Sila Klik Sini!

Monday, January 16, 2012

Bermula Tahun Baharu

Lama saya tak menjengah blog ni.

Sibuk. Sekolah baru dibuka. Kuarters yang dah sebulan lebih ditinggalkan perlu dibersihkan.

Sekarang, masih pening fikir nak susun jadual tasmik sebab jadual yang sedia ada dah padat sangat. Banyak masa bertindan.
Kelas literasi al-Quran yang saya rancang untuk teruskan bagi murid- murid Tahun 5 pun masih belum bermula. pada awalnya, saya bercadang nak mulakan pada minggu ini.
Malangnya, sekarang saya bermasalah untuk ke sekolah pada sangat awal pagi. Sebabnya, saya agak liat untuk bangun sangat awal sekarang, dan kalau bangun awal pun, saya sibuk bersarapan sebelum ke sekolah. Dah jadi satu kewajipan makan awal- awal pagi.

Sejak berbadan dua ni, banyak juga rutin saya dah berubah. Pada mulanya, saya fikir tak mahu buat kelas literasi di awal pagi tu. Tapi, apabila tengok keadaan beberapa orang murid yang masih sangat lemah, malah tak tahu membaca al-Quran, saya rasa sangat bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan.

Saya akan cuba untuk bangun awal semula. Saya mesti teruskan kelas tersebut. Moga- moga apa yang saya lakukan akan memberikan kesan positif kepada bayi dalam kandungan ni.

Saya sendiri dah makin tenang. Dua hari lepas, semasa membaca al-Quran, saya terjumpa ayat 62 & 63 dari surah Yunus. Maksudnya lebih kurang :

Dan wali- wali Allah itu, tiada kebimbangan pada mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang- orang yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan mereka.

Saya berasa hati saya tenang apabila membaca ayat itu. Saya berazam untuk memasukkan diri saya dan anak dalam kandungan ini ke dalam golongan yang disebutkan itu. Saya tidak bimbang lagi. Saya keseorangan di sini, tetapi Allah sentiasa bersama saya. Saya percaya apa yang Dia tentukan itu merupakan yang terbaik untuk saya.

Wednesday, December 28, 2011

Kembali Lagi Ke Sini

Saya kembali lagi ke sini.

Saya menangis. Rasa sedih sangat sebab terpaksa datang lagi. Tiada lagi semangat berkobar- kobar untuk meneruskan bakti sebagaimana yang saya rasakan setiap kali sesi persekolahan tahun baru bermula.

Salah siapa agaknya? Mungkin inilah perasaan guru yang terpaksa bertugas di tempat yang sama bertahun- tahun lamanya. Ditambah pula dengan keadaan badan yang tidak berapa sihat, saya rasa sangat terbeban kerana terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk bersendirian, jauh daripada keluarga di sini.

Pagi. Saya ke sekolah berjalan kaki. Saya menikmati pemandangan yang sudah bertahun- tahun saya saksikan. Menghidu semula bau udara Felda dan rerumput yang nampak panjang dan terbiar. Seperti biasa, saya suka memerhatikan alam. Hati rasa sedikit tenang.

Sampai di sekolah, berjumpa dengan kawan- kawan guru. Hati rasa terubat dan terhibur dapat kembali bertemu dan bergelak ketawa dengan mereka.

Semuanya masih seperti dahulu. Cuma perasaan saya yang berubah. Apapun, saya cuba memujuk hati, untuk melaksanakan tugasan dan tanggungjawab sebaik mungkin.

Ya Allah, tolong saya. Saya mahu keluar dari sini. Saya mahu hidup dalam sebuah keluarga yang sempurna.

Monday, November 28, 2011

Selamat Tahun Baru Hijrah

1433.

Saya menyambut tahun baharu ini di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur. Mengaminkan doa yang dibaca oleh Imam Besar Masjid Negara sebelum solat Maghrib dan turun makan malam di Season Cafe.

Tiga malam saya menginap di hotel mewah ini. Ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Penerangan Malaysia kerana say peserta pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2011. Pertandingan telah berlangsung pada 25 dan 26 November di Arkib Negara Malaysia dan Muzium Negara.

Kumpulan saya, Permata Ledang yang mewakili negeri Johor hanya berjaya mendapat hadiah saguhati daripada 15 kumpulan yang bertanding. Apapun, pengalaman yang diperolehi daripada pertandingan ini lebih berharga bagi saya berbanding dengan wang hadiah RM1000 itu. Kami juga telah mencuba setakat kemampuan kami dan mendapat tepukan gemuruh penonton.

Tahniah kepada wakil daripada Sarawak yang berjaya menjadi Johan, wakil Sabah (Naib Johan) dan Negeri Sembilan (Ketiga). Persembahan daripada negeri Sarawak (tentang Tun Abd Razak) dan Sabah (Tun Dr Mahathir) sangat mengagumkan saya!

Wednesday, November 9, 2011

Majlis Khatam al-Quran j-QAF 2011

Hari ini sekolah kami mengadakan Majlis Khatam al-Quran j-QAF buat kali pertama dalam sejarah sekolah. Sebabnya, tahun ini tahun pertama murid j-QAF berada dalam tahun 6.

Majlis dibuat sederhana sahaja. Dua tiga minggu kebelakangan ini, banyak sangat tugasan dan program yang perlu dibuat sampai saya rasa agak kelam- kabut menguruskan tugasan yang diberi.

Dalam majlis ini juga, penyampaian hadiah bagi murid- murid yang cemerlang dalam al-Quran, Bestari Solat, Bahasa Arab & Jawi dijalankan. 2 orang tokoh murid j-QAF juga dipilih, Muhammad Ikhwan Hafiz b Bahrom dan Nurul Izzatie bt Mohd Hanafiah.

Murid Tahun 6 SKSJ

Murid- murid yang menerima hadiah penghargaan

Tuesday, September 13, 2011

1001 Cerita

Dah lama tak menulis blog.

Sibuk dengan :
Menjelang UPSR di sekolah
Latihan untuk persembahan Pengisahan Kenegaraan sempena Majlis Sambutan Kemerdekaan Peringkat Daerah Ledang di Dataran Tangkak
Tidur....sebab akhir- akhir ni, badan rasa tak berapa sihat!

Saya bersama ahli kumpulan Permata Ledang yang lain dijemput untuk membuat persembahan Pengisahan Kenegaraan di Dataran Tangkak.
Dah lama tinggal, terpaksa kami berlatih semula.
Khamis, 8 September, saya dan kawan- kawan menghadiri raptai di Tangkak.Kali pertama saya menghadiri majlis sebegini.
11 September, majlis sambutan yang sebenar. Ini juga kali pertama saya menghadiri Majlis Sambutan Kemerdekaan dalam seumur hidup saya.
Saya berasa berdebar- debar untuk buat persembahan. Lebih teruk daripada apa yang saya rasakan semasa pertandingan dahulu. Mungkin sebab pentasnya besar dan terbuka, serta penontonnya lebih ramai. Termasuk dalam khalayak penonton ialah Menteri Besar Johor, Datuk Haji Abd Ghani Othman.
Tetapi, apabila naik ke pentas dan memulakan persembahan, rasa berdebar itu hilang. Apatah lagi apabila saya melihat senyuman yang menggalakkan daripada Datuk MB dan ADUN Bukit Serampang, YB Tahir bin Mohd Taat.
Bangga rasanya apabila turun daripada pentas, dapat banyak ucapan tahniah daripada krew- krew teknikal dan pegawai- pegawai yang ada di situ.

Apapun, saya berasa seronok dengan penglibatan saya dalam pengisahan ini. Kegiatan yang memungkinkan saya duduk semeja dengan YB, Penolong Ketua Polis Tangkak, Ketua Pegawai Penerangan dan sebagainya. Sekurang- kurangnya, bertambah pengalaman dan rencam hidup saya!


Friday, August 19, 2011

Amil Di Bulan Ramadhan

Nisfu Ramadhan dah berlalu.

Seperti biasa, saya sibuk di bulan Ramadhan ni. Menjadi amil tak rasmi di sekolah. Jawatan yang saya pegang sejak mula- mula masuk ke sini.

Saya suka jawatan ini walaupun sebenarnya saya tak suka pegang duit orang banyak- banyak. Sebabnya, saya tak ada duit untuk bersedekah dalam kuantiti yang banyak. Harap- harap, dengan menguruskan sedekah orang ni, dapatlah saya "komisen" sama.

Satu perkara yang saya senangi di sekolah ini ialah kewujudan Tabung Ihya Ramadhan, yang dilancarkan setiap Ramadhan. Kutipan tabung ini dibuat setiap hari dari kelas ke kelas, untuk menggalakkan murid- murid mengamalkan budaya infaq sejak mereka kecil. Hasil tabung tersebut akan dibahagikan kepada murid- murid anak yatim dan miskin pada minggu terakhir Ramadhan.

Tahun ini, banyak pula kutipan derma yang saya kena uruskan. Tabung Aman Palestin, pembinaan surau dan masjid dan asrama anak yatim.

Banyak juga penderma. Ada ibu bapa yang telefon saya bertanyakan jumlah anak yatim dan miskin di sekolah untuk berikan sumbangan.Saya rasa, jumlah kutipan tahun ini akan mengatasi tahun- tahun lepas.

Saya seronok dengan perkembangan ini. syukurlah dalam kebobrokan masyarakat hari ini, masih ramai insan yang prihatin terhadap kesusahan orang lain.

Wednesday, August 10, 2011

10 Pertama

10 pertama Ramadhan telah berlalu.

Alhamdulillah, dapat saya tempuhi dengan baik walaupun pada awalnya saya agak bimbang kerana kesihatan yang tidak berapa stabil di akhir Syaaban.

Suatu perkara yang saya dapat pada awal Ramadhan ini ialah rasa KESYUKURAN.

Entah kenapa, setiap kali makan waktu berbuka, saya selalu teringatkan nasib orang- orang yang tiada makanan yang cukup untuk berbuka. Bagaimanalah saudara- saudara saya yang miskin di Malaysia, di Selatan Thailand, di Palestin dan di seluruh dunia ini?

Saya bersyukur sebab saya ada makanan yang mencukupi, malah selalu berlebihan untuk dimakan. Saya bersyukur sebab Allah kurniakan saya kesihatan yang baik dan fizikal yang sempurna.

Saya cuba melupakan segala kekurangan yang saya kesali dengan mengingati betapa banyak nikmat yang Allah rezekikan kepada saya.

SAYA BELAJAR UNTUK MENJADI HAMBA YANG BERSYUKUR.

Saya bersyukur kerana Allah membuka pintu hati saya untuk BERSYUKUR.

Alhamdulillah!