Sila Klik Sini!

Monday, January 31, 2011

Skrip Yang ALLAH Tulis

Di Johor, hujan masih mencurah.Air dah naik di beberapa tempat. Khabarnya, lebih teruk daripada yang berlaku tahun 2006.Entah apa agaknya yang ditangiskan oleh langit...

Saya terpaksa membatalkan rancangan ke JPN, Johor Bahru.

Lalu, saya di sini, Mydin Melaka dalam perjalanan pulang ke KL. Nak cari flask untuk dihadiahkan kepada Kak Dewi (dia dok berkenan flask makanan yang saya guna untuk bawa bekal ke sekolah).

Kak Dewi Karthina ialah seorang guru Bahasa Inggeris kontrak di sekolah saya, bermula awal Januari 2011. Beliau berbangsa India. Muslim.Usianya dah 61, tapi dia masih mengajar secara kontrak kerana cintanya kepada dunia pendidikan. Saya menyenanginya. Dalam banyak perbincangan kami, saya selalu bertemu point of view dengannya, walaupun usia kami jauh berbeza. 

Dia pernah bercakap tentang saya kepada seorang guru lain. Katanya :

"Dalam banyak-banyak rakan discusion saya, she's the most intelligent."

Waaaahh, bangganya saya. Terperasan sekejap.

Tapi Kak Dewi tak akan bersama kami lagi selepas cuti Tahun Baru Cina ni. Dia ditukarkan ke sekolah lain. Rupanya, dia silap dipostingkan ke tempat kami.

Begitulah Allah mengaturkan pertemuan. Walaupun singkat, tetapi amat bermakna.

Entah kenapa, akhir-akhir ni, saya banyak melihat hikmah...terutamanya terhadap orang-orang yang hadir dalam hidup saya...yang saya kenali. Bagi saya, kehadiran mereka, perkenalan dengan mereka...mendorong saya untuk terus ke hadapan. Ada kalanya, mengubah sedikit haluan yang sedang saya tuju. MEREKA MENAMBAHKAN RENCAH DALAM KEHIDUPAN SAYA. MENJADIKANNYA LEBIH MANIS, PAHIT, MASAM DAN PEDAS....segalanya saya percaya telah diaturkan dengan teliti oleh Yang Maha Kuasa.

Saya pernah belajar menulis skrip drama, malah pernah menghasilkan skrip. Tiba-tiba, dalam dua tiga hari ini saya dapat mengaitkan perjalanan hidup ni dengan sebuah skrip. Dalam skrip, watak-watak dicipta untuk menghidupkan dan menjalankan cerita. Dialog juga mesti dibuat untuk terus mengembangkan plot, bukan direka saja-saja. Dalam skrip, ada simbolik, ada mesej tersirat. Sebuah skrip yang baik mesti ada simbolik, tidak semuanya dizahirkan dengan nyata atau dengan kata-kata. Skrip mesti ada konflik, mesti ada klimaks seterusnya penyelesaian. Konflik itulah yang menjalankan cerita, yang mencipta keseronokan kepada cerita itu untuk ditonton.

Demikianlah saya melihat kehidupan ini sebagai sebuah skrip yang panjang dan agung. Penulisnya ialah Allah Yang Maha Mencipta. Pengarahnya juga Allah Yang Maha Kuasa. Setiap watak yang tercipta itu tidak sia-sia. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.Segalanya akan mengembangkan plot cerita...seterusnya menolak cerita bersama watak-wataknya terus ke hadapan....

MAHA SUCI ENGKAU, YA ALLAH.

Sekaligus, saya rasa saya lebih memahami makna ayat 28 dalam surah Fathiir :

Sesungguhnya, orang- orang yang takut kepada Allah itu ialah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang berilmu

Benar rupanya ilmu itu akan membuka mata kita melihat kebesaran-Nya. Dengan sedikit ilmu penulisan skrip yang saya ada, saya dapat memahami perjalanan hidup ini dengan cara tersendiri. Ilmu apapun, sangat berguna...asal saja kita mahu merenung dan berfikir...asal mata hati tidak buta.

Saya tambah berminat dan bersemangat untuk menuntut sebanyak-banyak ilmu!  

Friday, January 28, 2011

Hadiah Hari Jumaat-MERCI BEAUCOUP!

Hari ni saya gembira!

Pagi-pagi ni, ada seorang murid memberikan sebuah bungkusan kepada saya. Katanya, "Mama bagi pada cikgu" Isinya ialah sebuah kitab hadis. Seronoknya saya tak terhingga mendapat hadiah yang tak dijangka tu. Memang saya selalu rasa seronok kalau dihadiahkan buku.Terutamanya buku ilmiah dan yang saya dapat manfaatkan.

Sekarang saya memang telah seronok menekuni kitab tafsir. Saya rasakan saat-saat membaca kitab tersebut ialah waktu yang sangat menggembirakan. Sedang menghayati kitab tersebut, dapat pula hadiah kitab hadis!


Buat pemberi, toce...toce, merci beaucoup, syukran jazilan...baarakallahu fiikuma!

Thursday, January 27, 2011

Cepatnya Teguran-MU Datang

Minggu lepas, saya terasa (terluka?) dengan sikap seorang murid tahun 5.

Murid ini datang daripada keluarga yang berantakan. Bapanya seorang warga asing, yang kini telah berpisah dengan ibunya.Dia dan dua lagi adik-beradiknya ditinggalkan bersama nenek di sini.Taraf ekonomi keluarga neneknya pula tidak begitu baik.

Mungkin kerana latar belakangnya itu, saya lebih sedikit mengambil berat terhadapnya. Bukan sekadar dalam pelajaran, malah kehidupan peribadi juga. Tambahan pula, prestasi pelajarannya sangat lemah kerana dia hanya masuk sekolah di akhir tahun darjah 1.

Saya masukkan murid ini ke kelas literasi al-Quran kerana dia masih belum menguasai. Malangnya, di luar dugaan saya, dia sering mengelak untuk belajar. Setiap hari dia datang awal ke sekolah tetapi dia sengaja tidak naik ke kelasnya supaya dia tidak perlu mengaji.

SAYA BERASA SANGAT MARAH ATAS PERBUATANNYA ITU.

Tetapi, saya cuba memujuk hati. Sabarlah, saya kan orang dewasa yang dah banyak menelan kepahitan, dia cuma kanak-kanak yang belum kenal erti kehidupan. Jangan simpan rasa benci dalam hati. Tapi, saya tetap juga berniat untuk memanggilnya nanti, dan meluahkan rasa hati saya. Saya dah merangka kata-kata yang kira-kira begini:

"Cuba kamu fikir, selama ni, ada tak cikgu Bahasa Inggeris, Cikgu Matematik atau cikgu-cikgu lain yang tahu kamu lemah dalam pelajaran tu, dan nak bimbing kamu secara persendirian? Tak ada kan? Tapi hari ni, ada seorang cikgu depan kamu yang sangat ambil berat tentang kamu, dari segala segi, dan sanggup luangkan masa pagi-pagi untuk ajar kamu. Kenapa kamu tak nak bersyukur?...."

Tetapi, semalam semasa saya menekuni  Kita Fi Zilalil Quran, saya membaca tafsiran ayat 263 surah al-Baqarah yang maksudnya .....SESUNGGUHNYA ALLAH ITU MAHA KAYA DAN MAHA SABAR. Huraian maksud potongan ayat tersebut ialah :


…Maha Sabar, iaitu Allah mengurniakan rezeki kepada para hamba-Nya, tetapi mereka tidak bersyukur. Namun demikian Allah tidak bertindak segera menghukumkan mereka dan mengambil daya utama menyeksakan mereka. Allahlah yang mengurniakan segala-galanya kepada mereka dan Dialah yang mengurniakan kewujudan kepada diri mereka sebelum mengurniakan sesuatu yang lain kepada mereka. Oleh sebab itu manusia hendaklah belajar dari kesabaran Allah s.w.t terhadap mereka. Oleh itu mereka seharusnya jangan gopoh melakukan sesuatu perbuatan yang menyakiti hati dan menunjukkan kemarahan kepada orang yang mereka telah berikan sebahagian dari rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada mereka apabila orang-orang itu menunjukkan kelakuan yang tidak menyenangkan mereka atau tidak berterima kasih kepada mereka.

Menitis air mata saya membaca tafsiran tersebut. TERASA BETAPA HALUS ALLAH MENEGUR SAYA. BETAPA CEPAT TEGURAN ITU DATANG SUPAYA SAYA TIDAK TERUS TERSALAH LANGKAH. 

Ya Allah, ampunkan saya kerana memandang besar kepada diri sendiri, memandang hebat kepada jasa yang tidak seberapa. Sedangkan betapa banyak nikmat yang saya terima, tetapi banyak pula yang saya kufuri. 

Syukran, Ya Tuhan, atas teguran yang halus tetapi sangat mendalam. Tak tergambar besarnya nikmat yang Engkau berikan. 

Tambahan huraian ayat yang saya baca :

Peradaban seseorang Muslim juga sentiasa melihat (dan mencari contoh) pada sifat-sifat Allah. Dia berusaha mendaki anak-anak tangganya hingga dia berjaya mencapai sebahagian darinya yang telah ditentukan kepadanya mengikut kemampuan tabiatnya.   

Semoga saya termasuk ke dalam golongan manusia tersebut!

Wednesday, January 26, 2011

Tabahlah Hati! Teguhlah Iman!

Semalam saya menerima SMS daripada seorang teman lama. Memberitakan khabar gembira, kelahiran anak keduanya, seorang puteri.

Beritanya gembira, tetapi berita itu menyebabkan saya menangis.Sejak dua minggu lepas, dah beberapa kali saya menerima khabar kelahiran "anak-anak buah" saya. Akhirnya, pedih yang ditahan sekian lama di dada pecah juga dengan tangisan. Bukan benci...bukan iri, tetapi terbandingkan pula kehidupan kawan-kawan dengan nasib diri sendiri.

Saya menginsafi hati saya yang masih belum begitu suci, iman saya yang masih belum begitu mantap. Sebenarnya, dah beberapa kali saya berniat nak melawat teman saya ni. Terutamanya apabila dia memberitakan yang emaknya selalu menyebut tentang saya. Apabila melibatkan orang tua-tua ni, hati saya cepat tersentuh. Rindu pada mak cik tu. Tempatnya pun tak jauh, Melaka, negeri yang selalu saya lalui. Tetapi, keinginan tu terpaksa saya batalkan. Bimbang hati saya sedih dan tertekan melihat keluarga bahagia yang sudah dimilikinya, sedangkan saya belum punya apa-apa. 

Saya memujuk hati, tabahlah...redhalah...kerana setiap yang berlaku itu semuanya bawah kekuasaan Allah. Siapalah saya untuk mempersoalkan takdir-Nya. Perancangan-Nya Maha Hebat. Bukankah saya meyakini sifat Aliim dan Rahiim-Nya? 

Sunday, January 23, 2011

Belajar Dalam Mengajar

Jika murid tidak dapat belajar dengan cara kita mengajar,
 kita mesti MENGAJAR MEREKA dengan CARA MEREKA BELAJAR

Heeem, rutin saya dah bermula.Pada minggu ketiga ni, kelas literasi al-Quran dan kelas tasmik di sekolah dimulakan.Dalam masa yang sama, kelas mengaji saya yang dibuat selepas Maghrib juga dimulakan. Jadi, saya pun MULA SIBUK macam biasa. 

Pagi, ke sekolah seawal jam 6.45, kelas literasi 6.50 - 7.20 pagi.

Kelas tasmik akan habis pukul 3.00 petang.

Balik rumah, khidmat diri dan berehat.

Usai solat Maghrib, budak- budak mengaji pun datang.

Saya menyenangi rutin ini. Segalanya MENAMBAHKAN WARNA DAN RASA...dalam kehidupan saya...sebagai seorang manusia.

Saya sukakan kelas literasi al-Quran yang saya buat pagi-pagi buta tu. Saya rasa, murid-murid lemah yang saya ajar tu lebih mudah menerima pelajaran pada waktu tu. Maklumlah, suasana masih segar,otak mereka pun belum penat. Saya rasa saya dah buat pilihan waktu yang tepat.

Satu lagi yang saya sangat senangi ialah mengajar tillawah al-Quran Tahun 5B. Sebabnya, murid saya 3 atau 4 orang sahaja. Saya diberi kumpulan kecil sebab jadual saya hanya mengizinkan saya masuk 3 daripada 4 waktu yang diperuntukkan. Kumpulan selebihnya diajar oleh ustaz dann ustazah lain.

Saya mengajar 3 orang murid yang paling lemah.Saya perhatikan, murid-murid ini lebih mudah menerima apabila diberi lebih perhatian. Seorang murid saya sangat susah ingat huruf Qa. Dia mesti akan baca huruf tu Fa. Masalahnya, dia tak akan dapat membetulkan sendiri kesalahan tu apabila diberitahu dia salah. Balik- balik kita juga yang mesti memberitahu huruf yang betul kepadanya. 

Pening kepala saya dengannya. Saya katakan kepadanya:

"Cikgu tau Akma sayang sangat dengan cikgu. Sebab tu Akma asyik nak sebut Fa saja, nama cikgu kan. Ok, hari ni Akma betulkan, beri sikit sayang tu pada Qais (kebetulan ada seorang murid kelasnya bernama Qais). Kalau titik satu,  nama cikgu, kalau hurufnya titik dua,dia jadi Qais."

Dia ketawa. Tetapi, dalam masa sehari dia dapat ingat huruf yang dia asyik lupa tu. 

Dalam mengajar, saya sebenarnya banyak belajar.Terutamanya daripada anak-anak yang agak lemah ini. Saya belajar erti kesabaran, saya belajar memahami dan saya juga belajar kreativiti.

Semoga Allah terus bukakan mata hati saya untuk belajar! Syukran Ya Allah.

Wednesday, January 19, 2011

Kisah AZIM lagi...

Saya masih berfikir- fikir tentang perkataan AZIM yang menjadi kontroversi. Saya teringat yang di dalam al-Quran, kalimah Azhim bukan sahaja digunakan untuk merrujuk kepada sifat Allah s.w.t. tetapi juga digunakan untuk menyifatkan benda- benda lain.

Lalu saya buka Kitab Mu'jam al-Quran yang ada dalam simpanan. Di sini saya petik beberapa contoh penggunaan kalimah Azhiim dalam al-Quran :

1) Azab yang hebat :

"Allah telah menutup atas hati mereka dan atas pendengaran mereka dan atas penglihatan mereka terdapat tutupan (sehingga mereka tidak melihat kebenaran) dan bagi mereka seksaan yang sangat hebat ('azaabun 'aziim)
Al- Baqarah : 7 
2) Pahala/ ganjaran yang besar :

"....bagi orang-orang yang berbuat baik di antara mereka dan yang bertakwa, pahala yang besar (ajrunn 'aziim)
Ali Imran : 172

3) Hari Kiamat

"Katakanlah, sesungguhnya aku takut apabila aku menderhakai Tuhanku, (aku akan mendapat) seksaan pada hari yang dahsyat (yaumun 'aziim)
Al- An'aam : 15

Ada beberapa lagi perkataan tersebut digunakan untuk menyifatkan benda-benda lain. Malah, perkataan al-'Azhiim juga turut digunakan untuk menggambarkan perkara lain seperti kehinaan (al-khizyu - rujuk Al-Taubah : 63), keutamaan (al-fadhlu - Al-Baqarah : 105, Al-Jum'ah : 4).

Saya teringat juga negeri Melaka yang diberi gelaran Darul Azim. Dalam erti kata lain Dar al-Azim...tak ada pula mufti yang menegur!

Tuesday, January 18, 2011

Kisah Azim

Lewat Asar semalam, seorang ibu mengunjungi rumah saya.

Saya tertanya- tanya...gerangan apa?Sebab hal itu bukan biasa. Melainkan ada perkara penting yang hendak dibicara.

Setelah dipelawa duduk dan sedikit basa-basi, si ibu mengutarakan persoalan. Masalahnya ialah berkenaan nama anaknya, AZIM. Menurutnya, seorang guru di sekolah telah menegur nama anaknya. Kata guru itu, namanya berkait dengan nama Allah. Oleh sebab itu, tidak boleh diletakkan namanya Azim, perlu diberi tambahan seperti Abdul. Sebab itu juga, namanya MESTI  ditukar. Kalau tidak mungkin akan menjejaskan kehidupannya pada masa akan datang. Mungkin akan memberi masalah mungkin kepada keturunannya ...menurut kata guru itu, seperti yang diceritakan kepada saya.   

Si ibu pening berfikir. Bagi orang kampung yang berpendidikan rendah sepertinya, perkara itu mengelirukan. Katanya, puas dia berfikir dan berbincang dengan suaminya. Sebabnya, untuk menukar nama anak, bukanlah suatu perkara yang mudah. Untuk berulang- alik ke pejabat pendaftaran yang letaknya 60 km dari tempat kami, tentunya sukar, apatah lagi bagi orang yang hanya bermotosikal sepertinya.Tambahan pula, nama yang digunakan sejak kecil, bukan senang untuk diubah. Dengan nama itu dia didaftarkan di sekolah, dan nama itulah yang tercatat pada sijil- sijilnya selama ini. 

Sudahnya, suaminya menyuruh dia bertanya kepada orang lain yang lebih tahu.. Dan dia ke rumah saya kerana saya ustazah.

Saya memberi jawapan mudah. TAK PERLU DITUKAR. Saya tahu yang si ibu ini tak akan faham kalau saya terangkan tentang wazan- wazan dalam bahasa Arab. Tentang nama Aazim atas wazan faa'il dan nama Aziim atas wazan fa'iil yang termasuk dalam shighah mubalaghah (membawa makna bersangatan). Ada pula al- Aziim  yang lain pula maksudnya. Cuma saya katakan, al-Aziim itu sifat Allah. Jadi kalau mahu letakkan, mesti ditambah Abdu yang bermaksud hamba. Jadinya Abdul Azim yang maknanya Hamba Yang Maha Agung.

Si ibu rasa lega kerananya katanya dia cukup risau apabila guru tersebut berkata begitu, yang nama anaknya itu menyerupai nama Allah. Saya tambah lagi, kalau tak mahu nama itu menyerupai nama Allah, boleh ubah pula pada ejaan Jawinya. Kalau tadi, Azim yang bermaksud agung atau hebat dieja dengan huruf zho, ubah ejaannya kepada huruf zai. Maknanya akan menjadi "orang yang berazam, atau bercita-cita." Maknanya tetap baik juga.

Emmm, kadang-kadang saya rasa pelik dengan manusia ni, yang sebenarnya tak la sepandai mana, tetapi suka nak menunjuk pandai. Lebih teruk lagi jika dia nak menunjuk kepandaian tu dengan cara membuktikan yang orang lain tak pandai atau salah. Walaupun saya sendiri terdidik dalam bidang agama dan tau la sikit-sikit bahasa Arab, saya tak biasa menegur orang secara menyusahkan begitu. Saya selalu katakan, "Kalau tak salah saya...." atau, "Rasanya begini, elok akak rujuk semula pada orang  yang lebih alim...".

Ramai orang yang ada ilmu, malah alim, tetapi lupa pada sebuah hadis Nabi yang berbunyi "Yassiruu wa la tu'assiruu, basysyiruu wa la tunaffiruu" Permudahkanlah, jangan disusahkan, berilah khabar gembira dan jangan membuatkan orang menjauhkan diri.

Jangan bebankan manusia dengan persoalan-persoalan yang tak seberapa.Tenangkan hati manusia di sekeliling kita supaya mereka senang mendampingi kita supaya dakwah lebih mudah disampaikan. Biar mereka berasa yang mereka dihargai, mereka berpotensi dan mereka punyai harga diri yang tinggi. Sebab fitrahnya manusia itu suka apabila mereka dihargai. Jika ada salahnya, boleh ditegur secara halus tanpa mereka sedari. Ibarat menarik rambut di dalam tepung.

Tetapi, seandainya apabila mereka di samping kita, mereka terasa ditonjolkan segala kelemahan dan kebodohan, semua buah fikiran mereka tak diterima dan sebagainya, sudah tentulah kita akan dijauhi. Hal inilah yang ada kalanya tidak disedari oleh sebahagian orang Islam yang sepatutnya menyampaikan dakwah Islam. Malangnya, hal ini sangat dihayati oleh penyebar agama lain.

Fikir- fikir...renung- renung.....


Thursday, January 13, 2011

Murid Oh Murid

Seminggu berlalu.

Tahun ini saya tak mengajar Pendidikan Islam untuk Tahun 1. Hanya ajar Bahasa Arab. Terasa satu kejanggalan pula sebab inilah tahun pertama saya tidak mengajar Tahun 1 dalam masa 5 tahun.

Murid Tahun 1 masih menjalani program transisi. Saya dah beberapa kali masuk ke kelas mereka. Pada mulanya, saya cuba untuk menunjukkan wajah yang serius dan cuba bersikap sedikit garang supaya melalui  first impression itu, mereka tak mengada- ngada dengan saya. Tetapi, apabila melihat wajah anak- anak yang comel dan innocent itu, saya terus lembut hati, terus rasa nak cubit pipi mereka dan usap kepala mereka. Al- hasilnya, budak- budak ni anggap saya cikgu yang baik, tak marah ...dan diaorang pun mula la mengada- ngada. 

Aduh....masalah betul! Tapi, yang saya pelik, kenapa tahun ni saya rasa paling lemah dan cair dengan budak- budak darjah 1 ni. Rasanya tahun-tahun lepas garang juga sikit. Agak diaorang ni comel sangat ke? Atau hati saya yang dah jadi makin lembut sebab saya perasan, saya dok geram sangat dengan  sorang anak rakan sejawat yang umur dua tahun, padahal tahun lepas pun dah selalu main dengan dia, tapi tak la rasa segeram tu.

Murid tahun 1 belum mula belajar lagi. Cuma apabila masuk kelas, saya ajar diaorang pegang pensil dengan betul, dan cara menulis huruf Arab dengan betul, iaitu dari kanan ke kiri. Saya beri kertas suruh mereka sambungkan titik- titik untuk bentuk huruf. Menurut pemerhatian saya, murid- murid tahun ni tak banyak sangat masalah untuk ikut peraturan dari kanan ke kiri tu. Cuma ada seorang sahaja yang suka sangat mengiri. 

Saya juga suruh mereka mewarna. Melalui aktiviti ni, saya mengesan bakat kreatif yang ada dalam diri beberapa orang murid.Ada seorang murid sangat mengagumkan saya kerana saya nampak hasil kerjanya yang kreatif dan asli. Saya kira murid ini memiliki kepintaran ruang (spatial intelligence). Saya katakan kepadanya sebagai satu doa, "Fariz ni besar nanti boleh jadi arkitek." 

Apa yang saya perhatikan, ibu bapa, malah guru orang Melayu ni kurang memerhatikan dan menilai bakat serta kepintaran yang ada dalam diri anak mereka. Sikap ini sebenarnya menghambat kemajuan bangsa kerana potensi sebenar anak-anak tidak dikembangkan secara sepatutnya. Sebenarnya, ramai kanak-kanak yang tidak berapa cemerlang dalam pelajaran itu memiliki bakat yang istimewa dalam bidang- bidang tertentu. Tetapi, dalam masyarakat kita yang konvensional, anak- anak ini sering dipinggirkan dan dibunuh potensi diri mereka dengan label MURID LEMAH, MURID PEMULIHAN dan sebagainya.

Sikap ini perlu diubah. Terutamanya oleh guru- guru yang belajar pedagogi dan pelbagai teori tentang perkembangan kanak-kanak. Malangnya, saya perhatikan, ramai guru yang masih berada di takuk lama, mengekalkan corak pemikiran orang-orang yang belum mendapat pendidikan, seolah- olah pendidikan yang mereka terima di institut perguruan ini tidak meninggalkan kesan pun dalam diri mereka. Apa yang dipelajari hanyalah untuk mendapatkan sekeping sijil semata- mata.

"AKU RINDUKAN ZAMAN KEBANGKITAN...PABILA NURANI BERSULAMAN FIKIRAN."

   Inilah "Prince Snow" yang saya dok geram. Rasa nak cubit- cubit pipi dia...

Tuesday, January 4, 2011

Alkisah Murid-muridku

Tahun ini, ada seorang murid lelaki baru di kelas 3B. Berpindah dari Kuala Lumpur. Saya bertanya sebab dia berpindah ke sini. Katanya sebab dijaga nenek. Sebelum ini dia dijaga oleh seorang mak cik. Saya bertanya lagi di mana ibu bapanya.

"Mak dengan ayah dah bercerai. Ayah tak tau kat mana. Mak ada kat KL".

Kasihan saya mendengarnya. Sejak saya di sini, dah banyak kes begini yang saya tahu. Ibu bapa bercerai, anaknya dibuang kepada nenek di kampung. Agaknya tempat ni tempat buangan anak-anak yang jadi beban kerana perceraian.

Pelik rasanya apabila ada lelaki yang sanggup menghilangkan diri entah ke mana...meninggalkan anak darah dagingnya sendiri.

Tak timbulkah rasa kasih terhadap seorang anak yang pasti akan membawa nama si bapa itu di hujung namanya....sehingga akhir hayat?

Satu lagi kisah, seorang murid perempuan tahun 5 berpindah sekolah. Murid ini masuk ke sekolah ini semasa dia dalam Tahun 3. Sebabnya sama, ibu bapa berpisah dan dia dihantar ke bawah jagaan nenek di sini.

Dia berpindah mengikut ibunya sebab ibunya dah berkahwin lain.

Tiba-tiba saya membayangkan bagaimanalah agaknya perasaan murid ini dan kakaknya yang berusia 13 tahun menerima ayah baharu dalam kehidupan mereka.

Baikkah ayah tiri mereka tu? Macam mana agaknya mereka akan lalui kehidupan alam remaja mereka?

Saya risau sebab macam- macam kes terjadi sekarang ni. Harap- harap baiklah kehidupan mereka.

Ramai juga murid-murid saya ni datang dari keluarga yang bermasalah. Kasihan anak-anak yang kurang kasih sayang daripada ibu bapa ni.

Selalunya anak-anak macam ni bermasalah di sekolah. 

Apapun masalah yang mereka timbulkan, sebagai guru, saya menerima mereka sebagai satu tanggungjawab. Saya cuba buat yang terbaik untuk mereka. Moga-moga mereka terus di jalan yang lurus. Moga- moga warna putih mereka tidak dinodai.

Allahlah yang menentukan di mana kita berada dan dengan siapa kita akan bertemu. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, dan setiap orang yang kita jumpa itu pasti akan memberikan sedikit sebanyak kesan dalam kehidupan kita.

Semoga pertemuan murid-murid ni dengan seorang guru yang bergelar SAYA ini, akan memberikan impak yang positif dalam kehidupan mereka.

Moga-moga....   

Monday, January 3, 2011

Ahlan Wa Sahlan....

Hari pertama persekolahan 2011.

Seronok dapat berkumpul semula di sekolah. Berjumpa semula dengan anak-anak murid yang dah lama ditinggalkan.

Menatap wajah suci murid-murid ni, hati rasa tenang dan ceria.

Saya sibuk susun jadual Majlis Membudayakan al-Quran, persiapan untuk mulakan kelas tasmik dan kelas literasi al-Quran saya.

  Inilah jadual waktu saya. Padat, tapi dah kurang sikit bandingkan dengan tahun lepas. Apapun, saya tak kisah sebab saya jadi guru memang untuk mengajar.

SAYA AKAN BERUSAHA SUPAYA SAYA DAPAT MEMBERIKAN YANG LEBIH BAIK UNTUK MURID-MURID DAYA PADA TAHUN INI.

Ini ikrar saya sebagai seorang guru. SAYANG MURID-MURID CIKGU.

Saturday, January 1, 2011

Pada Tahun Ini...

2010 dah jadi sejarah.

1 Januari 2010 saya sambut di Tanah Suci Mekah. Pukul 3 pagi mak dah kejutkan bangun tidur untuk ke Masjidil Haram, tawaf dan solat sunat.

1 Januari 2011 saya sambut sendirian di sini. Tidur semalaman tak lena, asyik terjaga-jaga. Berbungkus dengan selimut sampai pukul 7 pagi.

Banyak peristiwa sepanjang 2010. Tak ada yang manis sangat bagi saya.Yang dapat saya ingat hanya menang tempat kedua dalam pertandingan menulis artikel dakwah anjuran JPNJ.
Rasanya lebih banyak rancangan yang gagal daripada yang berjaya dalam 2010.
PTK pun tak berjaya. Dapat 3 je.

Seronoknya, saya dapat teman-teman sejawat baharu yang lebih baik dan memahami.
Jadi, suasana tempat kerja saya lebih menyeronokkan.

Doa saya, 2011 mendatangkan lebih banyak barakah.

Tahun ni, saya nak uruskan masa dengan lebih baik.

Tahun ni, saya nak berfikiran lebih positif....menjadi guru yang lebih baik.

Tahun ni, saya juga berharap dapat KEHIDUPAN PERIBADI YANG LEBIH BAHAGIA. Saya akan mengambil langkah untuk mendapatkannya. 

Tahun ni, saya harap berjayalah saya sambung pengajian di peringkat sarjana.

Tahun ni.....banyak harapan saya....saya akan berusaha sedaya upaya untuk mecapainya. Semoga Allah membantu saya.

Tahun hadapan, tak tahu saya masih diberi peluang menghirup nafas di muka bumi ini lagi atau tidak.