah berubah. Pada mulanya, saya fikir tak mahu buat kelas literasi di awal pagi tu. Tapi, apabila tengok keadaan beberapa orang murid yang masih sangat lemah, malah tak tahu membaca al-Quran, saya rasa sangat bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan.

Saya akan cuba untuk bangun awal semula. Saya mesti teruskan kelas tersebut. Moga- moga apa yang saya lakukan akan memberikan kesan positif kepada bayi dalam kandungan ni.

Saya sendiri dah makin tenang. Dua hari lepas, semasa membaca al-Quran, saya terjumpa ayat 62 & 63 dari surah Yunus. Maksudnya lebih kurang :

Dan wali- wali Allah itu, tiada kebimbangan pada mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang- orang yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan mereka.

Saya berasa hati saya tenang apabila membaca ayat itu. Saya berazam untuk memasukkan diri saya dan anak dalam kandungan ini ke dalam golongan yang disebutkan itu. Saya tidak bimbang lagi. Saya keseorangan di sini, tetapi Allah sentiasa bersama saya. Saya percaya apa yang Dia tentukan itu merupakan yang terbaik untuk saya.