Sila Klik Sini!

Saturday, March 12, 2011

Cari Cinta Belum Ku Ketemunya

Semalam,seorang bekas rakan @ adik serumah menelefon untuk mengadu masalah.

Masalah CINTA! Masalah yang barangkali sama umurnya dengan umur kewujudan manusia di dunia ini.

Cinta memang rumit dan merumitkan. Pembunuhan pertama dalam sejarah manusia juga berlaku kerana cinta. Manusia memang sanggup mati, mematikan, jadi gila, jadi hamba kerana CINTA.

Cinta juga bahagia dan membahagiakan!

Memang kerap "adik- adik" mengadu kepada saya tentang pelbagai masalah. Agaknya muka saya ni ada nampak macam kaunselor kot. Tapi apabila menyentuh bab CINTA ni, saya rasa kalah. Buntu. Tak mampu nak memberi jawapan apalagi penyelesaian. Lagipun, menurut pengalaman, tak ada orang yang akan ikut nasihat yang diberikan dalam bab CINTA ni. Apa yang mereka turutkan ialah perasaan.

Kerana perasaan itulah CINTA!

Lagi pula, tak mampu saya berikan pandangan dalam bab CINTA sebab saya pun masih keliru dan mencari CINTA. Kadang- kadang saya pun tak tahu apa yang sebenarnya saya buru. Saya mencari CINTA hakiki tapi CINTA itu sangat sukar didapati. CINTA sementara juga menjauh, saya andaikan kerana Dia mahu saya tidak hanyut dalam percintaan jenis itu, dan terus berusaha memburu CINTA-NYA.

Betapa saya mahu jadi Rabiah yang CINTAnya hanya pada Allah!

*********
Pagi ini, saya mendengar rancangan yang cukup menarik di IKIM fm. Slot Islam Itu INdah, tajuk perbincangannya Celik Mata Celik Jiwa oleh tetamu jemputan Prof. Dr Maya Mohamed (tak pasti nama), seorang pakar perubatan.

Beliau memberikan tips bahagia. Untuk bahagia, mesti bersih jiwa. Salah satu cara yang beliau sarankan, setiap kali bangun daripada tidur, tanyakan pada diri : APA KEBAIKAN YANG KITA BOLEH SUMBANGKAN KEPADA ORANG LAIN PADA HARI INI? bukannya Apa kebaikan yang kita boleh dapati hari ini?

Baru pertama kali saya dengar tips ini. Sangat berguna.

Beliau juga menyatakan bahawa bahagia itu merupakan sesuatu yang dalaman. Tiada orang yang boleh menentukan kita bahagia atau tidak, sebaliknya hanya kita yang boleh. Malah, kita tak boleh katakan bahawa "Jika saya dapat itu.... baru saya bahagia." Kita mampu membahagiakan diri bila- bila kita mahu bahagia.

Saya biasa mendengar kata- kata itu. Apa yang menarik ialah contoh yang beliau berikan iaitu: Apabila kita pergi berkelah di sebuah pantai yang indah, semua orang memuji dan menghayati keindahan pemandangan di situ, tetapi kita sedang sakit gigi. Adakah kita mampu menghayatinya dengan tenang dan gembira seperti orang lain? Tentu tidak. Begitu juga dengan bahagia, yang lahir daripada keadaan dalaman kita.

Banyak lagi perkongsiaannya yang menarik, yang saya semat dalam hati. Lalu saya akan terus memburu CINTA dan BAHAGIA itu kerana saya tahu ia berada dalam diri saya!

Ya Allah, bantu saya!



No comments:

Post a Comment