Sila Klik Sini!

Tuesday, January 8, 2013

Lembaran Baharu

8 Januari 2013 - Saya melapor diri ke sekolah baharu. SK DESA JASMIN, BANDAR BARU NILAI.

Semalam masih di SKSJ. Saya tinggalkan SK Seri Jaya tergopoh gapah. JPNS fakskan surat penempatan ke sekolah jam 9 pagi lebih. Penempatan saya berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013. Saya telefon Guru Besar SKDJ dan beliau meminta saya melaporkan diri keseokannya.

Saya segera siapkan Nota Serah Tugas dan beberapa tugas lain. Saya minta izin daripada Guru Besar untuk balik awal sebab nak bertolak ke KL. Saya hanya sempat jumpa sebahagian rakan sejawat. Saya rasa sedih sikit tapi entah kenapa saya tak terasa terpisah sangat. Mungkin saya memang tak bersedia untuk perpisahan ini. Tambahan pula, barang- barang saya masih di Sri Jaya.

Hari ini, saya bertolak dari Desa Tasik jam 6.25 pagi. Jarak perjalanan jauh. Lebih 40km, melalui Lebuhraya PLUS. Mujurnya, jalan lengang dan perjalanan lancar. Saya tiba di SKDJ jam 7.03 pagi.

Sekolah ini besar. Muridnya berjumlah 1226. Pengurusannya juga nampak hebat. Kehadiran guru diambil menggunakan puncher. Tiba- tiba, saya rasa janggal dan kerdil.

Saya berjumpa dengan Puan Aslin, GPK Kurikulum sebelum berjumpa Guru Besar, Puan Azizah. Rupa- rupanya, sekolah ini dah ada sangat ramai guru Pendidikan Islam dan j-QAF. Ramainya sampai GB sendiri tak ingat jumlahnya. Kata beliau, belas orang.

Selepas itu saya jumpa Puan Sailah, ketua Panitia Agama yang susun jadual saya. Saya diberi jadual Ustaz Sazali sebab beliau bukan opsyen Bahasa Arab tetapi mengajar subjek berkenaan. Bagaimanapun, saya tak ambil semua kelasnya. Saya akan mengajar juga Pendidikan Islam. 

Saya berjalan- jalan di koridor sementara tunggu jadual. Melihat murid- murid. Saya berasa sedih dan teringatkan murid- murid yang ditinggalkan di SKSJ. 

Saya sangat sedih apabila ingatkan saya berada di tempat yang sudah ada limpahan guru, sedangkan sekolah yang saya tinggalkan kekurangan guru. 

Malangnya, saya tak mampu untuk terus kekal di sana. Dalam keadaan ini, saya terpaksa dahulukan kepentingan diri sendiri berbanding orang lain. Terlalu banyak yang boleh saya rancang dan usahakan di sini. Terlalu banyak yang terpaksa saya korbankan sekiranya berada di sana.

Allahlah yang Maha Pengatur. Dia Maha Mengetahui segala- galanya. Dia menahan saya di sana selama 7 tahun. Dialah yang mengizinkan saya ke sini pada hari ini.

Entah apa perancangan-Nya. Dia tetap Yang Maha Adil lagi Bijaksana.

Bermula lembaran baharu dalam dunia perguruan saya. Insya Allah, mungkin bakal membuahkan sebuah lagi karya. 

Ya Allah, permudahkan urusanku!


No comments:

Post a Comment