Sila Klik Sini!

Friday, November 26, 2010

Nota Cinta Dari Murid

Semalam (sebenarnya dah beberapa hari) saya mengemas- ngemas barang di rumah. Banyaknya kertas- kertas untuk dikitar semula. Dalam banyak- banyak tu, saya jumpa semula NOTA- NOTA CINTA dari murid. Sebahagiannya cuma ditulis di atas secarik kertas buku tulis ...tetapi tetap saya simpan sebab saya percaya mereka mencatatnya dari hati kanak-kanak yang sangat ikhlas. Walaupun kawan- kawan saya pelik dengan perangai saya yang mereka anggap suka menyimpan "sampah", tetapi saya tetap sayang untuk membuangnya, sebagaimana saya SAYANGKAN PEMBERINYA.

Membaca kembali nota- nota ini MEMBERIKAN SAYA KEBAHAGIAN TERSENDIRI (sekaligus melambatkan tugasan mengemas saya). Terhibur membaca ayat mereka yang tunggang-langgang, beserta kesalahan ejaan. Apapun, saya menghargai usaha mereka untuk menyatakan rasa terima kasih serta kasih mereka kepada seorang guru.



Terima kasih, murid- murid Cikgu. Cikgu pun sangat sayangkan kalian! 

Thursday, November 25, 2010

Hidup Saya Sebagai Seorang Amfibia

Bosaaan!!!! Saya sendirian di sini. Petang semalam, saya menjemput murid yang hendak saya bimbing, Nurul ke rumah. Saya mengajarnya Bahasa Melayu santak jam 5 petang.

Bekalan elektrik terputus. Saya keseorangan dalam kegelapan.

SENDIRI

BOSAN

SUNYI

Mujurlah rasa takut tidak bertamu. Mulanya saya membaca buku bertemankan cahaya lilin. Apabila mata mula tak selesa. Saya baring- baring di atas katil sebab memang tiada aktivitii lain untuk dibuat. Mulalah fikiran saya menerawang....memikirkan keadaan hidup saya yang 2 alam....TIDAK SENDIRIAN tetapi TIDAK BERTEMAN. Saya hidup dalam dua alam yang berbeza.

Jam 8 lebih. Suami menelefon mengadu yang dia demam teruk. Saya menangis (sayang atau kasihan? Yang pasti-sedih). Walaupun saya sendiri pernah mengalami keadaan begitu, sendirian di sini, tak pernah saya menangis kerana kasihankan diri sendiri.Tetapi apabila kejadian menimpa orang lain, saya cepat berasa simpati dan akan berfikir tentangnya berhari- hari (walaupun dalam kes suami, saya tahu dia tidak sendirian di sana, tetapi saya benar- benar sebatang kara di sini).

Jam 3 pagi, saya terjaga dari tidur kerana digigit nyamuk (musuh utama saya sejak kecil). Saya tak dapat lagi melelapkan mata. Jam 4 pagi lebih, saya terdengar bunyi ...yang saya tidak pasti bunyi apa dan dari mana. Saya terkejut dan mula ketakutan. Sebabnya, saya teringat kejadian pintu dapur saya diumpil dalam cubaan menceroboh rumah saya, Ramadhan lalu. Ketika itu, saya juga sendirian di rumah.

Saya bangun dari katil, mengintai keluar dari tingkap bilik. Rumah- rumah jiran masih gelap. Saya masih memasang telinga sambil tangan mula mencari nombor telefon Cikgu Zul dan Cikgu Sharif (jiran terdekat tempat meminta tolong). Kemudian saya ke tangga dan mengintai ke tingkat bawah, cuba mengesan apa- apa bunyi aneh.

Setelah beberapa lama, tiada apa yang berlaku. Saya kembali ke bilik, baring semula. Tetapi langsung tak berani melelapkan mata. Saya cuma berdoa supaya matahari segera muncul. Peristiwa ustazah yang dibunuh di Port Dickson baru- baru ini menerjah ingatan.

Ketika itu, saya sedih lagi...memikirkan diri keseorangan dan tiada tempat bergantung.

Tiba- tiba saya teringat untuk membaca ayat Kursi. Berkali-kali juga saya melafazkan zikir Ya Hafiiz (Wahai Yang Maha Menjaga), memohon dilindungi.

Dalam masa yang sama juga saya tersedar, berapa banyak rumah yang ada penghuni lelaki tetapi masih lagi dicerobohi. Kehadiran suami bukanlah jaminan keselamatan bagi sesebuah keluarga. Bukankah saya masih ada Yang Maha Penjaga dan Yang Maha Pelindung untuk melindungi saya.

Mungkinkah Allah sengaja mentakdirkan hidup saya begini supaya saya tidak beralih pergantungan kepada selain-Nya?

Ya Allah, andai Kau halangi cinta manusia daripada mendekatiku, rezekikanlah aku cinta-Mu yang maha suci.

Wednesday, November 24, 2010

Bilakah Kali Yang Terakhir Kau Ucapkan Sayang?

"Bilakah kali yang terakhir kau ucapkan sayang
pada insan yang setia berkongsi susah dan senang
luahkan isi hati...andai sudah ditakdir
tadi Subuh yang terakhir...."

Saya sangat menyenangi lirik nasyid Subuh Yang Terakhir, dendangan kumpulan Rabbani. Menarik kerana ianya satu galakan supaya kita "berani" meluahkan rasa sayang di hati.

Secara umumnya, orang Melayu (mungkin juga orang Asia) merupakan bangsa yang kurang meluahkan perasaan mereka (terutamanya rasa sayang?). Ekspresi perasaan lebih banyak dibuat melalui perbuatan (sayangkan anak ditangan- tangankan?). Bagaimanapun, pembubaran sempadan dunia dewasa ini telah banyak juga mengubah cara hidup orang kita.

Saya sendiri merupakan seorang yang suka mengekspresikan rasa sayang melalui ucapan dan perbuatan. Apa yang saya perhatikan, ada murid yang tersipu- sipu malu bila saya mengatakan yang saya sayangkannya. Barangkali kerana tidak biasa menerima ucapan sayang. Tetapi, lebih teruk lagi apabila ada murid yang cuba mengelak dan kelihatan takut bila saya menghulurkan tangan ke arah mereka (saya kira kerana mereka sering dipukul) , walhal saya tidak pun berniat untuk memukul. Saya cuma mahu menepuk bahu mereka, atau memegang tangan untuk membimbing mereka menulis.

Bagi saya, sayang mesti diluahkan kerana orang tidak tahu apa yang tersirat di hati kita. Kalaulah kita boleh meluahkan rasa marah kepada anak- anak semasa kita marah, mengapa tidak luahkan rasa sayang yang kita memang rasai hampir setiap masa? Tak hairanlah kalau ada kanak-  kanak yang mengatakan "Mak/ ayah/ cikgu tu asyik marah je..." Sebabnya, kita cuma bersuara untuk marah, tetapi tak pula bersuara untuk memuji atau menghargai.   

Saya suka meluahkan sayang kerana saya suka menerima kasih sayang. Saya suka apabila murid meminta untuk mencium pipi saya. Saya gembira bila murid datang mengadu masalah kepada saya. Malah, saya sangat seronok apabila ada murid datang berjumpa dengan saya kerana mereka tiada duit untuk membeli makanan pada waktu rehat.

Sebabnya, semua itu menjadikan SAYA TERASA SEPERTI SEORANG MAMA YANG DIKELILINGI OLEH RAMAI ANAK. Perasaan itu membahagiakan saya.

"Kasihilah yang berada di muka bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh Yang Berada di Langit"
-HADIS-

Pernah seorang rakan guru berkata kepada saya, "Eiii, aku tak kuasa nak bagi budak- budak cium aku". Saya cuma menjawab dengan senyum "Saya belum ada anak, kak. Terpaksalah tumpang kasih anak- anak orang."

Tetapi, orang lain tak tahu yang dengan cara itu, saya menikmati kebahagian tersendiri. Ramai orang terkejut bila melihat tarikh lahir saya. Mereka mengatakan yang saya kelihatan lebih muda dari usia sebenar. Pernah seorang bertanyakan rahsia awet muda kepada saya. Waktu itu saya cuma ketawa dan menjawab, saya tak ada apa- apa rahsia. Tetapi hari ini saya terfikir, mungkinkah rasa sayang yang disuburkan kemudian disebarkan itulah rahsianya?

Tuesday, November 23, 2010

Biarpun Seribu Kali Lagi...Kerana-MU Akan Kuulangi

Pertama kali saya mendengar lagu ini di radio IKIM. Walaupun hanya sempat mendengar sebahagian sahaja, saya tertarik dengan liriknya. Waktu itu saya tak tahu tajuk lagu ini dan penyanyinya. Setelah beberapa waktu, barulah saya berpeluang mencarinya dari internet melalui sebahagian lirik yang menarik perhatian saya, "a thousand miles....a thousand times..."

A Thousand Times (Sami Yusuf)
Without your warmth, without your smile
without you by my side 
the world was so cold, I felt so lost
without your light, I felt so blind 

A thousand miles I'd run and walk
a thousand times I'd slip and fall
but for you I'd do it again
a thousand times

You gave me hope, you let me dream 
made me believe I can still trust

You raised me up, you gave me wings
just like a kite in the sky

No words are enough to convey
all the things I want to say
I won't even try 'cos I know
deep down you feel how much I care

Now I hold my head up high
I see my dreams coming true
peace be with you my dearest friend 
in my heart you will remain

Saya tak begitu pasti lirik ini didedikasikan kepada siapa (kepada seorang kawan?). Tapi, bagi saya sendiri, saya suka menujukan for you I'd do it again a thousand times itu sebagai bisikan seorang hamba kepada Penciptanya.

Semasa mula- mula mendengar lagu ini, saya dalam keadaan kecewa dan putus asa. Saya hampir- hampir tidak mahu lagi berdoa dan berusaha untuk membaiki diri kerana saya rasakan Allah sangat tidak adil kepada saya dengan mengabaikan banyak permohonan yang bagi saya amat penting. Tahun lepas, saya sampai terbang ke Mekah semata- mata kerana mahu berdoa di hadapan Baitullah. Malangnya, permintaan utama yang menjadi penyebab saya membuat perjalanan thousand miles itu belum terkabul sehingga kini. Saya sangat sedih dan kecewa.

Lirik lagu ini menyedarkan saya. Perjalanan hdup saya memang sangat banyak ranjau dan liku. Kerana-Nya, akan saya ulangi walaupun seribu kali lagi...TIBA- TIBA, SAYA RINDU UNTUK SUJUD LAGI DI HADAPAN KAABAH.

Monday, November 22, 2010

Kalau Guru...

Kalau guru mengajar sambil duduk
          Murid belajar sambil mengantuk

Kalau guru mengajar sambil berlakon
          Murid belajar dengan tekun

Kalau guru mengajar tanpa alat
          Murid belajar dengan ralat

Kalau guru mengajar banyak bercakap
          Ada murid bertambah gagap

Kalau guru menjadi pemudahcara
          Ramai murid pandai berbicara

Kalau guru mengajar tanpa menilai
          Tidak akan tahu murid bodoh atau pandai

Kalau guru berbudi bahasa
          Dikenang murid sepanjang masa

Kalau guru tunggu diarah
          Semua kerja kena kerah

Kalau guru kurang mengajar
          Dapatlah murid kurang ajar

Kalau guru kurang merancang
          Dalam bilik darjah banyak tembelang

Kalau guru SUKA BERDAMPING
          SEMUA MURID DAPAT DIBIMBING

Saturday, November 20, 2010

Saya Merancang...DIAlah Yang Bakal Menentukan

Saya telah pun menyiapkan dua buah kertas kerja. Yang pertama berkenaan cadangan untuk mewujudkan Pondok Bahasa Arab di tepi padang sekolah. Yang kedua ialah rancangan saya untuk mengadakan Kelas Literasi Al-Quran, khusus untuk  8 orang murid Tahun 5 2011 yang telah saya kenal pasti masih belum menguasai asas untuk membaca al-Quran.

Selain itu, semalam saya telah berbincang dengan teman sejawat mengenai seorang murid tahun 5 yang paling corot kedudukannya. Murid ini, Nurul, boleh dikatakan gagal dalam semua subjek UPSR. Pihak sekolah bercadang untuk memasukkannya ke kelas Pendidikan Khas. Tetapi, saya dan rakan ini berpendapat bahawa dia boleh dibimbing untuk sekurang- kurangnya lulus semua mata pelajaran dalam UPSR 2011. Saya meluahkan hasrat untuk membimbingnya secara peribadi. Sebelum ini, sejak dia dalam tahun 1, saya telah "memegangnya" untuk dibimbing dalam bacaan al-Quran. Walaupun sangat payah jalan yang saya lalui, dia BERJAYA MEMBACA AL-QURAN SEWAKTU DI AKHIR TAHUN 3!, walaupun dalam subjek lain dia kekal di tangga terakhir. Oleh itu, saya optimis DIA BOLEH.

Segala perancangan ini bermain- main di fikiran saya. Perkara inilah yang menyebabkan saya rasa berbaloi terus tinggal di sini. Ketika inilah saya sedari betapa kewujudan cita- cita dan impian menjadikan hidup kita lebih bermakna. Betapa saya berharap segala yang dirancangkan akan berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang diingini.

Saya hanya mampu merancang...semoga DIA memberikan yang terbaik buat saya.

Friday, November 19, 2010

Hari Terakhir Persekolahan 2010

19 November 2010. Hari terakhir persekolahan bagi tahun ini. Satu kesedihan saya ialah perpisahan dengan 4 orang murid kelas Pendidikan Khas yang akan naik ke sekolah menengah. Saya mengajar mereka mata pelajaran Pendidikan Islam. Saya sedih...pertamanya ialah kerana memikirkan akan berpisah dengan mereka. Selama ini, saya sering menyiram mereka dengan pancuran nasihat, meminta mereka selalu menjaga solat, dan melakukan ketaatan kepada Allah. Bagi saya, walaupun mereka tidak cemerlang dalam pelajaran, mereka tetap mesti menjadi hamba Allah yang soleh. Itulah kejayaan yang paling cemerlang dalam kehidupan. Keduanya, saya sedih kerana saya ada mendengar cerita bahawa di sekolah yang mereka bakal jejaki, murid- murid Pendidikan Khasnya tidak begitu dididik dan dilatih dengan kemahiran yang sepatutnya mereka kuasai. Saya bimbang mereka akan kehilangan jejak dan terpengaruh dengan anasir yang tidak sihat. Saya bimbang mereka dibuli dan terlupa apa yang mereka telah pelajari selama ini.

Di sini, anak- anak Pendidikan Khas saya dilatih dengan baik. Saya melihat perkembangan positif mereka. Selain asas akademik, mereka turut dibekalkan dengan kemahiran mengurus diri, memasak, berkebun dan membuat hasil kerja tangan yang lain. Semoga Allah memberkati usaha gigih guru- guru Pendidikan Khas di sini.

Bantal kekabu, hasil kerja tangan murid Pendidikan Khas

Pokok bendi yang ditanam oleh murid- murid Pendidikan Khas

Saya berasa satu kehilangan dengan pemergian murid- murid saya ini. Doa saya, semoga Allah melindungi mereka di alam sekolah menengah dan seluruh hidup mereka. Sesungguhnya, mereka ialah anak- anak yang baik dan mendengar kata.

Anak-anak yang saya sayangi. Dari kiri : Razi, Afifi, Zamri dan Amirul

Monday, November 15, 2010

Kerana Saya Seorang Guru...

Hari ini, keputusan permohonan pertukaran guru secara atas talian diumumkan. Saya telah membuat permohonan. Yang kedua untuk tahun ini. Berdebar- debar saya membuka talian, menanti untuk melihat keputusannya. Sejak dahulu lagi, setiap kali membayangkan saya akan meninggalkan sekolah ini, saya menangis. Saya nak bertukar sekolah kerana mahu berdekatan dengan suami dan mahu berubah angin, tetapi, saya sayang nak meninggalkan murid- murid saya.

Apabila laman keputusan dipaparkan.....


Mesyuarat Jawatankuasa Pertukaran Guru Antara Bahagian / Negeri Sesi Januari 2011 telah
mempertimbangkan permohonan tuan dan memutuskan bahawa permohonan tersebut TIDAK
DILULUSKAN.


Saya terpana seketika membaca ayat tersebut (kerana entah mengapa saya memikirkan yang permohonan kali ini akan berjaya). Kemudian, saya seolah- olah sedar diri semula, dan dapat menerima bahawa itulah keputusan yang terbaik Allah takdirkan buat saya (mungkin kamu tidak suka pada sesuatu sedangkan perkara itu baik buatmu, dan mungkin kamu sukakan sesuatu sedangkan hal itu buruk bagimu) . Saya rasa gembira kerana saya berpeluang untuk merealisasikan projek Pondok Bahasa Arab yang telah saya rancang, saya juga berpeluang untuk mengaplikasikan strategi pengajaran yang telah saya tingkatkan berdasarkan analisis kelemahan yang telah saya buat.

Beberapa orang mengucapkan syukur atas kegagalan saya bertukar. Malah, saya menerima ciuman gembira daripada salah seorang mereka.

Kerana saya seorang guru...DI MANA PUN BERADA, SAYA AKAN BERBAKTI. YA ALLAH, BERIKAN SAYA KEKUATAN DAN SEMANGAT UNTUK TERUS BERJUANG DALAM LAPANGAN INI!

Thursday, November 11, 2010

Muar Number 1!!!

Hari ini, keputusan UPSR 2011  diumumkan. Saya rasa sangat bangga dan bersyukur kerana sasaran untuk Muar Number 1 TELAH TERCAPAI! Tahun- tahun lepas, daerah Muar sering kalah kepada daerah Johor Baharu. Tahun ini, Muar berjaya mengatasi Johor Baharu sebanyak 0.006%. Peratus kelulusan UPSR Muar adalah 71.76, manakala peratus kecemerlangan adalah 10.52. Sebanyak 10 buah sekolah bawah PPD Muar telah mencapai kelulusan UPSR 100%. Alhamdulillah!

Lebih membanggakan, daerah Muar telah berjaya menggondol 21 daripada 22 anugerah yang ditawarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Bagi sekolah saya pula, peratus kelulusan UPSR telah meningkat daripada 78% pada tahun lepas kepada 89.65%. Walau bagaimanapun, jumlah murid yang mendapat 5A hanya 2 orang sahaja, 4A 1B 6 orang dan 3A 7 orang. Secara keseluruhannya, peratus  kelulusan mata pelajaran ialah :

BM Kefahaman = 100% (A = 40 orang)
BM Penulisan = 96.55%(A = 33 orang)
B Inggeris = 91.38% (A = 3 orang)
Matematik = 93.10% (A = 18 orang)
Sains = 98 (A = 14 orang)

Wednesday, November 10, 2010

Tarian Al- Zaffan?

Hari yang agak memenatkan. Ada Karnival Ko- Kurikulum Parlimen Pagoh di SMK Felcra Bukit Kepong. Saya ditugaskan untuk menjadi guru pengiring murid- murid yang mewakili sekolah dalam pertandingan tarian zapin. Ada 26 buah sekolah yang bertanding. Sekolah saya mendapat nombor giliran ke-22. Jenuh menunggu.

Sebagai orang luar dari Johor, saya memang tak tahu sangat tentang zapin- zapin ni. Masa kecil- kecil dulu, saya masih ingat ada rancangan TV yang mengajar cara menari zapin. Saya suka tengok. Tetapi, itu sajalah yang saya tahu, selain daripada saya tahu saya sukakan tarian zapin sebab rancak dan muziknya sedap didengar.

Masa mula- mula ditugaskan untuk melatih murid berzapin (jadi pembantu seorang guru lain), saya berasa seronok juga. Saya sentiasa suka bila berpeluang belajar sesuatu yang baru. Jurulatih sebenarnya ialah seorang bapa murid yang berkemahiran dalam bidang ini. Mulanya, saya berasa mahu ikut serta belajar menari. Tetapi, bila lihat langkahnya banyak dan agak rumit, saya membatalkan niat. Lagi pula, saya rasa saya tidak berbakat dalam bidang seni tari.
Peserta zapin bersama jurulatih, Encik Md Isa bin Saion

Pelbagai ragam yang saya saksikan. Kumpulan zapin sekolah saya terdiri daripada murid perempuan semuanya, dan mereka bertudung. Tetapi, saya lihat ada sekolah yang muridnya bercampur lelaki dan perempuan. Ada pula yang tidak bertudung. Saya tak tahulah nak memberikan pendapat dalam hal ini. Mungkin ramai yang bertanggapan tidak apa, kerana mereka masih kanak- kanak. Saya sendiri kurang berkenan dengan wanita yang menari di khalayak ramai. Tetapi, saya melonggarkan pendapat tersebut kerana mereka masih kanak-kanak. Bagaimanapun, dalam hal membuka aurat dan percampuran antara lelaki dan  perempuan, saya rasa saya tidak boleh bertolak ansur. Kalaulah ada cadangan untuk berbuat demikian bagi murid- murid sekolah saya, sebagai guru agama di sekolah, saya akan menentangnya.

Bertambah juga ilmu saya dengan beberapa informasi dalam bidang ini. Rupanya tarian ini berasal daripada bahasa Arab iaitu al- zaffan yang bermaksud gerakan kaki. Tarian ini berkembang menjadi dua iaitu Zapin Arab dan Zapin Melayu. Zapin Melayu ini pula ada pelbagai jenis yang saya lupa namanya. Yang murid saya persembahkan ialah Zapin Johor Asli. Ada pula lima pecahan mengikut daerah- daerah di Johor. Satu perkara yang saya perhatikan, gerakan yang dibuat dalam tarian ini seakan- akan menonjolkan kelembutan kaum wanita, dan kegagahan kaum lelaki. Di samping itu, antara mesej tersiratnya  (pada pendapat saya) ialah kaum lelaki merupakan pelindung kepada kaum wanita. Setiap persembahan tarian zapin pula mesti ada 4 peringkat atau perkembangan iaitu dimulai dengan taksim, ragam, kopak dan wainah.

Satu perkara yang mengagumkan saya ialah apabila ada 2 buah sekolah Cina yang turut sama menghantar wakil bagi pertandingan zapin ini. Seronok dan tersentuh hati melihat anak- anak Tionghua memakai pakaian kebangsaan orang Melayu, siap bersongkok, dan menari zapin. Walaupun ada langkah mereka yang nampak kaku, tetapi semangat mereka cukup saya puji.


Pasukan zapin SJK (C) Kebun Baru

Pasukan zapin SJK (C) Lenga

Hanya satu hal yang saya fikirkan, masyarakat kita sering salah tanggap bahawa semua yang datang dari orang Arab itu merupakan perkara baik. Barangkali, sebab itulah juga tarian zapin ini dipertahankan dan diperturunkan daripada generasi ke generasi. Mereka lupa bahawa Abu Lahab yang dijanjikan neraka itu juga ialah orang Arab.

Tuesday, November 2, 2010

Pasca Peperiksaan

Peperiksaan sudah usai dan saya telah pun menyiapkan kerja- kerja menanda kertas.

Keputusan murid- murid saya agak membanggakan. Bagi tahun 2 dan 3, kelas pertama mencatatkan kelulusan 100%. Lebih seronok, bagi tahun 2 kelas itu, murid- murid hanya memperolehi gred A dan B, tiada yang kurang daripada itu. Cuma, keputusan bagi kelas kedua agak mengecewakan. Jadi, bila dijumlahkan keseluruhannya, hasil kelulusan bagi subjek Bahasa Arab saya ialah :

Tahun 1 = 85%
Tahun 2 = 88.5%
Tahun 3 = 77.5%
Tahun 4 = 66%
Tahun 5 = 77%

Saya telah pun membuat analisis kelemahan mengajar saya, dan saya telah pun merangka beberapa teknik baik pulih yang akan saya laksanakan pada tahun hadapan. Malah, saya telah pun membuat nota bagi kegunaan murid untuk tahun 2011 yang bakal menjelang!

Saya tahu saya bukanlah seorang guru yang baik. Tetapi, saya sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik untuk murid- murid saya.

"Ya Allah, ampunkan segala kekurangan dan ketidaksempurnaanku dalam mendidik anak- anak muridku, serta dalam aku menjalankan tugasku sebagai seorang guru. Sesungguhnya, aku takut akan kemurkaan-Mu."

Monday, November 1, 2010

Kisah Tok Guru dan Cucu Murid

Malam Sabtu lalu, saya menerima panggilan telefon daripada seseorang...BEKAS MURID SAYA YANG TELAH BERPINDAH KE SABAH pada tahun lepas. Saya telah hilang jejaknya sejak beberapa bulan yang lalu. Gembiranya hati tidak terkata kerana masih dikenang. Berkali- kali dia menyatakan yang dia sayangkan dan rindukan saya.

Pada hari Sabtu, saya membawa 4 orang murid ke SK Dumpar untuk menghadiri Kem Literasi Al-Quran. Terjumpa pula dengan BEKAS GURU YANG MENGAJAR SAYA di SRA Diniatul Islamiah, 17 tahun yang lalu, Ustazah Jamaliah binti Abdul Wahab. Seronok rasanya dapat bertemu dengan beliau, insan yang pernah berjasa kepada saya.