Sila Klik Sini!

Showing posts with label Sekadar Perkongsian. Show all posts
Showing posts with label Sekadar Perkongsian. Show all posts

Friday, November 7, 2014

Sambutan Hari Kanak- kanak SK Desa Jasmin

5 November 2014, SK Desa Jasmin mengadakan sambutan Hari Kanak- kanak.

Saya dilantik sebagai Ketua Unit Hari Kanak- kanak pada tahun ini. Sebaik sahaja tahu yang saya memegang jawatan ini, apa yang terlintas di fikiran saya ialah, saya nak menjadikan sambutan Hari Kanak- kanak ini sangat meriah supaya murid- murid saya seronok dan gembira.

Sebab hari ini ialah hari mereka.

Sejak awal September, saya mula merancang dan melangkah untuk persiapan hari ini. Apa yang saya fikirkan, saya perlu datangkan satu maskot untuk menarik perhatian budak- budak kecil di sekolah saya ini. Yalah, budak- budak kan suka maskot. Pengalaman anak saya, Amina yang sangat excited apabila berjumpa dengan maskot singa susu S26 di kedai dahulu mendorong saya untuk mendatangkan satu maskot untuk anak- anak murid saya.

Mulanya saya cuba telefon Les Copaques, tanya bayaran untuk maskot Upin & Ipin. Bayarannya... mak ai! Tak mampulah kami menanggung kos tu!

Saya mula menyibukkan diri melayari internet dalam misi pencarian maskot saya.

Saya mendapat idea untuk menghubungi Bank Rakyat apabila menonton rancangan Seronoknya Kelab Nuri yang diadakan di TV2 pada setiap pagi Ahad.

Apabila saya kemukakan cadangan tersebut kepada GPK saya, beliau mencadangkan supaya saya hubungi juga BSN. Saya pun pergi ke kedua- dua buah bank tersebut.

Pada mulanya, saya tak dapat respon daripada mana- mana bank. Saya pun dah tak berharap untuk dapat maskot bank dan cuba cari alternatif lain. Saya terfikir nak jemput syarikat Ana Muslim tapi rasa tak sesuai pula sebab di sekolah saya ini ada juga murid bukan Islam.

Tiba- tiba, saya mendapat respon daripada kedua- dua buah bank tersebut dalam masa yang hampir serentak.

Setelah beberapa perbincangan, Bank Rakyat tetap menjadi bank yang "Saya mesti pilih."

Penat saya ke sana- sini untuk uruskan sambutan ini. Akhirnya, berbaloi setelah Bank Rakyat sumbangkan bukan sahaja hadiah untuk pertandingan, tetapi juga kertas untuk pertandingan mewarna yang berbeza bagi setiap tahun. Malah, semua peserta mewarna dapat sekotak pensel warna percuma.

Barang- barang tersebut sampai lewat. Saya menunggu dengan penuh debaran sehingga hampir jam 6 petang 4 November. Saya terpaksa ke Bank Rakyat untuk angkut semua barang tu. Nasib baik saya berjiran je dengan Bank Rakyat ni.

Malam itu, saya tidur hampir jam 12 sebab duk mengasingkan kertas mewarna mengikut kelas. Itupun tak selesai sepenuhnya. Tugasan ini disambung dengan jayanya pada keesokan  hari oleh Mr Joe yang komited. Terima kasih kepada Joe yang bertugas sebagai ketua AJK Pertandingan.

Sempena sambutan Hari Kanak- kanak tahun ini juga, saya wujudkan satu anugerah, iaitu, Anugerah Tokoh Sahsiah Cemerlang. Seorang murid lelaki dan seorang murid perempuan dipilih sebagai tokoh sahsiah ini bagi tahun 1-6, Pra Sekolah dan Pendidikan Khas. Pencalonan nama untuk tokoh ini dibuat oleh guru- guru sebelum undian dijalankan.

Foto sekitar perjalanan program :

Penuh MyVi buruk saya dengan barang- barang pertandingan.
Bawah kiri : Latihan tarian Hindi sebelum Hari Kanak- kanak.
Saya sengaja minta 2 orang guru India di sekolah latih murid untuk persembahan ini untuk sedikit kelainan.
Tokoh Sahsiah Cemerlang 



Jamuan kelas turut diadakan.
Saya bukan guru kelas 2 Putra ni, tapi guru pembantu.
Apabila guru kelasnya cuti bersalin baru- baru ni, sayalah yang jadi guru kelas mereka.

Ada banyak kepincangan sepanjang program ini yang masih boleh diperbetulkan. Tetapi, saya berasa sangat berjaya apabila ada murid beritahu,
"Ustazah, best lah Hari Kanak- kanak."

Memang tujuan utama saya adalah untuk buat mereka rasa best.

Tujuan itu dah tercapai.

Terima kasih kepada Bank Rakyat Cawangan Nilai atas kerjasama yang diberikan.

Seronok apabila melihat murid seronok!

Friday, June 27, 2014

Kisah Pensil dan Beruk

Setelah sekian lama tidak menjenguk laman ini, hari ini saya ingin  bercerita tentang Pensil dan Beruk.

Kenapa Pensil dan Beruk?

Alkisah, sebulan yang lalu, saya telah membelikan anak saya, Amina sebatang pensil berwarna merah yang besar. 


Melihat pensil ini, saya teringat sebuah cerpen bertajuk "Pensil" yang pernah saya baca. Tutup cerita.

Tetapi, semalam, tiba- tiba adik saya bertanya, "Kak pernah tak baca cerpen "Pensil"?

Saya mengiakan. Saya membaca cerpen ini semasa masih di sekolah menengah. Malah, saya pernah membaca cerpen ini dalam versi bahasa Inggeris, sebagai teks soalan kefahaman dalam satu peperiksaan yang saya duduki.

"Mesti pensil yang diceritakan dalam cerpen tu macam ni, kan? Besar dan warna merah."

Lalu, timbullah semula kisah "Pensil" itu. Saya memberitahu adik saya, KERANA "PENSIL" ITULAH, APABILA SAYA MENJADI GURU, SAYA BERUSAHA SEDAYA UPAYA UNTUK MENDENGAR ADUAN MURID DAN MENANGANINYA SEADIL MUNGKIN.

Sebabnya?

"Pensil" mengisahkan tentang seorang murid miskin yang tinggal dengan neneknya. Dia tertarik dengan sebatang pensil berharga 50 sen yang dijual di kedai. Baginya, pensil itu istimewa kerana bersaiz besar dan berwarna merah. Dia meminta neneknya membelikan pensil itu tetapi neneknya tidak berduit. Disebabkan terlalu ingin memiliki pensil itu, dia mengambil upah menoreh getah(?) dan akhirnya berjaya memiliki pensil itu.

Malangnya, pensil itu dicuri oleh seorang kawannya. Dia marah dan menumbuk kawannya itu (kalau tak salah). Pergaduhan mereka mendapat campur tangan guru. Dia mengadu tentang perbuatan kawannya itu kepada gurunya, tetapi, akhirnya guru tersebut tidak membuat keputusan yang adil, dan dia tidak mendapat semula pensilnya. 

Akibat kejadian tersebut, murid itu demam dan meracau- racau menyebut pensil semasa tidur. Ini menunjukkan betapa besarnya kesan kehilangan pensil itu terhadap jiwanya. Selepas beberapa lama, demamnya kebah dan dia kembali ke sekolah.

Tetapi, dia kini bukan lagi dia yang dahulu, seorang murid yang baik dan patuh. Dia telah berubah menjadi seorang murid yang nakal, sentiasa mengusik kawan- kawan dan merosakkan harta benda sekolah. Apabila dimarah dan dihukum, dia tidak menangis, sebaliknya menerima hukuman itu dan tersenyum puas.

Sekali lagi dia mengumpul wang. Tapi, kali ini dia sudah tidak berminat dengan pensil. Sebaliknya dia membeli pisau lipat dengan wang itu...

Saya tidak begitu ingat dengan pengakhiran cerita ini. Kalau tak salah, dia ada menikam kawan yang mencuri pensil itu dengan pisau lipatnya.

Apapun, sebagaimana kehilangan pensil itu meninggalkan kesan yang besar kepada murid tersebut, begitulah pembacaan cerpen ini telah meninggalkan kesan yang besar terhadap saya. Saya menginsafi bahawa tugas guru bukan sahaja mengajar tetapi jauh lebih besar daripada itu. Betapa kesilapan guru akan meninggalkan kesan mendalam, malah boleh 'membunuh' seorang manusia.

Betullah kata- kata hikmah If a doctor makes a mistake, he kills a patient, but if a teacher makes a mistake, he kills A GENERATION. 

Saya kira, setiap guru dan bakal guru WAJIB membaca dan MENGAMBIL IKTIBAR daripada cerpen ini. Saya tak ingat penulisnya siapa, tetapi bagi saya karya ini cukup "berjasa".

Terlanjur berbual tentang "Pensil", saya teringat pula cerpen "Beruk", karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Juga berkisar peranan dan tugas guru. Adik saya tidak pernah membacanya, lalu saya pun membuka cerita.

Ceritanya?

Nampaknya saya kena sambung dalam entri lain sebab entri ni dah panjang sangat la.

Bersambung....

Wednesday, March 21, 2012

MTQ Lagi!

Seperti tahun- tahun lepas, Majlis Tilawah al-Quran diadakan lagi. Bezanya, tahun ini saya tidak lagi menjadi jurulatih nasyid. Saya tak larat nak memainkan peranan yang berat tu. Saya cuma sediakan lirik dan bantu murid menguasai sebuah lagu, yang selebihnya diuruskan oleh Cikgu Fazlin, guru ganti kepada GPI sekolah saya yang bersalin.

Sekarang saya di sekolah, tengah latih murid yang menjadi peserta hafazan al-Quran. Saya sukakan tugasan ini. Selain agak ringan sebab saya tak perlu bergerak sangat, dan muridnya cuma 2 orang, saya memang suka menghafaz al-Quran. Sambil bimbing murid- murid ini, saya pun turut sama menghafaz dengan mereka. Saya harap, baby dalam perut ini pun turut menghafaz bersama kami. Saya harap sangat anak ini bakal menjadi seorang Al-Hafiz suatu hari nanti.

Saya rasa baby ni sukakan bacaan al-Quran dan nasyid. Apabila mendengar kedua- duanya, dia akan bergerak- gerak dengan agak aktif. Kalau mendengar muzik lain, dia tidak pula beri tindak balas yang sama. Mungkin sebab Mamanya asyik mengajar al-Quran dan melatih nasyid, jadi kecenderungannya ke arah itu.

Oh ya, baru- baru ini, saya juga melatih nasyid bagi pertandingan peringkat sekolah sempenan Maulidur Rasul. Pertandingan diadakan antara rumah sukan. Alhamdulillah, walaupun tidak sehebat mana, kumpulan yang saya latih bersama Teacher Zirah berjaya menjadi Johan!

Inilah hasil latihan yang kami buat sebanyak 4 kali dalam masa seminggu :

:

Friday, February 24, 2012

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Felda

22 Februari lepas, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Felda Sri Jaya diadakan di masjid.

Seperti biasa, kami di sekolah juga terlibat dengan perarakan dan majlis tersebut.

Pihak felda minta supaya sekolah sediakan persembahan nasyid. Saya ditugaskan untuk melatih murid- murid.
Saya buat je sekadar termampu. Untuk suka- suka.

Terima kasih kepada Teacher Zirah yang sudi membantu saya melatih budak- budak ni!


Wednesday, February 8, 2012

Kem Bestari Solat 1 2012

Alhamdulillah, Kem Bestari Solat 1 bagi murid- murid Tahun 1-6 pada tahun ini telah pun dijalankan!

Pada tahun lepas, saya berasa berdosa sangat sebab KBS hanya dapat dijalankan 2 kali sepanjang tahun (sepatutnya 4 kali). Saya rasa bersalah sebab tak menunaikan tanggungjawab dengan baik. Tapi, tahun lepas memang bukan saya yang jadi penyelaras bahagian ini.

Tahun ini, dari awal tahun saya merancang untuk mengadakan KBS secepat mungkin. Nampaknya memang KBS yang menjadi pembuka program kokurikulum. Saya merancang semuanya sebab takut tak sempat lagi untuk melaksanakan keempat- empat kem memandangkan hujung April ini saya akan mula bercuti panjang pula.

Lebih menyeronokkan, KBS bagi tahun 3-6 dijalankan di Masjid Felda Sri Jaya dengan kerjasama daripada pihak masjid. Seronok rasanya apabila pak- pak imam yang berpengalaman mengajar anak- anak ni solat jenazah. Saya rasa ilmu yang mereka beri itu sangat bernilai. Saya sendiri tidak mampu nak beri sebagaimana mereka. Yalah, mereka lebih berpengalaman dalam bidang ni. Saya rasa, budak- budak ni pun seronok apabila dibimbing oleh pak-pak imam tu berbanding dengan kami, ustaz ustazahnya.

Taklimat oleh Imam Haron sebelum kem dimulakan


Penerangan tentang solat jenazah oleh Imam Tarmidi

Amali kedudukan imam dan makmum semasa solat

Insya Allah, KBS 2 akan diadakan pada awal April, sebelum saya bercuti untuk menyambut kehadiran orang baharu.

Wednesday, November 9, 2011

Majlis Khatam al-Quran j-QAF 2011

Hari ini sekolah kami mengadakan Majlis Khatam al-Quran j-QAF buat kali pertama dalam sejarah sekolah. Sebabnya, tahun ini tahun pertama murid j-QAF berada dalam tahun 6.

Majlis dibuat sederhana sahaja. Dua tiga minggu kebelakangan ini, banyak sangat tugasan dan program yang perlu dibuat sampai saya rasa agak kelam- kabut menguruskan tugasan yang diberi.

Dalam majlis ini juga, penyampaian hadiah bagi murid- murid yang cemerlang dalam al-Quran, Bestari Solat, Bahasa Arab & Jawi dijalankan. 2 orang tokoh murid j-QAF juga dipilih, Muhammad Ikhwan Hafiz b Bahrom dan Nurul Izzatie bt Mohd Hanafiah.

Murid Tahun 6 SKSJ

Murid- murid yang menerima hadiah penghargaan

Wednesday, June 29, 2011

Penemuan Yang Menakjubkan!

Saya telah menemukan sesuatu yang ajaib!

Saya menjemput seorang murid tahun 4 yang dikenali sebagai SANGAT LEMAH ke rumah. Saya berniat untuk membimbingnya membaca kerana dia dikatakan belum dapat membaca dengan lancar. Murid ini saaaangaaat pendiam. Nak menjawab “Ya” atau “Tidak” pun susah. Kebanyakan guru langsung tidak berjaya membuatnya membuka mulut, tetapi dengan saya, sekurang- kurangnya dia mahu juga mengikut apa yang saya baca di dalam kelas.

Mula- mula, saya mengajarnya membaca huruf hijaiyah. Memang dia masih lemah dalam bab ini. Selepas itu, saya mengajarnya membaca Bahasa Melayu pula.

Terkejutnya saya! SEBENARNYA DIA SUDAH BOLEH MEMBACA DENGAN LANCAR! Bukan itu sahaja, dia juga boleh memahami apa yang dibaca dan dapat menjawab soalan- soalan yang saya tanya secara lisan.  

Saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat dan dengar. Saya berasakan apa yang saya alami ini ialah SATU PENEMUAN YANG AMAT MENAKJUBKAN! Saya siap merakam aktivitinya membaca dan menjawab soalan untuk menunjukkannya kepada Ketua Panitia Bahasa Melayu pada esok hari.

Saya tertanya- tanya kenapa dia terlalu pasif dan gagal dalam pelajaran Bahasa Melayunya? Di dalam kelas, dia kelihatan seolah- olah tidak faham apa pun yang diajar. Memang dari tahun 1 lagi dia tidak mahu bercakap.

Saya menepuk- nepuk bahunya. Saya katakan dia seorang murid yang pandai dan boleh berjaya. Saya sangat yakin dia boleh membuat suatu momentum lonjakan yang mengejutkan semua orang. DAN SAYA BERNIAT UNTUK TERUS MEMBIMBINGNYA SUPAYA DIA DAPAT MEMBUAT LONJAKAN TERSEBUT!

Ya Allah, bantu saya! Saya mahu membantunya!

Kasih Seorang Guru

Saya sedang menunggu untuk masuk ke kelas 5B.Setelah beberapa minit menunggu, guru Matematik yang mengajar di kelas itu keluar. Dia menghampiri saya dan berkata :

"Awak tolong pujuk Nazirah tu. Dia menangis. Saya rotan dia sebab tak siap kerja rumah. Tapi, sebenarnya saya rasa kasihan padanya. Dia kan anak yatim."

"Tapi saya merotannya sebab saya sayangkan dia."

Saya lihat mata cikgu tu merah dan berair sedikit. Hati saya pun tersentuh.

Cikgu Matematik itu ialah seorang guru lelaki yang paling garang dan digeruni oleh murid- murid sekolah kami. Umurnya dah lebih 40 tahun. Saya tahu, walaupun dia garang, dia sebenarnya seorang yang penyayang. Tetapi, baru hari ini saya melihat dia menunjukkan kasih sayang dan sifat kebapaannya dengan jelas.

Saya masuk ke kelas dan memujuk murid yang menangis itu. Murid itu sebenarnya murid yang baik. Mungkin ada sebab dia tidak dapat menyiapkan kerja rumahnya sebab itulah dia sedih sangat apabila dirotan. Tapi saya tahu tindakan guru itu betul kerana beliau mesti bersikap adil kerana murid lain yang tidak siap kerja juga dihukum. Saya bertanyakan masalahnya, tetapi dia tidak dapat menjawab kerana sedang teresak- esak menangis. Saya katakan kepadanya, sekiranya dia ada masalah, dia boleh datang berjumpa dengan saya untuk mengadu. Saya sudi mendengarnya.

Saya berasa tersentuh dengan peristiwa itu. Betapa kasihnya seorang guru kepada murid, walaupun secara luarannya guru tersebut nampak garang dan kasar. Saya percaya ramai dan kebanyakan guru bersifat demikian.

Alangkah baiknya jika murid- murid dapat memahami betapa guru sayangkan mereka! 

Wednesday, May 18, 2011

Biarku Menjadi Lilin


Acara menyusun hadiah sebelum majlis bermula

Sebahagian guru SKSJ

Baru beberapa minit main bola, cikgu- cikgu dah habis tenaga. Memang tak ada stamina!

Pasukan bola sepak guru SKSJ yang ayu tapi brutal


 Kek Hari Guru- Hadiah dari seorang bapa murid. Terima kasih kepada Encik Ayob!

Jamuan Hari Guru. Juga disumbangkan oleh 2 orang guru yang baik hati. Syukran kathira!

Hadiah Hari Guru 2011. Terima kasih murid- murid Cikgu!

Murid ni dah berada di Tingkatan 3. Tetapi hadiahnya tetap sampai kepada saya saban tahun. Tak tahulah kenapa dia ingat sangat dengan saya. Apapun, terima kasih. Saya doakan pemberinya, Mastura Mohd Dom, menjadi seorang murid, anak, warga dan hamba-Nya yang solehah. Semoga dia berjaya dalam kehidupannya!

Saturday, May 14, 2011

Menjadi Penyelamat Daerah Ledang?Heee...heee

Emmm, semalam satu peristiwa berlaku dalam hidup saya. Peristiwa tu taklah sebesar mana pun, tapi besarlah bagi insan sekecil saya.
Saya menghadiri Mesyuarat AJK Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Johor di Pejabat Penerangan Daerah Ledang, Tangkak. Dalam mesyuarat tersebut, Pegawai Penerangan Daerah Ledang menunjukkan skrip yang saya tulis dan berkata :
“Saya berterima kasih pada cikgu ni. Dia dah SELAMATKAN DAERAH LEDANG. Kalau dia tak tulis skrip ni, kita tak ada wakil untuk pertandingan tu. Saya dah minta pada komuniti lain tapi tak ada pun yang sanggup. Nasib baik dia tulis skrip ni.”
Waaah, tak sangka tiba- tiba saya menjadi seorang savior. Saya tahu pegawai tu berlebih- lebih dalam ucapannya. Saya rasa agak malu bercampur dengan seronok dan bangga.
Lebih seronok lagi, saya diberi saguhati RM100 untuk skrip 7 muka surat yang saya hasilkan dalam masa lebih kurang sehari setengah tu.
Semuanya berlaku secara tak sengaja. Seorang cikgu di Durian Chondong dapat tahu yang saya pernah menjadi Johan Pertandingan Penulisan Skrip anjuran FINAS, dua tahun lalu. Jadi, apabila jumpa dengan saya, dia tanya sama ada saya berminat tak nak sertai pertandingan Pengkisahan Kenegaraan yang dianjurkan setiap tahun oleh Jabatan Penerangan. Saya katakan saya berminat  juga nak tahu tentang perkara tu.
Lalu, dia berikan saya sedikit maklumat dan tema pertandingan. Dia minta saya buat sebuah skrip tentang salah seorang Perdana Menteri. Pada mulanya, saya tak ambil serius perkara tu. Saya anggap, kalau ada masa, saya buatlah, kalau tidak, tidaklah.
Tiba- tiba, tiga hari sebelum tarikh tutup penyerahan skrip, dia muncul di sekolah saya. Saya tak buat satu apa pun lagi!!!
Disebabkan malu kepadanya,  saya berjanji untuk siapkan skrip tu dalam masa dua hari. Lalu, terhasillah…TUN DR MAHATHIR MOHAMED:ANUGERAH ILAHI  BUAT KAMI.
Tak sangka pula skrip yang disiapkan itu mendapat komen daripada Pegawai Penerangan Daerah Ledang:
“Kalau berdasarkan skrip ni, saya tahu boleh menang. Sekarang cuma tinggal cara pementasannya saja.”
Haaa…haaa…haaaaa. Nampaknya semuanya lebih rumit daripada apa yang saya fikirkan. Sekarang saya perlu bersedia untuk pementasannya pula. Saya kena sediakan slaid untuk prop dan kena berlatih sebagai pencerita untuk pementasan tu.
Apapun, ALANG- ALANG MENYELUK PERKASAM, BIAR SAMPAI KE PANGKAL LENGAN! Saya akan cuba buat yang terbaik. Semalam, saya jumpa dengan beberapa orang ketua kampung dalam daerah Ledang ni yang meletakkan harapan besar supaya kami boleh menjadi Johan negeri bagi mengharumkan nama daerah Ledang. Perkara ni sangat baharu bagi saya tapi saya sukakannya sebagai satu  pengalaman baru.
Seronok juga sesekali buat sesuatu di luar rutin.                                                                                                        
Semoga Allah bantu saya!

Sunday, May 8, 2011

Menjadi "Teacher-Mu'allimah"

Pihak sekolah minta saya membantu untuk meningkatkan pencapaian Bahasa Inggeris UPSR. Jadi, saya diberi 4 orang daripada 16  orang murid yang disasarkan untuk menjadi murid cemerlang UPSR 2011.

Lalu, jadilah saya “Teacher-Mu’allimah”. Bertambah tugasan. Tapi, tak apalah, demi murid- murid. Kepercayaan yang diamanahkan ini akan saya jalankan sebaik mungkin.

Saya dah pun mulakan study group saya tu semalam dan malam Sabtu. Tempatnya, di meja makan rumah saya. Santai- santai je.

Bahasa Inggeris selalu menjadi subjek yang mendatangkan masalah kepada murid- murid Melayu, terutamanya bagi murid sekolah luar bandar.
2 orang daripada murid saya ni agak bagus juga. Tapi secara keseluruhannya, penguasaan kosa kata dan tatabahasa mereka masih lemah. Saya rasa seronok dapat bimbing mereka sebab saya tahu, mereka mahu belajar tapi agak susah kalau tanpa bimbingan. Maklumlah, pelajaran bahasa bukanlah sesuatu yang mudah untuk didalami.

Saya taklah pandai sangat sampai boleh jadi seorang teacher. Tapi yang pastinya, saya mesti la lebih pandai  dari mereka. Sekurang- kurangnya, saya tahu kenapa ayat mereka salah, saya tahu bila nak guna simple past, simple present, past continuous, present continuous, bila patut guna articles dan bila tidak… bla…bla…bla…

Apapun, “memberi” itu sangat menyeronokkan. Terutamanya apabila dapat “memberi” kepada yang memerlukan dan mahukan.

Saya pun berasa seronok dengan kesibukan ini. Maksud saya, kesibukan yang saya rasa bermanfaat untuk murid dan mampu saya buat. Kesibukan macam ni tak memberatkan otak, sebaliknya boleh membuatkan saya melupakan masalah- masalah lain yang menyerabutkan fikiran. Tapi saya tak suka kalau terpaksa sibuk dengan fail, buat laporan menipu dan tah apa- apa lagi.

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian saat kau kegelapan
Kurela menerangkan

Aku senang begini dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri

Tuesday, April 19, 2011

Kebahagiaan Seorang Mu'allimah

Hari ni saya membentangkan laporan prestasi murid- murid pemulihan al-Quran saya kepada Guru Besar.
Bahagia dan seronok melihat perkembangan mereka.

Tiga orang daripada lapan mereka dah boleh membaca al-Quran. Dua orang masih perlu bimbingan untuk membaca ayat.

Saya rakamkan video mereka membaca al-Quran. 3 orang murid ini, semasa penilaian prestasi dibuat pada 15 Januari lepas, mereka masih tertukar- tukar huruf. Yang paling baik pun hanya dapat membaca sehingga baris dua di atas sahaja.

Gembiranya saya apabila mereka sudah dapat membaca al-Quran, walaupun belum lancar sepenuhnya! 


Tuesday, April 12, 2011

BIAR ORANG CINA PIMPIN ISLAM


Saya tertarik dengan tajuk buku ni. Tapi belum sempat memiliki dan membacanya.

Dulu- dulu, saya memang agak taksub dengan orang Cina. Kawan- kawan baik di universiti yang masih tak putus hubungan sampai sekarang pun budak- budak Cina. Sangat rapat sampai ikut saya balik kampung. Saya suka tengok cerita Cina, terutamanya kisah kekeluargaan, dan bercita- cita nak kahwin dengan orang Cina.

Tapi, sekarang ketaksuban tu dah tak ada lagi. Jadi biasa- biasa je.Mungkin benar lirik lagu Antara Dua Cinta yang menyebut :
Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan...
Nikmat yang dikecap barukan terasa bila hilang....
Apa yang diburu timbul rasa jemu bila sudah di dalam genggaman....

Apapun, judul buku ini sangat menarik. Agak kontroversi. Terasa sangat nak tahu kandungannya.

*************
Kawan saya pula sangat taksub dengan bekas Baba Nyonya ini. Dah beberapa kali kami ke Melaka untuk meninjau tapi belum berjaya memilikinya. Memang betullah ....."Apa yang tiada sering dirisaukan..."


Thursday, April 7, 2011

Soutun Najah, Yaumun Najah


Majlis Tilawah al- Quran Zon Bukit Gambir berlangsung pada hari ini.

Nama kumpulan nasyid saya Soutun Najah. Maknanya Suara Kejayaan, diambil sempena nama sekolah yang ada perkataan JAYA.

Dalam pertandingan hari ini, kumpulan Soutun Najah berjaya mendapat Naib Johan. Alhamdulillah, tak sia- sia penat lelah selama lebih kurang 2 minggu.

Bukan itu sahaja, sekolah saya berjaya mendapat Johan dalam pertandingan Berzanji (L), Tulisan Jawi/ Khat (L) dan Tulisan Jawi/ Khat (P).

Kejayaan yang melayakkan sekolah kami menggondol hadiah JOHAN KESELURUHAN ZON BUKIT GAMBIR!

Dalam kesyukuran menyambut kemenangan, datang pula berita yang sekolah kami juga menjadi JOHAN perlawanan bola sepak!

Syukur!!! Nampaknya hari ini ialah Yaumun Najah atau Hari Kejayaan bagi kami!

Kumpulan Soutun Najah

Peserta- peserta MTQ SKSJ 2011

Suasana gembira warga SKSJ ketika diumumkan sebagai Johan Keseluruhan

Bersama peserta hafazan. Mereka tak dapat hadiah tapi insya Allah tahun hadapan ada rezekinya....

Thursday, March 24, 2011

Yang Paling Saya Benci

Akhirnya datang juga saat- saat yang paling saya benci dalam setiap tahun persekolahan.

Latihan nasyid! Tahun ni ialah tahun ketiga berturut- turut saya kena jadi jurulatih nasyid.

Saya tak suka sebab saya tak pandai main alat muzik, tak berbakat dalam nyanyian, suara pun tak sedap, jadi sesuai ke saya latih nasyid?

Tahun ni saya minta untuk latih murid hafazan al- Quran, sesuatu yang saya minat, dengan niat tak mahu latih nasyid lagi. Rupa- rupanya saya kena latih dua- dua.

Tak apalah. Niat saya untuk tumpukan lebih kepada hafazan al-Quran. Saya dah berjanji dengan murid tu, dalam usaha menggalakkan dia, yang saya nak menghafaz bersama- sama dengannya.

Saya berharap tahun ni hafazan sekolah saya akan dapat tempat dalam pertandingan MTQ nanti. Sebelum ni, belum dapat. Tahun lepas, hanya nasyid kami dapat tempat ke-3. Pertandingan lain semua tak dapat.

Saya ingatkan murid tersebut, niatkan menghafaz kerana Allah, bukan semata- mata untuk bertanding.

Moga- moga berjaya....

Wednesday, March 23, 2011

Muridku Yang Comel

Saya berasa seronok dengan telatah seorang murid Tahun 1.

Murid ini tergolong dalam kumpulan murid lemah.

Seperti biasa, apabila saya masuk ke kelas, selepas salam dan doa, saya akan memberi ucapan selamat pagi, selamat petang, selamat malam dan selamat datang dalam Bahasa Arab. Murid- murid akan menjawabnya.
Ucapan selamat malam dalam bahasa Arab panjang. Jawapannya juga panjang dan memang jarang murid ingat. Setiap tahun pun begitu.

Tetapi, apabila saya memberi ucapan “Tushbiha ‘Alal Khair” semalam, si Haziq Akmal yang comel tapi tak tahu duduk diam ni menjawab dengan kuat dan yakin, “Wa Anta Min Ahlih”.

 Eh, eh, terkejutnya saya. Saya memandangnya dan berkata, “Ahsanta, ya Akmal”. Dalam ramai- ramai tu, si Akmal ni yang ingat jawapannya. Dia tersenyum bangga dan menjawab, “Kita ulang-ulang kat rumah”.

Tiba- tiba saya perasan dengan gelagat si Akmal ni. Kalau duduk sorang- sorang atau sambil buat kerja, dia akan membebel- bebel sebut perkataan- perkataan Arab yang dia tahu, terutamanya ayat- ayat mudah yang selalu saya gunakan dalam kelas seperti Iqraud du’a, qiaman, ijlisuu, ahsanta…

Mungkin murid ni minat Bahasa Arab walaupun dia tak pandai sangat. Saya rasa seronok tengok sikapnya tu. Moga- moga dia berjaya dalam pelajarannya.  

Saturday, March 5, 2011

Beban Tugas Murid

Seperti biasa, selepas Maghrib murid- murid saya datang mengaji di rumah. Salah seorangnya ialah Fariz, si kecil 7 tahun. Dia datang bersama 2 abangnya dan rakan- rakan serumah saya menggelarkan mereka The Three Stoogers.


Mereka ni comel-comel dan baik- baik budaknya. Masalah mereka ni, ayah mereka selalu datang ambil anak- anaknya lewat. Kadang- kadang sampai tertidur anaknya di rumah saya. Pernah sekali sampai saya kena dukung 2 orang anaknya keluar sebab mereka dah tertidur lena dan tak dapat dikejutkan lagi.

Saya tengok Fariz tersengguk- sengguk mengantuk semasa mengaji. Saya tanya kepadanya, tak tidur siang ke? Abangnya memberitahu yang dia siapkan kerja rumah pada waktu petang. Lalu saya katakan "Tak apalah, kerja rumah dah siap, balik nanti boleh terus tidur." Jawabnya, "Ada sikit lagi kerja yang tak siap. Tiga"

Kasihannya saya kepada murid- murid ni. Saya tahu jadual waktu mereka sangat padat. Pagi ke sekolah, petang ke sekolah lagi. Kena pula haddir kelas tasmik, kelas tambahan malam dan sebagainya. Kadang- kadang saya terfikir, bila agaknya masa untuk mereka buat kerja sekolah?

Saya rasa kanak- kanak Malaysia masa kini sudah kehilangan zaman kanak- kanak mereka. Mereka terpaksa hidup di luar fitrah seorang kanak- kanak. Kanak- kanak memang perlu belajar dan diajar. Tetapi, pengajaran bukan semestinya aktiviti di dalam kelas sahaja. Mereka sepatutnya diberi kebebasan untuk bermain dan meneroka dunia ini. Mereka akan dapat banyak belajar melalui pemerhatian, pergaulan dan sebagainya. Tetapi, sistem pendidikan yang menitikberatkan peperiksaan telah memusnahkan keindahan zaman kanak- kanak mereka.

Sebagai orang dewasa, ada kalanya kita membantah apabila diberi tugasan luar kemampuan, kita ada teman- teman, atau saluran lain untuk meluahkan perasaan, kita ada cara untuk melepaskan tekanan. Kita boleh minta cuti rehat, pergi melancong, keluar membeli- belah atau mencari hiburan lain untuk meredakan tekanan.

Tetapi, bagi kanak- kanak, apa yang boleh mereka buat? Malah mereka tak tahu pun yang mereka sedang dibebani dan mereka sedang rasa tertekan. Tapi perasaan tersebut wujud dalam diri mereka, terkurung bertahun lamanya tanpa mereka sedar. Lalu muncullah tingkah laku luar kawal sebagai luahan perasaan atau cara untuk mereka meredakan tekanan.

Kasihan anak- anak kita. Saya bimbang kalau keadaan ini berterusan, masyarakat Malaysia 20 tahun lagi terdiri daripada manusia yang tidak sihat mental dan emosinya. Tapi apa yang saya boleh buat? Sebagai manusia kecil, saya hanya mampu berdoa, dan saya cuba wujudkan keceriaan semasa  proses pengajaran saya supaya murid- murid ini dapat menikmati alam kanak-kanak mereka.

Kasihan Fariz!

Sunday, January 23, 2011

Belajar Dalam Mengajar

Jika murid tidak dapat belajar dengan cara kita mengajar,
 kita mesti MENGAJAR MEREKA dengan CARA MEREKA BELAJAR

Heeem, rutin saya dah bermula.Pada minggu ketiga ni, kelas literasi al-Quran dan kelas tasmik di sekolah dimulakan.Dalam masa yang sama, kelas mengaji saya yang dibuat selepas Maghrib juga dimulakan. Jadi, saya pun MULA SIBUK macam biasa. 

Pagi, ke sekolah seawal jam 6.45, kelas literasi 6.50 - 7.20 pagi.

Kelas tasmik akan habis pukul 3.00 petang.

Balik rumah, khidmat diri dan berehat.

Usai solat Maghrib, budak- budak mengaji pun datang.

Saya menyenangi rutin ini. Segalanya MENAMBAHKAN WARNA DAN RASA...dalam kehidupan saya...sebagai seorang manusia.

Saya sukakan kelas literasi al-Quran yang saya buat pagi-pagi buta tu. Saya rasa, murid-murid lemah yang saya ajar tu lebih mudah menerima pelajaran pada waktu tu. Maklumlah, suasana masih segar,otak mereka pun belum penat. Saya rasa saya dah buat pilihan waktu yang tepat.

Satu lagi yang saya sangat senangi ialah mengajar tillawah al-Quran Tahun 5B. Sebabnya, murid saya 3 atau 4 orang sahaja. Saya diberi kumpulan kecil sebab jadual saya hanya mengizinkan saya masuk 3 daripada 4 waktu yang diperuntukkan. Kumpulan selebihnya diajar oleh ustaz dann ustazah lain.

Saya mengajar 3 orang murid yang paling lemah.Saya perhatikan, murid-murid ini lebih mudah menerima apabila diberi lebih perhatian. Seorang murid saya sangat susah ingat huruf Qa. Dia mesti akan baca huruf tu Fa. Masalahnya, dia tak akan dapat membetulkan sendiri kesalahan tu apabila diberitahu dia salah. Balik- balik kita juga yang mesti memberitahu huruf yang betul kepadanya. 

Pening kepala saya dengannya. Saya katakan kepadanya:

"Cikgu tau Akma sayang sangat dengan cikgu. Sebab tu Akma asyik nak sebut Fa saja, nama cikgu kan. Ok, hari ni Akma betulkan, beri sikit sayang tu pada Qais (kebetulan ada seorang murid kelasnya bernama Qais). Kalau titik satu,  nama cikgu, kalau hurufnya titik dua,dia jadi Qais."

Dia ketawa. Tetapi, dalam masa sehari dia dapat ingat huruf yang dia asyik lupa tu. 

Dalam mengajar, saya sebenarnya banyak belajar.Terutamanya daripada anak-anak yang agak lemah ini. Saya belajar erti kesabaran, saya belajar memahami dan saya juga belajar kreativiti.

Semoga Allah terus bukakan mata hati saya untuk belajar! Syukran Ya Allah.

Wednesday, January 19, 2011

Kisah AZIM lagi...

Saya masih berfikir- fikir tentang perkataan AZIM yang menjadi kontroversi. Saya teringat yang di dalam al-Quran, kalimah Azhim bukan sahaja digunakan untuk merrujuk kepada sifat Allah s.w.t. tetapi juga digunakan untuk menyifatkan benda- benda lain.

Lalu saya buka Kitab Mu'jam al-Quran yang ada dalam simpanan. Di sini saya petik beberapa contoh penggunaan kalimah Azhiim dalam al-Quran :

1) Azab yang hebat :

"Allah telah menutup atas hati mereka dan atas pendengaran mereka dan atas penglihatan mereka terdapat tutupan (sehingga mereka tidak melihat kebenaran) dan bagi mereka seksaan yang sangat hebat ('azaabun 'aziim)
Al- Baqarah : 7 
2) Pahala/ ganjaran yang besar :

"....bagi orang-orang yang berbuat baik di antara mereka dan yang bertakwa, pahala yang besar (ajrunn 'aziim)
Ali Imran : 172

3) Hari Kiamat

"Katakanlah, sesungguhnya aku takut apabila aku menderhakai Tuhanku, (aku akan mendapat) seksaan pada hari yang dahsyat (yaumun 'aziim)
Al- An'aam : 15

Ada beberapa lagi perkataan tersebut digunakan untuk menyifatkan benda-benda lain. Malah, perkataan al-'Azhiim juga turut digunakan untuk menggambarkan perkara lain seperti kehinaan (al-khizyu - rujuk Al-Taubah : 63), keutamaan (al-fadhlu - Al-Baqarah : 105, Al-Jum'ah : 4).

Saya teringat juga negeri Melaka yang diberi gelaran Darul Azim. Dalam erti kata lain Dar al-Azim...tak ada pula mufti yang menegur!

Tuesday, January 18, 2011

Kisah Azim

Lewat Asar semalam, seorang ibu mengunjungi rumah saya.

Saya tertanya- tanya...gerangan apa?Sebab hal itu bukan biasa. Melainkan ada perkara penting yang hendak dibicara.

Setelah dipelawa duduk dan sedikit basa-basi, si ibu mengutarakan persoalan. Masalahnya ialah berkenaan nama anaknya, AZIM. Menurutnya, seorang guru di sekolah telah menegur nama anaknya. Kata guru itu, namanya berkait dengan nama Allah. Oleh sebab itu, tidak boleh diletakkan namanya Azim, perlu diberi tambahan seperti Abdul. Sebab itu juga, namanya MESTI  ditukar. Kalau tidak mungkin akan menjejaskan kehidupannya pada masa akan datang. Mungkin akan memberi masalah mungkin kepada keturunannya ...menurut kata guru itu, seperti yang diceritakan kepada saya.   

Si ibu pening berfikir. Bagi orang kampung yang berpendidikan rendah sepertinya, perkara itu mengelirukan. Katanya, puas dia berfikir dan berbincang dengan suaminya. Sebabnya, untuk menukar nama anak, bukanlah suatu perkara yang mudah. Untuk berulang- alik ke pejabat pendaftaran yang letaknya 60 km dari tempat kami, tentunya sukar, apatah lagi bagi orang yang hanya bermotosikal sepertinya.Tambahan pula, nama yang digunakan sejak kecil, bukan senang untuk diubah. Dengan nama itu dia didaftarkan di sekolah, dan nama itulah yang tercatat pada sijil- sijilnya selama ini. 

Sudahnya, suaminya menyuruh dia bertanya kepada orang lain yang lebih tahu.. Dan dia ke rumah saya kerana saya ustazah.

Saya memberi jawapan mudah. TAK PERLU DITUKAR. Saya tahu yang si ibu ini tak akan faham kalau saya terangkan tentang wazan- wazan dalam bahasa Arab. Tentang nama Aazim atas wazan faa'il dan nama Aziim atas wazan fa'iil yang termasuk dalam shighah mubalaghah (membawa makna bersangatan). Ada pula al- Aziim  yang lain pula maksudnya. Cuma saya katakan, al-Aziim itu sifat Allah. Jadi kalau mahu letakkan, mesti ditambah Abdu yang bermaksud hamba. Jadinya Abdul Azim yang maknanya Hamba Yang Maha Agung.

Si ibu rasa lega kerananya katanya dia cukup risau apabila guru tersebut berkata begitu, yang nama anaknya itu menyerupai nama Allah. Saya tambah lagi, kalau tak mahu nama itu menyerupai nama Allah, boleh ubah pula pada ejaan Jawinya. Kalau tadi, Azim yang bermaksud agung atau hebat dieja dengan huruf zho, ubah ejaannya kepada huruf zai. Maknanya akan menjadi "orang yang berazam, atau bercita-cita." Maknanya tetap baik juga.

Emmm, kadang-kadang saya rasa pelik dengan manusia ni, yang sebenarnya tak la sepandai mana, tetapi suka nak menunjuk pandai. Lebih teruk lagi jika dia nak menunjuk kepandaian tu dengan cara membuktikan yang orang lain tak pandai atau salah. Walaupun saya sendiri terdidik dalam bidang agama dan tau la sikit-sikit bahasa Arab, saya tak biasa menegur orang secara menyusahkan begitu. Saya selalu katakan, "Kalau tak salah saya...." atau, "Rasanya begini, elok akak rujuk semula pada orang  yang lebih alim...".

Ramai orang yang ada ilmu, malah alim, tetapi lupa pada sebuah hadis Nabi yang berbunyi "Yassiruu wa la tu'assiruu, basysyiruu wa la tunaffiruu" Permudahkanlah, jangan disusahkan, berilah khabar gembira dan jangan membuatkan orang menjauhkan diri.

Jangan bebankan manusia dengan persoalan-persoalan yang tak seberapa.Tenangkan hati manusia di sekeliling kita supaya mereka senang mendampingi kita supaya dakwah lebih mudah disampaikan. Biar mereka berasa yang mereka dihargai, mereka berpotensi dan mereka punyai harga diri yang tinggi. Sebab fitrahnya manusia itu suka apabila mereka dihargai. Jika ada salahnya, boleh ditegur secara halus tanpa mereka sedari. Ibarat menarik rambut di dalam tepung.

Tetapi, seandainya apabila mereka di samping kita, mereka terasa ditonjolkan segala kelemahan dan kebodohan, semua buah fikiran mereka tak diterima dan sebagainya, sudah tentulah kita akan dijauhi. Hal inilah yang ada kalanya tidak disedari oleh sebahagian orang Islam yang sepatutnya menyampaikan dakwah Islam. Malangnya, hal ini sangat dihayati oleh penyebar agama lain.

Fikir- fikir...renung- renung.....