Sila Klik Sini!

Wednesday, June 29, 2011

Penemuan Yang Menakjubkan!

Saya telah menemukan sesuatu yang ajaib!

Saya menjemput seorang murid tahun 4 yang dikenali sebagai SANGAT LEMAH ke rumah. Saya berniat untuk membimbingnya membaca kerana dia dikatakan belum dapat membaca dengan lancar. Murid ini saaaangaaat pendiam. Nak menjawab “Ya” atau “Tidak” pun susah. Kebanyakan guru langsung tidak berjaya membuatnya membuka mulut, tetapi dengan saya, sekurang- kurangnya dia mahu juga mengikut apa yang saya baca di dalam kelas.

Mula- mula, saya mengajarnya membaca huruf hijaiyah. Memang dia masih lemah dalam bab ini. Selepas itu, saya mengajarnya membaca Bahasa Melayu pula.

Terkejutnya saya! SEBENARNYA DIA SUDAH BOLEH MEMBACA DENGAN LANCAR! Bukan itu sahaja, dia juga boleh memahami apa yang dibaca dan dapat menjawab soalan- soalan yang saya tanya secara lisan.  

Saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat dan dengar. Saya berasakan apa yang saya alami ini ialah SATU PENEMUAN YANG AMAT MENAKJUBKAN! Saya siap merakam aktivitinya membaca dan menjawab soalan untuk menunjukkannya kepada Ketua Panitia Bahasa Melayu pada esok hari.

Saya tertanya- tanya kenapa dia terlalu pasif dan gagal dalam pelajaran Bahasa Melayunya? Di dalam kelas, dia kelihatan seolah- olah tidak faham apa pun yang diajar. Memang dari tahun 1 lagi dia tidak mahu bercakap.

Saya menepuk- nepuk bahunya. Saya katakan dia seorang murid yang pandai dan boleh berjaya. Saya sangat yakin dia boleh membuat suatu momentum lonjakan yang mengejutkan semua orang. DAN SAYA BERNIAT UNTUK TERUS MEMBIMBINGNYA SUPAYA DIA DAPAT MEMBUAT LONJAKAN TERSEBUT!

Ya Allah, bantu saya! Saya mahu membantunya!

Kasih Seorang Guru

Saya sedang menunggu untuk masuk ke kelas 5B.Setelah beberapa minit menunggu, guru Matematik yang mengajar di kelas itu keluar. Dia menghampiri saya dan berkata :

"Awak tolong pujuk Nazirah tu. Dia menangis. Saya rotan dia sebab tak siap kerja rumah. Tapi, sebenarnya saya rasa kasihan padanya. Dia kan anak yatim."

"Tapi saya merotannya sebab saya sayangkan dia."

Saya lihat mata cikgu tu merah dan berair sedikit. Hati saya pun tersentuh.

Cikgu Matematik itu ialah seorang guru lelaki yang paling garang dan digeruni oleh murid- murid sekolah kami. Umurnya dah lebih 40 tahun. Saya tahu, walaupun dia garang, dia sebenarnya seorang yang penyayang. Tetapi, baru hari ini saya melihat dia menunjukkan kasih sayang dan sifat kebapaannya dengan jelas.

Saya masuk ke kelas dan memujuk murid yang menangis itu. Murid itu sebenarnya murid yang baik. Mungkin ada sebab dia tidak dapat menyiapkan kerja rumahnya sebab itulah dia sedih sangat apabila dirotan. Tapi saya tahu tindakan guru itu betul kerana beliau mesti bersikap adil kerana murid lain yang tidak siap kerja juga dihukum. Saya bertanyakan masalahnya, tetapi dia tidak dapat menjawab kerana sedang teresak- esak menangis. Saya katakan kepadanya, sekiranya dia ada masalah, dia boleh datang berjumpa dengan saya untuk mengadu. Saya sudi mendengarnya.

Saya berasa tersentuh dengan peristiwa itu. Betapa kasihnya seorang guru kepada murid, walaupun secara luarannya guru tersebut nampak garang dan kasar. Saya percaya ramai dan kebanyakan guru bersifat demikian.

Alangkah baiknya jika murid- murid dapat memahami betapa guru sayangkan mereka! 

Monday, June 27, 2011

Ilmuwan dan Hiburan

Menghantar murid ke Kem Literasi al-Quran Daerah Muar/ Ledang.

Ini memang merupakan salah satu acara tahunan saya. Sesuatu yang saya senangi.

Seronok melihat ada pelbagai usaha dibuat untuk memastikan generasi Muslim kini celik al- Quran. Rancangan televisyen pun, saya lihat sudah ada banyak rancangan yang bermotifkan untuk menerapkan pembacaan, pemahaman dan penghayatan al-Quran.

Teringat semasa saya kecil- kecil dahulu, tiada rancangan yang menarik begitu. Yang saya ingat hanya satu rancangan mengajar membaca Muqaddam yang dikendalikan oleh Ustaz Hasan Mahmud al-Hafiz, seorang tokoh membaca al-Quran ketika itu. Rancangannya berbentuk ilimiah dan tiada diselitkan unsur permainan atau hiburan. Dalam bahasa kasarnya, MEMBOSANKAN!

Tetapi saya menghargainya sebagai    suatu usaha yang  sangat murni. Mungkin ketika itu minda masyarakat Islam masih belum begitu terbuka untuk berfikir bahawa dakwah boleh disampaikan melalui bentuk hiburan. Kini, ada banyak rancangan berunsur Islam yang disampaikan dalam bentuk yang menghiburkan dan menarik perhatian kanak- kanak.

Cuma saya belum berjumpa  dapatan kajian yang menunjukkan berapa ramai kanak- kanak tertarik untuk menonton rancangan tersebut.

Walau bagaimanapun, saya masih lagi ragu- ragu dengan cara mendidik sambil berhibur ini. Apakah sebenarnya mesej yang sampai kepada audiens DIDIKAN atau HIBURAN? Saya pernah membaca satu pendapat yang mengatakan bahawa kalau sesuatu itu disampaikan secara humor, yang sampai kepada penerimanya ialah HUMORNYA, bukan MAKSUD DI SEBALIKNYA.

Sebab itulah, tiada suatu ayat pun dalam al-Quran yang berunsur humor!

Guru- guru di sekolah juga disarankan supaya menerapkan unsur berhibur semasa pengajaran mereka.
Saya dapati, cara ini berkesan untuk menarik minat murid tersebut kepada subjek itu atau kepada guru yang mengajarnya. Mereka akan seronok dan melompat- lompat apabila tiba masa pelajaran itu. Tetapi, cara ini TIDAK BEGITU BERKESAN BAGI MEMASTIKAN MURID DAPAT MEMAHAMI PELAJARAN.

Saya selalu mengajar murid menyanyi dalam Bahasa Arab, malangnya, mereka tak ingat pun maknanya. Mereka hanya suka menyanyi.

Cara untuk memahamkan murid ialah menerangkan berkali- kali tentang perkara tersebut dengan seriusnya, BUKAN MELALUI PERMAINAN atauNYANYIAN.
Sebab kita mahu melahirkan generasi yang MENCINTAI ILMU,bukan generasi yang  CINTAKAN HIBURAN.

Fikir- fikir. Renung- renung.

Friday, June 10, 2011

Kenangan Itu Menjelma

Saya menerima panggilan telefon daripada seorang murid, Farhan Afif yang telah berpindah tiga tahun lalu.

Saya berasa sangat seronok dengan ingatan tersebut. Selepas dia berpindah sekolah, saya tidak pernah lagi berjumpa dengannya. Ada tidak pun, salam yang dia sampaikan kepada saya melalui kawannya yang masih di sini.

Terbayang- bayang wajahnya yang comel semasa masih belajar di sini dahulu. Maklumlah, masa itu umurnya baru 7 & 8 tahun. Sekarang wajahnya tentu agak berbeza sebab dia dahberada  dalam tahun 6.

Panggilan telefon itu menyebabkan saya terkenang kembali tahun pertama saya bertugas sebagai guru. SKSJ 2006. Dalam kelas 1 Berlian pada tahun itu, ada sesuatu yang agak istimewa tentang 3 orang murid (bagi sayalah). Ada seorang murid bernama Farhan Afif, seorang lagi bernama Afif Azri, dan seorang lagi Azrie Ikhmal. Nama mereka seolah- olah berangkai dan memudahkan saya mengingatinya (tetapi mengelirukan sesetengah guru lain).

Menariknya, setelah mereka tamat tahun 2, Farhan Afif berpindah ke Redong, manakala Azrie Ikhmal berpindah ke Durian Chondong. Yang tinggal sehingga kini ialah Afif Azri. Saya berpendapat dia tinggal untuk terus mengingatkan saya kepada 2 lagi murid yang telah berpindah itu kerana namanya mengandungi kedua- dua nama mereka.

Saya rasa perlu saya nyatakan bahawa MURID- MURID TAHUN 1 SKSJ 2006 SANGAT ISTIMEWA DI HATI SAYA. Kenapa? Kerana MEREKALAH ANAK SULUNG SAYA! Biasanya, dalam sebuah keluarga pun, anak sulung ni sangat istimewa bagi kedua ibu bapa sebab mereka yang pertama hadir dalam kehidupan. 56 orang mereka sentiasa di hati saya. Malah saya masih ingat kepada murid- murid yang telah berpindah sekolah.

Saya sayangkan mereka dan sentiasa berharap supaya mereka menjadi insan yang beriman dan hamba-Nya yang soleh. Saya berasa sedih apabila melihat ada “anak sulung” saya ni yang berkelakuan tidak sepatutnya walaupun mereka cemerlang dalam pelajaran.

Apapun, ingatan Farhan terhadap saya membuatkan saya berasa saaangaat gembira!