Sila Klik Sini!

Tuesday, July 28, 2015

Jamuan Hari Raya SK Desa Jasmin

Jamuan Hari Raya bagi murid- murid SKDJ telah diadakan pada 23 Julai 2015 bagi murid Tahap 1 dan 24 Julai 2015 bagi murid Tahap 2.

Jamuan ini diadakan pada waktu rehat mereka. Kebetulan pula, pada 23 Julai, saya mengajar mata pelajaran terakhir sebelum rehat di kelas 3I. Pada 24 Julai pula, saya mengajar mata pelajaran terakhir sebelum rehat di kelas 4B.

Memang langkah kananlah tu! Jadi, saya membantu murid- murid kelas tersebut untuk membuat persiapan sebelum jamuan.

Masa yang diperuntukkan untuk jamuan hanya setengah jam sahaja, iaitu, waktu rehat mereka. Tapi, memang mustahil untuk buat jamuan bagi budak- budak dalam masa setengah jam. Ada waktu belajar yang 'termasuk' dalam jamuan ini. 

Bagi saya, tak kisahlah. Sebab murid- murid belajar bukan dengan papan tulis dan buku sahaja. Melalui jamuan ini pun, banyak yang boleh mereka pelajari. Sekurang- kurangnya, mereka dapat belajar bekerjasama mengatur juadah di atas meja, mereka belajar berkongsi makanan dengan kawan- kawan  mereka, belajar tertib di dalam majlis makan dan juga belajar adab menjemput dan menghidangkan makanan kepada orang yang lebih tua daripada mereka.

Lagipun, anak- anak itu patut merasakan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan dan menggembirakan bagi mereka!

Tahun 3 Inovatif :





Saya bertanya kepada murid 4B, "siapa hendak hias papan hitam?"

Mereka berebut- rebut tunjukkan bakat masing- masing

Inilah hasilnya! Murid- murid ini memang sangat kreatif dan berbakat.
Bersama sebahagian murid 4 Bestari

Ini pula jamuan tahun 4 Efektif :








    

Tuesday, March 3, 2015

Mengenang Bennabi


25 Februari 2015 - Menghadiri Bengkel Pembelajaran dan Pengajaran Berkesan Guru- guru Bahasa Arab SR Daerah Seremban.

Pengisian bengkel berkisar sekitar PLC, i-THINK, KBAT dan sebagainya yang hangat dibincangkan dalam dunia pendidikan masa kini.

Tetapi, saya mendapat sesuatu yang sangat menarik dan berharga.

Terima kasih kepada Ustaz Shahrir yang menyebut nama Malik Bennabi (Malik bin Nabi).

Puncanya ialah seorang peserta bengkel yang mengesyorkan supaya diambil teori pembelajaran daripada tokoh Islam berbanding Barat, misalnya, al-Ghazali.

Jawab Ustaz Shahrir, al- Ghazali tidak ada membuat sebarang teori pembelajaran. Malah, hampir tidak didapati seorang pun tokoh Islam yang berbuat demikian, kalaupun ada, hanya Malik Bennabi.

Beliau bertanya kepada peserta bengkel, "Kenal atau tidak Malik Bennabi?" 

Ramai menjawab "tidak".

Tetapi, nama tersebut meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa saya. Teringat bagaimana semasa di bangku universiti dahulu, saya sering menekuni idea- idea beliau. Pandangan beliau tentang punca kemunduran umat Islam dan cara untuk memajukan umat Islam sangat saya kagumi.

Kerana beliau, saya terdorong untuk mempelajari Bahasa Perancis.

Tujuannya adalah untuk mendalami pemikiran beliau, dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Malaysia supaya lebih ramai umat Melayu dekat dengan idea beliau.


Saya juga mahu membawa idea beliau ke dalam bentuk mudah dengan menyerapkannya dalam buku kanak- kanak.

Kesemua cita- cita tersebut tidak kesampaian. Walaupun saya menguasai bahasa Perancis sehingga boleh bertutur (sekarang dah banyak lupa pun), dan penulisan mudah, penguasaan saya hanya di peringkat luaran, sangat jauh daripada tujuan asal saya yang sangat tinggi.

Malah, saya hampir melupakan kesemua cita- cita tersebut....sehinggalah nama Bennabi disebut lagi pada hari itu.

Kebetulan pula memang saya ada teringat semula cita- cita untuk menerbitkan karya bermutu kanak- kanak selepas mendapat tawaran mengikuti kursus Pengkarya Guru tempoh hari.

Apabila nama Malik Bennabi disebut, bangkit semula kenangan tentang seorang gadis yang mempunyai impian yang sangat tinggi, yang mahu membangunkan saudara seagama dan sebangsanya untuk menyambut kebangkitan Islam, melalui bidang pendidikan.

Gadis itu telah "mati". Dia "mati" kerana desakan hidup yang menuntut seseorang untuk tidak menjadi terlalu idealis. Dia "mati" kerana hidup dalam masyarakat yang tidak menggalakkan budaya ilmu. Sebenarnya, dia "mati" kerana dia tidak mampu untuk menjadi seperti ikan di laut yang tidak terkesan oleh kemasinan air.

Tetapi, sisa- sisa semangatnya yang masih ada hidup semula setelah nama Bennabi disebut.

Terima kasih kepada Ustaz Shahrir yang telah mengingatkan semula saya kepada impian dan semangat lampau.

Belum terlambat untuk saya mulakan semula "perjuangan" itu.   

Friday, November 7, 2014

Sambutan Hari Kanak- kanak SK Desa Jasmin

5 November 2014, SK Desa Jasmin mengadakan sambutan Hari Kanak- kanak.

Saya dilantik sebagai Ketua Unit Hari Kanak- kanak pada tahun ini. Sebaik sahaja tahu yang saya memegang jawatan ini, apa yang terlintas di fikiran saya ialah, saya nak menjadikan sambutan Hari Kanak- kanak ini sangat meriah supaya murid- murid saya seronok dan gembira.

Sebab hari ini ialah hari mereka.

Sejak awal September, saya mula merancang dan melangkah untuk persiapan hari ini. Apa yang saya fikirkan, saya perlu datangkan satu maskot untuk menarik perhatian budak- budak kecil di sekolah saya ini. Yalah, budak- budak kan suka maskot. Pengalaman anak saya, Amina yang sangat excited apabila berjumpa dengan maskot singa susu S26 di kedai dahulu mendorong saya untuk mendatangkan satu maskot untuk anak- anak murid saya.

Mulanya saya cuba telefon Les Copaques, tanya bayaran untuk maskot Upin & Ipin. Bayarannya... mak ai! Tak mampulah kami menanggung kos tu!

Saya mula menyibukkan diri melayari internet dalam misi pencarian maskot saya.

Saya mendapat idea untuk menghubungi Bank Rakyat apabila menonton rancangan Seronoknya Kelab Nuri yang diadakan di TV2 pada setiap pagi Ahad.

Apabila saya kemukakan cadangan tersebut kepada GPK saya, beliau mencadangkan supaya saya hubungi juga BSN. Saya pun pergi ke kedua- dua buah bank tersebut.

Pada mulanya, saya tak dapat respon daripada mana- mana bank. Saya pun dah tak berharap untuk dapat maskot bank dan cuba cari alternatif lain. Saya terfikir nak jemput syarikat Ana Muslim tapi rasa tak sesuai pula sebab di sekolah saya ini ada juga murid bukan Islam.

Tiba- tiba, saya mendapat respon daripada kedua- dua buah bank tersebut dalam masa yang hampir serentak.

Setelah beberapa perbincangan, Bank Rakyat tetap menjadi bank yang "Saya mesti pilih."

Penat saya ke sana- sini untuk uruskan sambutan ini. Akhirnya, berbaloi setelah Bank Rakyat sumbangkan bukan sahaja hadiah untuk pertandingan, tetapi juga kertas untuk pertandingan mewarna yang berbeza bagi setiap tahun. Malah, semua peserta mewarna dapat sekotak pensel warna percuma.

Barang- barang tersebut sampai lewat. Saya menunggu dengan penuh debaran sehingga hampir jam 6 petang 4 November. Saya terpaksa ke Bank Rakyat untuk angkut semua barang tu. Nasib baik saya berjiran je dengan Bank Rakyat ni.

Malam itu, saya tidur hampir jam 12 sebab duk mengasingkan kertas mewarna mengikut kelas. Itupun tak selesai sepenuhnya. Tugasan ini disambung dengan jayanya pada keesokan  hari oleh Mr Joe yang komited. Terima kasih kepada Joe yang bertugas sebagai ketua AJK Pertandingan.

Sempena sambutan Hari Kanak- kanak tahun ini juga, saya wujudkan satu anugerah, iaitu, Anugerah Tokoh Sahsiah Cemerlang. Seorang murid lelaki dan seorang murid perempuan dipilih sebagai tokoh sahsiah ini bagi tahun 1-6, Pra Sekolah dan Pendidikan Khas. Pencalonan nama untuk tokoh ini dibuat oleh guru- guru sebelum undian dijalankan.

Foto sekitar perjalanan program :

Penuh MyVi buruk saya dengan barang- barang pertandingan.
Bawah kiri : Latihan tarian Hindi sebelum Hari Kanak- kanak.
Saya sengaja minta 2 orang guru India di sekolah latih murid untuk persembahan ini untuk sedikit kelainan.
Tokoh Sahsiah Cemerlang 



Jamuan kelas turut diadakan.
Saya bukan guru kelas 2 Putra ni, tapi guru pembantu.
Apabila guru kelasnya cuti bersalin baru- baru ni, sayalah yang jadi guru kelas mereka.

Ada banyak kepincangan sepanjang program ini yang masih boleh diperbetulkan. Tetapi, saya berasa sangat berjaya apabila ada murid beritahu,
"Ustazah, best lah Hari Kanak- kanak."

Memang tujuan utama saya adalah untuk buat mereka rasa best.

Tujuan itu dah tercapai.

Terima kasih kepada Bank Rakyat Cawangan Nilai atas kerjasama yang diberikan.

Seronok apabila melihat murid seronok!

Monday, November 3, 2014

Doa Untuk Siti Nur Aisyah

Semalam, saya menerima panggilan telefon daripada seorang bekas murid saya.

Kini, dia sedang belajar di SMAP Labu. Dia akan menduduki peperiksaan SPM pada hari ini. Dia menelefon untuk meminta saya mendoakan kejayaannya. Dia juga memohon maaf sekiranya dia pernah melakukan apa- apa kesalahan sewaktu menjadi murid saya dahulu.

Saya berasa terharu.

Dalam era keruntuhan akhlak dan kebobrokan moral anak- anak muda hari ini, sebenarnya masih tersisa golongan murid dan remaja yang sangat berakhlak dan bepekerti mulia. Mereka masih lagi menjunjung rasa hormat terhadap golongan yang lebih tua dan mengenang jasa ibu bapa dan guru mereka.

Siti Nur Aisyah binti Nordin, bekas murid saya itu merupakan salah satu daripada ratusan atau mungkin ribuan remaja tersebut. Anak- anak inilah yang boleh kita harapkan untuk meneruskan dan membangkitkan lagi kegemilangan agama dan negara di masa hadapan.

Ya Allah, berikanlah murid saya, Siti Nur Aisyah binti Nordin dan murid- murid yang lain juga, kejayaan dalam peperiksaan mereka. Jadikanlah kejayaan ini sebagai landasan untuk mereka terus cemerlang dalam kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.

Ya Allah,  jadikanlah anak- anak murid saya insan- insan yang sangat soleh dan solehah. Hamba- hamba yang sangat mematuhi perintah-Mu dan menjauhi semua larangan-Mu.

Jauhkan mereka daripada bersikap takbur dengan kejayaan yang Engkau anugerahkan kepada mereka. Sebaliknya, jadikanlah mereka orang- orang yang hebat supaya mereka dapat memberikan sumbangan yang besar terhadap kebangkitan Islam.

Ya Allah, perkenankanlah permohonan hamba yang kerdil ini!      

Thursday, October 23, 2014

Sukan Tahunan SKDJ Ke-15

Sukan tahunan ke-15 SKDJ telah berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 21 Oktober yang lalu.

Alhamdulillah, program tersebut telah berjalan dengan lancar dan selamat walaupun terdapat sedikit "gangguan" di awal program oleh seorang individu yang kurang matang. Walau bagaimanapun, "gangguan" tersebut telah berjaya ditangani secara baik dan berhikmah oleh guru- guru SKDJ yang bijak bestari dan berkaliber.

Selain daripada itu, tiada masalah besar mahupun kemalangan yang mengakibatkan kecederaan besar kepada murid yang berlaku.

Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang, syukur kepada Allah kerana cuaca baik sepanjang perjalanan program. Menjelang tengah hari, keadaan tetap tidak terlalu panas kerana mendung mulai berarak. Akhirnya, rintik hujan mulai turun sewaktu kami mengemas dan mengangkut barang- barang ke dalam kereta. Alhamdulillah. 

Seperti 2 tahun lalu, rumah Biru muncul sebagai juara lagi. Rumah saya, Kuning, hanya mendapat tempat ketiga.

Jom "snap" sikit sekitar perjalanan Sukan SKDJ.....





Thursday, September 11, 2014

Isu Soalan UPSR Bocor Dari Pandangan Seorang Guru Marhaen

Peperiksaan kertas Sains UPSR 2014 ditangguhkan kerana soalan bocor.

Malangnya isu sebegini timbul dalam dunia pendidikan.

Dahulu, sebelum saya menjadi guru, saya mengimpikan untuk mendidik anak- anak saya menjadi seorang yang sentiasa mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. 

Setelah saya terjun dalam bidang pendidikan, saya tidak lagi melihat kecemerlangan dalam peperiksaan sebagai suatu perkara yang perlu dikejar dan dibangga- banggakan. Ironi, kan?

Sebabnya, saya melihat permainan politik dan kebobrokan terjadi dalam sistem pendidikan dan sistem peperiksaan.

Pelik tak apabila seorang guru memarahi murid sebab murid tersebut tak membenarkan rakan di sebelahnya meniru jawapannya dalam peperiksaan UPSR?

Guru yang sepatutnya mendidik anak- anak menjadi modal insan yang jujur, amanah dan berintegriti sebaliknya mengajar anak- anak menipu, meniru dan buatlah apa sahaja untuk mendapat 5A dalam UPSR!

Barangkali cikgu terlupa, sesiapa yang menunjuk jalan ke arah keburukan, dia akan mendapat "ganjaran" yang sama dengan pembuatnya.

Sanggup cikgu menyemai "benih kejahatan" dalam diri anak- anak semata- mata untuk 5A dalam UPSR?

Apalah 5A dalam UPSR, cikgu, kalau dibandingkan dengan KEREDHAAN ALLAH yang kita korbankan.

Kalaulah hari ini anak- anak kita sanggup menipu untuk mendapat 5A dalam UPSR, tak mustahil nanti mereka SANGGUP BUNUH ORANG untuk dapat RM50 000, nanti mereka AKAN GADAI NEGARA DAN BANGSA untuk dapat RM5 juta.

Hari ini pun dah berlaku hal demikian walaupun mungkin semasa kecil dahulu, tiada cikgu yang ajar mereka menipu dalam peperiksaan.

Kejahatan itu umpama lalang, walaupun tak ditanam, dijaga dan dibaja, ia akan tumbuh juga di tanah yang terbiar kosong.

Tanah kosong tu, kalau nak diumpamakan jiwa manusia, yang tak berisi pegangan dan keyakinan yang teguh kepada-Nya lah.

Apatah lagi, hari ini ada cikgu yang menanam, membaja dan menyiram lalang di "tanah" itu...

Ada juga orang lain yang sedang menanam padi di "tanah" yang sama...

Nasib "tanah" itu kini bergantung kepada berapa banyak "padi" atau "lalang" yang ditanam di atasnya.

Di atas "tanah" itu nantilah negara kita akan terus berdiri....
Generasi kita dibina......

Entah apa nasib generasi kita nanti.

Bagi saya, SAYA LEBIH SUKA MURID SAYA JADI TUKANG SAPU YANG IKHLAS.... DARIPADA JADI SEORANG GURU YANG TAK MASUK KELAS!

LEBIH BAIK MURID SAYA MEMBESAR JADI PENIAGA KECIL YANG TAK TINGGAL SOLAT.... DARIPADA DIA JADI PEMIMPIN NEGARA YANG MAKAN DUIT RAKYAT...YANG BUAT SEMUA ORANG MELUAT!

Sebagai seorang guru, saya tak akan nasihatkan murid saya supaya buat apa sahaja untuk berjaya, termasuk menipu. Saya tetap akan tegaskan kepada mereka supaya menjadi seorang yang jujur dan amanah. 

APALAH SANGAT CEMERLANG PERIKSA BERBANDING KEREDHAAN-NYA.

Hidup di dunia ni, paling- paling lama pun 70 - 80 tahun. Takkan sanggup korbankan akhirat yang abadi untuk kesenangan sementara.

Cikgu, fikir- fikirkanlah!

PASTIKAN KITA YANG SEDANG MENCIPTA SEJARAH HARI INI TIDAK AKAN DISUMPAH DAN DIKESALI OLEH ANAK CUCU KITA NANTI!

Saturday, August 16, 2014

Adab Sebelum Ilmu

Saya ke SK Taman Desa Cempaka beberapa kali setelah diamanahkan menjadi pengurus pasukan untuk Semaian Wahyu.

Saya tertarik dengan satu kata- kata hikmah yang tertampal di tangga sekolahnya :

SELESAIKAN ADAB TERLEBIH DAHULU SEBELUM SESUATU ILMU ITU DIAJARKAN KEPADA MEREKA

Membaca kata- kata ini, saya kira ia pasti daripada seorang ulama atau ilmuwan Islam silam.

Sebabnya? adab sangat dititikberatkan dalam Islam, dan ilmu tidak pernah terpisah daripada adab.

Malah, Nabi Muhammad sendiri diutus bagi menyempurnakan AKHLAK YANG MULIA.

Membaca kata- kata tersebut, saya merenung senario kini. 

Betapa sukar mengajar apabila murid- murid tidak mengenal adab.

Bayangkan kelas atau dataran perhimpunan yang penuh dengan murid. Guru sedang bercakap, memberi arahan, memberi nasihat/ tazkirah/ pengumuman atau apa sahaja di hadapan...

Murid berbual sesama sendiri di belakang. Kalaupun dimarah, setengah mereka diam, tetapi tangan bergerak mencuit kawan, membaling cebisan pemadam atau sampah.

Arahan/ peringatan/ pengumuman...tidak sampai kepada sasaran pendengar.

Sekadar perkongsian, pernah dalam sebuah kelas, saya membuat pengumuman "Murid kumpulan ustazah tu, tolong tunggu sehingga ustazah kamu sampai"

Dua saat selepas itu, seorang murid datangg di sebelah kiri saya dan bertanya, "Ustazah, murid kumpulan ustazah tu beratur kat luar ke?"

Saya jawab, "Kan saya baru je cakap, murid ustazah tu, tunggu ustazah kamu sampai."

Dalam masa saya sedang menjawab pertanyaan murid tu, seorang lagi murid dah berdiri di sebelah kanan saya. Sebaik saja saya habis bercakap, dia bertanya, "Ustazah, murid kumpulan ustazah tu keluar ke?"

Disebabkan saya ni manusia, bukan malaikat, saya terus la naik darah.

"Kan saya baru je jawab soalan tu. Sebelum tu pun saya dah cakap."

"Murid- murid, kalau saya bercakap di depan ni, maknanya saya bercakap dengan kamu. Dengan KAMU SEEEEMUAAAA. Bukannya bercakap dengan dinding, meja atau kerusi. Jadi tak perlu la kamu datang sorang- sorang kat saya tanya soalan yang sama."

Murid hari ini sangat berani. Mereka langsung tiada rasa hormat kepada guru. Bagi saya, inilah hasil generasi yang dibesarkan di taska. Sejak kecil, mereka mungkin biasa lepas bebas untuk berbuat apa sahaja. Kurang sumber manusia untuk memantau mereka secara individu atau kumpulan kecil, yang boleh memerhati tingkah laku mereka, yang boleh mendidik adab mereka. Tiada yang sempat memberitahu mereka dos and don'ts.

Mungkin juga ini hasil pemakanan yang kaya dengan gula. Yang menghasilkan anak- anak yang terlebih aktif dan tidak boleh duduk diam, walaupun diarahkan untuk masa yang sekejap.

Sekiranya guru hendak membetulkan adab terlebih dahulu sebelum mengajar, saya kira separuh atau seluruh alam persekolahan rendah murid- murid ini hanya boleh ditumpukan dalam hal itu.

Tetapi, kenyataan di atas bukanlah bermakna saya tidak bersetuju dengan kata- kata hikmah tersebut. Justeru, SAYA SANGAT BERSETUJU.

Kerana ILMU TAK MUNGKIN DIAJAR TANPA ADAB. 

Bercakap secara jujur, tulus dan ikhlas. Tanpa ada pengaruh atau kepentingan politik, saya berasakan memang ada SESUATU YANG TIDAK KENA DENGAN SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA.

Saya kurang tahu apa dan di mana. Sebab saya hanya orang kecil, orang kerdil yang memerhati dari bawah, tanpa ilmu dan pengalaman yang luas.

Dan memang pendidikan di Malaysia menduduki dalam kalangan 1/3 yang paling rendah di dunia.

Apabila hal ini dipersoalkan dan dibincangkan, hasilnya ialah PENAMBAHAN MATA PELAJARAN ATAU PENAMBAHAN SUKATAN PELAJARAN.

Setakat ini, saya tidak nampak perkara tersebut memberikan penyelesaian. Yang saya nampak, keadaan bertambah buruk dari setahun ke setahun. 
Kerajaan terpaksa menambah peruntukan untuk membuat buku teks, melatih guru dan sebagainya.

Guru bertambah tugasan dan tanggungjawabnya

Murid bertambah bebanan di belakang mereka. Bertambah masa "belajar". Bertambah KURANG masa untuk "menjadi"  kanak- kanak.

Ibu bapa bertambah pening mencari guru tuisyen untuk anak- anak supaya mereka dapat bersaing dalam dunia pendidikan yang "makin bertambah" ini.  

Semua pihak patut tahu, bertambahnya sukatan dan tugasan menyebabkan guru semakin kurang masa untuk berdamping dengan murid, untuk menyelitkan nasihat dan kata- kata motivasi semasa pengajaran, untuk menggunakan masa bagi mengajar adab kepada murid.

 Kanak- kanak perlu diberi peluang untuk berlari, melompat, berkejaran dengan bebas. Mereka tidak boleh "dikurung" terlalu lama di dalam kelas untuk menghadap buku dan papan tulis. Meletakkan tanggungjawab kepada guru bagi melaksanakan ko- kurikulum dan 1Murid 1Sukan (dengan alasan untuk memberi peluang mereka berlari, melompat dsb) di samping ratusan tugasan lain bukanlah langkah yang bijak kerana guru bukan hanya hidup sebagai guru. Mereka juga seorang anak, suami/isteri, ibu/bapa dan sebagainya sepertimana manusia lain.

Pada tahun- tahun pertama persekolahan, seorang kanak- kanak patut diajarkan hanya asas pelajaran dan dimantapkan adab mereka. Khabarnya, tadika di Jepun hanya mengajarkan adab seperti mengucapkan terima kasih dsb. Manakala, tadika di Perancis pula tidak ada satu huruf pun yang tertampal pada dindingnya, sebaliknya, anak- anak diajar cara untuk bertutur dengan betul. DENGAN BETUL itu termasuklah menggunakan perkataan yang sesuai dan mengambil giliran untuk bercakap dan tidak menyampuk percakapan orang lain.

Saya kira, itulah yang dimaksudkan dengan SELESAIKAN ADAB TERLEBIH DAHULU SEBELUM SESUATU ILMU ITU DIAJARKAN KEPADA MEREKA.

Menarik, kan?

Bagi saya, pendidikan di mana- mana negara pun mesti bebas daripada kepentingan politik, perniagaan dan kepentingan peribadi mana- mana pihak pun.

Sebab melalui sistem pendidikanlah kita membina generasi masa hadapan yang akan terus mendaulatkan kebebasan dan kemerdekaan negara kita.

Sangat tidak wajar sekiranya kepentingan peribadi diutamakan sehingga menggugat kepentingan UMMAH DAN NEGARA.

Kerana hidup seorang manusia hanya akan berlangsung puluhan tahun. Tetapi, ummah dan negara akan terus wujud sehingga berakhirnya hayat dunia.

ATAU TERMUSNAH KERANA ADA INDIVIDU YANG MENDAHULUKAN KEPENTINGAN PERIBADINYA!

Semoga pihak di atas sana mendapat hidayah dan memahami kenyataan ini.