Sila Klik Sini!

Saturday, August 16, 2014

Adab Sebelum Ilmu

Saya ke SK Taman Desa Cempaka beberapa kali setelah diamanahkan menjadi pengurus pasukan untuk Semaian Wahyu.

Saya tertarik dengan satu kata- kata hikmah yang tertampal di tangga sekolahnya :

SELESAIKAN ADAB TERLEBIH DAHULU SEBELUM SESUATU ILMU ITU DIAJARKAN KEPADA MEREKA

Membaca kata- kata ini, saya kira ia pasti daripada seorang ulama atau ilmuwan Islam silam.

Sebabnya? adab sangat dititikberatkan dalam Islam, dan ilmu tidak pernah terpisah daripada adab.

Malah, Nabi Muhammad sendiri diutus bagi menyempurnakan AKHLAK YANG MULIA.

Membaca kata- kata tersebut, saya merenung senario kini. 

Betapa sukar mengajar apabila murid- murid tidak mengenal adab.

Bayangkan kelas atau dataran perhimpunan yang penuh dengan murid. Guru sedang bercakap, memberi arahan, memberi nasihat/ tazkirah/ pengumuman atau apa sahaja di hadapan...

Murid berbual sesama sendiri di belakang. Kalaupun dimarah, setengah mereka diam, tetapi tangan bergerak mencuit kawan, membaling cebisan pemadam atau sampah.

Arahan/ peringatan/ pengumuman...tidak sampai kepada sasaran pendengar.

Sekadar perkongsian, pernah dalam sebuah kelas, saya membuat pengumuman "Murid kumpulan ustazah tu, tolong tunggu sehingga ustazah kamu sampai"

Dua saat selepas itu, seorang murid datangg di sebelah kiri saya dan bertanya, "Ustazah, murid kumpulan ustazah tu beratur kat luar ke?"

Saya jawab, "Kan saya baru je cakap, murid ustazah tu, tunggu ustazah kamu sampai."

Dalam masa saya sedang menjawab pertanyaan murid tu, seorang lagi murid dah berdiri di sebelah kanan saya. Sebaik saja saya habis bercakap, dia bertanya, "Ustazah, murid kumpulan ustazah tu keluar ke?"

Disebabkan saya ni manusia, bukan malaikat, saya terus la naik darah.

"Kan saya baru je jawab soalan tu. Sebelum tu pun saya dah cakap."

"Murid- murid, kalau saya bercakap di depan ni, maknanya saya bercakap dengan kamu. Dengan KAMU SEEEEMUAAAA. Bukannya bercakap dengan dinding, meja atau kerusi. Jadi tak perlu la kamu datang sorang- sorang kat saya tanya soalan yang sama."

Murid hari ini sangat berani. Mereka langsung tiada rasa hormat kepada guru. Bagi saya, inilah hasil generasi yang dibesarkan di taska. Sejak kecil, mereka mungkin biasa lepas bebas untuk berbuat apa sahaja. Kurang sumber manusia untuk memantau mereka secara individu atau kumpulan kecil, yang boleh memerhati tingkah laku mereka, yang boleh mendidik adab mereka. Tiada yang sempat memberitahu mereka dos and don'ts.

Mungkin juga ini hasil pemakanan yang kaya dengan gula. Yang menghasilkan anak- anak yang terlebih aktif dan tidak boleh duduk diam, walaupun diarahkan untuk masa yang sekejap.

Sekiranya guru hendak membetulkan adab terlebih dahulu sebelum mengajar, saya kira separuh atau seluruh alam persekolahan rendah murid- murid ini hanya boleh ditumpukan dalam hal itu.

Tetapi, kenyataan di atas bukanlah bermakna saya tidak bersetuju dengan kata- kata hikmah tersebut. Justeru, SAYA SANGAT BERSETUJU.

Kerana ILMU TAK MUNGKIN DIAJAR TANPA ADAB. 

Bercakap secara jujur, tulus dan ikhlas. Tanpa ada pengaruh atau kepentingan politik, saya berasakan memang ada SESUATU YANG TIDAK KENA DENGAN SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA.

Saya kurang tahu apa dan di mana. Sebab saya hanya orang kecil, orang kerdil yang memerhati dari bawah, tanpa ilmu dan pengalaman yang luas.

Dan memang pendidikan di Malaysia menduduki dalam kalangan 1/3 yang paling rendah di dunia.

Apabila hal ini dipersoalkan dan dibincangkan, hasilnya ialah PENAMBAHAN MATA PELAJARAN ATAU PENAMBAHAN SUKATAN PELAJARAN.

Setakat ini, saya tidak nampak perkara tersebut memberikan penyelesaian. Yang saya nampak, keadaan bertambah buruk dari setahun ke setahun. 
Kerajaan terpaksa menambah peruntukan untuk membuat buku teks, melatih guru dan sebagainya.

Guru bertambah tugasan dan tanggungjawabnya

Murid bertambah bebanan di belakang mereka. Bertambah masa "belajar". Bertambah KURANG masa untuk "menjadi"  kanak- kanak.

Ibu bapa bertambah pening mencari guru tuisyen untuk anak- anak supaya mereka dapat bersaing dalam dunia pendidikan yang "makin bertambah" ini.  

Semua pihak patut tahu, bertambahnya sukatan dan tugasan menyebabkan guru semakin kurang masa untuk berdamping dengan murid, untuk menyelitkan nasihat dan kata- kata motivasi semasa pengajaran, untuk menggunakan masa bagi mengajar adab kepada murid.

 Kanak- kanak perlu diberi peluang untuk berlari, melompat, berkejaran dengan bebas. Mereka tidak boleh "dikurung" terlalu lama di dalam kelas untuk menghadap buku dan papan tulis. Meletakkan tanggungjawab kepada guru bagi melaksanakan ko- kurikulum dan 1Murid 1Sukan (dengan alasan untuk memberi peluang mereka berlari, melompat dsb) di samping ratusan tugasan lain bukanlah langkah yang bijak kerana guru bukan hanya hidup sebagai guru. Mereka juga seorang anak, suami/isteri, ibu/bapa dan sebagainya sepertimana manusia lain.

Pada tahun- tahun pertama persekolahan, seorang kanak- kanak patut diajarkan hanya asas pelajaran dan dimantapkan adab mereka. Khabarnya, tadika di Jepun hanya mengajarkan adab seperti mengucapkan terima kasih dsb. Manakala, tadika di Perancis pula tidak ada satu huruf pun yang tertampal pada dindingnya, sebaliknya, anak- anak diajar cara untuk bertutur dengan betul. DENGAN BETUL itu termasuklah menggunakan perkataan yang sesuai dan mengambil giliran untuk bercakap dan tidak menyampuk percakapan orang lain.

Saya kira, itulah yang dimaksudkan dengan SELESAIKAN ADAB TERLEBIH DAHULU SEBELUM SESUATU ILMU ITU DIAJARKAN KEPADA MEREKA.

Menarik, kan?

Bagi saya, pendidikan di mana- mana negara pun mesti bebas daripada kepentingan politik, perniagaan dan kepentingan peribadi mana- mana pihak pun.

Sebab melalui sistem pendidikanlah kita membina generasi masa hadapan yang akan terus mendaulatkan kebebasan dan kemerdekaan negara kita.

Sangat tidak wajar sekiranya kepentingan peribadi diutamakan sehingga menggugat kepentingan UMMAH DAN NEGARA.

Kerana hidup seorang manusia hanya akan berlangsung puluhan tahun. Tetapi, ummah dan negara akan terus wujud sehingga berakhirnya hayat dunia.

ATAU TERMUSNAH KERANA ADA INDIVIDU YANG MENDAHULUKAN KEPENTINGAN PERIBADINYA!

Semoga pihak di atas sana mendapat hidayah dan memahami kenyataan ini.