Sila Klik Sini!

Tuesday, April 19, 2011

Kebahagiaan Seorang Mu'allimah

Hari ni saya membentangkan laporan prestasi murid- murid pemulihan al-Quran saya kepada Guru Besar.
Bahagia dan seronok melihat perkembangan mereka.

Tiga orang daripada lapan mereka dah boleh membaca al-Quran. Dua orang masih perlu bimbingan untuk membaca ayat.

Saya rakamkan video mereka membaca al-Quran. 3 orang murid ini, semasa penilaian prestasi dibuat pada 15 Januari lepas, mereka masih tertukar- tukar huruf. Yang paling baik pun hanya dapat membaca sehingga baris dua di atas sahaja.

Gembiranya saya apabila mereka sudah dapat membaca al-Quran, walaupun belum lancar sepenuhnya! 


Sunday, April 17, 2011

Celaru

Permohonan cuti belajar saya tak berjaya!

Saya tak pastilah apa yang saya rasa.Kawan- kawan baik kata, "Sabarlah, ada hikmah di sebalik semua tu." Mak kata, "Em, memanglah sedih kalau tak dapat apa yang kita nak, tapi Allah tahulah apa yang lebih baik untuk kita." Suami kata, "Jangan putus asa, kan ramai yang memohon, tentu dia beri pada orang yang lebih lama berkhidmat dan dah banyak kali minta.Cuba lagi."

Kalau orang lain bersedih, putus asa atau dilanda masalah pun, saya akan kata begitu. Sebabnya? Hanya itu yang boleh kita buat. Tapi saya tahu, apabila kita yang menanggung, hanya kita yang tahu perit dan pedihnya. 

MACAM APA YANG SAYA RASA SEKARANG!

Saya sangat berharap dapat cuti belajar supaya dapat break sekejap dari semua kepenatan ni. Saya nak recharge semangat yang makin lama, makin mengendur.

Apatah lagi, banyak sangat peristiwa yang berlaku akhir- akhir ni, yang saya rasa semakin melunturkan KEIKHLASAN mengajar saya. Banyak konflik dan politik di tempat kerja. Saya rasa penat berhadapan dengan semua ni! Saya nak jadi guru yang baik dan tumpukan perhatian untuk mendidik anak- anak murid saya. Tapi, apabila berlaku kejadian- kejadian yang menggangu tugasan dan pemikiran, saya jadi tertekan.

Yang paling saya tak suka, apabila saya tertekan, saya jadi lebih garang dengan murid- murid! 
KASIHAN MURID SAYA.

Memang salah saya...saya yang tak dapat kawal emosi sendiri. Bukankah bahagia itu lahir dari hati? Tapi sekarang saya keliru dengan hati saya. Saya tak pasti apa yang saya mahu....

Apa yang patut saya buat? Saya rasa sangat penat...BERFIKIR...MENCARI...MENGHARAP.... 

Tuesday, April 12, 2011

BIAR ORANG CINA PIMPIN ISLAM


Saya tertarik dengan tajuk buku ni. Tapi belum sempat memiliki dan membacanya.

Dulu- dulu, saya memang agak taksub dengan orang Cina. Kawan- kawan baik di universiti yang masih tak putus hubungan sampai sekarang pun budak- budak Cina. Sangat rapat sampai ikut saya balik kampung. Saya suka tengok cerita Cina, terutamanya kisah kekeluargaan, dan bercita- cita nak kahwin dengan orang Cina.

Tapi, sekarang ketaksuban tu dah tak ada lagi. Jadi biasa- biasa je.Mungkin benar lirik lagu Antara Dua Cinta yang menyebut :
Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan...
Nikmat yang dikecap barukan terasa bila hilang....
Apa yang diburu timbul rasa jemu bila sudah di dalam genggaman....

Apapun, judul buku ini sangat menarik. Agak kontroversi. Terasa sangat nak tahu kandungannya.

*************
Kawan saya pula sangat taksub dengan bekas Baba Nyonya ini. Dah beberapa kali kami ke Melaka untuk meninjau tapi belum berjaya memilikinya. Memang betullah ....."Apa yang tiada sering dirisaukan..."


Monday, April 11, 2011

Wanita Dalam Sajak

Fikiran saya agak terganggu. Bukan masalah sekolah tapi masalah peribadi.

Perlukah kita ambil kira semua pendapat orang dalam kehidupan peribadi kita? Macam mana pula kalau orang yang beri pendapat itu seorang yang penting dalam hidup kita?

Ya Allah...susahnya nak buat keputusan dalam hidup ni. Kadang- kadang, saya rasa sangat lemah menghadapi banyak sangat permasalahan, terutamanya apabila perlu membuat keputusan.

Ya Allah, aku ini lemah, hina dan bodoh. Bantulah aku kerana Engkaulah Yang Maha Gagah, Maha Perkasa dan Maha Mengetahui segala- galanya. Berilah yang terbaik untukku dan jadikan aku redha dengan segala ketentuan-MU.


Dalam keserabutan, saya teringat sebuah sajak berkaitan, karya Nawawee Mohamad yang saya suka.

WANITA DALAM SAJAK


Jika wanita ibarat bunga lelaki pula kumbang
Sepsang mereka sekuntum bunga di tangkai
Wanita tiada suami kuih di meja tiada bersaji
Sentiasa terdedah pada kemungkinan debu hari

Wanita itu kemenyan dibakar baru mengharum
Pagi memutih gigi tengah hari menajam lidah
Dia secara bersahaja melihat dengan mata
Kemudian secara sengaja memejamkannya
Demikian terbaik cara menguji jalang lelaki

Wanita dan cemburu selama- lama serumah
Mustahil sempurna wanita tanpa senjata itu
Kebanyakan mereka hanya mahir pertajamkan
Alangkah sempurna jika bijak merahsiakannya

Wanita cantik adalah isteri kepada ramai lelaki
Ibarat raja dipuja rakyat kerana sesuatu muslihat
Hampir ke tali gantung masih ingin bergincu

Bohong selalu memulakan hubungan lelaki wanita
Mengakhirkan hubungan dua lelaki bersahabat
Sebodoh- bodoh wanita dapat kalahkan lelaki pintar
Tidak wanita pintar apabila menghadapi lelaki bodoh
Kepuasan lelaki dapat lenyapkan sombong wanita
Kepuasan wanita sedia menyahut kesombongan itu

Wanita berfikir dengan mata lelaki dengan kaki
Sempadan fikiran wanita cuma hujung pakaian
Hati wanita itu di mulut dan mulut lelaki di hati
Mahal lelaki fikirannya murah wanita peribadinya
Wanita bangga sanggup tolak cinta ramai lelaki
Lelaki bangga kerana berjaya pikat ramai wanita
Hanya lidah wanita dapat patahkan tulang lelaki
Sehingga senjata itu tidak banyak terbiar berkarat

Tidak mustahil boleh damaikan antara dua musuh
Mustahil jikalau permusuhan itu dua wanita jelita
Dua lelaki bertemu seorang wanita mereka dicabar
Dua wanita ketemu seorang lelaki mereka bertengkar

Tiada wanita suka kaki judi kecuali selalu menang
Bahagia lelaki dengan kerjayanya wanita suaminya
Wanita pilihan lelaki bagaimana lelaki bagi wanita
Penggali kubur tiada pilihan kecuali berdua mereka
Lelaki mudah pejam mata wanita susah tutup telinga

Islam janjikan syurga di bawah tapak kaki seorang ibu
Sediakan neraka bagi lelaki bawah telunjuk isteri

Belum kahwin wanita sebuah buku berkulit cantik
Telah kahwin buku itu juga tetapi sudah tidak berkulit

Zaman bercinta lelaki fikirkan sepatah kata wanita
Setelah kahwin dia tidur sebelum isteri buka mulut
Perkahwinan kemenangan wanita kekalahan lelaki

Lelaki mahu wanita bertapak seperti sebuah rumah
Wanita pula mahukan lelaki itu adalah pelindung
Bahkan sekaligus sebagai tuan rumah itu 

Saturday, April 9, 2011

Release Tension

Selepas MTQ berakhir, fikiran saya terasa ringan dan lega.

Tapi, sebenarnya masih banyak lagi bebanan tugas.

Sekarang kena tumpu untuk latih murid Kalam Jama'ie dan Dikir Barat Bahasa Arab pula.

Apapun, semalam saya buat aktiviti release tension bersama teman- teman serumah. Dah lama tak buat masakan selain masakan harian. Semalam kami buat kerepek pisang.

Simple je benda ni tapi menyeronokkan. Mula- mula saya tak terfikir pun nak catatkan aktiviti ni dalam blog. Tapi, bila SH, kawan serumah saya sibuk dok ambil gambar step menghasilkan kerepek, saya teringat pada adik saya Z yang pantang cuba resepi baru, mesti kamera masuk dapur dan akan dimasukkan dalam blognya. SH ni memang mengingatkan saya kepada adik saya sebab ada beberapa karekternya yang sama. Suka komik Jepun dan pandai melukis.

Inilah hasil 4 biji pisang tanduk yang kami buat....


Thursday, April 7, 2011

Soutun Najah, Yaumun Najah


Majlis Tilawah al- Quran Zon Bukit Gambir berlangsung pada hari ini.

Nama kumpulan nasyid saya Soutun Najah. Maknanya Suara Kejayaan, diambil sempena nama sekolah yang ada perkataan JAYA.

Dalam pertandingan hari ini, kumpulan Soutun Najah berjaya mendapat Naib Johan. Alhamdulillah, tak sia- sia penat lelah selama lebih kurang 2 minggu.

Bukan itu sahaja, sekolah saya berjaya mendapat Johan dalam pertandingan Berzanji (L), Tulisan Jawi/ Khat (L) dan Tulisan Jawi/ Khat (P).

Kejayaan yang melayakkan sekolah kami menggondol hadiah JOHAN KESELURUHAN ZON BUKIT GAMBIR!

Dalam kesyukuran menyambut kemenangan, datang pula berita yang sekolah kami juga menjadi JOHAN perlawanan bola sepak!

Syukur!!! Nampaknya hari ini ialah Yaumun Najah atau Hari Kejayaan bagi kami!

Kumpulan Soutun Najah

Peserta- peserta MTQ SKSJ 2011

Suasana gembira warga SKSJ ketika diumumkan sebagai Johan Keseluruhan

Bersama peserta hafazan. Mereka tak dapat hadiah tapi insya Allah tahun hadapan ada rezekinya....

Wednesday, April 6, 2011

Di Manakah Ihsan?

Hmm, baru lepas mengajar tahun 1.

Telatah budak- budak ni memang memeningkan kepala. Susah nak kawal mereka dengan kata- kata. Sebabnya riuh mereka mengatasi suara saya. Saya selalu kawal mereka guna rotan. Libas rotan atas meja untuk diamkan mereka. Kadang- kadang, mereka yang kena libas dengan rotan.

Saya memang bukan guru yang baik (sekurang- kurangnya tidak menepati etika guru yang tak boleh pukul murid). Saya percaya bahawa kekerasan perlu juga digunakan sesekali, di samping kelembutan dan kasih sayang.

Tapi, saya sangat tersentuh dengan berita seorang murid 7 tahun yang dipukul oleh gurunya sehingga membawa kematian. Macam mana agaknya guru tu sampai sanggup pukul murid sekecil tu begitu teruk?

Satu sifat mazmumah yang masih belum saya dapat buang sepenuhnya ialah ghadhab, atau dalam bahasa mudahnya, baran. Saya ni memang baran dan cepat melenting. Tapi, syukurlah saya masih belum sanggup mencederakan orang, terutamanya anak kecil sebegitu teruk. Kalaupun saya marah dan bertindak kasar dengan budak- budak ni, sebaik saja penangan saya hinggap pada badan mereka, saya segera rasa kesal. Kasihan tengok mereka kesakitan.

Sebab tu saya tertanya- tanya, macam mana guru itu boleh tiada perasaan sampai sanggup membelasah budak kecil seteruk itu? Kasihan si kecil tu. Apabila pandang wajah murid- murid tahun 1 saya yang comel, walaupun degil, saya terbayang, sanggup ke orang pukul mereka sampai teruk begitu?

Mungkinkah guru tu ada masalah mental sehingga tak dapat kawal perasaan? Apapun, kita tak tahu apa cerita sebenarnya. DIA lebih mengetahui.

Saya berharap saya dapat buang sikap baran saya ni dan tak buat tindakan seteruk itu... Peristiwa tersebut buat saya muhasabah diri

Saturday, April 2, 2011

Maafkanlah Cikgu!

Baru ini saya dapat berehat.

Pagi ada LDP Pengurusan Fail di sekolah. Habis dekat jam 2 petang. Balik makan dan basuh baju. Pukul 3 ke sekolah lagi untuk latih murid nasyid. Mereka lambat. Sambil menunggu, saya hias sikit- sikit sudut Bahasa Arab bawah tangga yang saya baru ambil tu. Dekat jam 5 habis latihan nasyid. Lepas solat Asar, saya berkejar ke Tangkak. Ada date dengan suami. Sekarang saya di D'anjung Inn. Suami belum sampai, jadi sempatlah berehat sekejap. 

Seperkara yang saya tak suka dengan kesibukan ni ialah saya terpaksa korbankan sesetengah masa mengajar saya! Ada beberapa kelas Bahasa Arab yang saya masuk dan minta murid buat kerja, kemudian saya semak hafazan peserta MTQ saya. Saya terpaksa minta maaf dengan murid dan minta dihalalkan masa mengajar saya.

Untuk pelajaran Pendidikan Islam pula, kerana ada 3 orang guru yang masuk serentak, saya minta jasa baik rakan untuk tidak masuk. Jadi, murid kumpulan saya diajar guru lain.

Kerana melatih  beberapa orang murid, saya korbankan masa berpuluh- puluh murid yang lain!

Pagi semalam, seorang murid tahun 5 datang berjumpa saya, "Nanti masa al-Quran, cikgu ajar kitaorang tak?

Saya katakan tidak sebab saya terpaksa buat latihan nasyid. Mulutnya mula muncung. Saya memujuknya, "Sampai hari Khamis depan saja. Nanti kita belajar macam biasa ya. Cikgu terpaksa bahagi masa sebab mengajar pun tugas cikgu, latih nasyid pun tugas juga."

Saya berasa sangat berdosa. Tapi apa yang boleh saya buat? saya tak dapat buat latihan pada waktu petang sebab murid- murid ni ada sekolah  agama. Malam pun mereka ada kelas tambahan yang tidak boleh dikompromi sebab melibatkan mata pelajaran teras UPSR. Terpaksalah korbankan masa Bahasa Arab saya yang tak sepenting mana....

Saya lihat, banyak kelas yang tiada guru dalam dua minggu ni sebab ramai cikgu terlibat dengan latihan olahraga, coral speaking, MTQ dan macam- macam pertandingan lagi.

Pening kepala saya dengan program yang bertindan- tindan ni. Mengapa agaknya guru tak diberikan masa yang cukup untuk mengajar?

Itu belum campur dengan tugasan sampingan guru yang menimbun- nimbun. Kena buat minit, fail, bla...bla...bla...

Agaknya, sebab itulah murid jadi kurang ajar.

Murid, maafkanlah cikgu!