Sila Klik Sini!

Wednesday, December 29, 2010

Ya Shobuur, Tabahkan Hatiku!

Walaupun dah tiga hari berlalu, rasa sedih da kecewa masih tersisa di hati. Sebabnya? Awal Disember lalu, seseorang telah menawarkan diri untuk menolong saya bertukar ke Selangor. Saya berasakan ini satu peluang baik sebab dah beberapa kali saya memohon tetapi masih gagal. Tambahan pula, ada beberapa sebab yang membuatkan saya rasa sangat perlu keluar dari sini. Dalam masa yang sama, saya telah pun berjanji dengan murid saya, Nurul, untuk membantunya membuat persedian bagi menghadapi UPSR. Saya dalam dilema...antara impian sendiri dengan harapan seorang murid yang telah disandarkan kepada saya.

Lewat istikharah, saya membuat keputusan untuk tidak memajukan permohonan rayuan bertukar itu. Hati saya membisikkan yang saya masih perlu berada di sini.Saya berpuas hati dengan keputusan yang saya ambil.

Tetapi, apabila saya kembali ke sekolah, saya dikejutkan dengan satu berita....PIHAK SEKOLAH TELAH MEMASUKKAN NURUL KE KELAS PENDIDIKAN KHAS! Maknanya...tiada lagi UPSR untuknya. Kecewanya saya! Saya rasa seolah- olah keadaan saya ibarat "yang dikejar tak dapat...yang dikendong berciciran".

Seorang sahabat di sekolah memujuk, "Tak apalah, mungkin Allah jadikan dia tu sebab supaya kamu terus berada di sini. Ada la hikmahnya nanti."

Saya masih sedih. Tapi saya sentiasa yakin bahawa Allah itu Al- 'Aliim dan Al-Hakiim. Dia Maha Mengetahui sedangkan saya penuh dengan kejahilan. Saya takluk di bawah kekuasaann-Nya yang Maha Merancang dan Maha Melaksanakan. 

Mata masih berkaca...tetapi saya terima dengan redha....semoga pertolongan-Nya sentiasa mengiringi langkah saya.

Monday, December 20, 2010

Alhamdulillah...Saya Kembali Menjadi MURID!

Mungkin ramai yang tak tahu bahawa kalimah MURID berasal daripada bahasa Arab. Maknanya ialah "orang yang mengkehendaki". Asalnya daripada perkataan araada yang bermakna "mahu/ hendak".

Lebih kurang 2 minggu lepas, saya mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus, yang diambil daripada  pen drive yang ada dalam kereta Mak. Antara isi ceramah itu, beliau mengingatkan kewajipan kita, sebagai seorang Muslim, mendalami ilmu dalam bidang tafsir al-Quran.

Saya seolah-olah tersedar daripada lena yang panjang apabila mendengar saranan beliau. Teringat semasa masih menuntut di sekolah menengah Arab dahulu, saya sangat meminati subjek Ayat dan Hadis.Dalam subjek ini, satu ayat al-Quran atau satu Hadis Nabi akan diambil dalam setiap tajuk dan dihuraikan (juga dalam bahasa Arab) secara panjang lebar. Apabila dibaca huraiannya, akan bertemulah pula kita dengan ayat-ayat dan hadis-hadis lain yang digunakan untuk menerangkannya. Kitab yang digunakan oleh kami pada masa itu didatangkan dari Mesir dan mendapat pengiktirafan Universiti Al-Azhar.Melalui dua mata pelajaran ini, banyaklah saya belajar tentang hukum- hakam, adab-adab, sekaligus sedikit sebanyak tentang penggunaan bahasa Arab.

Semasa menuntut di universiti, saya masih lagi berpeluang mempelajari mata pelajaran tersebut walaupun tidak sebanyak dahulu.

Usai pengajian di universiti, dan setelah saya khatam bacaan terjemahan al-Quran semasa di Tingkatan Lima dahulu, rasa-rasanya saya tidak ada lagi menekuni mana-mana kitab Tafsir bagi menambah pengetahuan dalam bidang tersebut. Adalah sekali dua saya membelek kitab Hadis Riyadh al-Solihiin yang telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh JAKIM.

Oh, betapa lalainya saya! Umur saya semakin lama semakin berkurangan. Ilmu di dada pun masih lagi cetek walaupun telah bergelar "cikgu". Rasa- rasanya, tiada peningkatan ilmu saya sejak memasuki alam pekerjaan ini.

Ceramah Ustaz Azhar membangkitkan keinginan saya untuk mengkehendaki lebih banyak ilmu lagi. Terutamanya dalam bidang tafsir al-Quran. Pagi ini, saya telah pun memulakan bacaan Tafsir Fi Zilaalil Quran, karya Syed Qutb dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Ustaz Zaky Yusof. Saya akan cuba membacanya sedikit demi sedikit sehingga kesemua  17 jilid itu habis.

Jadilah kembali saya seorang MURID. Segala puji bagi ALLAH yang telah memberikan saya peluang ini! 





Sunday, December 12, 2010

Dalam Sebuah Pencarian...

Saya ke Jeli untuk menghadiri majlis perkahwinan adik sepupu. Majlisnya sederhana. Jauh berbeza dengan kenduri orang Johor.Beginilah tradisi kami.Dalam segala kesederhanaan.

Bila berkumpul ramai-ramai begitu,berjumpalah dengan saudara-mara yang dah lama hilang di mata.

Saya berjumpa dengan Mak Ngah Raihan, sepupu mak.Kali pertama melihatnya, saya terpegun. BENAR, SAYA TERPEGUN.Kenapa?...Sebab saya melihat wajahnya sangat berseri. Seperti ada sinar memancar dari matanya.

Mak Ngah Raihan ni orangnya dah tua. Lebih kurang sebaya dengan mak saya.Sekarang, dia menghabiskan masa tuanya dengan memondok di Pondok Sungai Durian. Agaknya, wajahnya berseri kerana banyaknya amal ibadah. Maklumlah, orang pondok.Tambah membaralah keinginan saya untuk memondok. 

Semasa bersalaman untuk berpisah, saya berkata kepadanya:
"Mak Ngah doakan saya ya. Mak Ngah orang pondok, doa mustajab." Dia cuma ketawa.

Saya muhasabah diri. Ramai mak cik dan pak cik saya yang tinggal di kampung-kampung ini ialah ahli ibadah. Sudah menjadi tradisi mereka bangun seawal jam 3 pagi untuk soat tahajjud. Walaupun kehidupan mereka sangat sederhana, atau sesetengahnya miskin, mereka memiliki sifat qanaah. Mereka ikhlas beribadah, dan berasa cukup dengan kehidupan yang mereka lalui.Mereka memelihara syariat,menyayangi dan memberi sekadar kemampuan mereka.Kehidupan mereka nampak tenang dan tenteram.

Mereka tidak terbilang...tetapi mungkin mereka lebih dekat dengan Tuhan...
BERBANDING SAYA !

Saya rasa jauhnya beza saya dan mereka. Saya juga mengerjakan ibadah, tetapi tak tahulah sejauh mana keikhlasannya (bukan mengharapkan balasan dunia?), saya sentiasa berasakan masih ada sesuatu yang saya kejar , yang belum cukup dalam hidup ni. Saya belum mampu menunaikan solat, berpuasa dan berzikir sebanyak mereka.Kalau dihitung-hitung, masa yang saya habiskan untuk urusan dunia barangkali lebih banyak daripada untuk mengumpul pahala. Malah, kadang-kala, saya rasa putus asa terhadap Tuhan yang tidak mengabulkan permohonan saya.

Mereka hidup serba kekurangan...saya punyai semua kelengkapan. Tetapi...SIAPA YANG LEBIH BAHAGIA? SAYA ATAU MEREKA?

Saya masih dalam pencarian....entah bila akan bertemu jawapan.

Friday, December 10, 2010

Dan Rindu Pun Bertamu Lagi....

Khamis.

Saya ke rumah Ayoh Di (sepupu ayah) di Kota Bharu.Ayoh Di ni ialah antara pak cik yang selalu saya kenang. Sebabnya...semasa saya menuntut dalam Tingkatan 1 di Kota Bharu dahulu, sewaktu itu keluarga saya masih di Kuala Lumpur, Ayoh Di lah yang rajin menjenguk saya di asrama, sekaligus banyak membantu.

Sudah lama saya tak ke rumahnya. Kali terakhir tahun 2004. Ayoh Di ni, masa muda-muda dulu seorang yang cakapnya agak kasar. Tetapi hati beliau baik. Saya masih ingat semasa Ayoh Ya (abang iparnya) meninggal dunia 13 tahun dahulu, Ayoh Di peluk anak Ayoh Ya yang masa tu berumur 11 tahun. Kata Ayoh Di, "Abang Ngah jangan menangis.Ayoh Di ada. Ayoh Di akan jaga Abang Ngah dan adik-adik". Sekarang Ayoh Di nampak lebih cool, seiring dengan pertambahan usianya. Kopiah pula tak lekang dari kepala.

Saya makan tengah hari di rumah Ayoh Di, bersama isterinya Cik Su dan Mak. Lauknya ikan, sayur pucuk paku,ulam-ulaman dan budu. Entah kenapa saya rasa makan tengah hari tu sedap sangat. Kata orang Kelantan, sedap nen gok (lebih kurang sama maksudnya dengan "sehingga menjilat jari" la tu) Saya benar-benar menikmatinya. Tak tahu saya adakah kerana lauk kampungnya atau kerana ada perasa tambahan, iaitu,  kasih sayang dan kemesraan.

Ayoh Di banyak bercerita tentang anak-anaknya, Kamil dan Rahim yang sekarang sedang menuntut di sekolah tahfiz. Jelas terbayang kebanggaan dalam nada suaranya, terutamanya apabila bercerita tentang Rahim yang usianya 14, tetapi sudah menghafaz lebih separuh al-Quran. Saya pun tumpang bangga dengan adik pupu saya itu. Sejuk perut ummi yang mengandungkannya. Rindu nak berjumpa mereka.Kali terakhir berjumpa dulu, mereka masih kanak-kanak sekolah rendah yang nakal.Sekarang dah jadi bakal hafiz, malah, Rahim dah pun jadi imam solat tarawih. Semoga Allah memberkati mereka.

Apabila berkumpul begitu, selain tentang keluarga, perbincangan kami berlegar seputar isu semasa,hukum- hakam dan isi-isi ceramah yang pernah kami dengar. Saya seronok dengan suasana kekeluargaan begini....

DAMAI DAN MESRA.

Jumaat.

Dua minggu berturut-turut saya ke Jalan Dato Pati. Setiap Jumaat, masyarakat di sini akan turun beramai-ramai untuk mendengar orang mengajar. Sebetulnya, ada banyak budaya masyarakat Kelantan yang saya tak gemari. Tetapi, dalam hal ini , saya rasa bangga.Seronok melihat suasana yang hidup pada pagi Jumaat di sini.Sejuk hati melihat gerombolan manusia berkopiah dan bertudung labuh di sana sini. Saya tumbuh remaja dalam suasana seperti ini, dan saya menyukainya. RINDU PUN BERTAMU LAGI....untuk terus berada dalam suasana ini.

Alang-alang berada di Kota Bharu, saya singgah di sekolah tempat saya menuntut ilmu Allah dahulu.Sekolah yang telah melahirkan sekian ramai ulama.RINDU LAGIII.Sekolah saya itu dah  banyak berubah. Bangunan tua setingkat tempat saya belajar dahulu dah dirobohkan dan diganti dengan bangunan bertingkat yang tersergam.


Ini maktabah (perpustakaan). Tempat lepak saya. Di dalam bangunan yang kecil ini, saya meneroka dunia yang besar melalui pembacaan khazanah berharga yang ada.

Masjid Tengku Amalin Aisyah Petri. Satu lagi tempat lepak saya.Malah, masa Tingkatan 4 saya pernah ponteng kelas dan datang tidur kat sini. Nakal masa tu.

Maahad Muhammadi yang melahirkan jiilul Quran (generasi al-Quran)

Syukran, mak dan ayah sebab hantar saya ke sini!

Saya rindu nak kembali ke sini. Saya rasa saya dah tersasar jauh daripada cara hidup asal yang diterapkan dalam diri saya.Saya nak dekat dengan Allah...jauh dari maksiat. Saya nak menekuni kitab-kita sebagaimana yang saya buat dahulu.Saya nak jadi ahli ibadah...saya nak jadi wanita solehah, yang menjaga akhlak,yang menutup aurat dengan sempurna. Saya tak mahu lalai...saya tak mahu hanyut dalam arus keduniaan ini. 

Bilakah agaknya saya dapat kembali ke akar saya lagi? Saya teringat pada satu cita-cita saya yang belum tercapai...nak menadah kitab di pondok. Cadangnya, apabila habis pengajian di IPKB dahulu, saya nak gunakan masa cuti untuk pergi memondok di Pasir Tumboh atau Lubuk Tapah...tapi Allah dah takdirkan yang jodoh saya sampai...dan saya dibawa semakin jauh daripada cara hidup yang saya cintai.

Salah sayakah atau takdir? Mampukah saya betulkan keadaan?

YA ALLAH, BERIKAN SAYA KEKUATAN! 

Saturday, December 4, 2010

Ayahanda Dalam Kenangan

Saya sudah  berada di kampung halaman, jajahan paling kecil, nun...di sempadan Malaysia-Thailand.

Hari Jumaat, saya ke pusara ayahanda. Rasanya dah lama tak ke sana.

Selepas lebih 12 tahun berlalu, rasa rindu dan sayu rupanya masih bertamu. Perasaan yang sama berulang setiap kali ke pusaranya. Terbayang detik-detik semasa ayah masih bersama.

Teringat semasa kecil-kecil dahulu, ayah isi bed-time stories saya dengan kisah-kisah Nabi. Antara yang masih terpahat kukuh di ingatan ialah kisah Nabi Yusuf (saya ingat sebab nama adiknya Bunyamin) dan kisah Nabi Musa (masa itu saya bayangkan wajah baginda seperti Tan Sri Musa Hitam yang ketika itu salah seorang menteri, sebab hanya itu orang bernama Musa yang saya kenal).

Pernah suatu malam, ayah berkisah tentang Nabi Muhammad, dan disentuhnya tentang kelebihan al-Quran. Kata beliau,kita patut bersyukur kerana Allah memelihara al-Quran itu. Kitab-kitab lain sebelum al-Quran telah diselewengkan. Tetapi al-Quran terus dipelihara Allah dan hasilnya kita semua terus mendapat petunjuk. Sebab itulah kita mesti bersyukur.

Ketika itu saya masih kecil benar. Mungkin berusia 6 atau 7 tahun. Saya menjawab di dalam hati: AH, BUAT APALAH BERSYUKUR. KAN LEBIH BAIK KALAU AL-QURAN TU TAK ADA. TAK PAYAHLAH SAYA ASYIK DIPAKSA BELAJAR MENGAJI DAN KENA MARAH KALAU BACA SALAH. Tetapi kata-kata tu tak berani dan pernah saya suarakan. Hanya hati kecil saya yang tahu tentangnya.

Selang beberapa tahun kemudian, ayah menghantar saya meneruskan pengajian peringkat menengah di sebuah sekolah Arab. Seiring dengan kematangan usia, saya mula menyedari, BETAPA BENARNYA KATA-KATA AYAH MENYURUH SAYA MENSYUKURI NIKMAT AL-QURAN. Ketika itu saya mula terasa besarnya peranan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan manusia.

Ayah memang ahli al-Quran. Sepanjang hayatnya, yang saya ingat, beliau akan khatam al-Quran selang beberapa hari. Pagi-pagi Ahad, semasa beliau tidak bekerja, setiap kali saya turun ke ruang tamu, akan terdengarlah suara beliau membaca al-Quran. Kalau tiada di ruang tamu, sudah pastilah ayah sedang berada di bilik surau yang terletak di bahagian hadapan rumah. Kalau saya menjenguk ke sana, tentu ayah sedang membaca al-Quran, membuat sujud tilawah atau solat Dhuha. Segala yang saya saksikan semasa masih kanak-kanak itu terakam teguh dalam ingatan saya sehingga kini, lalu, membawa saya kepada suatu rumusan, iaitu, itulah cara yang sebaiknya untuk kita menjalani kehidupan ini.

Tahun 1998, ayah terlantar sakit. Ayah sudah tidak dapat tilawah al-Quran sekerap dahulu. Ketika itu, saya menuntut dalam tingkatan 5. Pada tahun itulah, saya mendapat kekuatan untuk meneruskan amalan ayah, iaitu, membaca al-Quran dari mula sehingga khatam. Sebenarnya saya sudah cuba mengamalkan perkara itu dari Tingkatan 1 lagi. Tapi tak berjaya. Teruslah saya dengan tradisi masyarakat yang biasa, cuma memilih beberapa surah daripada al-Quran untuk dibaca sebagai amalan. Mungkin keadaan ayah yang sakit dan dorongan ustazah di sekolah memberikan kekuatan kepada saya. ALHAMDULILLAH. Niat saya ketika itu ialah untuk meneruskan amalan ayah supaya pahala terus mengalir kepadanya.

Dalam tahun yang sama, saya berjaya menamatkan pembacaan terjemahan keseluruhan al-Quran. ALHAMDULILLAH.

Saya khatam pembacaan al-Quran yang saya mulakan buat kali pertama itu pada Oktober 1998....di pusara ayah. Sehari selepas kematian beliau.   

Hari ini saya bukan sekadar membaca al-Quran, malah saya mengajarkan al-Quran kepada orang lain. Saya meneladani usaha ayah dengan mendidik pula murid-murid saya mencintai al-Quran. Saya ceritakan kepada mereka kelebihan al-Quran. Sesekali, saya selingi pembelajaran membaca al-Quran dengan menterjemahkan ayat-ayat yang mereka baca dan menceritakan kisah yang terkandung di dalamnya.

Segalanya bermula daripada benih cinta akan al-Quran yang ayah semaikan dalam diri saya sewaktu saya masih kecil dahulu. Betapa besar jasa ayah!

Saya berharap supaya saya ada anak lelaki, untuk saya didik menjadi pencinta dan pengamal al-Quran, supaya warisan ayah dan nenek moyangnya akan terus berkekalan.

Semoga Allah perkenankan!  

Friday, November 26, 2010

Nota Cinta Dari Murid

Semalam (sebenarnya dah beberapa hari) saya mengemas- ngemas barang di rumah. Banyaknya kertas- kertas untuk dikitar semula. Dalam banyak- banyak tu, saya jumpa semula NOTA- NOTA CINTA dari murid. Sebahagiannya cuma ditulis di atas secarik kertas buku tulis ...tetapi tetap saya simpan sebab saya percaya mereka mencatatnya dari hati kanak-kanak yang sangat ikhlas. Walaupun kawan- kawan saya pelik dengan perangai saya yang mereka anggap suka menyimpan "sampah", tetapi saya tetap sayang untuk membuangnya, sebagaimana saya SAYANGKAN PEMBERINYA.

Membaca kembali nota- nota ini MEMBERIKAN SAYA KEBAHAGIAN TERSENDIRI (sekaligus melambatkan tugasan mengemas saya). Terhibur membaca ayat mereka yang tunggang-langgang, beserta kesalahan ejaan. Apapun, saya menghargai usaha mereka untuk menyatakan rasa terima kasih serta kasih mereka kepada seorang guru.



Terima kasih, murid- murid Cikgu. Cikgu pun sangat sayangkan kalian! 

Thursday, November 25, 2010

Hidup Saya Sebagai Seorang Amfibia

Bosaaan!!!! Saya sendirian di sini. Petang semalam, saya menjemput murid yang hendak saya bimbing, Nurul ke rumah. Saya mengajarnya Bahasa Melayu santak jam 5 petang.

Bekalan elektrik terputus. Saya keseorangan dalam kegelapan.

SENDIRI

BOSAN

SUNYI

Mujurlah rasa takut tidak bertamu. Mulanya saya membaca buku bertemankan cahaya lilin. Apabila mata mula tak selesa. Saya baring- baring di atas katil sebab memang tiada aktivitii lain untuk dibuat. Mulalah fikiran saya menerawang....memikirkan keadaan hidup saya yang 2 alam....TIDAK SENDIRIAN tetapi TIDAK BERTEMAN. Saya hidup dalam dua alam yang berbeza.

Jam 8 lebih. Suami menelefon mengadu yang dia demam teruk. Saya menangis (sayang atau kasihan? Yang pasti-sedih). Walaupun saya sendiri pernah mengalami keadaan begitu, sendirian di sini, tak pernah saya menangis kerana kasihankan diri sendiri.Tetapi apabila kejadian menimpa orang lain, saya cepat berasa simpati dan akan berfikir tentangnya berhari- hari (walaupun dalam kes suami, saya tahu dia tidak sendirian di sana, tetapi saya benar- benar sebatang kara di sini).

Jam 3 pagi, saya terjaga dari tidur kerana digigit nyamuk (musuh utama saya sejak kecil). Saya tak dapat lagi melelapkan mata. Jam 4 pagi lebih, saya terdengar bunyi ...yang saya tidak pasti bunyi apa dan dari mana. Saya terkejut dan mula ketakutan. Sebabnya, saya teringat kejadian pintu dapur saya diumpil dalam cubaan menceroboh rumah saya, Ramadhan lalu. Ketika itu, saya juga sendirian di rumah.

Saya bangun dari katil, mengintai keluar dari tingkap bilik. Rumah- rumah jiran masih gelap. Saya masih memasang telinga sambil tangan mula mencari nombor telefon Cikgu Zul dan Cikgu Sharif (jiran terdekat tempat meminta tolong). Kemudian saya ke tangga dan mengintai ke tingkat bawah, cuba mengesan apa- apa bunyi aneh.

Setelah beberapa lama, tiada apa yang berlaku. Saya kembali ke bilik, baring semula. Tetapi langsung tak berani melelapkan mata. Saya cuma berdoa supaya matahari segera muncul. Peristiwa ustazah yang dibunuh di Port Dickson baru- baru ini menerjah ingatan.

Ketika itu, saya sedih lagi...memikirkan diri keseorangan dan tiada tempat bergantung.

Tiba- tiba saya teringat untuk membaca ayat Kursi. Berkali-kali juga saya melafazkan zikir Ya Hafiiz (Wahai Yang Maha Menjaga), memohon dilindungi.

Dalam masa yang sama juga saya tersedar, berapa banyak rumah yang ada penghuni lelaki tetapi masih lagi dicerobohi. Kehadiran suami bukanlah jaminan keselamatan bagi sesebuah keluarga. Bukankah saya masih ada Yang Maha Penjaga dan Yang Maha Pelindung untuk melindungi saya.

Mungkinkah Allah sengaja mentakdirkan hidup saya begini supaya saya tidak beralih pergantungan kepada selain-Nya?

Ya Allah, andai Kau halangi cinta manusia daripada mendekatiku, rezekikanlah aku cinta-Mu yang maha suci.