Sila Klik Sini!

Saturday, March 5, 2011

Beban Tugas Murid

Seperti biasa, selepas Maghrib murid- murid saya datang mengaji di rumah. Salah seorangnya ialah Fariz, si kecil 7 tahun. Dia datang bersama 2 abangnya dan rakan- rakan serumah saya menggelarkan mereka The Three Stoogers.


Mereka ni comel-comel dan baik- baik budaknya. Masalah mereka ni, ayah mereka selalu datang ambil anak- anaknya lewat. Kadang- kadang sampai tertidur anaknya di rumah saya. Pernah sekali sampai saya kena dukung 2 orang anaknya keluar sebab mereka dah tertidur lena dan tak dapat dikejutkan lagi.

Saya tengok Fariz tersengguk- sengguk mengantuk semasa mengaji. Saya tanya kepadanya, tak tidur siang ke? Abangnya memberitahu yang dia siapkan kerja rumah pada waktu petang. Lalu saya katakan "Tak apalah, kerja rumah dah siap, balik nanti boleh terus tidur." Jawabnya, "Ada sikit lagi kerja yang tak siap. Tiga"

Kasihannya saya kepada murid- murid ni. Saya tahu jadual waktu mereka sangat padat. Pagi ke sekolah, petang ke sekolah lagi. Kena pula haddir kelas tasmik, kelas tambahan malam dan sebagainya. Kadang- kadang saya terfikir, bila agaknya masa untuk mereka buat kerja sekolah?

Saya rasa kanak- kanak Malaysia masa kini sudah kehilangan zaman kanak- kanak mereka. Mereka terpaksa hidup di luar fitrah seorang kanak- kanak. Kanak- kanak memang perlu belajar dan diajar. Tetapi, pengajaran bukan semestinya aktiviti di dalam kelas sahaja. Mereka sepatutnya diberi kebebasan untuk bermain dan meneroka dunia ini. Mereka akan dapat banyak belajar melalui pemerhatian, pergaulan dan sebagainya. Tetapi, sistem pendidikan yang menitikberatkan peperiksaan telah memusnahkan keindahan zaman kanak- kanak mereka.

Sebagai orang dewasa, ada kalanya kita membantah apabila diberi tugasan luar kemampuan, kita ada teman- teman, atau saluran lain untuk meluahkan perasaan, kita ada cara untuk melepaskan tekanan. Kita boleh minta cuti rehat, pergi melancong, keluar membeli- belah atau mencari hiburan lain untuk meredakan tekanan.

Tetapi, bagi kanak- kanak, apa yang boleh mereka buat? Malah mereka tak tahu pun yang mereka sedang dibebani dan mereka sedang rasa tertekan. Tapi perasaan tersebut wujud dalam diri mereka, terkurung bertahun lamanya tanpa mereka sedar. Lalu muncullah tingkah laku luar kawal sebagai luahan perasaan atau cara untuk mereka meredakan tekanan.

Kasihan anak- anak kita. Saya bimbang kalau keadaan ini berterusan, masyarakat Malaysia 20 tahun lagi terdiri daripada manusia yang tidak sihat mental dan emosinya. Tapi apa yang saya boleh buat? Sebagai manusia kecil, saya hanya mampu berdoa, dan saya cuba wujudkan keceriaan semasa  proses pengajaran saya supaya murid- murid ini dapat menikmati alam kanak-kanak mereka.

Kasihan Fariz!

No comments:

Post a Comment