Sila Klik Sini!

Friday, November 7, 2014

Sambutan Hari Kanak- kanak SK Desa Jasmin

5 November 2014, SK Desa Jasmin mengadakan sambutan Hari Kanak- kanak.

Saya dilantik sebagai Ketua Unit Hari Kanak- kanak pada tahun ini. Sebaik sahaja tahu yang saya memegang jawatan ini, apa yang terlintas di fikiran saya ialah, saya nak menjadikan sambutan Hari Kanak- kanak ini sangat meriah supaya murid- murid saya seronok dan gembira.

Sebab hari ini ialah hari mereka.

Sejak awal September, saya mula merancang dan melangkah untuk persiapan hari ini. Apa yang saya fikirkan, saya perlu datangkan satu maskot untuk menarik perhatian budak- budak kecil di sekolah saya ini. Yalah, budak- budak kan suka maskot. Pengalaman anak saya, Amina yang sangat excited apabila berjumpa dengan maskot singa susu S26 di kedai dahulu mendorong saya untuk mendatangkan satu maskot untuk anak- anak murid saya.

Mulanya saya cuba telefon Les Copaques, tanya bayaran untuk maskot Upin & Ipin. Bayarannya... mak ai! Tak mampulah kami menanggung kos tu!

Saya mula menyibukkan diri melayari internet dalam misi pencarian maskot saya.

Saya mendapat idea untuk menghubungi Bank Rakyat apabila menonton rancangan Seronoknya Kelab Nuri yang diadakan di TV2 pada setiap pagi Ahad.

Apabila saya kemukakan cadangan tersebut kepada GPK saya, beliau mencadangkan supaya saya hubungi juga BSN. Saya pun pergi ke kedua- dua buah bank tersebut.

Pada mulanya, saya tak dapat respon daripada mana- mana bank. Saya pun dah tak berharap untuk dapat maskot bank dan cuba cari alternatif lain. Saya terfikir nak jemput syarikat Ana Muslim tapi rasa tak sesuai pula sebab di sekolah saya ini ada juga murid bukan Islam.

Tiba- tiba, saya mendapat respon daripada kedua- dua buah bank tersebut dalam masa yang hampir serentak.

Setelah beberapa perbincangan, Bank Rakyat tetap menjadi bank yang "Saya mesti pilih."

Penat saya ke sana- sini untuk uruskan sambutan ini. Akhirnya, berbaloi setelah Bank Rakyat sumbangkan bukan sahaja hadiah untuk pertandingan, tetapi juga kertas untuk pertandingan mewarna yang berbeza bagi setiap tahun. Malah, semua peserta mewarna dapat sekotak pensel warna percuma.

Barang- barang tersebut sampai lewat. Saya menunggu dengan penuh debaran sehingga hampir jam 6 petang 4 November. Saya terpaksa ke Bank Rakyat untuk angkut semua barang tu. Nasib baik saya berjiran je dengan Bank Rakyat ni.

Malam itu, saya tidur hampir jam 12 sebab duk mengasingkan kertas mewarna mengikut kelas. Itupun tak selesai sepenuhnya. Tugasan ini disambung dengan jayanya pada keesokan  hari oleh Mr Joe yang komited. Terima kasih kepada Joe yang bertugas sebagai ketua AJK Pertandingan.

Sempena sambutan Hari Kanak- kanak tahun ini juga, saya wujudkan satu anugerah, iaitu, Anugerah Tokoh Sahsiah Cemerlang. Seorang murid lelaki dan seorang murid perempuan dipilih sebagai tokoh sahsiah ini bagi tahun 1-6, Pra Sekolah dan Pendidikan Khas. Pencalonan nama untuk tokoh ini dibuat oleh guru- guru sebelum undian dijalankan.

Foto sekitar perjalanan program :

Penuh MyVi buruk saya dengan barang- barang pertandingan.
Bawah kiri : Latihan tarian Hindi sebelum Hari Kanak- kanak.
Saya sengaja minta 2 orang guru India di sekolah latih murid untuk persembahan ini untuk sedikit kelainan.
Tokoh Sahsiah Cemerlang 



Jamuan kelas turut diadakan.
Saya bukan guru kelas 2 Putra ni, tapi guru pembantu.
Apabila guru kelasnya cuti bersalin baru- baru ni, sayalah yang jadi guru kelas mereka.

Ada banyak kepincangan sepanjang program ini yang masih boleh diperbetulkan. Tetapi, saya berasa sangat berjaya apabila ada murid beritahu,
"Ustazah, best lah Hari Kanak- kanak."

Memang tujuan utama saya adalah untuk buat mereka rasa best.

Tujuan itu dah tercapai.

Terima kasih kepada Bank Rakyat Cawangan Nilai atas kerjasama yang diberikan.

Seronok apabila melihat murid seronok!

Monday, November 3, 2014

Doa Untuk Siti Nur Aisyah

Semalam, saya menerima panggilan telefon daripada seorang bekas murid saya.

Kini, dia sedang belajar di SMAP Labu. Dia akan menduduki peperiksaan SPM pada hari ini. Dia menelefon untuk meminta saya mendoakan kejayaannya. Dia juga memohon maaf sekiranya dia pernah melakukan apa- apa kesalahan sewaktu menjadi murid saya dahulu.

Saya berasa terharu.

Dalam era keruntuhan akhlak dan kebobrokan moral anak- anak muda hari ini, sebenarnya masih tersisa golongan murid dan remaja yang sangat berakhlak dan bepekerti mulia. Mereka masih lagi menjunjung rasa hormat terhadap golongan yang lebih tua dan mengenang jasa ibu bapa dan guru mereka.

Siti Nur Aisyah binti Nordin, bekas murid saya itu merupakan salah satu daripada ratusan atau mungkin ribuan remaja tersebut. Anak- anak inilah yang boleh kita harapkan untuk meneruskan dan membangkitkan lagi kegemilangan agama dan negara di masa hadapan.

Ya Allah, berikanlah murid saya, Siti Nur Aisyah binti Nordin dan murid- murid yang lain juga, kejayaan dalam peperiksaan mereka. Jadikanlah kejayaan ini sebagai landasan untuk mereka terus cemerlang dalam kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.

Ya Allah,  jadikanlah anak- anak murid saya insan- insan yang sangat soleh dan solehah. Hamba- hamba yang sangat mematuhi perintah-Mu dan menjauhi semua larangan-Mu.

Jauhkan mereka daripada bersikap takbur dengan kejayaan yang Engkau anugerahkan kepada mereka. Sebaliknya, jadikanlah mereka orang- orang yang hebat supaya mereka dapat memberikan sumbangan yang besar terhadap kebangkitan Islam.

Ya Allah, perkenankanlah permohonan hamba yang kerdil ini!