Sila Klik Sini!

Friday, June 27, 2014

Kisah Pensil dan Beruk

Setelah sekian lama tidak menjenguk laman ini, hari ini saya ingin  bercerita tentang Pensil dan Beruk.

Kenapa Pensil dan Beruk?

Alkisah, sebulan yang lalu, saya telah membelikan anak saya, Amina sebatang pensil berwarna merah yang besar. 


Melihat pensil ini, saya teringat sebuah cerpen bertajuk "Pensil" yang pernah saya baca. Tutup cerita.

Tetapi, semalam, tiba- tiba adik saya bertanya, "Kak pernah tak baca cerpen "Pensil"?

Saya mengiakan. Saya membaca cerpen ini semasa masih di sekolah menengah. Malah, saya pernah membaca cerpen ini dalam versi bahasa Inggeris, sebagai teks soalan kefahaman dalam satu peperiksaan yang saya duduki.

"Mesti pensil yang diceritakan dalam cerpen tu macam ni, kan? Besar dan warna merah."

Lalu, timbullah semula kisah "Pensil" itu. Saya memberitahu adik saya, KERANA "PENSIL" ITULAH, APABILA SAYA MENJADI GURU, SAYA BERUSAHA SEDAYA UPAYA UNTUK MENDENGAR ADUAN MURID DAN MENANGANINYA SEADIL MUNGKIN.

Sebabnya?

"Pensil" mengisahkan tentang seorang murid miskin yang tinggal dengan neneknya. Dia tertarik dengan sebatang pensil berharga 50 sen yang dijual di kedai. Baginya, pensil itu istimewa kerana bersaiz besar dan berwarna merah. Dia meminta neneknya membelikan pensil itu tetapi neneknya tidak berduit. Disebabkan terlalu ingin memiliki pensil itu, dia mengambil upah menoreh getah(?) dan akhirnya berjaya memiliki pensil itu.

Malangnya, pensil itu dicuri oleh seorang kawannya. Dia marah dan menumbuk kawannya itu (kalau tak salah). Pergaduhan mereka mendapat campur tangan guru. Dia mengadu tentang perbuatan kawannya itu kepada gurunya, tetapi, akhirnya guru tersebut tidak membuat keputusan yang adil, dan dia tidak mendapat semula pensilnya. 

Akibat kejadian tersebut, murid itu demam dan meracau- racau menyebut pensil semasa tidur. Ini menunjukkan betapa besarnya kesan kehilangan pensil itu terhadap jiwanya. Selepas beberapa lama, demamnya kebah dan dia kembali ke sekolah.

Tetapi, dia kini bukan lagi dia yang dahulu, seorang murid yang baik dan patuh. Dia telah berubah menjadi seorang murid yang nakal, sentiasa mengusik kawan- kawan dan merosakkan harta benda sekolah. Apabila dimarah dan dihukum, dia tidak menangis, sebaliknya menerima hukuman itu dan tersenyum puas.

Sekali lagi dia mengumpul wang. Tapi, kali ini dia sudah tidak berminat dengan pensil. Sebaliknya dia membeli pisau lipat dengan wang itu...

Saya tidak begitu ingat dengan pengakhiran cerita ini. Kalau tak salah, dia ada menikam kawan yang mencuri pensil itu dengan pisau lipatnya.

Apapun, sebagaimana kehilangan pensil itu meninggalkan kesan yang besar kepada murid tersebut, begitulah pembacaan cerpen ini telah meninggalkan kesan yang besar terhadap saya. Saya menginsafi bahawa tugas guru bukan sahaja mengajar tetapi jauh lebih besar daripada itu. Betapa kesilapan guru akan meninggalkan kesan mendalam, malah boleh 'membunuh' seorang manusia.

Betullah kata- kata hikmah If a doctor makes a mistake, he kills a patient, but if a teacher makes a mistake, he kills A GENERATION. 

Saya kira, setiap guru dan bakal guru WAJIB membaca dan MENGAMBIL IKTIBAR daripada cerpen ini. Saya tak ingat penulisnya siapa, tetapi bagi saya karya ini cukup "berjasa".

Terlanjur berbual tentang "Pensil", saya teringat pula cerpen "Beruk", karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Juga berkisar peranan dan tugas guru. Adik saya tidak pernah membacanya, lalu saya pun membuka cerita.

Ceritanya?

Nampaknya saya kena sambung dalam entri lain sebab entri ni dah panjang sangat la.

Bersambung....