Sila Klik Sini!

Saturday, September 29, 2012

Kursus KSSR Tahun 3 Kegunaan 2013

Hari ini hari kempat saya mengikuti Kursus KSSR Tahun 3 bagi kegunaan 2013.

Kursus seperti ini sentiasa memberikan inspirasi dan semangat baru untuk terus mengajar dengan baik. Terima kasih kepada Ustaz Nazihar  Sisak yang menayangkan video pemberi inspirasi untuk terus menjadi guru yang menawan hati murid

Ustaz Nazihar juga mengingatkan bahawa tujuan pengajaran Bahasa Arab di sekolah rendah ialah untuk menanam minat mempelajari Bahasa Arab di kalangan murid. Oleh itu, gunakanlah apa juga cara supaya murid tertarik dengan pelajaran ini.

Saya terasa betapa sekarang saya sudah tersasar daripada matlamat tersebut. Tidak banyak aktiviti yang saya buat untuk menarik perhatian murid. Mungkin kerana tugasan serta urusan peribadi yang semakin banyak.

Apapun, saya akan berusaha dan tetap akan cuba untuk memberikan yang terbaik bagi murid- murid saya. Saya takut pendapatan yang saya terima nanti kurang berkatnya apabila saya tidak memberikan sedaya saya dalam profesion ini.

Ya Allah, bantu saya!

Wednesday, September 26, 2012

Kisah Murid Saya

Saya menerima satu SMS daripada seorang bekas murid yang telah berpindah ke Sabah. Dia memberitahu yang ayahnya masuk penjara dan ibunya telah meninggalkan mereka dan berpindah ke Kuala Lumpur.

Saya menelefonnya untuk bertanya khabar. Sudah lebih seminggu dia tidak ke sekolah sebab tiada orang untuk menguruskan mereka adik- beradik. Mereka menumpang tinggal dengan neneknya.

Saya berasa sedih dan susah hati. Saya rasa mahu terbang ke sana untuk menolongnya. Apalah daya saya...

Tiba- tiba saya terfikir untuk menghubungi sekolahnya supaya dia dapat dibantu. Saya tanyakan nama sekolahnya. Kemudian saya mencari nombor telefon sekolah itu dari internet.

Syukur juga adanya kemudahan yang membolehkan semua maklumat berada di hujung jari kita.

Saya menghubungi Sekolah Kebangsaan Sahabat 16, Lahad Datu dan bercakap dengan Guru Penolong Kanan HEMnya. Kami berbincang masalah murid itu melalui telefon.

Terima kasih kepada guru itu atas kerjasama yang diberikan. Semoga murid saya yang malang itu dapat dibantu.

Wednesday, September 12, 2012

Menjelang UPSR 2012

10 September 2012 - sekolah mengadakan Majlis Ijazatul Ilmi atau Izin Ilmu. Terharu melihat murid- murid, ibubapa dan guru bersalaman dan saling bermaafan. Semoga anak- anak didikku berjaya dengan cemerlang!