Sila Klik Sini!

Monday, February 25, 2013

Mekarnya KUNTUMAN JASMIN!

Mesyuarat Agung PIBG SK Desa Jasmin kali ke-13 telah diadakan pada hari Sabtu, 23 Februari 2013.

Pada hari itu juga, Kuntuman Jasmin, iaitu buletin sekolah, telah dilancarkan penerbitannya!


Kuntuman Jasmin mekar hasil usaha gigih GPK KO- Kurikulum, En Zulkarnain Mohamed (tentunya dengan kerjasama guru- guru lain). Beliau juga telah menubuhkan Kelab Wartawan Muda bagi mencapai tujuan itu.

Kuntuman Jasmin telah dirancang penerbitannya sejak lama. Saya tiba di sini tepat pada masanya untuk menjadi salah seorang penggerak penerbitannya. Saya sangat bersyukur kerana dapat terlibat sama dalam penerbitan sulung ini. Sudah sekian lama minat mendalam saya dalam bidang ini terpendam.

En Gan Chee Biow, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Nilai yang merasmikan Mesyuarat PIBG kami memuji hasil kerja kami. Beliau, dengan murah hatinya mendermakan RM 1000 bagi menyokong penerbitan Kuntuman Jasmin yang seterusnya. Terima kasih En Gan!

Rasa gembira dapat menyaksikan sendiri majlis pelancaran ini. Pada mulanya, saya ditugaskan sebagai AJK Jamuan bagi mesyuarat ini. Tiba- tiba seorang rakan guru meminta saya menukar tugas dengannya, iaitu, sebagai Perakam. Saya nampak ini satu peluang baik untuk saya bersama dalam mesyuarat PIBG. Memandangkan saya orang baharu di sini, banyak yang perlu saya lihat, dengar dan perhatikan. Tambahan pula, saya hendak saksikan pelancaran Kuntuman Jasmin. Alhamdulillah, Allah rezekikan ke arah itu.

Semoga Kuntuman Jasmin terus mekar, mengindahkan dan mewangikan lagi taman ilmu di Desa Jasmin!



Sunday, February 10, 2013

Sambutan Maulidurrasul SK Desa Jasmin

Pada 30 Januari 2013, SK Desa Jasmin telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul.

Buat pertama kali, saya menyambut Maulid di sekolah yang lain.

Kalau dulu, di Sri Jaya, pasti ada lembu yang ditumbangkan sempena sambutan Maulid, walaupun hanya di peringkat sekolah. Sehari sebelum sambutan, semua guru dan kakitangan sekolah akan bergotong- royong, atau kami sebut "rewang" di sebelah petang. Kerjanya melapah daging dan menyediakan bahan masakan. Malamnya pula, ada acara yang kami panggil "mengesup", iaitu, bahan- bahan rampai lembu seperti tulang, ekor dsb akan dibuat sup dan sesiapa saja yang rajin nak datang malam- malam, dipersilakanlah datang untuk menjamu selera. Selalunya, kami akan makan sup dengan sambal kicap dan dicicah dengan roti. Sedapnyaaaa!

Esoknya, ada majlis sambutan di seolah dan selepas itu, semua warga sekolah akan diberi sebungkus nasi minyak atau nasi putih dengan lauk gulai daging lembu. Selalunya, makanan tersebut akan dibuat lebih untuk diberikan kepada sekolah jiran, iaitu, SMK Tun Seri Lanang.

Lain padang, lain belalangnya. Suasana itu tak  mungkin dapat diulang lagi  di sini. Murid SKDJ ramai, 5 kali ganda daripada SKSJ. Mana mungkin untuk membuat jamuan bagi semua murid. Berapa pula kosnya? Siapa pula yang nak datang rewang? Masing- masing sibuk bekerja. Jadi, sambutan Maulid di sini agak sederhana. tetapi tetap penuh pengisian.

Kami menjemput Imam Muda Hassan Adli bin Yahaya untuk memberikan ceramah. Ceramah beliau mengagumkan.Beliau berjaya memukau murid dan guru dengan kisah- kisah Rasulullah yang beliau bawakan. Saya sendiri terharu dan hampir menitiskan air mata mendengar cerita beliau tentang bagaimana Rasulullah sanggup menahan lapar kerana tidak mahu menyusahkan para sahabat Baginda. Terima kasih kepada Imam Muda Hassan yang sudi memenuhi jemputan kami. Semoga Allah memberkatimu!

Kemudian, kami mendengar deklamasi sajak oleh adik Benjamin Irfan, murid tahun 6. Seterusnya sesi bercerita oleh adik Intan Balqis, tahun 5. Kedua- dua mereka membuat persembahan yang sungguh menarik!

Acara terakhir ialah pertandingan perarakan sambil berselawat di kawasan perumahan berhampiran sekolah.

Kami cinta Rasul!