Sila Klik Sini!

Thursday, July 17, 2014

Akhirnya Dia Ke Sekolah!

Saya gembira!

Saya rasa dah lama saya tak berbuat sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada orang lain.

Maksud saya, yang di luar daripada rutin...selain ke sekolah, mengajar, balik rumah, layan anak bla..bla..blaaa...

Saya rasa dull...

Sejak berpindah ke sini, saya cuba- cuba juga jalankan bimbingan untuk pulihkan murid- murid yang teruk sangat dalam membaca al-Quran dsb. Tapi tak berapa berjaya sebab kebanyakan murid kat sini datang sekolah dengan kenderaan, jadi tak boleh buat kelas pagi atau lepas sekolah. Suruh jumpa saya masa rehat, datang tak datang.

Lepas tu saya pula alahan. Lagi la tak jalan apa- apa projek.

Akhirnya, baru - baru ini saya berjaya membuat sesuatu yang saya kira berguna, yang menggembirakan saya.

Ada seorang murid tahun 3 yang dah lama tak ke sekolah. Sejak pertengahan tahun 2 macam tu. Puas dipujuk, dimarah di...di...di...macam- macam.

Dia tetap tak mahu ke sekolah.

Alasan mulanya, takut kat seorang cikgu tu. 

Tapi tahun ni cikgu tu dah mengajar kelas dia pun.

Kebetulan budak ni tinggal dekat dengan rumah saya. Hari- hari Mak dia jalan kaki ke sekolah hantar abang dia.

Ada masanya dia ikut. Tapi lepas tu dia ikut Mak dia balik rumah semula. Mak dia jadi tertekan dengan masalah dia ni.

Dua minggu lepas, saya tawarkan untuk bawa abang dia ke sekolah dengan saya. Kesian Mak dia jalan kaki hari-hari. Tambahan pula bulan puasa. Saya minta Mak dia tanya dia, nak tak datang sekolah dengan saya. 

Dia jawab nak.

Esoknya, dia masih tak nak ke sekolah. Saya minta mak dia pujuk. Cakap pada dia, masa pertama di kelasnya, saya yang mengajar. Jangan takut, saya ada.

Lusanya, dia ke sekolah. 

Hari pertama. Dia nampak masih berat nak ke sekolah. Sampai di sekolah, dia tak nak masuk barisan. Saya kata, tak apa. Masuk bilik guru dengan saya. Nanti, masuk kelas sama dengan saya juga.

Mula- mula takut juga dia jadi mengada- ngada. Tapi, bila fikir, kalau anak sendiri, mesti kita pujuk macam tu juga kan. Apa salahnya layan anak orang macam anak sendiri. Yang penting, ada kesan positif pada dirinya.

Dia berjaya melalui hari itu di sekolah!

Esoknya, dia datang dengan saya lagi. Sampai di sekolah, dia kata, "Hari ni nak masuk kelas terus."

Saya senyum je.

Lepas tu tak ada masalah lagi.

Mak dia seronok sangat! Saya kata berkat bulan Ramadhan. Kata Mak dia "Berkat ustazah jugak!"

Sebenarnya, setelah lama tak ke sekolah, dia takut diejek.

Memang susah nak mulakan sesuatu.

Sebab itu, kita kena beri sokongan moral kepada orang yang takut nak mulakan sesuatu yang positif.

Tambahan pula sebagai guru.

Elakkan daripada menyindir, mengejek, mencemuh.

Bagi mereka peluang!

Tuesday, July 1, 2014

Kisah Beruk

....sambungan 

Saya mengenali "Beruk" semasa Bina Insan Guru di Tasik Kenyir. Teks ini menjadi bacaan wajin kami, malah, peserta BIG diarahkan untuk menteaterkan "Beruk". Saya  masih ingat, kawan sekumpulan saya, BAPA 1, Nazri, yang memegang watak beruk.

Thumbs up kepada para pensyarah Institut Perguruan Kota Bharu yang mengenalkan kami kepada cerpen ini.

"Beruk" mengisahkan seorang guru lelaki yang bertugas di kawasan kampung. Ada seorang murid kelasnya yang selekeh dan selalu lewat ke sekolah. Setiap kali ditanya mengapa dia datang lewat, jawapannya tidak lari daripada "Beruk saya.....", "Beruk saya.....".

Suatu hari murid ini lewat lagi. Gurunya bertanya alasannya. Dia menjawab dengan jawapan biasa, "Beruk saya....". Gurunya hilang sabar lalu menempeleng murid itu (kalau tak salah).

Keesokan harinya, dan selama beberapa hari berikutnya, murid tersebut tidak ke sekolah. Guru itu cuba "menjejak" muridnya. Dia sampai rumah  murid itu tetapi murid itu tiada di rumah. Dia hanya menjumpai seorang lelaki sedang terlantar sakit.

Tidak lama kemudian, murid tersebut pulang dengan beruknya. Rupa- rupanya, murid itu mencari nafkah dengan mengambil upah memetik kelapa untuk menyara hidupnya dan ayahnya yang sedang sakit.

Guru itu berasa kesal dan insaf.

Nak jadi cerita, semasa dia sedang berbual dengan muridnya, tiba- tiba si beruk menerkam dan menggigitnya. Murid itu cuba menghalang beruknya daripada menggigit gurunya tetapi tidak berjaya. Untuk menyelamatkan gurunya itu, akhirnya si murid bertindak menikam beruknya sendiri dengan sebilah pisau.

Kalau tak salah saya, cerita ini berakhir begini, sebelum  pulang, si guru meminta murid supaya datang ke sekolah keesokan harinya. Murid menjawab sedih bahawa dia tidak mungkin ke sekolah lagi. Mata pencariaannya sudah tertutup dengan kematian beruknya.

"Pensil" dan "Beruk" menyentuh hati dan menginsafkan.

Kepada yang berbakat dalam bidang penulisan, hasilkanlah karya- karya begini. Mungkin tidak "meletup" di pasaran dan jadi rancangan yang ditunggu ramai di kaca televisyen, Tetapi, inilah yang bakal menjadi jariah dan pencen kubur (meminjam istilah Prof. Dr. Muhaya) kita.

Fikir!

Friday, June 27, 2014

Kisah Pensil dan Beruk

Setelah sekian lama tidak menjenguk laman ini, hari ini saya ingin  bercerita tentang Pensil dan Beruk.

Kenapa Pensil dan Beruk?

Alkisah, sebulan yang lalu, saya telah membelikan anak saya, Amina sebatang pensil berwarna merah yang besar. 


Melihat pensil ini, saya teringat sebuah cerpen bertajuk "Pensil" yang pernah saya baca. Tutup cerita.

Tetapi, semalam, tiba- tiba adik saya bertanya, "Kak pernah tak baca cerpen "Pensil"?

Saya mengiakan. Saya membaca cerpen ini semasa masih di sekolah menengah. Malah, saya pernah membaca cerpen ini dalam versi bahasa Inggeris, sebagai teks soalan kefahaman dalam satu peperiksaan yang saya duduki.

"Mesti pensil yang diceritakan dalam cerpen tu macam ni, kan? Besar dan warna merah."

Lalu, timbullah semula kisah "Pensil" itu. Saya memberitahu adik saya, KERANA "PENSIL" ITULAH, APABILA SAYA MENJADI GURU, SAYA BERUSAHA SEDAYA UPAYA UNTUK MENDENGAR ADUAN MURID DAN MENANGANINYA SEADIL MUNGKIN.

Sebabnya?

"Pensil" mengisahkan tentang seorang murid miskin yang tinggal dengan neneknya. Dia tertarik dengan sebatang pensil berharga 50 sen yang dijual di kedai. Baginya, pensil itu istimewa kerana bersaiz besar dan berwarna merah. Dia meminta neneknya membelikan pensil itu tetapi neneknya tidak berduit. Disebabkan terlalu ingin memiliki pensil itu, dia mengambil upah menoreh getah(?) dan akhirnya berjaya memiliki pensil itu.

Malangnya, pensil itu dicuri oleh seorang kawannya. Dia marah dan menumbuk kawannya itu (kalau tak salah). Pergaduhan mereka mendapat campur tangan guru. Dia mengadu tentang perbuatan kawannya itu kepada gurunya, tetapi, akhirnya guru tersebut tidak membuat keputusan yang adil, dan dia tidak mendapat semula pensilnya. 

Akibat kejadian tersebut, murid itu demam dan meracau- racau menyebut pensil semasa tidur. Ini menunjukkan betapa besarnya kesan kehilangan pensil itu terhadap jiwanya. Selepas beberapa lama, demamnya kebah dan dia kembali ke sekolah.

Tetapi, dia kini bukan lagi dia yang dahulu, seorang murid yang baik dan patuh. Dia telah berubah menjadi seorang murid yang nakal, sentiasa mengusik kawan- kawan dan merosakkan harta benda sekolah. Apabila dimarah dan dihukum, dia tidak menangis, sebaliknya menerima hukuman itu dan tersenyum puas.

Sekali lagi dia mengumpul wang. Tapi, kali ini dia sudah tidak berminat dengan pensil. Sebaliknya dia membeli pisau lipat dengan wang itu...

Saya tidak begitu ingat dengan pengakhiran cerita ini. Kalau tak salah, dia ada menikam kawan yang mencuri pensil itu dengan pisau lipatnya.

Apapun, sebagaimana kehilangan pensil itu meninggalkan kesan yang besar kepada murid tersebut, begitulah pembacaan cerpen ini telah meninggalkan kesan yang besar terhadap saya. Saya menginsafi bahawa tugas guru bukan sahaja mengajar tetapi jauh lebih besar daripada itu. Betapa kesilapan guru akan meninggalkan kesan mendalam, malah boleh 'membunuh' seorang manusia.

Betullah kata- kata hikmah If a doctor makes a mistake, he kills a patient, but if a teacher makes a mistake, he kills A GENERATION. 

Saya kira, setiap guru dan bakal guru WAJIB membaca dan MENGAMBIL IKTIBAR daripada cerpen ini. Saya tak ingat penulisnya siapa, tetapi bagi saya karya ini cukup "berjasa".

Terlanjur berbual tentang "Pensil", saya teringat pula cerpen "Beruk", karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Juga berkisar peranan dan tugas guru. Adik saya tidak pernah membacanya, lalu saya pun membuka cerita.

Ceritanya?

Nampaknya saya kena sambung dalam entri lain sebab entri ni dah panjang sangat la.

Bersambung....

Friday, May 16, 2014

Selamat Hari Guru

Kali kedua saya menyambut Hari Guru di SK Desa Jasmin.

Ini hadiah yang saya terima daripada murid pada tahun ini.


Terimah kasih!

Terima kasih juga kepada Bank Rakyat cawangan Nilai yang menghantar kek kepada kami, guru- guru SKDJ!

Kek Secret Recipe lagi!

Thursday, April 10, 2014

Al-Fatihah Buatmu, Sahabat!

SKDJ berduka.

Semalam, kami kehilangan seorang rakan seperjuangan, Ustazah Hashimah Che Hasan yang pulang ke rahmatullah setelah sekian lama menderita sakit.

Saya sedih dan terkilan kerana tidak sempat menziarahi beliau buat kali terakhir. Sehingga akhirnya, saya tidak dapat menatap wajahnya kerana jenazah beliau dibawa pulang ke kampung halamannya di Pahang.

Beliau telah lama sakit. Sebaik sahaja kembali ke sekolah pada minggu lepas, saya berniat menziarahinya. Tetapi, ada sahaja aktiviti yang memnuhi masa untuk ke rumahnya. Tambahan pula, agak sukar untuk ke mana- mana dengan 2 orang anak kecil. 

Niat terus bertangguh. Saya bertekad, walau apapun, saya mesti ke Hospital Seremban pada hari ini setelah mengetahui bahawa beliau sedang kritikal.

Apapun, perancangan Allah datang lebih segera. Seusai solat Maghrib semalam, saya menerima pesanan ringkas menyatakan pemergian beliau.

Al- Fatihah untuk Kak Shimah. Kenangan bersamanya menemani saya. Perjalanannya di sini berakhir. Semoga mudah dan tenang pula kehidupannya di sana!

Saturday, April 5, 2014

Suatu Pagi Di Pagar Sebuah Sekolah

Semalam, saya bertugas menjaga pagar pada waktu pagi.

Di SKDJ, inilah kali pertama saya menjalankan tugas ini.

Saya melihat murid- murid yang dihantar oleh ibu bapa ke sekolah...dengan berjalan kaki, bermotosikal, berkereta mewah dan tidak mewah.

Cara mereka datang berbeza. Tetapi, yang dapat saya lihat persamaannya, anak- anak ini bersalam, mencium tangan ibu bapa mereka, kemudian dicium di pipi atau dahi dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapa.

Sesetengahnya mengeluarkan dompet, menghulurkan belanja kepada si anak.

Ramai antara ibu bapa ini menunggu di luar pagar, melihat anak  mereka berjalan masuk ke sekolah sehingga si anak hilang dari pandangan.

Bergenang air mata saya!
Saya memahami betapa besar harapan yang mereka iringkan bersama langkah anak- anak itu.

Harapan itu disandarkan ke bahu guru sebagai satu AMANAH!

Saya insaf dan berazam untuk melaksanakan AMANAH itu sebaik mungkin.

Betapa berdosa andai harapan ibu bapa yang menghantar dengan penuh kasih sayang, yang berkorban wang ringgit itu disia- siakan!

Tetapi, alangkah baik lagi jika kasih sayang itu disertakan juga dengan nasihat supaya si anak menjaga adab di sekolah.

Sebab seringkali juga niat murni guru untuk mengajar terbantut kerana kelakuan anak- anak yang keterlaluan.
Masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk mengajar terpaksa digunakan untuk menjerit, menghukum untuk mengawal kelas.

Fikir!

Wednesday, April 2, 2014

Hari Pertama Persekolahan 2014!

Setahun saya tak menulis blog ini.

Selepas tamat pertandingan nasyid MTAQ 2013, saya mula alahan mengandungkan anak kedua.

Banyak peristiwa yang berlaku dan septutnya dicatat sepanjang tempoh setahun, tapi tak berkesempatan sebab kesihatan tak mengizinkan.

Antaranya, buku saya "Nota Cinta Untuk Cikgu" terpilih antara salah satu 50 Karya Terbaik Guru 2013!

Saya selamat melahirkan anak kedua 2 Januari 2014.

Hari ini merupakan hari pertama saya mengajar sesi 2014.

Saya ke sekolah dengan semangat dan azam baharu. Tahun lepas, kerja agak terabai kerana tak sihat.

Datang saja sekolah, saya diberi tugas melatih nasyid untuk MTAQ.

Ooh, ye ke, ingatkan dah ada orang lain ambil alih sepanjang saya bercuti?

Tak apalah, memang dah tetap dan berpencen agaknya.

Cukup setahun, lepas nasyid tahun lepas saya tinggalkan blog, nasyid tahun ini saya menulis semula.

Good luck!