Sila Klik Sini!

Wednesday, March 9, 2011

Aku Rindukan Zaman Kebangkitan

Semalam, saya berpeluang banyak untuk menekuni Bumi Manusia. Ada majlis sambutan Maulud di Felda. Saya maklum bahawa pastinya ada kekosongan masa untuk menanti ketibaan perceramah. Lalu, saya bawa bersama Bumi Manusia supaya kekosongan itu tidak berlalu dengan bual kosong juga. Benar telahan saya, ada cukup banyak masa untuk saya membaca sambil menanti. Malah, selepas ceramah bermula juga kerana saya dapati isinya kurang menarik dan tidak menambah pengetahuan saya ke tingkat yang lebih tinggi. Lantas, saya dengar hanya sambil lewa, hanya kadang- kadang apabila ada isi yang agak mahu saya tahu, saya berhenti membaca dan pasang telinga, apabila tiba bahagian yang biasa- biasa saja, saya “pasang mata” ke halaman buku pula.

Lalu, saya dapat habiskan lebih 70 muka,  menjadikan jumlah yang saya baca sudah lebih separuh daripada keseluruhan isinya.

Saya tertarik dengan kata- kata ini :
“Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastra, kalian tinggal hanya hewan yang pandai. Sebagian terbesar dari kalian belum pernah melihat Nederland. Aku dilahirkan dan dibesarkan di sana. Jadi aku tahu, setiap orang Belanda mencintai dan membacai karyasastra Belanda. Orang mencintai dan menghormati karyalukis van Gogh, Rembrandt, para pelukis besar kita dan dunia. Mereka yang tidak mencintai dan menghormati dan tidak belajar mencintai dan menghormati dianggap sebagai Belanda yang kurang adab. Lukisan adalah sastra dalam warna warni. Sastra adalah lukisan dalam bahasa …”
Betapa saya mengangumi sikap mereka. Selalunya, bangsa yang besar sangat membesarkan seni dan sastra mereka. Mengapa bangsa saya tidak begitu?

Dalam Bumi Manusia, saya temui manusia- manusia yang mengangumkan. Saya temui diskusi ilmiah yang menarik perhatian. Saya temui perbincangan tentang soal manusia secara mendalam. Wujud benarkah manusia- manusia yang mahu membincangkan tentang perkara- perkara begitu dalam dunia ini? Dalam bangsa saya, tak saya temui. Belum pernah saya jumpai teman sebaya yang dapat mengungkapkan dan membincangkan pemikiranmendalam begitu, meskipun saya punyai sekampus teman berpendidikan “tinggi”.

Tiba- tiba saya terkenang Monsieur Redha Malek Cherifi, pensyarah bahasa Perancis saya. Terkenang bagaimana dia selalu mengungkapkan “Tu es bizarre. Je n’ai jamais vue une Malaise comme toi.” (Awak pelik. Saya tak pernah jumpa seorang Melayu seperti awak). Sejak kali pertama dia mengungkapkan ayat itu, dia sering memanggil saya dengan panggilan Malaise Bizarre (Melayu Pelik).

Sebabnya, saya merupakan pengagum Malek Bennabi, tokoh sosiologis Islam. Lalu saya sering utarakan persoalan tentang sebab kemunduran umat Islam, kepentingan penyatuan dan lain- lain. Menurut katanya, tidak pernah seorang penuntut Melayu yang dia kenal berfikir sejauh itu. Pelajar Melayu yang dia kenal cuma belajar untuk mendapat segulung ijazah supaya nanti mereka beroleh kerjaya yang baik, dapat memiliki kereta, dapat membeli rumah dan sebagainya. Belum pernah dia berjumpa dengan seorang Melayu yang sungguh- sungguh menanggapi ilmu untuk memajukan bangsanya.     

Saya tahu sebenarnya wujud ramai cendekiawan yang serius dalam soal ilmu. Tetapi bilangan peratusnya kecil berbanding jumlah Melayu seluruhnya. Sebab itu Redha jarang menjumpainya. Saya pun jarang berjumpa orang yang boleh memahami dan boleh menyertai saya. Apabila bertemu dengan Redha, saya rasakan saya telah jumpai sesuatu yang saya cari, seseorang yang boleh saya bawa berbincang dengan serius, menyokong dan memahami saya.

Kenapa anak bangsa saya tidak serius menanggapi ilmu? Kenapa pemikiran kita tidak maju dalam erti kata maju yang sebenar? Kenapa jarang saya jumpa pencinta ilmu dalam kalangan saya sendiri.

Saya pun sedar yang saya belum lagi menjadi insan berilmu. Alangkah indah jika dapat hidup sebagai seorang berilmu dengan dikelilingi pula oleh orang- orang yang serius menuntut, mengkaji, berbincang dan menghayati ilmu itu.

No comments:

Post a Comment