Sila Klik Sini!

Saturday, July 30, 2011

Ramadhan Yang Berbeza

Malam terakhir Syaaban. Saya di Sungai Besi.Daerah yang menyimpan memori terindah zaman kanak- kanak saya.

Ramadhan bakal menjelma. Bulan yang paling saya nantikan pada setiap tahun. Kerana dalamnya ada rahmat, ada mustajab dan berkat yang saya harapkan.

Tetapi,  tahun ini entah mengapa saya kurang bersemangat menyambut kedatangannya. Saya berasa saya sudah letih meminta, merayu, mengharap...tetapi apa yang saya pohon kekal sebagai impian.

Saya hampir- hampir putus asa. Saya cuba untuk pulih tapi belum berjaya memujuk hati sendiri. Setiap kali hendak berdoa, saya fikir, "Ah, apa gunanya? Saya dah banyak meminta tapi tak dapat juga."

Saya tahu saya berdosa. 

Ya Allah, saya masih yakin dan sangat percaya. Saya masih hamba. Saya masih mahukan syurga dan takutkan azab neraka. Janganlah bebankan saya dengan sesuatu yang tak sanggup saya memikulnya.

Tuhan, saya hanyalah manusia biasa!

Tuesday, July 12, 2011

Tak Bermotivasikah Kita?

Hari ini ada Program Menara Ilmu di sekolah saya.

Program ini ialah program motivasi yang diadakan bagi calon UPSR sekolah- sekolah bawah Parlimen Pagoh. Di sekolah saya melibatkan 3 buah sekolah, Seri Jaya, Seri Ledang dan Durian Chondong.

Memang sangat banyak program yang diadakan di sekolah- sekolah sekarang ini. Semua pihak berlumba- lumba buat program. Tambahan pula, bagi sekolah yang terletak bawah Parliman Pagoh, maklumlah, bawah Menteri Pelajaran sendiri.

Semua program menambahkan beban tugas guru. Kalau betul program itu bermanfaat kepada murid, tak kisahlah. Rasa berbaloi juga usaha yang dicurahkan. Tapi, kalau saja- saja untuk menghabiskan peruntukan yang ada, rasanya sia- sia.

Akhir- akhir ini, ada beberapa peristiwa yang menyentuh hati saya sebagai seorang guru. Satunya, masalah murid tahun 6  yang tidak tahu melaungkan azan apabila disuruh. Hampir menitik air mata saya tengok mereka. Bukan seorang, tetapi 10 orang! Walhal, bukannya tak diajar. Dah diajar berkali- kali. Dalam kelas, masa Kem Bestari Solat. Lagipun takkanlah mereka tak biasa dengar azan. Saya rasa saya tak pernah diajar pun azan, tapi dapat melalui kehidupan seharian sahaja.

Lepas tu, ada pulak murid yang asyik ponteng Kem Bestari Solat. Macam pandai sangat tapi dah tahun 4 pun  masih tak tahu baca tahiyat lagi. Sakitnya hati saya. Macam manalah cikgu nak mengajar kalau dia tak mahu diajar pun.

Lepas tu, ada pula budak yang dikaitkan dengan kes mencuri. Peningnya kepala saya dengan perangai budak- budak ni. Memanglah dia datang keluarga yang berpecah belah, dan kononya buat perangai untuk dapatkan perhatian. Tapi rasanya dah berbuih mulut saya bagi nasihat kepadanya dengan cara lembut. Biasanya, lepas dia dihukum sebab buat salah, saya akan pujuk dan nasihat dia semula dengan cara baik. Lama- lama, saya pun dah bosan dan letih dengan kerenahnya.

Saya pun ada masalah juga. Dah beberapa hari saya rasa tertekan dengan masalah sendiri. Ditambah dengan perangai murid- murid ini, saya rasa penat.

Beberapa hari ni, saya memang rasa tak bersemangat.