Sila Klik Sini!

Thursday, February 16, 2012

Cikgu Yang Tamak

Sekolah saya menerima seorang guru j-QAF baharu. Ustaz ini masih dalam latihan. Opsyennya Bahasa Arab, sama dengan saya.

Sebelum ini, saya mengajar Bahasa Arab bagi semua kelas, dari tahun 1-6. Apabila ustaz ini datang, saya pun "terpaksa"  memberi sedikit masa mengajar saya kepadanya. 

Saya berasa SEDIH!

Saya pun tak faham kenapa saya boleh rasa macam tu. Sepatutnya, saya bersyukur sebab ada orang untuk kurangkan beban mengajar saya. Ramai rakan- rakan guru BA di sekolah lain yang merungut sebab mereka terpaksa ajar semua kelas di sekolah mereka. Malah, sesetengahnya minta kepada pihak pentadbir supaya memberikan sebahagian masa mereka kepada guru Pendidikan Islam sebab mereka rasa terbeban dengan masa mengajar yang banyak.

Tapi, saya berfikir dari sudut lain. Saya berasa seronok dapat berjumpa, kenal dan mengajar semua murid di sekolah ini. Hasilnya, saya kenal kesemua murid dari tahun 1-6. Saya rasa satu kehilangan apabila terpaksa melepaskan kelas kepada ustaz itu sebab saya rasa saya tidak rapat lagi dengan murid- murid apabila tidak mengajar kelas mereka.

Saya teringat beberapa tahun dahulu, ketika murid batch pertama j-QAF naik tahun 4. Semasa mereka berada dalam tahun 1-3, saya mengajar mereka kedua-dua subjek, B Arab dan P Islam. Apabila mereka di tahun 4, saya hanya boleh mengajar mereka Bahasa Arab sebab waktu mengajar saya bertambah banyak. Saya berasa sedih sebab hanya dapat masuk kelas mereka dua kali seminggu. Saya berasa renggang dengan mereka dan berasakan satu kehilangan!

Saya rasa kehilangan kali ini lebih besar lagi daripada yang saya alami beberapa tahun lalu. Sedihnya!

Tamakkah saya?

No comments:

Post a Comment