Sila Klik Sini!

Monday, March 28, 2011

Menjadi Super Cikgu

Saya rasa penat.

Sebelum tidur semalam, dan sejak beberapa hari lepas, saya asyik fikirkan nak ubah lirik nasyid, nak tambah khasidah, nak tambah lirik Inggeris.
Pagi- pagi bangun tidur, saya teringat nasyid lagi. Gaya belum buat...muzik belum masuk... baju belum beli. Dalam masa yang sama, saya teringat budak- budak hafazan...dah sampai mana agaknya mereka hafal?

Pagi ni, saya kelam- kabut betul. Asyik turun naik tangga...cari budak, cari Quran...print lirik yang baru ubah.
saya letak murid nasyid dan hafazan di dua kelas bersebelahan. Sekejap saya pergi semak hafazan murid lelaki, kejap lagi saya pergi ke tempat murid perempuan, semak hafazannya pula. Lepas tu pergi tengok budak- budak nasyid kat kelas sebelah lak.

Ada seorang murid cakap kat saya, "Cikgu ni nak latih Ayu hafazan, nak latih kita orang nasyid lagi, nak mengajar lagi. Banyaknya kerja cikgu..."

Terima kasih,murid, kerana memahami. Saya jawab, "Tak apalah, cikgu kan super cikgu."

Memang masa ni antara yang paling menekan saya dalam setahun.

Nasib baik juga hari Sabtu lepas ada aktiviti untuk release tension. Saya bawa murid- murid Literasi al- Quran keluar makan- makan di Segamat. Terhibur tengok wajah mereka yang ceria.


Thursday, March 24, 2011

Yang Paling Saya Benci

Akhirnya datang juga saat- saat yang paling saya benci dalam setiap tahun persekolahan.

Latihan nasyid! Tahun ni ialah tahun ketiga berturut- turut saya kena jadi jurulatih nasyid.

Saya tak suka sebab saya tak pandai main alat muzik, tak berbakat dalam nyanyian, suara pun tak sedap, jadi sesuai ke saya latih nasyid?

Tahun ni saya minta untuk latih murid hafazan al- Quran, sesuatu yang saya minat, dengan niat tak mahu latih nasyid lagi. Rupa- rupanya saya kena latih dua- dua.

Tak apalah. Niat saya untuk tumpukan lebih kepada hafazan al-Quran. Saya dah berjanji dengan murid tu, dalam usaha menggalakkan dia, yang saya nak menghafaz bersama- sama dengannya.

Saya berharap tahun ni hafazan sekolah saya akan dapat tempat dalam pertandingan MTQ nanti. Sebelum ni, belum dapat. Tahun lepas, hanya nasyid kami dapat tempat ke-3. Pertandingan lain semua tak dapat.

Saya ingatkan murid tersebut, niatkan menghafaz kerana Allah, bukan semata- mata untuk bertanding.

Moga- moga berjaya....

Wednesday, March 23, 2011

Muridku Yang Comel

Saya berasa seronok dengan telatah seorang murid Tahun 1.

Murid ini tergolong dalam kumpulan murid lemah.

Seperti biasa, apabila saya masuk ke kelas, selepas salam dan doa, saya akan memberi ucapan selamat pagi, selamat petang, selamat malam dan selamat datang dalam Bahasa Arab. Murid- murid akan menjawabnya.
Ucapan selamat malam dalam bahasa Arab panjang. Jawapannya juga panjang dan memang jarang murid ingat. Setiap tahun pun begitu.

Tetapi, apabila saya memberi ucapan “Tushbiha ‘Alal Khair” semalam, si Haziq Akmal yang comel tapi tak tahu duduk diam ni menjawab dengan kuat dan yakin, “Wa Anta Min Ahlih”.

 Eh, eh, terkejutnya saya. Saya memandangnya dan berkata, “Ahsanta, ya Akmal”. Dalam ramai- ramai tu, si Akmal ni yang ingat jawapannya. Dia tersenyum bangga dan menjawab, “Kita ulang-ulang kat rumah”.

Tiba- tiba saya perasan dengan gelagat si Akmal ni. Kalau duduk sorang- sorang atau sambil buat kerja, dia akan membebel- bebel sebut perkataan- perkataan Arab yang dia tahu, terutamanya ayat- ayat mudah yang selalu saya gunakan dalam kelas seperti Iqraud du’a, qiaman, ijlisuu, ahsanta…

Mungkin murid ni minat Bahasa Arab walaupun dia tak pandai sangat. Saya rasa seronok tengok sikapnya tu. Moga- moga dia berjaya dalam pelajarannya.  

Monday, March 21, 2011

Melahirkan Generasi Pencinta Al- Quran

Minggu ini giliran saya bertugas di sekolah. Tema bagi minggu ini ialah "Saya Suka Membaca".

Jadi, dalam ucapan semasa perhimpunan pagi, saya berniat untuk memperkenalkan satu bahan bacaan kepada murid- murid.

Bahan bacaan yang saya pilih ialah Terjemahan al- Quran.

Mula- mula, rasa ragu- ragu juga. Sesuai ke saya cadangkan budak- budak kecil ni baca terjemahan al- Quran? Tapi, tak apalah. Saya perkenalkan je. Sekurang- kurangnya, budak- budak ni tahu kewujudan terjemahan al- Quran ni. Saya percaya ramai antara mereka yang tak tahu bahawa Quran ni ada dalam bahasa Melayu.

Lalu, saya teruskan niat untuk perkenalkan terjemahan al- Quran kepada mereka. Saya bawa terjemahan al- Quran comel yang saya ada dan saya perkenalkannya sebagai BACAAN WAJIB bagi orang Islam. Saya tekankan, jangan ikut tradisi masyarakat yang hanya berbangga dengan banyak kali khatam al-Quran, tetapi sekurang- kurangnya SEKALI dalam hidup, KHATAMKANLAH TERJEMAHAN AL- QURAN.

Sebabnya, a-Quran itu ialah kitab untuk difahami. Bukannya untuk semata- mata dilagukan, dipertandingkan, digantung di dinding dan sebagainya.

Rupa- rupanya, penerangan saya itu menarik minat sebahagian murid. Apabila saya masuk ke tahun 5 selepas itu, ada murid bertanya, "Cikgu, al-Quran yang macam cikgu ada tu ada bahasa Melayu ya? Rasa nak baca la." "Cikgu bawa Quran tu hari- hari ke?"

Lalu, saya berjanji akan bawa ke kelas supaya mereka boleh melihatnya dari dekat.

Saya  rasa seronok dengan respon yang mereka tunjukkan. Kebetulan sebelum ini pun saya dah mulakan program "Mufradat al-Quran" untuk murid- murid Tahap 2 yang saya buat semasa P & P Bahasa Arab, dengan harapan supaya murid lebih memahami al-Quran.

Walaupun tujuan Bahasa Arab diwujudkan di sekolah rendah ialah untuk membolehkan murid-murid bertutur bahasa Arab mudah, saya lebih dan selalu menekankan bahawa tujuan saya mengajar mereka adalah supaya mereka memahami al- Quran.

Saya berharap murid- murid saya menjadi generasi pencinta al- Quran.

Saturday, March 12, 2011

Cari Cinta Belum Ku Ketemunya

Semalam,seorang bekas rakan @ adik serumah menelefon untuk mengadu masalah.

Masalah CINTA! Masalah yang barangkali sama umurnya dengan umur kewujudan manusia di dunia ini.

Cinta memang rumit dan merumitkan. Pembunuhan pertama dalam sejarah manusia juga berlaku kerana cinta. Manusia memang sanggup mati, mematikan, jadi gila, jadi hamba kerana CINTA.

Cinta juga bahagia dan membahagiakan!

Memang kerap "adik- adik" mengadu kepada saya tentang pelbagai masalah. Agaknya muka saya ni ada nampak macam kaunselor kot. Tapi apabila menyentuh bab CINTA ni, saya rasa kalah. Buntu. Tak mampu nak memberi jawapan apalagi penyelesaian. Lagipun, menurut pengalaman, tak ada orang yang akan ikut nasihat yang diberikan dalam bab CINTA ni. Apa yang mereka turutkan ialah perasaan.

Kerana perasaan itulah CINTA!

Lagi pula, tak mampu saya berikan pandangan dalam bab CINTA sebab saya pun masih keliru dan mencari CINTA. Kadang- kadang saya pun tak tahu apa yang sebenarnya saya buru. Saya mencari CINTA hakiki tapi CINTA itu sangat sukar didapati. CINTA sementara juga menjauh, saya andaikan kerana Dia mahu saya tidak hanyut dalam percintaan jenis itu, dan terus berusaha memburu CINTA-NYA.

Betapa saya mahu jadi Rabiah yang CINTAnya hanya pada Allah!

*********
Pagi ini, saya mendengar rancangan yang cukup menarik di IKIM fm. Slot Islam Itu INdah, tajuk perbincangannya Celik Mata Celik Jiwa oleh tetamu jemputan Prof. Dr Maya Mohamed (tak pasti nama), seorang pakar perubatan.

Beliau memberikan tips bahagia. Untuk bahagia, mesti bersih jiwa. Salah satu cara yang beliau sarankan, setiap kali bangun daripada tidur, tanyakan pada diri : APA KEBAIKAN YANG KITA BOLEH SUMBANGKAN KEPADA ORANG LAIN PADA HARI INI? bukannya Apa kebaikan yang kita boleh dapati hari ini?

Baru pertama kali saya dengar tips ini. Sangat berguna.

Beliau juga menyatakan bahawa bahagia itu merupakan sesuatu yang dalaman. Tiada orang yang boleh menentukan kita bahagia atau tidak, sebaliknya hanya kita yang boleh. Malah, kita tak boleh katakan bahawa "Jika saya dapat itu.... baru saya bahagia." Kita mampu membahagiakan diri bila- bila kita mahu bahagia.

Saya biasa mendengar kata- kata itu. Apa yang menarik ialah contoh yang beliau berikan iaitu: Apabila kita pergi berkelah di sebuah pantai yang indah, semua orang memuji dan menghayati keindahan pemandangan di situ, tetapi kita sedang sakit gigi. Adakah kita mampu menghayatinya dengan tenang dan gembira seperti orang lain? Tentu tidak. Begitu juga dengan bahagia, yang lahir daripada keadaan dalaman kita.

Banyak lagi perkongsiaannya yang menarik, yang saya semat dalam hati. Lalu saya akan terus memburu CINTA dan BAHAGIA itu kerana saya tahu ia berada dalam diri saya!

Ya Allah, bantu saya!



Friday, March 11, 2011

Langit Menangis Lagi

Langit menangis lagi.

Barangkali menangisi dosa kita.

Barangkali Tuhan murka pada kita.

Semasa ke Segamat dua hari lepas, saya lihat air sungai di Bukit Kepong dah mencecah tebing.

Air dah bertakung di semak- semak di beberapa tempat di Tekam.
Saya tak jadi mangsa banjir, tapi saya memikirkan nasib kawan- kawan dan murid- murid yang terlibat.

Kasihan Kak Nani yang rumahnya tenggelam sampai ke bumbung. Kasihan Kak Aya yang baru saja siap mengemas rumah lepas banjir.

Moga- moga banjir tak berlaku lagi.

Tuhan, jangan murka.

Wednesday, March 9, 2011

Aku Rindukan Zaman Kebangkitan

Semalam, saya berpeluang banyak untuk menekuni Bumi Manusia. Ada majlis sambutan Maulud di Felda. Saya maklum bahawa pastinya ada kekosongan masa untuk menanti ketibaan perceramah. Lalu, saya bawa bersama Bumi Manusia supaya kekosongan itu tidak berlalu dengan bual kosong juga. Benar telahan saya, ada cukup banyak masa untuk saya membaca sambil menanti. Malah, selepas ceramah bermula juga kerana saya dapati isinya kurang menarik dan tidak menambah pengetahuan saya ke tingkat yang lebih tinggi. Lantas, saya dengar hanya sambil lewa, hanya kadang- kadang apabila ada isi yang agak mahu saya tahu, saya berhenti membaca dan pasang telinga, apabila tiba bahagian yang biasa- biasa saja, saya “pasang mata” ke halaman buku pula.

Lalu, saya dapat habiskan lebih 70 muka,  menjadikan jumlah yang saya baca sudah lebih separuh daripada keseluruhan isinya.

Saya tertarik dengan kata- kata ini :
“Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastra, kalian tinggal hanya hewan yang pandai. Sebagian terbesar dari kalian belum pernah melihat Nederland. Aku dilahirkan dan dibesarkan di sana. Jadi aku tahu, setiap orang Belanda mencintai dan membacai karyasastra Belanda. Orang mencintai dan menghormati karyalukis van Gogh, Rembrandt, para pelukis besar kita dan dunia. Mereka yang tidak mencintai dan menghormati dan tidak belajar mencintai dan menghormati dianggap sebagai Belanda yang kurang adab. Lukisan adalah sastra dalam warna warni. Sastra adalah lukisan dalam bahasa …”
Betapa saya mengangumi sikap mereka. Selalunya, bangsa yang besar sangat membesarkan seni dan sastra mereka. Mengapa bangsa saya tidak begitu?

Dalam Bumi Manusia, saya temui manusia- manusia yang mengangumkan. Saya temui diskusi ilmiah yang menarik perhatian. Saya temui perbincangan tentang soal manusia secara mendalam. Wujud benarkah manusia- manusia yang mahu membincangkan tentang perkara- perkara begitu dalam dunia ini? Dalam bangsa saya, tak saya temui. Belum pernah saya jumpai teman sebaya yang dapat mengungkapkan dan membincangkan pemikiranmendalam begitu, meskipun saya punyai sekampus teman berpendidikan “tinggi”.

Tiba- tiba saya terkenang Monsieur Redha Malek Cherifi, pensyarah bahasa Perancis saya. Terkenang bagaimana dia selalu mengungkapkan “Tu es bizarre. Je n’ai jamais vue une Malaise comme toi.” (Awak pelik. Saya tak pernah jumpa seorang Melayu seperti awak). Sejak kali pertama dia mengungkapkan ayat itu, dia sering memanggil saya dengan panggilan Malaise Bizarre (Melayu Pelik).

Sebabnya, saya merupakan pengagum Malek Bennabi, tokoh sosiologis Islam. Lalu saya sering utarakan persoalan tentang sebab kemunduran umat Islam, kepentingan penyatuan dan lain- lain. Menurut katanya, tidak pernah seorang penuntut Melayu yang dia kenal berfikir sejauh itu. Pelajar Melayu yang dia kenal cuma belajar untuk mendapat segulung ijazah supaya nanti mereka beroleh kerjaya yang baik, dapat memiliki kereta, dapat membeli rumah dan sebagainya. Belum pernah dia berjumpa dengan seorang Melayu yang sungguh- sungguh menanggapi ilmu untuk memajukan bangsanya.     

Saya tahu sebenarnya wujud ramai cendekiawan yang serius dalam soal ilmu. Tetapi bilangan peratusnya kecil berbanding jumlah Melayu seluruhnya. Sebab itu Redha jarang menjumpainya. Saya pun jarang berjumpa orang yang boleh memahami dan boleh menyertai saya. Apabila bertemu dengan Redha, saya rasakan saya telah jumpai sesuatu yang saya cari, seseorang yang boleh saya bawa berbincang dengan serius, menyokong dan memahami saya.

Kenapa anak bangsa saya tidak serius menanggapi ilmu? Kenapa pemikiran kita tidak maju dalam erti kata maju yang sebenar? Kenapa jarang saya jumpa pencinta ilmu dalam kalangan saya sendiri.

Saya pun sedar yang saya belum lagi menjadi insan berilmu. Alangkah indah jika dapat hidup sebagai seorang berilmu dengan dikelilingi pula oleh orang- orang yang serius menuntut, mengkaji, berbincang dan menghayati ilmu itu.

Saturday, March 5, 2011

Beban Tugas Murid

Seperti biasa, selepas Maghrib murid- murid saya datang mengaji di rumah. Salah seorangnya ialah Fariz, si kecil 7 tahun. Dia datang bersama 2 abangnya dan rakan- rakan serumah saya menggelarkan mereka The Three Stoogers.


Mereka ni comel-comel dan baik- baik budaknya. Masalah mereka ni, ayah mereka selalu datang ambil anak- anaknya lewat. Kadang- kadang sampai tertidur anaknya di rumah saya. Pernah sekali sampai saya kena dukung 2 orang anaknya keluar sebab mereka dah tertidur lena dan tak dapat dikejutkan lagi.

Saya tengok Fariz tersengguk- sengguk mengantuk semasa mengaji. Saya tanya kepadanya, tak tidur siang ke? Abangnya memberitahu yang dia siapkan kerja rumah pada waktu petang. Lalu saya katakan "Tak apalah, kerja rumah dah siap, balik nanti boleh terus tidur." Jawabnya, "Ada sikit lagi kerja yang tak siap. Tiga"

Kasihannya saya kepada murid- murid ni. Saya tahu jadual waktu mereka sangat padat. Pagi ke sekolah, petang ke sekolah lagi. Kena pula haddir kelas tasmik, kelas tambahan malam dan sebagainya. Kadang- kadang saya terfikir, bila agaknya masa untuk mereka buat kerja sekolah?

Saya rasa kanak- kanak Malaysia masa kini sudah kehilangan zaman kanak- kanak mereka. Mereka terpaksa hidup di luar fitrah seorang kanak- kanak. Kanak- kanak memang perlu belajar dan diajar. Tetapi, pengajaran bukan semestinya aktiviti di dalam kelas sahaja. Mereka sepatutnya diberi kebebasan untuk bermain dan meneroka dunia ini. Mereka akan dapat banyak belajar melalui pemerhatian, pergaulan dan sebagainya. Tetapi, sistem pendidikan yang menitikberatkan peperiksaan telah memusnahkan keindahan zaman kanak- kanak mereka.

Sebagai orang dewasa, ada kalanya kita membantah apabila diberi tugasan luar kemampuan, kita ada teman- teman, atau saluran lain untuk meluahkan perasaan, kita ada cara untuk melepaskan tekanan. Kita boleh minta cuti rehat, pergi melancong, keluar membeli- belah atau mencari hiburan lain untuk meredakan tekanan.

Tetapi, bagi kanak- kanak, apa yang boleh mereka buat? Malah mereka tak tahu pun yang mereka sedang dibebani dan mereka sedang rasa tertekan. Tapi perasaan tersebut wujud dalam diri mereka, terkurung bertahun lamanya tanpa mereka sedar. Lalu muncullah tingkah laku luar kawal sebagai luahan perasaan atau cara untuk mereka meredakan tekanan.

Kasihan anak- anak kita. Saya bimbang kalau keadaan ini berterusan, masyarakat Malaysia 20 tahun lagi terdiri daripada manusia yang tidak sihat mental dan emosinya. Tapi apa yang saya boleh buat? Sebagai manusia kecil, saya hanya mampu berdoa, dan saya cuba wujudkan keceriaan semasa  proses pengajaran saya supaya murid- murid ini dapat menikmati alam kanak-kanak mereka.

Kasihan Fariz!

Thursday, March 3, 2011

Perpisahan Dengan DiBa

Hati saya rasa sedikit sayu sebab terpaksa berpisah dengan DBA (dibaca Diba) saya semalam.

Sudah lebih 4 tahun ia menemani saya (11 Dis 2006 - 2 Mac 2011)

Milik pertama, tentulah sangat bernilai dan sangat disayangi. Banyak nilai kenangan dengannya.

Tetapi dunia ini fana. Apa yang ada di dalamnya tidak kekal lama. Manusia datang dan pergi dalam hidup kita. Benda- benda lain begitu juga.

Lalu saya merelakan perpisahan ini....

Kali terakhir DiBa saya di garaj kereta sekolah.

Wednesday, March 2, 2011

Allah Sumber Bahagia

Dalam kehidupan saya, seringkali Allah kirimkan seseorang, hampir pada setiap masa, untuk menjadi sumber bahagia dan penyebab untuk saya berasa seronok menjalani hidup.

Seperti yang pernah saya katakan, manusia di sekeliling kita hadir untuk "menolak cerita terus ke depan". Menyebabkan hidup ini terus berlangsung.

Kebelakangan ini, sumber keseronokan saya datang dari seorang kanak- kanak kecil yang sangat comel.


Kedua- dua ibu dan ayahnya bertugas di sekolah saya. Jadi, kalau ada majlis apa- apa dia akan dibawa ke sekolah. Tambahan pula, rumahnya hanya di hadapan sekolah.

Peliknya, apabila nampak saya, dia akan mengekor saya dan tak mahu pergi dengan orang lain, termasuk mama dan abahnya. Dah dua kali saya terpaksa hantar dia balik rumah sebab dia tak nak ikut mama dan abahnya balik. Semua orang pelik dengan sikapnya. Saya pun rasa pelik juga. Apa yang menarik sangat saya ni di matanya?

Tambah pelik lagi apabila masa cuti hari tu, mamanya cerita dia ambil telefon , beri kepada mamanya, berkali- kali dia sebut nama saya, tunjuk kat telefon...dan akhirnya dia kat, "nak cakap". Apa agaknya yang ada dalam fikiran budak kecil ni sampai dia boleh teringatkan saya?

Seronoknya, telatahnya mendatangkan doa kepada saya. Kawan- kawan di sekolah selalu ketawakan saya apabila dia asyik mengekor, tapi dalam masa yang sama mendoakan secara tak langsung dengan kata- kata, "Tak lama lagi jangkit la tu.", "Kalau macam ni, tak lama lagi lekat la tu" dsb.

Saya pun selalu tanya pada budak kecil tu, "Kenapa Farish suka sangat ikut acik? Acik ni nak dapat adik comel macam Farish ya?"

Moga- moga...walaupun sebenarnya dari tahun lepas dia dok ngekor saya tapi belum "lekat- lekat" lagi.

Ya Allah Engkau sumber bahagia...Engkau sumber keselamatan
Ya Allah, Engkau sumber keamanan...Engkau adalah segalanya.