Sila Klik Sini!

Thursday, April 10, 2014

Al-Fatihah Buatmu, Sahabat!

SKDJ berduka.

Semalam, kami kehilangan seorang rakan seperjuangan, Ustazah Hashimah Che Hasan yang pulang ke rahmatullah setelah sekian lama menderita sakit.

Saya sedih dan terkilan kerana tidak sempat menziarahi beliau buat kali terakhir. Sehingga akhirnya, saya tidak dapat menatap wajahnya kerana jenazah beliau dibawa pulang ke kampung halamannya di Pahang.

Beliau telah lama sakit. Sebaik sahaja kembali ke sekolah pada minggu lepas, saya berniat menziarahinya. Tetapi, ada sahaja aktiviti yang memnuhi masa untuk ke rumahnya. Tambahan pula, agak sukar untuk ke mana- mana dengan 2 orang anak kecil. 

Niat terus bertangguh. Saya bertekad, walau apapun, saya mesti ke Hospital Seremban pada hari ini setelah mengetahui bahawa beliau sedang kritikal.

Apapun, perancangan Allah datang lebih segera. Seusai solat Maghrib semalam, saya menerima pesanan ringkas menyatakan pemergian beliau.

Al- Fatihah untuk Kak Shimah. Kenangan bersamanya menemani saya. Perjalanannya di sini berakhir. Semoga mudah dan tenang pula kehidupannya di sana!

Saturday, April 5, 2014

Suatu Pagi Di Pagar Sebuah Sekolah

Semalam, saya bertugas menjaga pagar pada waktu pagi.

Di SKDJ, inilah kali pertama saya menjalankan tugas ini.

Saya melihat murid- murid yang dihantar oleh ibu bapa ke sekolah...dengan berjalan kaki, bermotosikal, berkereta mewah dan tidak mewah.

Cara mereka datang berbeza. Tetapi, yang dapat saya lihat persamaannya, anak- anak ini bersalam, mencium tangan ibu bapa mereka, kemudian dicium di pipi atau dahi dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapa.

Sesetengahnya mengeluarkan dompet, menghulurkan belanja kepada si anak.

Ramai antara ibu bapa ini menunggu di luar pagar, melihat anak  mereka berjalan masuk ke sekolah sehingga si anak hilang dari pandangan.

Bergenang air mata saya!
Saya memahami betapa besar harapan yang mereka iringkan bersama langkah anak- anak itu.

Harapan itu disandarkan ke bahu guru sebagai satu AMANAH!

Saya insaf dan berazam untuk melaksanakan AMANAH itu sebaik mungkin.

Betapa berdosa andai harapan ibu bapa yang menghantar dengan penuh kasih sayang, yang berkorban wang ringgit itu disia- siakan!

Tetapi, alangkah baik lagi jika kasih sayang itu disertakan juga dengan nasihat supaya si anak menjaga adab di sekolah.

Sebab seringkali juga niat murni guru untuk mengajar terbantut kerana kelakuan anak- anak yang keterlaluan.
Masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk mengajar terpaksa digunakan untuk menjerit, menghukum untuk mengawal kelas.

Fikir!

Wednesday, April 2, 2014

Hari Pertama Persekolahan 2014!

Setahun saya tak menulis blog ini.

Selepas tamat pertandingan nasyid MTAQ 2013, saya mula alahan mengandungkan anak kedua.

Banyak peristiwa yang berlaku dan septutnya dicatat sepanjang tempoh setahun, tapi tak berkesempatan sebab kesihatan tak mengizinkan.

Antaranya, buku saya "Nota Cinta Untuk Cikgu" terpilih antara salah satu 50 Karya Terbaik Guru 2013!

Saya selamat melahirkan anak kedua 2 Januari 2014.

Hari ini merupakan hari pertama saya mengajar sesi 2014.

Saya ke sekolah dengan semangat dan azam baharu. Tahun lepas, kerja agak terabai kerana tak sihat.

Datang saja sekolah, saya diberi tugas melatih nasyid untuk MTAQ.

Ooh, ye ke, ingatkan dah ada orang lain ambil alih sepanjang saya bercuti?

Tak apalah, memang dah tetap dan berpencen agaknya.

Cukup setahun, lepas nasyid tahun lepas saya tinggalkan blog, nasyid tahun ini saya menulis semula.

Good luck! 

Sunday, April 21, 2013

Kursus Pemantapan Pengajaran Iqra'

18 April 2013.
Saya menghadiri Kursus Pengajaran Iqra’ yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.
Kursus ini melibatkan guru- guru Pendidikan Islam di daerah Seremban dan Prort Dickson. Diadakan di Pejabat Pelajaran Daerah Port Dickson.

Hanya seorang guru dari sebuah sekolah yang perlu menghadirinya dan saya dipilih. Saya berasa sangat bertuah.

Kursus ini dikendalikan oleh dua orang ustaz yang berilmut inggi. Ustaz Mohamad Mukri bin Haji Abdullah dan Ustaz Muhammad Furqan bin Dr Muhd Jamil Rifa’i.

Ustaz Mukri merupakan orang “lama”. Rambut dan keningnya sudah memutih. Apabila melihatnya, saya sudah nampakbetapa banyak ilmu serta pengalaman yang tersimpan dalam batang tubuhnya yang kurus itu. Apabila beliau mula bercakap, bercerita tentang sejarah kedatangan kaedah Iqra’ di Malaysia, terbuktilah telahan awal saya tentang dirinya.

Ustaz Muhammad Furqan masih muda. Tetapi, ilmu beliau menggunung tinggi. Beliau belajar al-Quran di Mekah sejak kecil lagi. Kata- kata beliau penuh hikmah dan mengagumkan.

Ustaz Furqan memulakan ucapan beliau dengan kata- kata yang menyentuh hati saya:

"Nilai guru al-Quran tidak boleh sama dengan guru lain. Antum khairunnas. Sebaik- baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya. Sifat itu mesti ada dalam ciri peribadi guru al-Quran."

Satu lagi kata- kata beliau yang akan tetap saya ingat :

"Anda salah apabila anda belajar al-Quran, anda ada sifat malu. Kerana di luar sana, ada ramai orang yang berbuat maksiat tetapi mereka tidak malu."

Secara keseluruhannya, apa yang saya dapati daripada kursus ini ialah :

1) Saya mengetahui tentang latar belakang dan sejarah pengajaran Iqra' di Malaysia. Sejarahnya bermula apabila beberapa orang yang mempunyai kesedaran dan kesungguhan di Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan pada era 80-an, menyedari bahawa penguasaan pembacaan al-Quran dalam kalangan murid- murid sekolah amat rendah.  Merekalah yang berusaha mencari kaedah terbaik  untuk mengajar al-Quran dan menemui Iqra hasil cadangan kedutaan Malaysia di Yogjakarta.

2) Kegagalan murid menguasai al-Quran walaupun menggunakan kaedah Iqra' besar kemungkinannya disebabkan kesalahan teknik pengajarannya.

3) Saya berasa bersemangat dan bermotivasi untuk mempraktikkan apa yang saya perolehi melalui kursus ini di sekolah.

4) Saya menyedari betapa dangkalnya ilmu al-Quran saya dan betapa banyak lagi yang perlu saya pelajari.

Terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan yang menganjurkan kursus ini! Harapnya, adalah kursus lanjutan supaya kami boleh lebih mendalami ilmu al-Quran.
Ustaz Mukri

Ustaz Furqan

Friday, April 5, 2013

Kursus Penulisan Skrip Adaptasi Novel

Latar bengkel. Saya paling sukakan tulisan kecil di sudut bawah sebelah kanan, "Menulislah Kerana Allah"
Saya menulis dari tingkat 14, Hotel Starpoint, Jalan Masjid India.

Menghadiri Kursus Penulisan Skrip Adaptasi Filem anjuran DBP. Kursus ini berlangsung selama 3 hari. Semuanya percuma, ditanggung DBP.

Syukur terpilih sebagai salah seorang daripada 26 peserta.

Saya bertemu dengan ramai orang hebat di sini. Antaranya, penulis novel yang prolifik, Puan Sri Diah.

Lebih menyeronokkan, saya sebilik dengan Puan Siti Jasmina Ibrahim, penulis skrip, pensyarah ASWARA yang juga menjadi pengendali bengkel dalam kursus ini.

Betapa bertuah!

Puan Sri Diah (hadapan sekali)

Bilik Penginapan Kami


Bersama Pn Maizura, Pn Siti Jasmina & Pn Zailina.

Thursday, April 4, 2013

Hadiah Pertama

3 April 2013. 

Saya masuk ke tahun 1. Seorang murid perempuan, dengan malu- malu menghulurkan sebuah bungkusan kecil. Dengan perlahan dia berkata, "Untuk Ustazah".

Cenderahati dari Holland. Jauh dan istimewa. Istimewa kerana jauh. Tambah istimewa kerana inilah cenderahati dari murid yang pertama saya terima di SK Desa Jasmin.

Terima kasih kepada Nur Aqilah Mohd Mujib yang ingat pada ustazah walaupun jauh bercuti.













Saturday, March 23, 2013

MTQ Yang Berbeza

MTQ datang lagi!

MTQ pertama bagi saya di SKDJ. Kedatangan MTQ ialah waktu yang paling menakutkan bagi saya sejak beberapa tahun lalu. Sebabnya, inilah waktunya saya tidak dapat tidur lena kerana perlu melaksanakan tugasan tanpa kemahiran.

Tahun berbeza. Sekolah berbeza. Situasi turut berubah.

Di Desa Jasmin,  saya diberikan tugas untuk melatih peserta Tilawah (P). Saya tiada kemahiran juga dalam bidang ini. Bagaimanapun, tugasan ini tetap saya terima dan saya telah pun pilih pesertanya.

Tiada penyertaan untuk nasyid di sini. Sesuatu yang agak pelik dan janggal bagi saya kerana sekolah ini muridnya ramai dan peralatan muziknya lengkap. Tetapi, saya memahami keadaannya apabila saya menawarkan diri untuk melatih murid bagi persembahan nasyid sempena Maulidurrasul tempoh hari. Tiada masa yang sesuai dan beberapa kekangan lain menyebabkan memang sukar untuk menubuhkan kumpulan nasyid di sini. Usaha saya itu juga gagal. Saya bercadang untuk bercerita tentangnya dalam blog ini bawah tajuk "Kegagalan Pertama di SKDJ", tetapi saya terlalu sibuk masa tu sampai tak sempat untuk menulis.

Tiba- tiba, PPD Seremban mewajibkan sekolah yang besar seperti SKDJ menghantar penyertaan nasyid. Saya diminta untuk melatih kumpulan tersebut. Hasrat saya yang terbantut tempoh hari dibuka semula jalan untuk mencapainya. Kali ini saya akan realisasikannya secara "paksarela" tetapi dengan hati yang redha.

Saya berjumpa dengan Cikgu Zulkarna'in untuk membincangkan pelaksanaannya.Beliau meminta saya menulis lirik untuk lagu pertama dan beliau akan mencipta lagunya. 
Cikgu Zul mula bercerita tentang teknik- teknik melatih dan alatan muzik yang saya kurang fahami. Tetapi, mata saya mulai terbuka luas mendengar kata- katanya. Saya nampak peluang yang menarik di hadapan saya, untuk mempelajari sesuatu yang sangat baharu bagi saya. 

MUZIK!

Saya sentiasa suka belajar dan sangat berminat untuk mempelajari sesuatu yang baharu. Bertuahnya saya datang ke sini!
Di sini, barulah saya tahu yang nama alat ini Chime. Sebelum ini, saya tertanya- tanya
 dan tiada siapa memberi jawapan.



Alhamdulillah, di sini lebih mudah untuk saya melangkah  kerana ramai yang memberikan kerjasama. Ustaz Sazali sanggup menghadiri mesyuarat khas untuk nasyid di Seremban walaupun sepatutnya jurulatih nasyid yang menghadirinya. Ustazah Sailah, Ustazah Faizol, Ustazah Rini membantu saya memilih peserta. Saya mengumpulkan mereka dan Cikgu Zul memberikan taklimat awal. Ustazah Jazimah juga sudi membantu dalam menguruskan pakaian peserta nasyid.

Sesi latihan pertama bermula. Alangkah berbezanya cara beliau dengan cara saya yang nihil ilmu muzik ini melatih nasyid. Saya sendiri berasa sangat seronok dan terhibur dengan latihan ini!



Tiba- tiba saya sedar bahawa jurulatih nasyid yang sebenarnya ialah Cikgu Zul. Saya lebih banyak menjalankan tugasan mengurus seperti menyediakan surat dan sebagainya.

Apapun, saya gembira!