Sila Klik Sini!

Thursday, April 10, 2014

Al-Fatihah Buatmu, Sahabat!

SKDJ berduka.

Semalam, kami kehilangan seorang rakan seperjuangan, Ustazah Hashimah Che Hasan yang pulang ke rahmatullah setelah sekian lama menderita sakit.

Saya sedih dan terkilan kerana tidak sempat menziarahi beliau buat kali terakhir. Sehingga akhirnya, saya tidak dapat menatap wajahnya kerana jenazah beliau dibawa pulang ke kampung halamannya di Pahang.

Beliau telah lama sakit. Sebaik sahaja kembali ke sekolah pada minggu lepas, saya berniat menziarahinya. Tetapi, ada sahaja aktiviti yang memnuhi masa untuk ke rumahnya. Tambahan pula, agak sukar untuk ke mana- mana dengan 2 orang anak kecil. 

Niat terus bertangguh. Saya bertekad, walau apapun, saya mesti ke Hospital Seremban pada hari ini setelah mengetahui bahawa beliau sedang kritikal.

Apapun, perancangan Allah datang lebih segera. Seusai solat Maghrib semalam, saya menerima pesanan ringkas menyatakan pemergian beliau.

Al- Fatihah untuk Kak Shimah. Kenangan bersamanya menemani saya. Perjalanannya di sini berakhir. Semoga mudah dan tenang pula kehidupannya di sana!

Saturday, April 5, 2014

Suatu Pagi Di Pagar Sebuah Sekolah

Semalam, saya bertugas menjaga pagar pada waktu pagi.

Di SKDJ, inilah kali pertama saya menjalankan tugas ini.

Saya melihat murid- murid yang dihantar oleh ibu bapa ke sekolah...dengan berjalan kaki, bermotosikal, berkereta mewah dan tidak mewah.

Cara mereka datang berbeza. Tetapi, yang dapat saya lihat persamaannya, anak- anak ini bersalam, mencium tangan ibu bapa mereka, kemudian dicium di pipi atau dahi dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapa.

Sesetengahnya mengeluarkan dompet, menghulurkan belanja kepada si anak.

Ramai antara ibu bapa ini menunggu di luar pagar, melihat anak  mereka berjalan masuk ke sekolah sehingga si anak hilang dari pandangan.

Bergenang air mata saya!
Saya memahami betapa besar harapan yang mereka iringkan bersama langkah anak- anak itu.

Harapan itu disandarkan ke bahu guru sebagai satu AMANAH!

Saya insaf dan berazam untuk melaksanakan AMANAH itu sebaik mungkin.

Betapa berdosa andai harapan ibu bapa yang menghantar dengan penuh kasih sayang, yang berkorban wang ringgit itu disia- siakan!

Tetapi, alangkah baik lagi jika kasih sayang itu disertakan juga dengan nasihat supaya si anak menjaga adab di sekolah.

Sebab seringkali juga niat murni guru untuk mengajar terbantut kerana kelakuan anak- anak yang keterlaluan.
Masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk mengajar terpaksa digunakan untuk menjerit, menghukum untuk mengawal kelas.

Fikir!

Wednesday, April 2, 2014

Hari Pertama Persekolahan 2014!

Setahun saya tak menulis blog ini.

Selepas tamat pertandingan nasyid MTAQ 2013, saya mula alahan mengandungkan anak kedua.

Banyak peristiwa yang berlaku dan septutnya dicatat sepanjang tempoh setahun, tapi tak berkesempatan sebab kesihatan tak mengizinkan.

Antaranya, buku saya "Nota Cinta Untuk Cikgu" terpilih antara salah satu 50 Karya Terbaik Guru 2013!

Saya selamat melahirkan anak kedua 2 Januari 2014.

Hari ini merupakan hari pertama saya mengajar sesi 2014.

Saya ke sekolah dengan semangat dan azam baharu. Tahun lepas, kerja agak terabai kerana tak sihat.

Datang saja sekolah, saya diberi tugas melatih nasyid untuk MTAQ.

Ooh, ye ke, ingatkan dah ada orang lain ambil alih sepanjang saya bercuti?

Tak apalah, memang dah tetap dan berpencen agaknya.

Cukup setahun, lepas nasyid tahun lepas saya tinggalkan blog, nasyid tahun ini saya menulis semula.

Good luck!