Sila Klik Sini!

Sunday, April 21, 2013

Kursus Pemantapan Pengajaran Iqra'

18 April 2013.
Saya menghadiri Kursus Pengajaran Iqra’ yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.
Kursus ini melibatkan guru- guru Pendidikan Islam di daerah Seremban dan Prort Dickson. Diadakan di Pejabat Pelajaran Daerah Port Dickson.

Hanya seorang guru dari sebuah sekolah yang perlu menghadirinya dan saya dipilih. Saya berasa sangat bertuah.

Kursus ini dikendalikan oleh dua orang ustaz yang berilmut inggi. Ustaz Mohamad Mukri bin Haji Abdullah dan Ustaz Muhammad Furqan bin Dr Muhd Jamil Rifa’i.

Ustaz Mukri merupakan orang “lama”. Rambut dan keningnya sudah memutih. Apabila melihatnya, saya sudah nampakbetapa banyak ilmu serta pengalaman yang tersimpan dalam batang tubuhnya yang kurus itu. Apabila beliau mula bercakap, bercerita tentang sejarah kedatangan kaedah Iqra’ di Malaysia, terbuktilah telahan awal saya tentang dirinya.

Ustaz Muhammad Furqan masih muda. Tetapi, ilmu beliau menggunung tinggi. Beliau belajar al-Quran di Mekah sejak kecil lagi. Kata- kata beliau penuh hikmah dan mengagumkan.

Ustaz Furqan memulakan ucapan beliau dengan kata- kata yang menyentuh hati saya:

"Nilai guru al-Quran tidak boleh sama dengan guru lain. Antum khairunnas. Sebaik- baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya. Sifat itu mesti ada dalam ciri peribadi guru al-Quran."

Satu lagi kata- kata beliau yang akan tetap saya ingat :

"Anda salah apabila anda belajar al-Quran, anda ada sifat malu. Kerana di luar sana, ada ramai orang yang berbuat maksiat tetapi mereka tidak malu."

Secara keseluruhannya, apa yang saya dapati daripada kursus ini ialah :

1) Saya mengetahui tentang latar belakang dan sejarah pengajaran Iqra' di Malaysia. Sejarahnya bermula apabila beberapa orang yang mempunyai kesedaran dan kesungguhan di Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan pada era 80-an, menyedari bahawa penguasaan pembacaan al-Quran dalam kalangan murid- murid sekolah amat rendah.  Merekalah yang berusaha mencari kaedah terbaik  untuk mengajar al-Quran dan menemui Iqra hasil cadangan kedutaan Malaysia di Yogjakarta.

2) Kegagalan murid menguasai al-Quran walaupun menggunakan kaedah Iqra' besar kemungkinannya disebabkan kesalahan teknik pengajarannya.

3) Saya berasa bersemangat dan bermotivasi untuk mempraktikkan apa yang saya perolehi melalui kursus ini di sekolah.

4) Saya menyedari betapa dangkalnya ilmu al-Quran saya dan betapa banyak lagi yang perlu saya pelajari.

Terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan yang menganjurkan kursus ini! Harapnya, adalah kursus lanjutan supaya kami boleh lebih mendalami ilmu al-Quran.
Ustaz Mukri

Ustaz Furqan

Friday, April 5, 2013

Kursus Penulisan Skrip Adaptasi Novel

Latar bengkel. Saya paling sukakan tulisan kecil di sudut bawah sebelah kanan, "Menulislah Kerana Allah"
Saya menulis dari tingkat 14, Hotel Starpoint, Jalan Masjid India.

Menghadiri Kursus Penulisan Skrip Adaptasi Filem anjuran DBP. Kursus ini berlangsung selama 3 hari. Semuanya percuma, ditanggung DBP.

Syukur terpilih sebagai salah seorang daripada 26 peserta.

Saya bertemu dengan ramai orang hebat di sini. Antaranya, penulis novel yang prolifik, Puan Sri Diah.

Lebih menyeronokkan, saya sebilik dengan Puan Siti Jasmina Ibrahim, penulis skrip, pensyarah ASWARA yang juga menjadi pengendali bengkel dalam kursus ini.

Betapa bertuah!

Puan Sri Diah (hadapan sekali)

Bilik Penginapan Kami


Bersama Pn Maizura, Pn Siti Jasmina & Pn Zailina.

Thursday, April 4, 2013

Hadiah Pertama

3 April 2013. 

Saya masuk ke tahun 1. Seorang murid perempuan, dengan malu- malu menghulurkan sebuah bungkusan kecil. Dengan perlahan dia berkata, "Untuk Ustazah".

Cenderahati dari Holland. Jauh dan istimewa. Istimewa kerana jauh. Tambah istimewa kerana inilah cenderahati dari murid yang pertama saya terima di SK Desa Jasmin.

Terima kasih kepada Nur Aqilah Mohd Mujib yang ingat pada ustazah walaupun jauh bercuti.