Sila Klik Sini!

Tuesday, March 3, 2015

Mengenang Bennabi


25 Februari 2015 - Menghadiri Bengkel Pembelajaran dan Pengajaran Berkesan Guru- guru Bahasa Arab SR Daerah Seremban.

Pengisian bengkel berkisar sekitar PLC, i-THINK, KBAT dan sebagainya yang hangat dibincangkan dalam dunia pendidikan masa kini.

Tetapi, saya mendapat sesuatu yang sangat menarik dan berharga.

Terima kasih kepada Ustaz Shahrir yang menyebut nama Malik Bennabi (Malik bin Nabi).

Puncanya ialah seorang peserta bengkel yang mengesyorkan supaya diambil teori pembelajaran daripada tokoh Islam berbanding Barat, misalnya, al-Ghazali.

Jawab Ustaz Shahrir, al- Ghazali tidak ada membuat sebarang teori pembelajaran. Malah, hampir tidak didapati seorang pun tokoh Islam yang berbuat demikian, kalaupun ada, hanya Malik Bennabi.

Beliau bertanya kepada peserta bengkel, "Kenal atau tidak Malik Bennabi?" 

Ramai menjawab "tidak".

Tetapi, nama tersebut meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa saya. Teringat bagaimana semasa di bangku universiti dahulu, saya sering menekuni idea- idea beliau. Pandangan beliau tentang punca kemunduran umat Islam dan cara untuk memajukan umat Islam sangat saya kagumi.

Kerana beliau, saya terdorong untuk mempelajari Bahasa Perancis.

Tujuannya adalah untuk mendalami pemikiran beliau, dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Malaysia supaya lebih ramai umat Melayu dekat dengan idea beliau.


Saya juga mahu membawa idea beliau ke dalam bentuk mudah dengan menyerapkannya dalam buku kanak- kanak.

Kesemua cita- cita tersebut tidak kesampaian. Walaupun saya menguasai bahasa Perancis sehingga boleh bertutur (sekarang dah banyak lupa pun), dan penulisan mudah, penguasaan saya hanya di peringkat luaran, sangat jauh daripada tujuan asal saya yang sangat tinggi.

Malah, saya hampir melupakan kesemua cita- cita tersebut....sehinggalah nama Bennabi disebut lagi pada hari itu.

Kebetulan pula memang saya ada teringat semula cita- cita untuk menerbitkan karya bermutu kanak- kanak selepas mendapat tawaran mengikuti kursus Pengkarya Guru tempoh hari.

Apabila nama Malik Bennabi disebut, bangkit semula kenangan tentang seorang gadis yang mempunyai impian yang sangat tinggi, yang mahu membangunkan saudara seagama dan sebangsanya untuk menyambut kebangkitan Islam, melalui bidang pendidikan.

Gadis itu telah "mati". Dia "mati" kerana desakan hidup yang menuntut seseorang untuk tidak menjadi terlalu idealis. Dia "mati" kerana hidup dalam masyarakat yang tidak menggalakkan budaya ilmu. Sebenarnya, dia "mati" kerana dia tidak mampu untuk menjadi seperti ikan di laut yang tidak terkesan oleh kemasinan air.

Tetapi, sisa- sisa semangatnya yang masih ada hidup semula setelah nama Bennabi disebut.

Terima kasih kepada Ustaz Shahrir yang telah mengingatkan semula saya kepada impian dan semangat lampau.

Belum terlambat untuk saya mulakan semula "perjuangan" itu.