Sila Klik Sini!

Tuesday, January 18, 2011

Kisah Azim

Lewat Asar semalam, seorang ibu mengunjungi rumah saya.

Saya tertanya- tanya...gerangan apa?Sebab hal itu bukan biasa. Melainkan ada perkara penting yang hendak dibicara.

Setelah dipelawa duduk dan sedikit basa-basi, si ibu mengutarakan persoalan. Masalahnya ialah berkenaan nama anaknya, AZIM. Menurutnya, seorang guru di sekolah telah menegur nama anaknya. Kata guru itu, namanya berkait dengan nama Allah. Oleh sebab itu, tidak boleh diletakkan namanya Azim, perlu diberi tambahan seperti Abdul. Sebab itu juga, namanya MESTI  ditukar. Kalau tidak mungkin akan menjejaskan kehidupannya pada masa akan datang. Mungkin akan memberi masalah mungkin kepada keturunannya ...menurut kata guru itu, seperti yang diceritakan kepada saya.   

Si ibu pening berfikir. Bagi orang kampung yang berpendidikan rendah sepertinya, perkara itu mengelirukan. Katanya, puas dia berfikir dan berbincang dengan suaminya. Sebabnya, untuk menukar nama anak, bukanlah suatu perkara yang mudah. Untuk berulang- alik ke pejabat pendaftaran yang letaknya 60 km dari tempat kami, tentunya sukar, apatah lagi bagi orang yang hanya bermotosikal sepertinya.Tambahan pula, nama yang digunakan sejak kecil, bukan senang untuk diubah. Dengan nama itu dia didaftarkan di sekolah, dan nama itulah yang tercatat pada sijil- sijilnya selama ini. 

Sudahnya, suaminya menyuruh dia bertanya kepada orang lain yang lebih tahu.. Dan dia ke rumah saya kerana saya ustazah.

Saya memberi jawapan mudah. TAK PERLU DITUKAR. Saya tahu yang si ibu ini tak akan faham kalau saya terangkan tentang wazan- wazan dalam bahasa Arab. Tentang nama Aazim atas wazan faa'il dan nama Aziim atas wazan fa'iil yang termasuk dalam shighah mubalaghah (membawa makna bersangatan). Ada pula al- Aziim  yang lain pula maksudnya. Cuma saya katakan, al-Aziim itu sifat Allah. Jadi kalau mahu letakkan, mesti ditambah Abdu yang bermaksud hamba. Jadinya Abdul Azim yang maknanya Hamba Yang Maha Agung.

Si ibu rasa lega kerananya katanya dia cukup risau apabila guru tersebut berkata begitu, yang nama anaknya itu menyerupai nama Allah. Saya tambah lagi, kalau tak mahu nama itu menyerupai nama Allah, boleh ubah pula pada ejaan Jawinya. Kalau tadi, Azim yang bermaksud agung atau hebat dieja dengan huruf zho, ubah ejaannya kepada huruf zai. Maknanya akan menjadi "orang yang berazam, atau bercita-cita." Maknanya tetap baik juga.

Emmm, kadang-kadang saya rasa pelik dengan manusia ni, yang sebenarnya tak la sepandai mana, tetapi suka nak menunjuk pandai. Lebih teruk lagi jika dia nak menunjuk kepandaian tu dengan cara membuktikan yang orang lain tak pandai atau salah. Walaupun saya sendiri terdidik dalam bidang agama dan tau la sikit-sikit bahasa Arab, saya tak biasa menegur orang secara menyusahkan begitu. Saya selalu katakan, "Kalau tak salah saya...." atau, "Rasanya begini, elok akak rujuk semula pada orang  yang lebih alim...".

Ramai orang yang ada ilmu, malah alim, tetapi lupa pada sebuah hadis Nabi yang berbunyi "Yassiruu wa la tu'assiruu, basysyiruu wa la tunaffiruu" Permudahkanlah, jangan disusahkan, berilah khabar gembira dan jangan membuatkan orang menjauhkan diri.

Jangan bebankan manusia dengan persoalan-persoalan yang tak seberapa.Tenangkan hati manusia di sekeliling kita supaya mereka senang mendampingi kita supaya dakwah lebih mudah disampaikan. Biar mereka berasa yang mereka dihargai, mereka berpotensi dan mereka punyai harga diri yang tinggi. Sebab fitrahnya manusia itu suka apabila mereka dihargai. Jika ada salahnya, boleh ditegur secara halus tanpa mereka sedari. Ibarat menarik rambut di dalam tepung.

Tetapi, seandainya apabila mereka di samping kita, mereka terasa ditonjolkan segala kelemahan dan kebodohan, semua buah fikiran mereka tak diterima dan sebagainya, sudah tentulah kita akan dijauhi. Hal inilah yang ada kalanya tidak disedari oleh sebahagian orang Islam yang sepatutnya menyampaikan dakwah Islam. Malangnya, hal ini sangat dihayati oleh penyebar agama lain.

Fikir- fikir...renung- renung.....


No comments:

Post a Comment