Sila Klik Sini!

Tuesday, January 4, 2011

Alkisah Murid-muridku

Tahun ini, ada seorang murid lelaki baru di kelas 3B. Berpindah dari Kuala Lumpur. Saya bertanya sebab dia berpindah ke sini. Katanya sebab dijaga nenek. Sebelum ini dia dijaga oleh seorang mak cik. Saya bertanya lagi di mana ibu bapanya.

"Mak dengan ayah dah bercerai. Ayah tak tau kat mana. Mak ada kat KL".

Kasihan saya mendengarnya. Sejak saya di sini, dah banyak kes begini yang saya tahu. Ibu bapa bercerai, anaknya dibuang kepada nenek di kampung. Agaknya tempat ni tempat buangan anak-anak yang jadi beban kerana perceraian.

Pelik rasanya apabila ada lelaki yang sanggup menghilangkan diri entah ke mana...meninggalkan anak darah dagingnya sendiri.

Tak timbulkah rasa kasih terhadap seorang anak yang pasti akan membawa nama si bapa itu di hujung namanya....sehingga akhir hayat?

Satu lagi kisah, seorang murid perempuan tahun 5 berpindah sekolah. Murid ini masuk ke sekolah ini semasa dia dalam Tahun 3. Sebabnya sama, ibu bapa berpisah dan dia dihantar ke bawah jagaan nenek di sini.

Dia berpindah mengikut ibunya sebab ibunya dah berkahwin lain.

Tiba-tiba saya membayangkan bagaimanalah agaknya perasaan murid ini dan kakaknya yang berusia 13 tahun menerima ayah baharu dalam kehidupan mereka.

Baikkah ayah tiri mereka tu? Macam mana agaknya mereka akan lalui kehidupan alam remaja mereka?

Saya risau sebab macam- macam kes terjadi sekarang ni. Harap- harap baiklah kehidupan mereka.

Ramai juga murid-murid saya ni datang dari keluarga yang bermasalah. Kasihan anak-anak yang kurang kasih sayang daripada ibu bapa ni.

Selalunya anak-anak macam ni bermasalah di sekolah. 

Apapun masalah yang mereka timbulkan, sebagai guru, saya menerima mereka sebagai satu tanggungjawab. Saya cuba buat yang terbaik untuk mereka. Moga-moga mereka terus di jalan yang lurus. Moga- moga warna putih mereka tidak dinodai.

Allahlah yang menentukan di mana kita berada dan dengan siapa kita akan bertemu. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, dan setiap orang yang kita jumpa itu pasti akan memberikan sedikit sebanyak kesan dalam kehidupan kita.

Semoga pertemuan murid-murid ni dengan seorang guru yang bergelar SAYA ini, akan memberikan impak yang positif dalam kehidupan mereka.

Moga-moga....   

No comments:

Post a Comment