Sila Klik Sini!

Tuesday, March 12, 2013

Insiden di USIM


Hari kedua saya bertugas sebagai AJK Hadiah dan Sijil bagi Kejohanan Balapan dan Padang Daerah Seremban 1 yang berlangsung di USIM.

Saya rasa agak asing dan janggal dengan suasana kejohanan yang besar ni. Selalunya yang saya sertai di Johor hanyalah yang kecil. Mungkin sebab kawasan luar bandar. 

Banyak perkara yang dah berubah. Nama- nama sekolah yang saya biasa dah tidak didengar dan disebut lagi. Datang pula nama-nama yang baharu, yang akan saya biasakan pula dalam kehidupan akan datang di sini. Suasana juga berbeza dengan berbilang bangsa. Di sana, Melayu dominasi dan hampir tiada bangsa lain.

Ada satu insiden yang memeranjatkan berlaku di sini tadi. Angin sangat kuat. Saya terasa seperti berada di tepi pantai. Tiba- tiba, papan kenyataan besar yang didirikan merentangi ruang legar bergoyang- goyang dan terbalik perlahan- lahan. Ada sekumpulan murid sedang berdiri dan berjalan di situ. Sekumpulan yang lain duduk di tepi sedikit. Saya nampak papan itu hampir tumbang dan menjerit. Murid yang berdiri sempat lari. Kami, guru tidaksempat berbuat apa-apa untuk menghalang papan itu dari jatuh. Murid yang sedang duduk mengelak tetapi bucu papan itu terkena belakang salah seorang murid perempuan.

Kejadian itu menakutkan. Beberapa detik selepas itu, saya masih berdebar- debar terkejut. Nasib baik tiada  kecederaan yang teruk. Kebetulan salah seorang murid saya berada betul- betul di belakang papan itu.

Alhamdulillah.

Monday, March 11, 2013

Majlis Perpisahan

9 Mac 2013.

Saya ke Muar untuk menghadiri Majlis Perpisahan yang dianjurkan oleh SK Seri Jaya. Tempatnya di Mann Katering, Tanjung Emas, Muar.

Kembali lagi ke sini. Saya bertolak dari Nilai jam 8 pagi. Sempat singgah di RnR Seremban untuk minum pagi. Sampai tepat di Mann Katering jam 11 pagi. Orang lain masih belum tiba sampai saya tertanya- tanya, "Betul ke tempat ni?". Saya telefon setiausaha Bilik Guru, Cik Aini untuk kepastian, baru ternampak Cikgu Khaidir bersama isteri dan anak- anaknya. He..he ..betullah.

Sempat duduk dan berbual- bual dengan Kak Ikin, isteri Khaidir dan berjumpa dengan anaknya Aiman yang sebaya dengan Amina. Selepas itu, barulah warga SKSJ yang lain sampai seorang demi seorang. Hmmm...orang yang paling dekat sampai pertama, yang paling jauh sampai kedua!

Majlis bermula jam 12. Macam biasa, majlis di SKSJ  bermula dengan jamuan terlebih dahulu, barulah ucapan dan lain- lain. Ini perkara yang saya cukup suka tentang SKSJ!

Saya makan di meja VIP sebagai orang yang diraikan. Rasa segan pulak!

Semasa tiba sesi ucapan, Amina mula gelisah dan buat perangai. Nasib baik Daddynya ada. Saya sempat memberi ucapan perpisahan. Rasa sebak dan sayu. jadi tak boleh cakap lama- lama. Banyak yang nak diucapkan tapi semuanya tersekat. Takut air mata keluar, saya pun tamatkan ucapan cepat- cepat. 

Sebenarnya saya nak tunggu sehingga sesi penyampaian hadiah supaya ada gambar saya terima hadiah. Tapi, Amina dah tak boleh tunggu. Saya terpaksa masuk van untuk menyusukannya. Harap dia tidur cepat- cepat supaya saya dapat kembali semula ke majlis tapi Amina memang tak sporting kali ini. Saya pun terpaksa la tengok saja dari tingkap van, Daddy Amina menjadi wakil saya menerima hadiah perpisahan, dan lihat Aini sebagai jurukamera mengambil gambarnya.

Hu...hu...sedihnya. Buat apa la gambar dia terima hadiah tu? Dia bukannya guru SKSJ pun. Tak sesuai langsung sebagai dokumentasi Kelab Bilik Guru SKSJ. Tapi, tak apalah, yang penting hadiah tu saya dapat.

Terima kasih, kawan- kawan seperjuangan. Saya sedih tinggalkan SKSJ. Tapi saya pun gelisah gak kalau terus berada di sana. Jauh di perantauan. Saya perlukan angin baru di sini.

Apapun, persahabatan kita tak akan putus. Kenang saya dalam doa kalian.

Saya sayang semua!

Monday, February 25, 2013

Mekarnya KUNTUMAN JASMIN!

Mesyuarat Agung PIBG SK Desa Jasmin kali ke-13 telah diadakan pada hari Sabtu, 23 Februari 2013.

Pada hari itu juga, Kuntuman Jasmin, iaitu buletin sekolah, telah dilancarkan penerbitannya!


Kuntuman Jasmin mekar hasil usaha gigih GPK KO- Kurikulum, En Zulkarnain Mohamed (tentunya dengan kerjasama guru- guru lain). Beliau juga telah menubuhkan Kelab Wartawan Muda bagi mencapai tujuan itu.

Kuntuman Jasmin telah dirancang penerbitannya sejak lama. Saya tiba di sini tepat pada masanya untuk menjadi salah seorang penggerak penerbitannya. Saya sangat bersyukur kerana dapat terlibat sama dalam penerbitan sulung ini. Sudah sekian lama minat mendalam saya dalam bidang ini terpendam.

En Gan Chee Biow, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Nilai yang merasmikan Mesyuarat PIBG kami memuji hasil kerja kami. Beliau, dengan murah hatinya mendermakan RM 1000 bagi menyokong penerbitan Kuntuman Jasmin yang seterusnya. Terima kasih En Gan!

Rasa gembira dapat menyaksikan sendiri majlis pelancaran ini. Pada mulanya, saya ditugaskan sebagai AJK Jamuan bagi mesyuarat ini. Tiba- tiba seorang rakan guru meminta saya menukar tugas dengannya, iaitu, sebagai Perakam. Saya nampak ini satu peluang baik untuk saya bersama dalam mesyuarat PIBG. Memandangkan saya orang baharu di sini, banyak yang perlu saya lihat, dengar dan perhatikan. Tambahan pula, saya hendak saksikan pelancaran Kuntuman Jasmin. Alhamdulillah, Allah rezekikan ke arah itu.

Semoga Kuntuman Jasmin terus mekar, mengindahkan dan mewangikan lagi taman ilmu di Desa Jasmin!



Sunday, February 10, 2013

Sambutan Maulidurrasul SK Desa Jasmin

Pada 30 Januari 2013, SK Desa Jasmin telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul.

Buat pertama kali, saya menyambut Maulid di sekolah yang lain.

Kalau dulu, di Sri Jaya, pasti ada lembu yang ditumbangkan sempena sambutan Maulid, walaupun hanya di peringkat sekolah. Sehari sebelum sambutan, semua guru dan kakitangan sekolah akan bergotong- royong, atau kami sebut "rewang" di sebelah petang. Kerjanya melapah daging dan menyediakan bahan masakan. Malamnya pula, ada acara yang kami panggil "mengesup", iaitu, bahan- bahan rampai lembu seperti tulang, ekor dsb akan dibuat sup dan sesiapa saja yang rajin nak datang malam- malam, dipersilakanlah datang untuk menjamu selera. Selalunya, kami akan makan sup dengan sambal kicap dan dicicah dengan roti. Sedapnyaaaa!

Esoknya, ada majlis sambutan di seolah dan selepas itu, semua warga sekolah akan diberi sebungkus nasi minyak atau nasi putih dengan lauk gulai daging lembu. Selalunya, makanan tersebut akan dibuat lebih untuk diberikan kepada sekolah jiran, iaitu, SMK Tun Seri Lanang.

Lain padang, lain belalangnya. Suasana itu tak  mungkin dapat diulang lagi  di sini. Murid SKDJ ramai, 5 kali ganda daripada SKSJ. Mana mungkin untuk membuat jamuan bagi semua murid. Berapa pula kosnya? Siapa pula yang nak datang rewang? Masing- masing sibuk bekerja. Jadi, sambutan Maulid di sini agak sederhana. tetapi tetap penuh pengisian.

Kami menjemput Imam Muda Hassan Adli bin Yahaya untuk memberikan ceramah. Ceramah beliau mengagumkan.Beliau berjaya memukau murid dan guru dengan kisah- kisah Rasulullah yang beliau bawakan. Saya sendiri terharu dan hampir menitiskan air mata mendengar cerita beliau tentang bagaimana Rasulullah sanggup menahan lapar kerana tidak mahu menyusahkan para sahabat Baginda. Terima kasih kepada Imam Muda Hassan yang sudi memenuhi jemputan kami. Semoga Allah memberkatimu!

Kemudian, kami mendengar deklamasi sajak oleh adik Benjamin Irfan, murid tahun 6. Seterusnya sesi bercerita oleh adik Intan Balqis, tahun 5. Kedua- dua mereka membuat persembahan yang sungguh menarik!

Acara terakhir ialah pertandingan perarakan sambil berselawat di kawasan perumahan berhampiran sekolah.

Kami cinta Rasul!


Wednesday, January 9, 2013

Menarik Di Sini

Alhamdulillah. Hari kedua di sini.

Saya masih sedih dan teringatkan Sri Jaya. Tambahan pula, kawan serumah, Linda demam. Zirah pula hantar mesej menyatakan rindukan suara Amina. Hampir menitis air mata saya.

Tadi, saya berjumpa dengan GPK Ko- Kurikulum SKDJ, Cikgu Zulkarnain, untuk mengetahui tempat bagi kegiatan ko-kurikulum saya. Beliau seorang yang menarik. Beliau banyak menghasilkan buku- buku aktiviti untuk kegunaan sekolah. Beliau juga salah seorang penulis buku teks dan biasa bekerja dengan DBP.

Cikgu Zulkarnai tawarkan saya sebagai salah seorang guru Kelab Wartawan Muda. Kelab ini akan melatih murid- murid dalam  bidang kewartawanan dan penulisan serta akan  terbitkan buletin. Cikgu Zulkarnain akan menjadi pembimbing utamanya. Saya sangat gembira dengan tawaran tersebut. Saya berharap saya akan lebih banyak terdedah kepada dunia penulisan dan penerbitan.

Saya bercakap- cakap dengan Cikgu Zulkarnain tentang penulisan. Beliau sangat berminat dan menawarkan untuk membantu saya untuk lebih aktif dalam bidang ini. Alangkah seronoknya saya dengan peluang ini!

Alhamdulillah.

Semoga Allah permudahkan lagi jalannya!

Tuesday, January 8, 2013

Lembaran Baharu

8 Januari 2013 - Saya melapor diri ke sekolah baharu. SK DESA JASMIN, BANDAR BARU NILAI.

Semalam masih di SKSJ. Saya tinggalkan SK Seri Jaya tergopoh gapah. JPNS fakskan surat penempatan ke sekolah jam 9 pagi lebih. Penempatan saya berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013. Saya telefon Guru Besar SKDJ dan beliau meminta saya melaporkan diri keseokannya.

Saya segera siapkan Nota Serah Tugas dan beberapa tugas lain. Saya minta izin daripada Guru Besar untuk balik awal sebab nak bertolak ke KL. Saya hanya sempat jumpa sebahagian rakan sejawat. Saya rasa sedih sikit tapi entah kenapa saya tak terasa terpisah sangat. Mungkin saya memang tak bersedia untuk perpisahan ini. Tambahan pula, barang- barang saya masih di Sri Jaya.

Hari ini, saya bertolak dari Desa Tasik jam 6.25 pagi. Jarak perjalanan jauh. Lebih 40km, melalui Lebuhraya PLUS. Mujurnya, jalan lengang dan perjalanan lancar. Saya tiba di SKDJ jam 7.03 pagi.

Sekolah ini besar. Muridnya berjumlah 1226. Pengurusannya juga nampak hebat. Kehadiran guru diambil menggunakan puncher. Tiba- tiba, saya rasa janggal dan kerdil.

Saya berjumpa dengan Puan Aslin, GPK Kurikulum sebelum berjumpa Guru Besar, Puan Azizah. Rupa- rupanya, sekolah ini dah ada sangat ramai guru Pendidikan Islam dan j-QAF. Ramainya sampai GB sendiri tak ingat jumlahnya. Kata beliau, belas orang.

Selepas itu saya jumpa Puan Sailah, ketua Panitia Agama yang susun jadual saya. Saya diberi jadual Ustaz Sazali sebab beliau bukan opsyen Bahasa Arab tetapi mengajar subjek berkenaan. Bagaimanapun, saya tak ambil semua kelasnya. Saya akan mengajar juga Pendidikan Islam. 

Saya berjalan- jalan di koridor sementara tunggu jadual. Melihat murid- murid. Saya berasa sedih dan teringatkan murid- murid yang ditinggalkan di SKSJ. 

Saya sangat sedih apabila ingatkan saya berada di tempat yang sudah ada limpahan guru, sedangkan sekolah yang saya tinggalkan kekurangan guru. 

Malangnya, saya tak mampu untuk terus kekal di sana. Dalam keadaan ini, saya terpaksa dahulukan kepentingan diri sendiri berbanding orang lain. Terlalu banyak yang boleh saya rancang dan usahakan di sini. Terlalu banyak yang terpaksa saya korbankan sekiranya berada di sana.

Allahlah yang Maha Pengatur. Dia Maha Mengetahui segala- galanya. Dia menahan saya di sana selama 7 tahun. Dialah yang mengizinkan saya ke sini pada hari ini.

Entah apa perancangan-Nya. Dia tetap Yang Maha Adil lagi Bijaksana.

Bermula lembaran baharu dalam dunia perguruan saya. Insya Allah, mungkin bakal membuahkan sebuah lagi karya. 

Ya Allah, permudahkan urusanku!


Wednesday, December 19, 2012

Akhirnya....

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Akhirnya...PERMOHONAN PERTUKARAN SAYA DILULUSKAN! Hanya Allah yang tahu betapa jauh dan berliku perjalanan saya ke situ.

Sebelum ini, saya bercadang nak catatkan pengalaman saya memohon tukar di blog ini, tapi tak sempat. Inilah kronologinya :

3 Nov 2012 
Semak keputusan di eg tukar. PERTUKARAN ANDA TIDAK DILULUSKAN. Sekali lagi. Rakan serumah saya juga gagal. Saya rasa sangat sedih. Apatah lagi saya berharap sangat dapat tukar memandangkan ada surat doktor yang mengesahkan anak saya menghidap jantung berlubang.
Solat Isyak, saya menangis dan mengadu. Terasa betapa sakit dan pedihnya hati.

Keesokannya, saya bangun dengan perasaan yang lebih lega. Mungkin Allah belum beri saya tukar sebab saya belum berikan yang terbaik untuk murid- murid di sini. Saya berazam akan lakukan yang lebih baik untuk murid- murid tahun hadapan. Bagaimanapun, saya akan berusaha buat rayuan sebab selagi tak berusaha sehingga ke akhirnya, saya belum boleh terima sesuatu sebagai takdir. Itulah prinsip yang saya pegang. Kali ini, saya nekad untuk ke JPN Johor, KPM dan JPN Negeri Sembilan untuk buat rayuan. Alang- alang penyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan!

6 Nov 2012
Saya ke Jabatan Pelajaran Negeri di Johor Bahru. Linda rakan serumah ikut walaupun pada mulanya dia teragak- agak untuk buat rayuan. Mulanya, saya bercadang nak memandu ke sana. Siap minta cuti lagi daripada Guru Besar. Habis cuti rehat saya tahun ini. Terima kasih kepada Cikgu Wasmin yang luluskan cuti saya walaupun dengan berat hati. Tapi, sejak semalam Amina demam. Jadi, pada waktu pagi saya bawa dia ke klinik dulu. Rancangan ke JB awal pagi saya batalkan. Sebaliknya, saya tumpang Kak Lina yang kebetulan nak ke sana untuk urusannya sendiri. Dia bertolak jam 1 tengah hari. Alhamdulillah, Allah permudahkan jalan ke sana. Saya tak perlu memandu, yang kesannya sangat meletihkan. Tambahan pula, hujan lebat menyambut kami di JB.

Urusan di sana mudah. Saya dapat berjumpa dengan Ustaz Kahar Bachok. Layanan yang diberikan juga baik membuatkan saya menyimpan segala dialog sadis yang dah saya rancang dari awal. Saya cuma serahkan surat rayuan yang saya karang dengan penuh emosi itu dan memohon jasa baik Ustaz Kahar untuk pertimbangkan.

9 Nov 2012
Saya dan Linda ke Kementerian Pelajaran di Putrajaya pula untuk buat rayuan. Pada mulanya saya macam tak nak pergi sebab dah yakin dengan rayuan di JB tapi seorang cikgu di sekolah dah pengeruhi Linda bahawa rayuan lebih baik dibuat di peringkat tertinggi iaitu KPM.
Kami sampai agak lewat, siap silap jalan lagi. Hujan juga menyambut kami di sana. Layanan di KPM juga baik. Kami dapat berjumpa dengan pegawai, En Azli yang melayan dan mendengar aduan dengan baik. Urusan saya cukup mudah dan cepat. Jawapan dari En Azli juga memberangsangkan.

12 Nov 2012
Saya ke JPN Negeri Sembilan pula. Sesat juga sikit semasa cari tempat ni. Tak dapat jumpa pegawai. Hanya serahkan surat kepada kerani di kaunter. Layanan di sini tak berapa mesra.


Hari- hari seterusnya...BERDOA....BERHARAP....BERDOA.....BERHARAP.........

18 Dis 2012
Pertukaran anda ke Negeri Sembilan diluluskan. ....
Ya Allah, gembiranya!!!!!

Tapi, lepas tu, ada juga sedih. Manalah tak sedih nak tinggalkan tempat yang dah didiami selama hampir 7 tahun. Betapa banyak nostalgia di sini.

Apapun, banyak impian indah menanti di sana...rumah baru, rancangan nak sambung belajar, rancangan....rancangan.......dan rancangan.....

Semoga Allah permudahkan jalan mencapai impian dan realisasikan rancangan!