Sila Klik Sini!

Wednesday, December 29, 2010

Ya Shobuur, Tabahkan Hatiku!

Walaupun dah tiga hari berlalu, rasa sedih da kecewa masih tersisa di hati. Sebabnya? Awal Disember lalu, seseorang telah menawarkan diri untuk menolong saya bertukar ke Selangor. Saya berasakan ini satu peluang baik sebab dah beberapa kali saya memohon tetapi masih gagal. Tambahan pula, ada beberapa sebab yang membuatkan saya rasa sangat perlu keluar dari sini. Dalam masa yang sama, saya telah pun berjanji dengan murid saya, Nurul, untuk membantunya membuat persedian bagi menghadapi UPSR. Saya dalam dilema...antara impian sendiri dengan harapan seorang murid yang telah disandarkan kepada saya.

Lewat istikharah, saya membuat keputusan untuk tidak memajukan permohonan rayuan bertukar itu. Hati saya membisikkan yang saya masih perlu berada di sini.Saya berpuas hati dengan keputusan yang saya ambil.

Tetapi, apabila saya kembali ke sekolah, saya dikejutkan dengan satu berita....PIHAK SEKOLAH TELAH MEMASUKKAN NURUL KE KELAS PENDIDIKAN KHAS! Maknanya...tiada lagi UPSR untuknya. Kecewanya saya! Saya rasa seolah- olah keadaan saya ibarat "yang dikejar tak dapat...yang dikendong berciciran".

Seorang sahabat di sekolah memujuk, "Tak apalah, mungkin Allah jadikan dia tu sebab supaya kamu terus berada di sini. Ada la hikmahnya nanti."

Saya masih sedih. Tapi saya sentiasa yakin bahawa Allah itu Al- 'Aliim dan Al-Hakiim. Dia Maha Mengetahui sedangkan saya penuh dengan kejahilan. Saya takluk di bawah kekuasaann-Nya yang Maha Merancang dan Maha Melaksanakan. 

Mata masih berkaca...tetapi saya terima dengan redha....semoga pertolongan-Nya sentiasa mengiringi langkah saya.

Monday, December 20, 2010

Alhamdulillah...Saya Kembali Menjadi MURID!

Mungkin ramai yang tak tahu bahawa kalimah MURID berasal daripada bahasa Arab. Maknanya ialah "orang yang mengkehendaki". Asalnya daripada perkataan araada yang bermakna "mahu/ hendak".

Lebih kurang 2 minggu lepas, saya mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus, yang diambil daripada  pen drive yang ada dalam kereta Mak. Antara isi ceramah itu, beliau mengingatkan kewajipan kita, sebagai seorang Muslim, mendalami ilmu dalam bidang tafsir al-Quran.

Saya seolah-olah tersedar daripada lena yang panjang apabila mendengar saranan beliau. Teringat semasa masih menuntut di sekolah menengah Arab dahulu, saya sangat meminati subjek Ayat dan Hadis.Dalam subjek ini, satu ayat al-Quran atau satu Hadis Nabi akan diambil dalam setiap tajuk dan dihuraikan (juga dalam bahasa Arab) secara panjang lebar. Apabila dibaca huraiannya, akan bertemulah pula kita dengan ayat-ayat dan hadis-hadis lain yang digunakan untuk menerangkannya. Kitab yang digunakan oleh kami pada masa itu didatangkan dari Mesir dan mendapat pengiktirafan Universiti Al-Azhar.Melalui dua mata pelajaran ini, banyaklah saya belajar tentang hukum- hakam, adab-adab, sekaligus sedikit sebanyak tentang penggunaan bahasa Arab.

Semasa menuntut di universiti, saya masih lagi berpeluang mempelajari mata pelajaran tersebut walaupun tidak sebanyak dahulu.

Usai pengajian di universiti, dan setelah saya khatam bacaan terjemahan al-Quran semasa di Tingkatan Lima dahulu, rasa-rasanya saya tidak ada lagi menekuni mana-mana kitab Tafsir bagi menambah pengetahuan dalam bidang tersebut. Adalah sekali dua saya membelek kitab Hadis Riyadh al-Solihiin yang telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh JAKIM.

Oh, betapa lalainya saya! Umur saya semakin lama semakin berkurangan. Ilmu di dada pun masih lagi cetek walaupun telah bergelar "cikgu". Rasa- rasanya, tiada peningkatan ilmu saya sejak memasuki alam pekerjaan ini.

Ceramah Ustaz Azhar membangkitkan keinginan saya untuk mengkehendaki lebih banyak ilmu lagi. Terutamanya dalam bidang tafsir al-Quran. Pagi ini, saya telah pun memulakan bacaan Tafsir Fi Zilaalil Quran, karya Syed Qutb dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Ustaz Zaky Yusof. Saya akan cuba membacanya sedikit demi sedikit sehingga kesemua  17 jilid itu habis.

Jadilah kembali saya seorang MURID. Segala puji bagi ALLAH yang telah memberikan saya peluang ini! 





Sunday, December 12, 2010

Dalam Sebuah Pencarian...

Saya ke Jeli untuk menghadiri majlis perkahwinan adik sepupu. Majlisnya sederhana. Jauh berbeza dengan kenduri orang Johor.Beginilah tradisi kami.Dalam segala kesederhanaan.

Bila berkumpul ramai-ramai begitu,berjumpalah dengan saudara-mara yang dah lama hilang di mata.

Saya berjumpa dengan Mak Ngah Raihan, sepupu mak.Kali pertama melihatnya, saya terpegun. BENAR, SAYA TERPEGUN.Kenapa?...Sebab saya melihat wajahnya sangat berseri. Seperti ada sinar memancar dari matanya.

Mak Ngah Raihan ni orangnya dah tua. Lebih kurang sebaya dengan mak saya.Sekarang, dia menghabiskan masa tuanya dengan memondok di Pondok Sungai Durian. Agaknya, wajahnya berseri kerana banyaknya amal ibadah. Maklumlah, orang pondok.Tambah membaralah keinginan saya untuk memondok. 

Semasa bersalaman untuk berpisah, saya berkata kepadanya:
"Mak Ngah doakan saya ya. Mak Ngah orang pondok, doa mustajab." Dia cuma ketawa.

Saya muhasabah diri. Ramai mak cik dan pak cik saya yang tinggal di kampung-kampung ini ialah ahli ibadah. Sudah menjadi tradisi mereka bangun seawal jam 3 pagi untuk soat tahajjud. Walaupun kehidupan mereka sangat sederhana, atau sesetengahnya miskin, mereka memiliki sifat qanaah. Mereka ikhlas beribadah, dan berasa cukup dengan kehidupan yang mereka lalui.Mereka memelihara syariat,menyayangi dan memberi sekadar kemampuan mereka.Kehidupan mereka nampak tenang dan tenteram.

Mereka tidak terbilang...tetapi mungkin mereka lebih dekat dengan Tuhan...
BERBANDING SAYA !

Saya rasa jauhnya beza saya dan mereka. Saya juga mengerjakan ibadah, tetapi tak tahulah sejauh mana keikhlasannya (bukan mengharapkan balasan dunia?), saya sentiasa berasakan masih ada sesuatu yang saya kejar , yang belum cukup dalam hidup ni. Saya belum mampu menunaikan solat, berpuasa dan berzikir sebanyak mereka.Kalau dihitung-hitung, masa yang saya habiskan untuk urusan dunia barangkali lebih banyak daripada untuk mengumpul pahala. Malah, kadang-kala, saya rasa putus asa terhadap Tuhan yang tidak mengabulkan permohonan saya.

Mereka hidup serba kekurangan...saya punyai semua kelengkapan. Tetapi...SIAPA YANG LEBIH BAHAGIA? SAYA ATAU MEREKA?

Saya masih dalam pencarian....entah bila akan bertemu jawapan.

Friday, December 10, 2010

Dan Rindu Pun Bertamu Lagi....

Khamis.

Saya ke rumah Ayoh Di (sepupu ayah) di Kota Bharu.Ayoh Di ni ialah antara pak cik yang selalu saya kenang. Sebabnya...semasa saya menuntut dalam Tingkatan 1 di Kota Bharu dahulu, sewaktu itu keluarga saya masih di Kuala Lumpur, Ayoh Di lah yang rajin menjenguk saya di asrama, sekaligus banyak membantu.

Sudah lama saya tak ke rumahnya. Kali terakhir tahun 2004. Ayoh Di ni, masa muda-muda dulu seorang yang cakapnya agak kasar. Tetapi hati beliau baik. Saya masih ingat semasa Ayoh Ya (abang iparnya) meninggal dunia 13 tahun dahulu, Ayoh Di peluk anak Ayoh Ya yang masa tu berumur 11 tahun. Kata Ayoh Di, "Abang Ngah jangan menangis.Ayoh Di ada. Ayoh Di akan jaga Abang Ngah dan adik-adik". Sekarang Ayoh Di nampak lebih cool, seiring dengan pertambahan usianya. Kopiah pula tak lekang dari kepala.

Saya makan tengah hari di rumah Ayoh Di, bersama isterinya Cik Su dan Mak. Lauknya ikan, sayur pucuk paku,ulam-ulaman dan budu. Entah kenapa saya rasa makan tengah hari tu sedap sangat. Kata orang Kelantan, sedap nen gok (lebih kurang sama maksudnya dengan "sehingga menjilat jari" la tu) Saya benar-benar menikmatinya. Tak tahu saya adakah kerana lauk kampungnya atau kerana ada perasa tambahan, iaitu,  kasih sayang dan kemesraan.

Ayoh Di banyak bercerita tentang anak-anaknya, Kamil dan Rahim yang sekarang sedang menuntut di sekolah tahfiz. Jelas terbayang kebanggaan dalam nada suaranya, terutamanya apabila bercerita tentang Rahim yang usianya 14, tetapi sudah menghafaz lebih separuh al-Quran. Saya pun tumpang bangga dengan adik pupu saya itu. Sejuk perut ummi yang mengandungkannya. Rindu nak berjumpa mereka.Kali terakhir berjumpa dulu, mereka masih kanak-kanak sekolah rendah yang nakal.Sekarang dah jadi bakal hafiz, malah, Rahim dah pun jadi imam solat tarawih. Semoga Allah memberkati mereka.

Apabila berkumpul begitu, selain tentang keluarga, perbincangan kami berlegar seputar isu semasa,hukum- hakam dan isi-isi ceramah yang pernah kami dengar. Saya seronok dengan suasana kekeluargaan begini....

DAMAI DAN MESRA.

Jumaat.

Dua minggu berturut-turut saya ke Jalan Dato Pati. Setiap Jumaat, masyarakat di sini akan turun beramai-ramai untuk mendengar orang mengajar. Sebetulnya, ada banyak budaya masyarakat Kelantan yang saya tak gemari. Tetapi, dalam hal ini , saya rasa bangga.Seronok melihat suasana yang hidup pada pagi Jumaat di sini.Sejuk hati melihat gerombolan manusia berkopiah dan bertudung labuh di sana sini. Saya tumbuh remaja dalam suasana seperti ini, dan saya menyukainya. RINDU PUN BERTAMU LAGI....untuk terus berada dalam suasana ini.

Alang-alang berada di Kota Bharu, saya singgah di sekolah tempat saya menuntut ilmu Allah dahulu.Sekolah yang telah melahirkan sekian ramai ulama.RINDU LAGIII.Sekolah saya itu dah  banyak berubah. Bangunan tua setingkat tempat saya belajar dahulu dah dirobohkan dan diganti dengan bangunan bertingkat yang tersergam.


Ini maktabah (perpustakaan). Tempat lepak saya. Di dalam bangunan yang kecil ini, saya meneroka dunia yang besar melalui pembacaan khazanah berharga yang ada.

Masjid Tengku Amalin Aisyah Petri. Satu lagi tempat lepak saya.Malah, masa Tingkatan 4 saya pernah ponteng kelas dan datang tidur kat sini. Nakal masa tu.

Maahad Muhammadi yang melahirkan jiilul Quran (generasi al-Quran)

Syukran, mak dan ayah sebab hantar saya ke sini!

Saya rindu nak kembali ke sini. Saya rasa saya dah tersasar jauh daripada cara hidup asal yang diterapkan dalam diri saya.Saya nak dekat dengan Allah...jauh dari maksiat. Saya nak menekuni kitab-kita sebagaimana yang saya buat dahulu.Saya nak jadi ahli ibadah...saya nak jadi wanita solehah, yang menjaga akhlak,yang menutup aurat dengan sempurna. Saya tak mahu lalai...saya tak mahu hanyut dalam arus keduniaan ini. 

Bilakah agaknya saya dapat kembali ke akar saya lagi? Saya teringat pada satu cita-cita saya yang belum tercapai...nak menadah kitab di pondok. Cadangnya, apabila habis pengajian di IPKB dahulu, saya nak gunakan masa cuti untuk pergi memondok di Pasir Tumboh atau Lubuk Tapah...tapi Allah dah takdirkan yang jodoh saya sampai...dan saya dibawa semakin jauh daripada cara hidup yang saya cintai.

Salah sayakah atau takdir? Mampukah saya betulkan keadaan?

YA ALLAH, BERIKAN SAYA KEKUATAN! 

Saturday, December 4, 2010

Ayahanda Dalam Kenangan

Saya sudah  berada di kampung halaman, jajahan paling kecil, nun...di sempadan Malaysia-Thailand.

Hari Jumaat, saya ke pusara ayahanda. Rasanya dah lama tak ke sana.

Selepas lebih 12 tahun berlalu, rasa rindu dan sayu rupanya masih bertamu. Perasaan yang sama berulang setiap kali ke pusaranya. Terbayang detik-detik semasa ayah masih bersama.

Teringat semasa kecil-kecil dahulu, ayah isi bed-time stories saya dengan kisah-kisah Nabi. Antara yang masih terpahat kukuh di ingatan ialah kisah Nabi Yusuf (saya ingat sebab nama adiknya Bunyamin) dan kisah Nabi Musa (masa itu saya bayangkan wajah baginda seperti Tan Sri Musa Hitam yang ketika itu salah seorang menteri, sebab hanya itu orang bernama Musa yang saya kenal).

Pernah suatu malam, ayah berkisah tentang Nabi Muhammad, dan disentuhnya tentang kelebihan al-Quran. Kata beliau,kita patut bersyukur kerana Allah memelihara al-Quran itu. Kitab-kitab lain sebelum al-Quran telah diselewengkan. Tetapi al-Quran terus dipelihara Allah dan hasilnya kita semua terus mendapat petunjuk. Sebab itulah kita mesti bersyukur.

Ketika itu saya masih kecil benar. Mungkin berusia 6 atau 7 tahun. Saya menjawab di dalam hati: AH, BUAT APALAH BERSYUKUR. KAN LEBIH BAIK KALAU AL-QURAN TU TAK ADA. TAK PAYAHLAH SAYA ASYIK DIPAKSA BELAJAR MENGAJI DAN KENA MARAH KALAU BACA SALAH. Tetapi kata-kata tu tak berani dan pernah saya suarakan. Hanya hati kecil saya yang tahu tentangnya.

Selang beberapa tahun kemudian, ayah menghantar saya meneruskan pengajian peringkat menengah di sebuah sekolah Arab. Seiring dengan kematangan usia, saya mula menyedari, BETAPA BENARNYA KATA-KATA AYAH MENYURUH SAYA MENSYUKURI NIKMAT AL-QURAN. Ketika itu saya mula terasa besarnya peranan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan manusia.

Ayah memang ahli al-Quran. Sepanjang hayatnya, yang saya ingat, beliau akan khatam al-Quran selang beberapa hari. Pagi-pagi Ahad, semasa beliau tidak bekerja, setiap kali saya turun ke ruang tamu, akan terdengarlah suara beliau membaca al-Quran. Kalau tiada di ruang tamu, sudah pastilah ayah sedang berada di bilik surau yang terletak di bahagian hadapan rumah. Kalau saya menjenguk ke sana, tentu ayah sedang membaca al-Quran, membuat sujud tilawah atau solat Dhuha. Segala yang saya saksikan semasa masih kanak-kanak itu terakam teguh dalam ingatan saya sehingga kini, lalu, membawa saya kepada suatu rumusan, iaitu, itulah cara yang sebaiknya untuk kita menjalani kehidupan ini.

Tahun 1998, ayah terlantar sakit. Ayah sudah tidak dapat tilawah al-Quran sekerap dahulu. Ketika itu, saya menuntut dalam tingkatan 5. Pada tahun itulah, saya mendapat kekuatan untuk meneruskan amalan ayah, iaitu, membaca al-Quran dari mula sehingga khatam. Sebenarnya saya sudah cuba mengamalkan perkara itu dari Tingkatan 1 lagi. Tapi tak berjaya. Teruslah saya dengan tradisi masyarakat yang biasa, cuma memilih beberapa surah daripada al-Quran untuk dibaca sebagai amalan. Mungkin keadaan ayah yang sakit dan dorongan ustazah di sekolah memberikan kekuatan kepada saya. ALHAMDULILLAH. Niat saya ketika itu ialah untuk meneruskan amalan ayah supaya pahala terus mengalir kepadanya.

Dalam tahun yang sama, saya berjaya menamatkan pembacaan terjemahan keseluruhan al-Quran. ALHAMDULILLAH.

Saya khatam pembacaan al-Quran yang saya mulakan buat kali pertama itu pada Oktober 1998....di pusara ayah. Sehari selepas kematian beliau.   

Hari ini saya bukan sekadar membaca al-Quran, malah saya mengajarkan al-Quran kepada orang lain. Saya meneladani usaha ayah dengan mendidik pula murid-murid saya mencintai al-Quran. Saya ceritakan kepada mereka kelebihan al-Quran. Sesekali, saya selingi pembelajaran membaca al-Quran dengan menterjemahkan ayat-ayat yang mereka baca dan menceritakan kisah yang terkandung di dalamnya.

Segalanya bermula daripada benih cinta akan al-Quran yang ayah semaikan dalam diri saya sewaktu saya masih kecil dahulu. Betapa besar jasa ayah!

Saya berharap supaya saya ada anak lelaki, untuk saya didik menjadi pencinta dan pengamal al-Quran, supaya warisan ayah dan nenek moyangnya akan terus berkekalan.

Semoga Allah perkenankan!  

Friday, November 26, 2010

Nota Cinta Dari Murid

Semalam (sebenarnya dah beberapa hari) saya mengemas- ngemas barang di rumah. Banyaknya kertas- kertas untuk dikitar semula. Dalam banyak- banyak tu, saya jumpa semula NOTA- NOTA CINTA dari murid. Sebahagiannya cuma ditulis di atas secarik kertas buku tulis ...tetapi tetap saya simpan sebab saya percaya mereka mencatatnya dari hati kanak-kanak yang sangat ikhlas. Walaupun kawan- kawan saya pelik dengan perangai saya yang mereka anggap suka menyimpan "sampah", tetapi saya tetap sayang untuk membuangnya, sebagaimana saya SAYANGKAN PEMBERINYA.

Membaca kembali nota- nota ini MEMBERIKAN SAYA KEBAHAGIAN TERSENDIRI (sekaligus melambatkan tugasan mengemas saya). Terhibur membaca ayat mereka yang tunggang-langgang, beserta kesalahan ejaan. Apapun, saya menghargai usaha mereka untuk menyatakan rasa terima kasih serta kasih mereka kepada seorang guru.



Terima kasih, murid- murid Cikgu. Cikgu pun sangat sayangkan kalian! 

Thursday, November 25, 2010

Hidup Saya Sebagai Seorang Amfibia

Bosaaan!!!! Saya sendirian di sini. Petang semalam, saya menjemput murid yang hendak saya bimbing, Nurul ke rumah. Saya mengajarnya Bahasa Melayu santak jam 5 petang.

Bekalan elektrik terputus. Saya keseorangan dalam kegelapan.

SENDIRI

BOSAN

SUNYI

Mujurlah rasa takut tidak bertamu. Mulanya saya membaca buku bertemankan cahaya lilin. Apabila mata mula tak selesa. Saya baring- baring di atas katil sebab memang tiada aktivitii lain untuk dibuat. Mulalah fikiran saya menerawang....memikirkan keadaan hidup saya yang 2 alam....TIDAK SENDIRIAN tetapi TIDAK BERTEMAN. Saya hidup dalam dua alam yang berbeza.

Jam 8 lebih. Suami menelefon mengadu yang dia demam teruk. Saya menangis (sayang atau kasihan? Yang pasti-sedih). Walaupun saya sendiri pernah mengalami keadaan begitu, sendirian di sini, tak pernah saya menangis kerana kasihankan diri sendiri.Tetapi apabila kejadian menimpa orang lain, saya cepat berasa simpati dan akan berfikir tentangnya berhari- hari (walaupun dalam kes suami, saya tahu dia tidak sendirian di sana, tetapi saya benar- benar sebatang kara di sini).

Jam 3 pagi, saya terjaga dari tidur kerana digigit nyamuk (musuh utama saya sejak kecil). Saya tak dapat lagi melelapkan mata. Jam 4 pagi lebih, saya terdengar bunyi ...yang saya tidak pasti bunyi apa dan dari mana. Saya terkejut dan mula ketakutan. Sebabnya, saya teringat kejadian pintu dapur saya diumpil dalam cubaan menceroboh rumah saya, Ramadhan lalu. Ketika itu, saya juga sendirian di rumah.

Saya bangun dari katil, mengintai keluar dari tingkap bilik. Rumah- rumah jiran masih gelap. Saya masih memasang telinga sambil tangan mula mencari nombor telefon Cikgu Zul dan Cikgu Sharif (jiran terdekat tempat meminta tolong). Kemudian saya ke tangga dan mengintai ke tingkat bawah, cuba mengesan apa- apa bunyi aneh.

Setelah beberapa lama, tiada apa yang berlaku. Saya kembali ke bilik, baring semula. Tetapi langsung tak berani melelapkan mata. Saya cuma berdoa supaya matahari segera muncul. Peristiwa ustazah yang dibunuh di Port Dickson baru- baru ini menerjah ingatan.

Ketika itu, saya sedih lagi...memikirkan diri keseorangan dan tiada tempat bergantung.

Tiba- tiba saya teringat untuk membaca ayat Kursi. Berkali-kali juga saya melafazkan zikir Ya Hafiiz (Wahai Yang Maha Menjaga), memohon dilindungi.

Dalam masa yang sama juga saya tersedar, berapa banyak rumah yang ada penghuni lelaki tetapi masih lagi dicerobohi. Kehadiran suami bukanlah jaminan keselamatan bagi sesebuah keluarga. Bukankah saya masih ada Yang Maha Penjaga dan Yang Maha Pelindung untuk melindungi saya.

Mungkinkah Allah sengaja mentakdirkan hidup saya begini supaya saya tidak beralih pergantungan kepada selain-Nya?

Ya Allah, andai Kau halangi cinta manusia daripada mendekatiku, rezekikanlah aku cinta-Mu yang maha suci.

Wednesday, November 24, 2010

Bilakah Kali Yang Terakhir Kau Ucapkan Sayang?

"Bilakah kali yang terakhir kau ucapkan sayang
pada insan yang setia berkongsi susah dan senang
luahkan isi hati...andai sudah ditakdir
tadi Subuh yang terakhir...."

Saya sangat menyenangi lirik nasyid Subuh Yang Terakhir, dendangan kumpulan Rabbani. Menarik kerana ianya satu galakan supaya kita "berani" meluahkan rasa sayang di hati.

Secara umumnya, orang Melayu (mungkin juga orang Asia) merupakan bangsa yang kurang meluahkan perasaan mereka (terutamanya rasa sayang?). Ekspresi perasaan lebih banyak dibuat melalui perbuatan (sayangkan anak ditangan- tangankan?). Bagaimanapun, pembubaran sempadan dunia dewasa ini telah banyak juga mengubah cara hidup orang kita.

Saya sendiri merupakan seorang yang suka mengekspresikan rasa sayang melalui ucapan dan perbuatan. Apa yang saya perhatikan, ada murid yang tersipu- sipu malu bila saya mengatakan yang saya sayangkannya. Barangkali kerana tidak biasa menerima ucapan sayang. Tetapi, lebih teruk lagi apabila ada murid yang cuba mengelak dan kelihatan takut bila saya menghulurkan tangan ke arah mereka (saya kira kerana mereka sering dipukul) , walhal saya tidak pun berniat untuk memukul. Saya cuma mahu menepuk bahu mereka, atau memegang tangan untuk membimbing mereka menulis.

Bagi saya, sayang mesti diluahkan kerana orang tidak tahu apa yang tersirat di hati kita. Kalaulah kita boleh meluahkan rasa marah kepada anak- anak semasa kita marah, mengapa tidak luahkan rasa sayang yang kita memang rasai hampir setiap masa? Tak hairanlah kalau ada kanak-  kanak yang mengatakan "Mak/ ayah/ cikgu tu asyik marah je..." Sebabnya, kita cuma bersuara untuk marah, tetapi tak pula bersuara untuk memuji atau menghargai.   

Saya suka meluahkan sayang kerana saya suka menerima kasih sayang. Saya suka apabila murid meminta untuk mencium pipi saya. Saya gembira bila murid datang mengadu masalah kepada saya. Malah, saya sangat seronok apabila ada murid datang berjumpa dengan saya kerana mereka tiada duit untuk membeli makanan pada waktu rehat.

Sebabnya, semua itu menjadikan SAYA TERASA SEPERTI SEORANG MAMA YANG DIKELILINGI OLEH RAMAI ANAK. Perasaan itu membahagiakan saya.

"Kasihilah yang berada di muka bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh Yang Berada di Langit"
-HADIS-

Pernah seorang rakan guru berkata kepada saya, "Eiii, aku tak kuasa nak bagi budak- budak cium aku". Saya cuma menjawab dengan senyum "Saya belum ada anak, kak. Terpaksalah tumpang kasih anak- anak orang."

Tetapi, orang lain tak tahu yang dengan cara itu, saya menikmati kebahagian tersendiri. Ramai orang terkejut bila melihat tarikh lahir saya. Mereka mengatakan yang saya kelihatan lebih muda dari usia sebenar. Pernah seorang bertanyakan rahsia awet muda kepada saya. Waktu itu saya cuma ketawa dan menjawab, saya tak ada apa- apa rahsia. Tetapi hari ini saya terfikir, mungkinkah rasa sayang yang disuburkan kemudian disebarkan itulah rahsianya?

Tuesday, November 23, 2010

Biarpun Seribu Kali Lagi...Kerana-MU Akan Kuulangi

Pertama kali saya mendengar lagu ini di radio IKIM. Walaupun hanya sempat mendengar sebahagian sahaja, saya tertarik dengan liriknya. Waktu itu saya tak tahu tajuk lagu ini dan penyanyinya. Setelah beberapa waktu, barulah saya berpeluang mencarinya dari internet melalui sebahagian lirik yang menarik perhatian saya, "a thousand miles....a thousand times..."

A Thousand Times (Sami Yusuf)
Without your warmth, without your smile
without you by my side 
the world was so cold, I felt so lost
without your light, I felt so blind 

A thousand miles I'd run and walk
a thousand times I'd slip and fall
but for you I'd do it again
a thousand times

You gave me hope, you let me dream 
made me believe I can still trust

You raised me up, you gave me wings
just like a kite in the sky

No words are enough to convey
all the things I want to say
I won't even try 'cos I know
deep down you feel how much I care

Now I hold my head up high
I see my dreams coming true
peace be with you my dearest friend 
in my heart you will remain

Saya tak begitu pasti lirik ini didedikasikan kepada siapa (kepada seorang kawan?). Tapi, bagi saya sendiri, saya suka menujukan for you I'd do it again a thousand times itu sebagai bisikan seorang hamba kepada Penciptanya.

Semasa mula- mula mendengar lagu ini, saya dalam keadaan kecewa dan putus asa. Saya hampir- hampir tidak mahu lagi berdoa dan berusaha untuk membaiki diri kerana saya rasakan Allah sangat tidak adil kepada saya dengan mengabaikan banyak permohonan yang bagi saya amat penting. Tahun lepas, saya sampai terbang ke Mekah semata- mata kerana mahu berdoa di hadapan Baitullah. Malangnya, permintaan utama yang menjadi penyebab saya membuat perjalanan thousand miles itu belum terkabul sehingga kini. Saya sangat sedih dan kecewa.

Lirik lagu ini menyedarkan saya. Perjalanan hdup saya memang sangat banyak ranjau dan liku. Kerana-Nya, akan saya ulangi walaupun seribu kali lagi...TIBA- TIBA, SAYA RINDU UNTUK SUJUD LAGI DI HADAPAN KAABAH.

Monday, November 22, 2010

Kalau Guru...

Kalau guru mengajar sambil duduk
          Murid belajar sambil mengantuk

Kalau guru mengajar sambil berlakon
          Murid belajar dengan tekun

Kalau guru mengajar tanpa alat
          Murid belajar dengan ralat

Kalau guru mengajar banyak bercakap
          Ada murid bertambah gagap

Kalau guru menjadi pemudahcara
          Ramai murid pandai berbicara

Kalau guru mengajar tanpa menilai
          Tidak akan tahu murid bodoh atau pandai

Kalau guru berbudi bahasa
          Dikenang murid sepanjang masa

Kalau guru tunggu diarah
          Semua kerja kena kerah

Kalau guru kurang mengajar
          Dapatlah murid kurang ajar

Kalau guru kurang merancang
          Dalam bilik darjah banyak tembelang

Kalau guru SUKA BERDAMPING
          SEMUA MURID DAPAT DIBIMBING

Saturday, November 20, 2010

Saya Merancang...DIAlah Yang Bakal Menentukan

Saya telah pun menyiapkan dua buah kertas kerja. Yang pertama berkenaan cadangan untuk mewujudkan Pondok Bahasa Arab di tepi padang sekolah. Yang kedua ialah rancangan saya untuk mengadakan Kelas Literasi Al-Quran, khusus untuk  8 orang murid Tahun 5 2011 yang telah saya kenal pasti masih belum menguasai asas untuk membaca al-Quran.

Selain itu, semalam saya telah berbincang dengan teman sejawat mengenai seorang murid tahun 5 yang paling corot kedudukannya. Murid ini, Nurul, boleh dikatakan gagal dalam semua subjek UPSR. Pihak sekolah bercadang untuk memasukkannya ke kelas Pendidikan Khas. Tetapi, saya dan rakan ini berpendapat bahawa dia boleh dibimbing untuk sekurang- kurangnya lulus semua mata pelajaran dalam UPSR 2011. Saya meluahkan hasrat untuk membimbingnya secara peribadi. Sebelum ini, sejak dia dalam tahun 1, saya telah "memegangnya" untuk dibimbing dalam bacaan al-Quran. Walaupun sangat payah jalan yang saya lalui, dia BERJAYA MEMBACA AL-QURAN SEWAKTU DI AKHIR TAHUN 3!, walaupun dalam subjek lain dia kekal di tangga terakhir. Oleh itu, saya optimis DIA BOLEH.

Segala perancangan ini bermain- main di fikiran saya. Perkara inilah yang menyebabkan saya rasa berbaloi terus tinggal di sini. Ketika inilah saya sedari betapa kewujudan cita- cita dan impian menjadikan hidup kita lebih bermakna. Betapa saya berharap segala yang dirancangkan akan berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang diingini.

Saya hanya mampu merancang...semoga DIA memberikan yang terbaik buat saya.

Friday, November 19, 2010

Hari Terakhir Persekolahan 2010

19 November 2010. Hari terakhir persekolahan bagi tahun ini. Satu kesedihan saya ialah perpisahan dengan 4 orang murid kelas Pendidikan Khas yang akan naik ke sekolah menengah. Saya mengajar mereka mata pelajaran Pendidikan Islam. Saya sedih...pertamanya ialah kerana memikirkan akan berpisah dengan mereka. Selama ini, saya sering menyiram mereka dengan pancuran nasihat, meminta mereka selalu menjaga solat, dan melakukan ketaatan kepada Allah. Bagi saya, walaupun mereka tidak cemerlang dalam pelajaran, mereka tetap mesti menjadi hamba Allah yang soleh. Itulah kejayaan yang paling cemerlang dalam kehidupan. Keduanya, saya sedih kerana saya ada mendengar cerita bahawa di sekolah yang mereka bakal jejaki, murid- murid Pendidikan Khasnya tidak begitu dididik dan dilatih dengan kemahiran yang sepatutnya mereka kuasai. Saya bimbang mereka akan kehilangan jejak dan terpengaruh dengan anasir yang tidak sihat. Saya bimbang mereka dibuli dan terlupa apa yang mereka telah pelajari selama ini.

Di sini, anak- anak Pendidikan Khas saya dilatih dengan baik. Saya melihat perkembangan positif mereka. Selain asas akademik, mereka turut dibekalkan dengan kemahiran mengurus diri, memasak, berkebun dan membuat hasil kerja tangan yang lain. Semoga Allah memberkati usaha gigih guru- guru Pendidikan Khas di sini.

Bantal kekabu, hasil kerja tangan murid Pendidikan Khas

Pokok bendi yang ditanam oleh murid- murid Pendidikan Khas

Saya berasa satu kehilangan dengan pemergian murid- murid saya ini. Doa saya, semoga Allah melindungi mereka di alam sekolah menengah dan seluruh hidup mereka. Sesungguhnya, mereka ialah anak- anak yang baik dan mendengar kata.

Anak-anak yang saya sayangi. Dari kiri : Razi, Afifi, Zamri dan Amirul

Monday, November 15, 2010

Kerana Saya Seorang Guru...

Hari ini, keputusan permohonan pertukaran guru secara atas talian diumumkan. Saya telah membuat permohonan. Yang kedua untuk tahun ini. Berdebar- debar saya membuka talian, menanti untuk melihat keputusannya. Sejak dahulu lagi, setiap kali membayangkan saya akan meninggalkan sekolah ini, saya menangis. Saya nak bertukar sekolah kerana mahu berdekatan dengan suami dan mahu berubah angin, tetapi, saya sayang nak meninggalkan murid- murid saya.

Apabila laman keputusan dipaparkan.....


Mesyuarat Jawatankuasa Pertukaran Guru Antara Bahagian / Negeri Sesi Januari 2011 telah
mempertimbangkan permohonan tuan dan memutuskan bahawa permohonan tersebut TIDAK
DILULUSKAN.


Saya terpana seketika membaca ayat tersebut (kerana entah mengapa saya memikirkan yang permohonan kali ini akan berjaya). Kemudian, saya seolah- olah sedar diri semula, dan dapat menerima bahawa itulah keputusan yang terbaik Allah takdirkan buat saya (mungkin kamu tidak suka pada sesuatu sedangkan perkara itu baik buatmu, dan mungkin kamu sukakan sesuatu sedangkan hal itu buruk bagimu) . Saya rasa gembira kerana saya berpeluang untuk merealisasikan projek Pondok Bahasa Arab yang telah saya rancang, saya juga berpeluang untuk mengaplikasikan strategi pengajaran yang telah saya tingkatkan berdasarkan analisis kelemahan yang telah saya buat.

Beberapa orang mengucapkan syukur atas kegagalan saya bertukar. Malah, saya menerima ciuman gembira daripada salah seorang mereka.

Kerana saya seorang guru...DI MANA PUN BERADA, SAYA AKAN BERBAKTI. YA ALLAH, BERIKAN SAYA KEKUATAN DAN SEMANGAT UNTUK TERUS BERJUANG DALAM LAPANGAN INI!

Thursday, November 11, 2010

Muar Number 1!!!

Hari ini, keputusan UPSR 2011  diumumkan. Saya rasa sangat bangga dan bersyukur kerana sasaran untuk Muar Number 1 TELAH TERCAPAI! Tahun- tahun lepas, daerah Muar sering kalah kepada daerah Johor Baharu. Tahun ini, Muar berjaya mengatasi Johor Baharu sebanyak 0.006%. Peratus kelulusan UPSR Muar adalah 71.76, manakala peratus kecemerlangan adalah 10.52. Sebanyak 10 buah sekolah bawah PPD Muar telah mencapai kelulusan UPSR 100%. Alhamdulillah!

Lebih membanggakan, daerah Muar telah berjaya menggondol 21 daripada 22 anugerah yang ditawarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Bagi sekolah saya pula, peratus kelulusan UPSR telah meningkat daripada 78% pada tahun lepas kepada 89.65%. Walau bagaimanapun, jumlah murid yang mendapat 5A hanya 2 orang sahaja, 4A 1B 6 orang dan 3A 7 orang. Secara keseluruhannya, peratus  kelulusan mata pelajaran ialah :

BM Kefahaman = 100% (A = 40 orang)
BM Penulisan = 96.55%(A = 33 orang)
B Inggeris = 91.38% (A = 3 orang)
Matematik = 93.10% (A = 18 orang)
Sains = 98 (A = 14 orang)

Wednesday, November 10, 2010

Tarian Al- Zaffan?

Hari yang agak memenatkan. Ada Karnival Ko- Kurikulum Parlimen Pagoh di SMK Felcra Bukit Kepong. Saya ditugaskan untuk menjadi guru pengiring murid- murid yang mewakili sekolah dalam pertandingan tarian zapin. Ada 26 buah sekolah yang bertanding. Sekolah saya mendapat nombor giliran ke-22. Jenuh menunggu.

Sebagai orang luar dari Johor, saya memang tak tahu sangat tentang zapin- zapin ni. Masa kecil- kecil dulu, saya masih ingat ada rancangan TV yang mengajar cara menari zapin. Saya suka tengok. Tetapi, itu sajalah yang saya tahu, selain daripada saya tahu saya sukakan tarian zapin sebab rancak dan muziknya sedap didengar.

Masa mula- mula ditugaskan untuk melatih murid berzapin (jadi pembantu seorang guru lain), saya berasa seronok juga. Saya sentiasa suka bila berpeluang belajar sesuatu yang baru. Jurulatih sebenarnya ialah seorang bapa murid yang berkemahiran dalam bidang ini. Mulanya, saya berasa mahu ikut serta belajar menari. Tetapi, bila lihat langkahnya banyak dan agak rumit, saya membatalkan niat. Lagi pula, saya rasa saya tidak berbakat dalam bidang seni tari.
Peserta zapin bersama jurulatih, Encik Md Isa bin Saion

Pelbagai ragam yang saya saksikan. Kumpulan zapin sekolah saya terdiri daripada murid perempuan semuanya, dan mereka bertudung. Tetapi, saya lihat ada sekolah yang muridnya bercampur lelaki dan perempuan. Ada pula yang tidak bertudung. Saya tak tahulah nak memberikan pendapat dalam hal ini. Mungkin ramai yang bertanggapan tidak apa, kerana mereka masih kanak- kanak. Saya sendiri kurang berkenan dengan wanita yang menari di khalayak ramai. Tetapi, saya melonggarkan pendapat tersebut kerana mereka masih kanak-kanak. Bagaimanapun, dalam hal membuka aurat dan percampuran antara lelaki dan  perempuan, saya rasa saya tidak boleh bertolak ansur. Kalaulah ada cadangan untuk berbuat demikian bagi murid- murid sekolah saya, sebagai guru agama di sekolah, saya akan menentangnya.

Bertambah juga ilmu saya dengan beberapa informasi dalam bidang ini. Rupanya tarian ini berasal daripada bahasa Arab iaitu al- zaffan yang bermaksud gerakan kaki. Tarian ini berkembang menjadi dua iaitu Zapin Arab dan Zapin Melayu. Zapin Melayu ini pula ada pelbagai jenis yang saya lupa namanya. Yang murid saya persembahkan ialah Zapin Johor Asli. Ada pula lima pecahan mengikut daerah- daerah di Johor. Satu perkara yang saya perhatikan, gerakan yang dibuat dalam tarian ini seakan- akan menonjolkan kelembutan kaum wanita, dan kegagahan kaum lelaki. Di samping itu, antara mesej tersiratnya  (pada pendapat saya) ialah kaum lelaki merupakan pelindung kepada kaum wanita. Setiap persembahan tarian zapin pula mesti ada 4 peringkat atau perkembangan iaitu dimulai dengan taksim, ragam, kopak dan wainah.

Satu perkara yang mengagumkan saya ialah apabila ada 2 buah sekolah Cina yang turut sama menghantar wakil bagi pertandingan zapin ini. Seronok dan tersentuh hati melihat anak- anak Tionghua memakai pakaian kebangsaan orang Melayu, siap bersongkok, dan menari zapin. Walaupun ada langkah mereka yang nampak kaku, tetapi semangat mereka cukup saya puji.


Pasukan zapin SJK (C) Kebun Baru

Pasukan zapin SJK (C) Lenga

Hanya satu hal yang saya fikirkan, masyarakat kita sering salah tanggap bahawa semua yang datang dari orang Arab itu merupakan perkara baik. Barangkali, sebab itulah juga tarian zapin ini dipertahankan dan diperturunkan daripada generasi ke generasi. Mereka lupa bahawa Abu Lahab yang dijanjikan neraka itu juga ialah orang Arab.

Tuesday, November 2, 2010

Pasca Peperiksaan

Peperiksaan sudah usai dan saya telah pun menyiapkan kerja- kerja menanda kertas.

Keputusan murid- murid saya agak membanggakan. Bagi tahun 2 dan 3, kelas pertama mencatatkan kelulusan 100%. Lebih seronok, bagi tahun 2 kelas itu, murid- murid hanya memperolehi gred A dan B, tiada yang kurang daripada itu. Cuma, keputusan bagi kelas kedua agak mengecewakan. Jadi, bila dijumlahkan keseluruhannya, hasil kelulusan bagi subjek Bahasa Arab saya ialah :

Tahun 1 = 85%
Tahun 2 = 88.5%
Tahun 3 = 77.5%
Tahun 4 = 66%
Tahun 5 = 77%

Saya telah pun membuat analisis kelemahan mengajar saya, dan saya telah pun merangka beberapa teknik baik pulih yang akan saya laksanakan pada tahun hadapan. Malah, saya telah pun membuat nota bagi kegunaan murid untuk tahun 2011 yang bakal menjelang!

Saya tahu saya bukanlah seorang guru yang baik. Tetapi, saya sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik untuk murid- murid saya.

"Ya Allah, ampunkan segala kekurangan dan ketidaksempurnaanku dalam mendidik anak- anak muridku, serta dalam aku menjalankan tugasku sebagai seorang guru. Sesungguhnya, aku takut akan kemurkaan-Mu."

Monday, November 1, 2010

Kisah Tok Guru dan Cucu Murid

Malam Sabtu lalu, saya menerima panggilan telefon daripada seseorang...BEKAS MURID SAYA YANG TELAH BERPINDAH KE SABAH pada tahun lepas. Saya telah hilang jejaknya sejak beberapa bulan yang lalu. Gembiranya hati tidak terkata kerana masih dikenang. Berkali- kali dia menyatakan yang dia sayangkan dan rindukan saya.

Pada hari Sabtu, saya membawa 4 orang murid ke SK Dumpar untuk menghadiri Kem Literasi Al-Quran. Terjumpa pula dengan BEKAS GURU YANG MENGAJAR SAYA di SRA Diniatul Islamiah, 17 tahun yang lalu, Ustazah Jamaliah binti Abdul Wahab. Seronok rasanya dapat bertemu dengan beliau, insan yang pernah berjasa kepada saya.

Thursday, October 21, 2010

Dunia Yang Kelam

Hari ini, seramai 80,282 murid  sekolah di daerah Muar dan Ledang terpaksa bercuti. Seramai 6,737 orang guru di kedua- dua daerah tersebut terlibat sama dengan arahan cuti itu. Salah seorang daripada lebih 6000 orang guru itu ialah SAYA!

Sebabnya, daerah kami ni dilanda jerebu yang dahsyat, sehingga bacaan IPUnya mencapai 432 mata (tahap bahaya), kesan daripada kebakaran hutan di negara jiran, Indonesia. Dunia nampak kelam. Bumbung kereta yang diletakkan di kawasan terbuka pun penuh dengan habuk.

Saya rasa seronok mendapat cuti. Tambahan pula hari Khamis memang masa mengajar saya sangat padat (hari yang memenatkan). Dalam masa yang sama, saya teringat- ingat tentang peperiksaan akhir tahun yang bakal diduduki murid pada minggu hadapan, dan beberapa kelas lagi yang saya belum buat ulangkaji. Saya risaukan anak- anak murid saya.

Hati seorang guru...apapun teringatkan murid- murid.

Wednesday, October 20, 2010

Kerana Sebungkus Nasi Dagang

Hari ini, pagi- pagi waktu sampai ke sekolah, seorang murid lelaki Tahun 3 menghampiri saya dan menghulurkan sebuah bungkusan.
"Nasi dagang. Nenek kita bagi."

Saya mengucapkan terima kasih dan menambah ucapan Semoga diberkati Allah. Seperti biasa, saya memang rasa seronok menerima pemberian daripada murid, tidak kira sekecil mana pun pemberian itu.

Tiba- tiba sahaja, saya berasakan mood  saya pada hari ini lebih baik. Rasa gembira dan lebih bersemangat. Barangkali, inilah "kuasa hadiah", yang menyebabkan penerimanya berasa sangat dihargai, seterusnya mendorong kepada perasaan- perasaan positif yang lain.

Patutlah Islam amat- amat menggalakkan penganutnya "memberi" kepada orang lain. Bukankah tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang di bawah?

Jom kita sama- sama koreksi diri... berapa banyak agaknya kita "memberi" dalam kehidupan ni?

Tuesday, October 19, 2010

Bila Sesekali Kita Diuji...

Salam...

Terlalu lama tak menulis blog. Sebabnya? Saya diuji dengan masa sakit yang sangat panjang. Bermula dengan demam pada hari ketiga Syawal, sembuh sekejap, kemudian sambung lagi demam yang teruk selepas sekolah dibuka..yang berlangsung kira- kira dua minggu lamanya. Selepas kebah demam, saya masih mengalami batuk yang teruk, akhirnya mengakibatkan kecederaan pada bahagian rusuk, yang menyebabkan dada sebelah kanan rasa sangat sakit...sehingga ke hari ini. Di samping itu, mungkin kerana suhu badan dan cuaca yang panas, saya diserang ulser di beberapa tempat di dalam mulut, yang baru saja sembuh semalam.

Dalam keadaan itulah saya mengajar dan menduduki peperiksaan PTK (kohort terakhir) Sabtu lepas. Mengajar pun begitu-begitu saja sejak akhir-akhir ni (terasa berdosa saya). Hendak menulis di papan hitam, tangan tak boleh diangkat tinggi, hendak bercakap banyak dengan suara kuat pun, dada terasa sakit dan sesak nafas. Jadi, saya banyak memberi latihan kepada murid dan meminta mereka buat ulangkaji sendiri.

Bila sesekali diuji dengan kesakitan sebegini, terasa betapa besar nikmat kesihatan yang Allah anugerahkan selama ini. Terasa benar ujian ni diberi kerana saya alpa untuk mensyukuri nikmat itu selama ini. Terasa betapa teruknya menanggung azab sakit. Tapi, dalam masa yang sama, saya insaf dan bersyukur kerana berasa ujian yang diberikan kepada saya ini jauh lebih ringan berbanding dengan yang ditimpakan kepada orang lain. Rasanya memang tahun 2010 ni penuh dengan ujian. Ramai anak- anak murid di sekolah yang terilibat dengan kemalangan, patah tangan, cedera dan sebagainya. Anak rakan-rakan sejawat pun ada yang dimasukkan ke hospital kerana pelbagai penyakit dan kemalangan. Ada pula seorang guru di sekolah yang patah bahu kerana kemalangan motor. Saya jarang ditimpa sakit, tahun ni, sakitnya teruk pula. Tapi berbanding dengan orang lain, saya masih bersyukur. Benarlah, Allah menimpakan ujian kepada kita sekadar yang kita mampu menanggungnya.....

Apa pun, ingat 5 perkara...sebelum 5 perkara!  

Monday, September 20, 2010

Masyarakat Yang Bobrok

Tonton drama Airmata Nur Salina (Cerekarama, 18 Sept 2010)?

Saya menonton drama tersebut dan menganalisisnya daripada kacamata seorang pendidik.

Saya rasa kesal dan kecewa dengan kampung mereka (?) yang telah melahirkan begitu ramai manusia tidak bermoral :
1. Afka  : Berzina, kahwin lari, berjudi, tidak menunaikan tanggungawab sebagai suami dan sanggup menggadaikan isteri sendiri kerana judi

2. Salina  : Berzina, kahwin lari, membunuh

3. Kawan Afka (saya tak pasti namanya)  : Berjudi, dihalau dari kampung (tentu sebab kes besar), mempengaruhi orang lain berbuat jahat, sanggup merogol isteri orang

4. Intan  : Berzina, melahirkan anak luar nikah dan mengabaikan anak itu, bekerja di kelab malam dan terus bergelumang dengan maksiat, cuba mempengaruhi kawan supaya berbuat jahat.

Sebagai seorang pendidik, saya melihat dan kesal tentang betapa bobroknya akhlak  muda- mudi kampung tersebut. Salah siapakah sehingga jadi begitu? Ibu bapa? Guru? Ketua kampung atau masyarakat seluruhnya?
Yang pastinya, Islam menyuruh kita memastikan 4 institusi ini  diselaraskan dan dipastikan berada dalam keadaan baik dan atas landasan agama-Nya : RUMAHTANGGA, SEKOLAH, MASJID dan MASYARAKAT.

Mungkin benar- benar wujud kampung sebegitu dalam dunia realiti di negara kita. Malah mungkin lebih parah lagi keadaannya.

Jom fikirkan cara untuk selamatkannya!

Friday, September 17, 2010

Tak Terasa Berdosakah Kita?

Kembali ke sekolah lagi. Rasa seronok bila dapat melihat semula wajah anak- anak murid yang comel dan ceria.

Tetapi hari ini saya terpaksa meninggalkan sekolah kerana perlu menghadiri taklimat bagi pengawas UPSR di sebuah sekolah lain.

Setelah meminta izin Guru Besar, saya mengisi borang kebenaran keluar dan bertolak ke sekolah tersebut mengikut perancangan masa yang telah saya buat sebab saya tidk mahu membazirkan masa orang lain kalau terpaksa menunggu saya. Saya tiba tepat pada masa yang diarahkan (8.30 pagi seperti yang tertulis dalam surat).

Malangnya, sayalah pengawas pertama yang sampai untuk taklimat tersebut.Terpaksalah saya duduk menunggu di pejabat sekolah. Setengah jam kemudian, pengawas lain sampai, tetapi ketua pengawas yang sepatutnya memberi taklimat belum muncul. Menunggu lagi kami....Dalam masa menunggu itu, saya terkenangkan kelas yang saya tinggalkan untuk menghadiri taklimat ini.Sebenarnya, saya sempat mengajar dua masa dalam tempoh tersebut. Kasihan...murid- murid saya ditinggalkan semata- mata untuk saya termenung di pejabat sekolah orang ini!

Setelah sejam saya menunggu, barulah ketua pengawas berkenaan sampai. Bagaimanapun, taklimat belum dimulakan kerana dia mengambil sejumlah masa pula untuk berbual- bual dengan Guru Besar tuan rumah. Akhirnya taklimat tersebut bermula jam 10.00 pagi.

Usai taklimat, kami diberi jamuan dan bersurai. Saya segera berangkat balik ke sekolah. Sempatlah saya mengajar pelajaran bagi masa terakhir. Daripada 5 masa yang diuntukkan hari ini, saya cuma mengajar satu sahaja.  Satu lagi masa saya digunakan untuk menghadiri taklimat, manakala 3 yang lain untuk saya termenung dan menunggu.

Terfikir saya, tak rasa berdosakah kita membuang masa percuma begitu? Apatah lagi membuang masa orang lain? Bukankah masa itu gaji (itu prinsip yang saya pegang)? Halalkah kita membuang masa yang sepatutnya digunakan untuk mengajar bagi sesuatu yang tidak sepatutnya?

Buat guru, bakal guru atau apa saja pekerjaan yang dilakukan, fikir- fikirkanlah. Ingat amanah, ingat akhirat.

Monday, September 13, 2010

Anak Didikku Bakal Seorang Pembunuh?

Terkejut dan sedih dengan berita pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya.

Apapun peristiwa semasa yang berlaku, segera saya teringatkan anak-anak didik saya di sekolah (mungkin kerana belum punya anak sendiri). Teringatkan kata-kata seorang pensyarah semasa menuntut di institusi perguruan beberapa tahun lalu, "Anak- anak murid yang kamu ajar tu, mungkin bakal jadi doktor, mungkin juga bakal jadi pembunuh satu hari nanti..."

Kadang-kadang, setelah memberikan murid- murid latihan, saya berdiri di hadapan kelas dan merenung wajah suci mereka. Cuba membayangkan keadaan mereka 10 atau 20 tahun lagi. Saya tidak dapat menerima seandainya ada salah seorang daripada mereka menjadi penjenayah suatu hari nanti.

Sebab itulah, saya seringkali menyentuh hati mereka, mengajak mereka berfikir dan menanamkan sifat belas ihsan dalam diri mereka, dalam apa jua kesempatan yang ada. Sewaktu mengajar tajuk tentang binatang, saya menyelitkan rasa kasihkan binatang, sewaktu mengajar tajuk berkaitan dengan rumah, saya mengajak mereka berfikir dan merenung nasib orang-orang yang tidak memiliki rumah atau yang rumah mereka dimusnahkan bencana,semasa mengajar tajuk berkenaan anggota badan, saya mengajar mereka bersyukur dengan kesempurnaan anggota yang Allah anugerahkan, dan sebagai tanda kesyukuran...gunakanlah anggota itu untuk berbuat kebajikan.

Bagi murid-murid yang terlalu nakal, ada ketikanya saya meminta izin untuk mengusap kepala mereka. Saya membaca doa minta perlindungan daripada gangguan syaitan dan meniup pada ubun- ubun mereka.

Saya sangat takut seandainya suatu hari nanti saya mendapat khabar bahawa salah seorang penjenayah yang ditangkap atau mati ditembak itu merupakan anak yang pernah saya didik. HAL ITU MERUPAKAN SUATU MIMPI NGERI BAGI SAYA.

YA ALLAH LINDUNGILAH ANAK- ANAK DIDIKKU DARIPADA MENJADI HAMBA-MU YANG MUNGKAR.LEMBUTKAN HATI MEREKA UNTUK MENERIMA DAN MENGAMALKAN NASIHAT YANG KAMI BERI.

Saturday, September 11, 2010

"Ah! anak-anak dengan caranya yang murni..."

Pagi.Waktu pertama.

Saya sedang mengajar di kelas Tahun 1. Tiba- tiba seorang murid lelaki Tahun 3 muncul di depan.Nafasnya tercungap- cungap.

"Cikgu, ada budak bergaduh!"

Mulanya, saya malas hendak melayan aduan itu. Namun, bimbangkan sesuatu yang serius terjadi, saya bergegas ke kelas yang letaknya selang sebuah daripada kelas tempat saya mengajar.

Apabila saya sampai,kedua- dua murid yang bergaduh tadi  sudah duduk di tempat masing-masing. Mungkin kerana tahu perbuatan mereka telah diadukan.Ada kesan air mata pada wajah salah seorangnya.Mereka masih menjeling marah antara satu sama lain.

"Apa masalahnya?" Saya menyergah.

Murid- murid lain mula bising mengadu. Saya memanggil kedua- duanya mengikut saya ke kelas Tahun 1. Saya menyuruh mereka berdiri di muka pintu kerana saya rasa tidak adil untuk membuang waktu P & P saya bagi menyelesaikan masalah mereka.

Jam 8 pagi, saya menamatkan P&P di kelas itu.Keluar mendapatkan kedua- dua murid tersebut.

"Apa ceritanya ni?" Saya berpaling kepada murid di sebelah kanan saya.

"Kamu ceritakan dulu, apa yang dah jadi?"

Dia diam. Kepalanya ditundukkan. Setelah beberapa detik, saya menoleh pula kepada lawannya.

"Kamu ceritakan."

"Dia kata saya bodoh, cikgu. Lepas tu saya lempang dia."

"Betul macam tu?" Saya cuba mendapatkan kepastian daripada murid pertama.Murid itu mengangguk.

Saya menghela nafas. Merenung wajah kedua- dua anak di hadapan saya. Tiada sisa dendam atau kebencian di wajah mereka.

"Kamu rasa kamu ada buat salah tak?" Saya bertanya kepada murid pertama. Dia mengangguk lagi.

"Apa salah kamu?"

"Kata orang bodoh." Dia menjawab. Saya berpaling kepada murid kedua.

"Kamu pula, kamu rasa apa salah yang kamu buat?"

"Lempang orang."

Saya tahu mereka berdua sudah membuat muhasabah diri dan mengakui kesalahan masing- masing. Kepada murid pertama, saya nasihatkan supaya lebih berhati- hati mengeluarkan kata. Saya juga meminta dia membayangkan sekiranya dia berada di tempat kawannya, apakah perasaannya apabila dikata begitu. Kepada murid kedua pula, saya meminta supaya dia lebih sabar dan rasional. Saya meminta juga dia meletakkan diri dalam situasi temannya, apa perasannya apabila dikasari begitu, sedangkan dia mungkin hanya bergurau. Juga kepada kedua- dua mereka, saya meminta mereka lebih berhati- hati dan menggunakan akal mengatasi nafsu dan emosi dalam membuat setiap tindakan.

Akhirnya, saya bertanya kepada mereka, adakah mereka masih berdendam antara satu sama lain. Kedua- duanya menggeleng jujur. saya tidak memaksa, tetapi mereka, dari hati sendiri, bersalaman dan bermaafan sesama sendiri. Saya membenarkan mereka pulang ke kelas.

Sebenarnya, saya boleh saja memanggil mereka seterusnya menghukum mereka kerana bergaduh, dan memaksa saja mereka bermaafan antara satu sama lain. Itulah cara yang lebih senang dan tidak perlu memakan masa saya.

Tetapi saya tahu cara itu bukan merupakan langkah untuk membentuk sahsiah diri. Cara itu hanyalah short term solution. Lagi pula, kekerasan dan hukuman akan menambahkan benci dan dendam, bukan keinsafan dan kemaafan.

Teringat saya pada sebuah sajak Pak Usman,

Ah...anak- anak dengan caranya yang murni, berkelahi untuk nanti bermain lagi..

Thursday, September 9, 2010

Mutiara Yang Terendam

Seorang bapa meminta saya mengajar anaknya membaca al-Quran.

Anaknya ialah seorang murid lelaki tahun 3. Sangat pendiam dan pasif. Dia tergolong dalam golongan murid yang tidak mendapat perhatian kebanyakan guru (biasanya begitu bagi murid yang tidak terlalu pandai dan tidak terlalu nakal). Saya mengajarnya dari tahun 1, tetapi bagi sesi membaca al-Quran, dia dimasukkan ke dalam kumpulan seorang guru lain. Jadi, perkembangannya secara individu tidak terlalu saya ikuti. Berdasarkan kemampuannya di dalam kelas, dia dimasukkan ke dalam kumpulan 3.

Kali pertama murid tersebut datang ke rumah saya, saya menguji tahap bacaannya bagi membolehkan saya menentukan kaedah terbaik untuk mengajarnya. SAYA TERKEJUT!...kerana sesungguhnya anak ini telah pun menguasai kesemua kemahiran asas yang diperlukan untuk membaca al-Quran. Pada pemerhatian saya, apa yang dia perlukan hanyalah latihan setiap hari supaya bacaannya lancar. Dia tidak perlu diajar... sebaliknya, diperhatikan dan diperbetulkan.

ALANGKAH BERDOSANYA SAYA (walaupun kadang-kadang saya rasa guru kumpulannyalah yang bertanggungjawab dalam hal ini) sebagai seorang guru, kerana membiarkan murid ini terbelenggu dalam tanggapan bahawa dia MURID LEMAH selama ini, sedangkan dia sebenarnya sudah terkeluar daripada golongan itu.

Saya menyatakan kepadanya bahawa dia sebenarnya seorang murid yang pandai. Dia telah pun menguasai kemahiran dan perlukan latihan supaya lebih lancar bacaannya. Saya juga menyatakan yang sikapnya yang terlalu merendah diri itu menyebabkan keupayaannya tidak dilihat oleh orang lain. Oleh sebab itu, saya meminta dia cuba mengubah sikap menjadi lebih aktif dan responsif kepada pengajaran guru. Berkali- kali saya menggalakkannya supaya mengangkat tangan dan cuba menjawab soalan guru di dalam kelas.

Hanya lebih kurang sebulan selepas itu, bapanya berjumpa dengan saya dan memberitahu yang dia menerima makluman positif daripada guru sekolah agama anaknya. Guru itu menyatakan rasa terkejutnya apabila murid ini didapati semakin maju dalam pelajaran, malah lebih aktif semasa pembelajaran di dalam kelas. Saya sangat gembira dengan berita itu.

Tahulah saya...apa yang dia perlukan sebenarnya ialah KEYAKINAN DIRI. Bersyukur saya kepada Allah kerana telah membuka mata hati saya untuk melihat diri anak ini yang sebenar.

Selepas setahun, saya dapati perkembangan dirinya semakin baik. Dia mendapat markah tertinggi dalam pelajaran Bahasa Arab di kalangan murid lelaki dalam kelasnya. Markahnya tidaklah membanggakan, tetapi perkembangannya itu yang membanggakan.

Saya rasa gembira...dalam masa yang sama saya tertanya- tanya, berapa ramai sebenarnya murid seperti ini, yang tidak berupaya untuk maju hanya kerana dia tidak mengenal potensi diri dan dibelenggu rasa rendah diri yang teruk, apatah lagi bila dilabel dan dikelaskan sebagai murid lemah di sekolah?

BERAPA RAMAI PULA YANG BERJAYA DISELAMATKAN DARIPADA TERUS BERADA DALAM JURANG KEGAGALAN ITU?

Coretan Buat Renungan

Tertarik dengan sebuah coretan oleh seorang penyair Chile.


We're guilty of many errors and faults
but our worse crime is abandoning children
neglecting the fountain of life
many of the things we need can wait
the child cannot
right now is the time... 
his bones are being formed
his blood is being made
and his sense are being developed
to him we cannot answer tomorrow
his name is today

Wednesday, September 8, 2010

Munajat Seorang Guru

"Ya Allah...aku datang ke sini dengan sebuah niat yang suci. Untuk mendidik anak- anak bangsaku supaya menjadi hamba- hamba-Mu yang bertaqwa. Untuk mengeluarkan mereka daripada belenggu kejahilan dan membawa mereka kepada sinar kealiman...

Ya Allah...jadikanlah aku seorang guru yang penuh hikmah dan kesabaran dalam melayani dan menangani kerenah murid- muridku. Janganlah aku terlalu keras sehingga membantutkan potensi mereka...dan janganlah pula aku terlalu lembut sehingga tidak upaya membentuk peribadi mulia mereka. Berikan aku hikmah dan petunjuk  terbaik untuk bertindak dalam setiap situasi yang kuhadapi...

Ya Tuhanku...jadikanlah kemarahanku kepada mereka, kemarahan yang menginsafkan, dan jadikan pujukanku terhadap mereka, pujukan yang menyentuh perasaan...sehingga mereka terdorong untuk mendekatkan diri kepada-Mu, membuat ketaatan terhadap-Mu dan meninggalkan kemungkaran kepada- Mu....

Jadikanlah anak- anak didikku, Ya Allah...hamba- hamba-Mu yang soleh dan solehah. Jangan jadikan mereka manusia yang bergelumang dengan maksiat dan kemungkaran. Sesungguhnya mereka generasi masa hadapan kami, Ya Allah. Merekalah yang bakal mewarisi tanah air ini daripada kami. Semoga suatu hari nanti, tanah ini akan lebih dihiasi dengan ketakwaan terhadap-Mu, semoga masa depan kami nanti, akan lebih berada dalam limpahan rahmat dan keredhaan-Mu.

Kabulkanlah permintaanku, Ya Rahman, Ya Samii', Ya Mujiib. Bantulah aku dalam mengharungi hari-hariku sebagai seorang hamba- Mu...seorang GURU