Sila Klik Sini!

Thursday, March 9, 2017

SK / SJK (C) / SJK (T)?

Saya bertemu dengan seorang ibu yang mempunyai pandangan yang menarik. Beliau merupakan seorang wanita India. Beliau baru sahaja memindahkan anaknya daripada sekolah Tamil ke sekolah kebangsaan. Menurut beliau, beliau lebih suka anaknya belajar di sekolah kebangsaan supaya anaknya menguasai bahasa Malaysia dengan baik. 

Di rumah, mereka sekeluarga bertutur dalam bahasa Tamil dan bahasa Inggeris. Anak beliau menguasai bahasa Tamil dan bahasa Inggeris dengan baik. Tetapi,  beliau menganggap tidak ada keperluan untuk anaknya belajar subjek- subjek lain dalam bahasa Tamil kerana berpendapat bahasa Tamil hanyalah satu bahasa, dan wajar diajar hanya sebagai satu bahasa. Tidak perlulah untuk menulis dan membaca masalah Matematik dalam bahasa Tamil kerana sekiranya anak tersebut tinggal di Malaysia, dia perlu membuat banyak perkara dalam bahasa Malaysia dalam kehidupan dewasanya, dan dalam bahasa Inggeris sekiranya berada di luar negara. Bahasa Malaysia juga perlu supaya dia dapat berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat di sekelilingnya.

Saya kagum dengan pendapat ibu ini. Beliau sendiri berpendidikan Inggeris. Sekiranya banyak pihak berpandangan seperti ini, saya kira, perpaduan antara kaum  lebih mudah untuk diwujudkan. SK atau SJK (C) atau SJK (T) merupakan pemilihan yang selalu memeningkan kepala dan menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. 

Kadang- kala saya terfikir, mengapakah tidak diwujudkan hanya satu aliran sekolah yang menyediakan subjek semua bahasa? Dengan cara ini, semua kaum akan mempelajari bahasa kaum- kaum lain. Dengan cara inilah perpaduan dapat diwujudkan kerana dengan memahami bahasa, kita telah memasuki pintu gerbang untuk memahami adat dan budaya mereka.

Atau paling tidak pun, hanya ada satu aliran sekolah yang menyediakan pelajaran bahasa- bahasa ini sebagai elektif, sebagaimana yang telah wujud di sesetengah sekolah kebangsaan ketika ini. Sekolah saya sendiri menawarkan subjek Bahasa Arab atau Bahasa Tamil. Umumnya, semua murid Melayu belajar Bahasa Arab dan murid- murid India belajar Bahasa Tamil. Murid bukan Islam daripada bangsa lain pula boleh memilih untuk belajar salah satu daripada bahasa tersebut. Tetapi, ada juga murid India yang memilih untuk belajar Bahasa Arab. Di sekolah lain pula, saya dengar  ada murid Melayu yang memilih untuk belajar Bahasa Tamil. Ada pula sekolah yang menawarkan elektif tiga bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Tamil dan Bahasa Cina.

Betapa indah dan uniknya sistem ini!

Melalui satu sistem pendidikan, penyatuan lebih mudah untuk diwujudkan!

Thursday, July 30, 2015

Selamat Jalan dan Selamat Datang

28 Julai 2015 merupakan tarikh yang tak terlupakan oleh saya.

Tiba- tiba sahaja rombakan kabinet dibuat!

Mengejutkan apabila Timbalan Perdana Menteri @ orang nombor 2 negara tiba- tiba dipecat daripada jawatan beliau.
Jawatan sebagai Menteri Pendidikan turut terpaksa dilepaskan.

Menteri Pendidikan yang baharu ialah Datuk Sri Mahdzir Khalid.

Tiada apa yang saya mampu ucapkan.

Saya malas bercakap tentang politik.
Saya tak faham jiwa orang politik.

Tetapi, saya prihatin dengan isu ini kerana perubahan terjadi kepada pucuk pimpinan bidang pendidikan negara.
Pertukaran menteri akan membawa impak besar kepada bidang pendidikan.
Senario pendidikan di Malaysia, sekali air bah, sekali pasir berubah.

Semoga yang mendatang hanya yang baik- baik.

Semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin, beliau mewujudkan sekolah di dalam hospital.
Idea tersebut diinspirasikan oleh isteri beliau, Puan Sri Norainee.
Itu jasa besar beliau.
Alhamdulillah.

Selamat jalan, Tan Sri, Allah itu As- Syakuur, segala kebaikan yang Tan Sri buat, pasti ada balasannya.

Selamat datang Datuk Sri.
Semoga Datuk Sri dapat menambah baik lagi sistem pendidikan di negara kita ini.
Sekarang kuasa ada di tangan Datuk Sri, buatlah yang terbaik untuk generasi masa hadapan negara kita ini.
Janganlah bidang pendidikan dipolitikkan. Sekurang- kurangnya, biarlah satu bidang ini suci daripada apa sahaja kebobrokan politik, perkauman atau apa sahaja kepentingan peribadi.

Bidang ini sangat penting.
Ini sahajalah senjata untuk kita membina manusia dan harapan untuk kita membina negara masa hadapan yang lebih aman.
Seronokkah hidup dalam sebuah negara yang kadar jenayahnya makin meningkat?
Tak bosankah membaca tentang rompakan di sana sini, penyeludupan dadah, pembuangan bayi, penderaan kanak- kanak setiap hari?

Kalau keadaan ini berterusan, bukan kami rakyat marhaen sahaja yang menderita, dibimbangi nanti anak cucu Tan - Tan Sri serta Datuk- Datuk Sri juga akan kehilangan hak dan kuasa ke atas bumi bertuah ini.
Sanggupkah melihat generasi akan datang hidup merempat di tanah sendiri atau menderita sebagai pendatang di negara- negara jiran?

Tolonglah, bebaskanlah bidang pendidikan ini daripada apa sahaja kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
Biarlah bidang ini benar- benar mendidik supaya generasi kita pada masa akan datang menikmati hidup yang lebih baik.
Rakyat yang sejahtera akan menjamin keberlangsungan sebuah kerajaan yang sejahtera juga.

Ya Allah, makbulkanlah!

Tuesday, July 28, 2015

Jamuan Hari Raya SK Desa Jasmin

Jamuan Hari Raya bagi murid- murid SKDJ telah diadakan pada 23 Julai 2015 bagi murid Tahap 1 dan 24 Julai 2015 bagi murid Tahap 2.

Jamuan ini diadakan pada waktu rehat mereka. Kebetulan pula, pada 23 Julai, saya mengajar mata pelajaran terakhir sebelum rehat di kelas 3I. Pada 24 Julai pula, saya mengajar mata pelajaran terakhir sebelum rehat di kelas 4B.

Memang langkah kananlah tu! Jadi, saya membantu murid- murid kelas tersebut untuk membuat persiapan sebelum jamuan.

Masa yang diperuntukkan untuk jamuan hanya setengah jam sahaja, iaitu, waktu rehat mereka. Tapi, memang mustahil untuk buat jamuan bagi budak- budak dalam masa setengah jam. Ada waktu belajar yang 'termasuk' dalam jamuan ini. 

Bagi saya, tak kisahlah. Sebab murid- murid belajar bukan dengan papan tulis dan buku sahaja. Melalui jamuan ini pun, banyak yang boleh mereka pelajari. Sekurang- kurangnya, mereka dapat belajar bekerjasama mengatur juadah di atas meja, mereka belajar berkongsi makanan dengan kawan- kawan  mereka, belajar tertib di dalam majlis makan dan juga belajar adab menjemput dan menghidangkan makanan kepada orang yang lebih tua daripada mereka.

Lagipun, anak- anak itu patut merasakan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan dan menggembirakan bagi mereka!

Tahun 3 Inovatif :





Saya bertanya kepada murid 4B, "siapa hendak hias papan hitam?"

Mereka berebut- rebut tunjukkan bakat masing- masing

Inilah hasilnya! Murid- murid ini memang sangat kreatif dan berbakat.
Bersama sebahagian murid 4 Bestari

Ini pula jamuan tahun 4 Efektif :








    

Tuesday, March 3, 2015

Mengenang Bennabi


25 Februari 2015 - Menghadiri Bengkel Pembelajaran dan Pengajaran Berkesan Guru- guru Bahasa Arab SR Daerah Seremban.

Pengisian bengkel berkisar sekitar PLC, i-THINK, KBAT dan sebagainya yang hangat dibincangkan dalam dunia pendidikan masa kini.

Tetapi, saya mendapat sesuatu yang sangat menarik dan berharga.

Terima kasih kepada Ustaz Shahrir yang menyebut nama Malik Bennabi (Malik bin Nabi).

Puncanya ialah seorang peserta bengkel yang mengesyorkan supaya diambil teori pembelajaran daripada tokoh Islam berbanding Barat, misalnya, al-Ghazali.

Jawab Ustaz Shahrir, al- Ghazali tidak ada membuat sebarang teori pembelajaran. Malah, hampir tidak didapati seorang pun tokoh Islam yang berbuat demikian, kalaupun ada, hanya Malik Bennabi.

Beliau bertanya kepada peserta bengkel, "Kenal atau tidak Malik Bennabi?" 

Ramai menjawab "tidak".

Tetapi, nama tersebut meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa saya. Teringat bagaimana semasa di bangku universiti dahulu, saya sering menekuni idea- idea beliau. Pandangan beliau tentang punca kemunduran umat Islam dan cara untuk memajukan umat Islam sangat saya kagumi.

Kerana beliau, saya terdorong untuk mempelajari Bahasa Perancis.

Tujuannya adalah untuk mendalami pemikiran beliau, dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Malaysia supaya lebih ramai umat Melayu dekat dengan idea beliau.


Saya juga mahu membawa idea beliau ke dalam bentuk mudah dengan menyerapkannya dalam buku kanak- kanak.

Kesemua cita- cita tersebut tidak kesampaian. Walaupun saya menguasai bahasa Perancis sehingga boleh bertutur (sekarang dah banyak lupa pun), dan penulisan mudah, penguasaan saya hanya di peringkat luaran, sangat jauh daripada tujuan asal saya yang sangat tinggi.

Malah, saya hampir melupakan kesemua cita- cita tersebut....sehinggalah nama Bennabi disebut lagi pada hari itu.

Kebetulan pula memang saya ada teringat semula cita- cita untuk menerbitkan karya bermutu kanak- kanak selepas mendapat tawaran mengikuti kursus Pengkarya Guru tempoh hari.

Apabila nama Malik Bennabi disebut, bangkit semula kenangan tentang seorang gadis yang mempunyai impian yang sangat tinggi, yang mahu membangunkan saudara seagama dan sebangsanya untuk menyambut kebangkitan Islam, melalui bidang pendidikan.

Gadis itu telah "mati". Dia "mati" kerana desakan hidup yang menuntut seseorang untuk tidak menjadi terlalu idealis. Dia "mati" kerana hidup dalam masyarakat yang tidak menggalakkan budaya ilmu. Sebenarnya, dia "mati" kerana dia tidak mampu untuk menjadi seperti ikan di laut yang tidak terkesan oleh kemasinan air.

Tetapi, sisa- sisa semangatnya yang masih ada hidup semula setelah nama Bennabi disebut.

Terima kasih kepada Ustaz Shahrir yang telah mengingatkan semula saya kepada impian dan semangat lampau.

Belum terlambat untuk saya mulakan semula "perjuangan" itu.   

Friday, November 7, 2014

Sambutan Hari Kanak- kanak SK Desa Jasmin

5 November 2014, SK Desa Jasmin mengadakan sambutan Hari Kanak- kanak.

Saya dilantik sebagai Ketua Unit Hari Kanak- kanak pada tahun ini. Sebaik sahaja tahu yang saya memegang jawatan ini, apa yang terlintas di fikiran saya ialah, saya nak menjadikan sambutan Hari Kanak- kanak ini sangat meriah supaya murid- murid saya seronok dan gembira.

Sebab hari ini ialah hari mereka.

Sejak awal September, saya mula merancang dan melangkah untuk persiapan hari ini. Apa yang saya fikirkan, saya perlu datangkan satu maskot untuk menarik perhatian budak- budak kecil di sekolah saya ini. Yalah, budak- budak kan suka maskot. Pengalaman anak saya, Amina yang sangat excited apabila berjumpa dengan maskot singa susu S26 di kedai dahulu mendorong saya untuk mendatangkan satu maskot untuk anak- anak murid saya.

Mulanya saya cuba telefon Les Copaques, tanya bayaran untuk maskot Upin & Ipin. Bayarannya... mak ai! Tak mampulah kami menanggung kos tu!

Saya mula menyibukkan diri melayari internet dalam misi pencarian maskot saya.

Saya mendapat idea untuk menghubungi Bank Rakyat apabila menonton rancangan Seronoknya Kelab Nuri yang diadakan di TV2 pada setiap pagi Ahad.

Apabila saya kemukakan cadangan tersebut kepada GPK saya, beliau mencadangkan supaya saya hubungi juga BSN. Saya pun pergi ke kedua- dua buah bank tersebut.

Pada mulanya, saya tak dapat respon daripada mana- mana bank. Saya pun dah tak berharap untuk dapat maskot bank dan cuba cari alternatif lain. Saya terfikir nak jemput syarikat Ana Muslim tapi rasa tak sesuai pula sebab di sekolah saya ini ada juga murid bukan Islam.

Tiba- tiba, saya mendapat respon daripada kedua- dua buah bank tersebut dalam masa yang hampir serentak.

Setelah beberapa perbincangan, Bank Rakyat tetap menjadi bank yang "Saya mesti pilih."

Penat saya ke sana- sini untuk uruskan sambutan ini. Akhirnya, berbaloi setelah Bank Rakyat sumbangkan bukan sahaja hadiah untuk pertandingan, tetapi juga kertas untuk pertandingan mewarna yang berbeza bagi setiap tahun. Malah, semua peserta mewarna dapat sekotak pensel warna percuma.

Barang- barang tersebut sampai lewat. Saya menunggu dengan penuh debaran sehingga hampir jam 6 petang 4 November. Saya terpaksa ke Bank Rakyat untuk angkut semua barang tu. Nasib baik saya berjiran je dengan Bank Rakyat ni.

Malam itu, saya tidur hampir jam 12 sebab duk mengasingkan kertas mewarna mengikut kelas. Itupun tak selesai sepenuhnya. Tugasan ini disambung dengan jayanya pada keesokan  hari oleh Mr Joe yang komited. Terima kasih kepada Joe yang bertugas sebagai ketua AJK Pertandingan.

Sempena sambutan Hari Kanak- kanak tahun ini juga, saya wujudkan satu anugerah, iaitu, Anugerah Tokoh Sahsiah Cemerlang. Seorang murid lelaki dan seorang murid perempuan dipilih sebagai tokoh sahsiah ini bagi tahun 1-6, Pra Sekolah dan Pendidikan Khas. Pencalonan nama untuk tokoh ini dibuat oleh guru- guru sebelum undian dijalankan.

Foto sekitar perjalanan program :

Penuh MyVi buruk saya dengan barang- barang pertandingan.
Bawah kiri : Latihan tarian Hindi sebelum Hari Kanak- kanak.
Saya sengaja minta 2 orang guru India di sekolah latih murid untuk persembahan ini untuk sedikit kelainan.
Tokoh Sahsiah Cemerlang 



Jamuan kelas turut diadakan.
Saya bukan guru kelas 2 Putra ni, tapi guru pembantu.
Apabila guru kelasnya cuti bersalin baru- baru ni, sayalah yang jadi guru kelas mereka.

Ada banyak kepincangan sepanjang program ini yang masih boleh diperbetulkan. Tetapi, saya berasa sangat berjaya apabila ada murid beritahu,
"Ustazah, best lah Hari Kanak- kanak."

Memang tujuan utama saya adalah untuk buat mereka rasa best.

Tujuan itu dah tercapai.

Terima kasih kepada Bank Rakyat Cawangan Nilai atas kerjasama yang diberikan.

Seronok apabila melihat murid seronok!

Monday, November 3, 2014

Doa Untuk Siti Nur Aisyah

Semalam, saya menerima panggilan telefon daripada seorang bekas murid saya.

Kini, dia sedang belajar di SMAP Labu. Dia akan menduduki peperiksaan SPM pada hari ini. Dia menelefon untuk meminta saya mendoakan kejayaannya. Dia juga memohon maaf sekiranya dia pernah melakukan apa- apa kesalahan sewaktu menjadi murid saya dahulu.

Saya berasa terharu.

Dalam era keruntuhan akhlak dan kebobrokan moral anak- anak muda hari ini, sebenarnya masih tersisa golongan murid dan remaja yang sangat berakhlak dan bepekerti mulia. Mereka masih lagi menjunjung rasa hormat terhadap golongan yang lebih tua dan mengenang jasa ibu bapa dan guru mereka.

Siti Nur Aisyah binti Nordin, bekas murid saya itu merupakan salah satu daripada ratusan atau mungkin ribuan remaja tersebut. Anak- anak inilah yang boleh kita harapkan untuk meneruskan dan membangkitkan lagi kegemilangan agama dan negara di masa hadapan.

Ya Allah, berikanlah murid saya, Siti Nur Aisyah binti Nordin dan murid- murid yang lain juga, kejayaan dalam peperiksaan mereka. Jadikanlah kejayaan ini sebagai landasan untuk mereka terus cemerlang dalam kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.

Ya Allah,  jadikanlah anak- anak murid saya insan- insan yang sangat soleh dan solehah. Hamba- hamba yang sangat mematuhi perintah-Mu dan menjauhi semua larangan-Mu.

Jauhkan mereka daripada bersikap takbur dengan kejayaan yang Engkau anugerahkan kepada mereka. Sebaliknya, jadikanlah mereka orang- orang yang hebat supaya mereka dapat memberikan sumbangan yang besar terhadap kebangkitan Islam.

Ya Allah, perkenankanlah permohonan hamba yang kerdil ini!      

Thursday, October 23, 2014

Sukan Tahunan SKDJ Ke-15

Sukan tahunan ke-15 SKDJ telah berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 21 Oktober yang lalu.

Alhamdulillah, program tersebut telah berjalan dengan lancar dan selamat walaupun terdapat sedikit "gangguan" di awal program oleh seorang individu yang kurang matang. Walau bagaimanapun, "gangguan" tersebut telah berjaya ditangani secara baik dan berhikmah oleh guru- guru SKDJ yang bijak bestari dan berkaliber.

Selain daripada itu, tiada masalah besar mahupun kemalangan yang mengakibatkan kecederaan besar kepada murid yang berlaku.

Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang, syukur kepada Allah kerana cuaca baik sepanjang perjalanan program. Menjelang tengah hari, keadaan tetap tidak terlalu panas kerana mendung mulai berarak. Akhirnya, rintik hujan mulai turun sewaktu kami mengemas dan mengangkut barang- barang ke dalam kereta. Alhamdulillah. 

Seperti 2 tahun lalu, rumah Biru muncul sebagai juara lagi. Rumah saya, Kuning, hanya mendapat tempat ketiga.

Jom "snap" sikit sekitar perjalanan Sukan SKDJ.....