Sila Klik Sini!

Monday, November 3, 2014

Doa Untuk Siti Nur Aisyah

Semalam, saya menerima panggilan telefon daripada seorang bekas murid saya.

Kini, dia sedang belajar di SMAP Labu. Dia akan menduduki peperiksaan SPM pada hari ini. Dia menelefon untuk meminta saya mendoakan kejayaannya. Dia juga memohon maaf sekiranya dia pernah melakukan apa- apa kesalahan sewaktu menjadi murid saya dahulu.

Saya berasa terharu.

Dalam era keruntuhan akhlak dan kebobrokan moral anak- anak muda hari ini, sebenarnya masih tersisa golongan murid dan remaja yang sangat berakhlak dan bepekerti mulia. Mereka masih lagi menjunjung rasa hormat terhadap golongan yang lebih tua dan mengenang jasa ibu bapa dan guru mereka.

Siti Nur Aisyah binti Nordin, bekas murid saya itu merupakan salah satu daripada ratusan atau mungkin ribuan remaja tersebut. Anak- anak inilah yang boleh kita harapkan untuk meneruskan dan membangkitkan lagi kegemilangan agama dan negara di masa hadapan.

Ya Allah, berikanlah murid saya, Siti Nur Aisyah binti Nordin dan murid- murid yang lain juga, kejayaan dalam peperiksaan mereka. Jadikanlah kejayaan ini sebagai landasan untuk mereka terus cemerlang dalam kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.

Ya Allah,  jadikanlah anak- anak murid saya insan- insan yang sangat soleh dan solehah. Hamba- hamba yang sangat mematuhi perintah-Mu dan menjauhi semua larangan-Mu.

Jauhkan mereka daripada bersikap takbur dengan kejayaan yang Engkau anugerahkan kepada mereka. Sebaliknya, jadikanlah mereka orang- orang yang hebat supaya mereka dapat memberikan sumbangan yang besar terhadap kebangkitan Islam.

Ya Allah, perkenankanlah permohonan hamba yang kerdil ini!      

No comments:

Post a Comment