Sila Klik Sini!

Saturday, September 29, 2012

Kursus KSSR Tahun 3 Kegunaan 2013

Hari ini hari kempat saya mengikuti Kursus KSSR Tahun 3 bagi kegunaan 2013.

Kursus seperti ini sentiasa memberikan inspirasi dan semangat baru untuk terus mengajar dengan baik. Terima kasih kepada Ustaz Nazihar  Sisak yang menayangkan video pemberi inspirasi untuk terus menjadi guru yang menawan hati murid

Ustaz Nazihar juga mengingatkan bahawa tujuan pengajaran Bahasa Arab di sekolah rendah ialah untuk menanam minat mempelajari Bahasa Arab di kalangan murid. Oleh itu, gunakanlah apa juga cara supaya murid tertarik dengan pelajaran ini.

Saya terasa betapa sekarang saya sudah tersasar daripada matlamat tersebut. Tidak banyak aktiviti yang saya buat untuk menarik perhatian murid. Mungkin kerana tugasan serta urusan peribadi yang semakin banyak.

Apapun, saya akan berusaha dan tetap akan cuba untuk memberikan yang terbaik bagi murid- murid saya. Saya takut pendapatan yang saya terima nanti kurang berkatnya apabila saya tidak memberikan sedaya saya dalam profesion ini.

Ya Allah, bantu saya!

Wednesday, September 26, 2012

Kisah Murid Saya

Saya menerima satu SMS daripada seorang bekas murid yang telah berpindah ke Sabah. Dia memberitahu yang ayahnya masuk penjara dan ibunya telah meninggalkan mereka dan berpindah ke Kuala Lumpur.

Saya menelefonnya untuk bertanya khabar. Sudah lebih seminggu dia tidak ke sekolah sebab tiada orang untuk menguruskan mereka adik- beradik. Mereka menumpang tinggal dengan neneknya.

Saya berasa sedih dan susah hati. Saya rasa mahu terbang ke sana untuk menolongnya. Apalah daya saya...

Tiba- tiba saya terfikir untuk menghubungi sekolahnya supaya dia dapat dibantu. Saya tanyakan nama sekolahnya. Kemudian saya mencari nombor telefon sekolah itu dari internet.

Syukur juga adanya kemudahan yang membolehkan semua maklumat berada di hujung jari kita.

Saya menghubungi Sekolah Kebangsaan Sahabat 16, Lahad Datu dan bercakap dengan Guru Penolong Kanan HEMnya. Kami berbincang masalah murid itu melalui telefon.

Terima kasih kepada guru itu atas kerjasama yang diberikan. Semoga murid saya yang malang itu dapat dibantu.

Wednesday, September 12, 2012

Menjelang UPSR 2012

10 September 2012 - sekolah mengadakan Majlis Ijazatul Ilmi atau Izin Ilmu. Terharu melihat murid- murid, ibubapa dan guru bersalaman dan saling bermaafan. Semoga anak- anak didikku berjaya dengan cemerlang!




Friday, July 27, 2012

Sebagai Guru & Ibu

Sudah habis minggu kedua saya kembali bertugas di sekolah!

Berbeza daripada 3 bulan lepas, saya kini bukan sahaja bergelar guru, malah ibu. Baru terasa cabaran untuk menggalas kedua- dua tugas tersebut serentak.

Di sekolah, saya terasa yang perasaan empati terhadap murid- murid bertambah. Terutamanya kepada anak- anak murid yang masih kecil. Apabila melihat mereka, terbayang- bayang wajah anak sendiri yang ditinggalkan di rumah. Terasa lebih susah untuk berkasar dengan mereka sebab dapat memahami betapa dalamnya rasa kasih sayang ibu mereka terhadap mereka. Juga betapa besar harapan ibu mereka terhadap anak- anak ini, sebagaimana perasaan saya terhadap Amina juga.

Semasa di sekolah juga, asyik terkenangkan anak di rumah. Apabila ada waktu luang, dan tiada tugasan yang mesti diselesaikan, saya balik menyusukannya. Tapi bukan setiap hari.

Di rumah, hampir tiada waktu untuk tugasan sekolah. Bayi memerlukan perhatian hampir setiap waktu. Syukur ada nenek dan mak sunya. Ada juga masa untuk saya berehat. Apabila keseorangan menjaganya nanti, terpaksalah sesuaikan diri dengan keadaan yang lebih mencabar.

Apapun, anugerah Allah yang tidak ternilai dalam hidup saya ini sangat saya syukuri. Saya akan cuba sedaya- upaya untuk mengimbangkan tugas di rumah dan sekolah. Semuanya untuk kepentingannya. Saya tak mahu terabai tugas sebagai guru yang akan memberi kesan kepada kehalalan dan keberkatan gaji saya. 

Ya Allah, bantulah saya! 

Friday, June 22, 2012

Nota Cinta Untuk Cikgu

Dah lama sangat saya tak menulis dalam blog ini. Sebenarnya memang tak ada yang nak dikongsi sebab dah lama bercuti.Satu lagi faktor ialah sibuk layan si kecil yang baru hadir dan asyik menulis blog tentangnya.

Dalam sibuk, sesekali sempat juga melayari internet. Semalam, secara tak sengaja terjumpa satu blog yang buat ulasan tentang buku sulung saya, Nota Cinta Untuk Cikgu, http://ms-potatohead.blogspot.com/2012/06/review-04-nota-cinta-utk-cikgu.html.

Seronok apabila mengetahui yang hasil karya saya berjaya memberikan "sesuatu" kepada orang lain. Memang itulah tujuan saya menulis, untuk berkongsi sesuatu yang positif (sekiranya ada) dengan orang lain, sebagaimana saya juga mendapat banyak kesan positif daripada buku- buku karya penulis lain.

Apapun, terima kasih kepada penulis blog, Puan Nurul Huda yang sudi berkongsi pandangan tentang buku saya melalui ulasan beliau. Sebelum ini, ada menerima beberapa komen daripada rakan- rakan, tetapi pandangan daripada insan yang tidak kita kenal secara peribadi rasanya lebih tulus dan murni. 

Monday, April 16, 2012

Kelahiran Sulung!

Saya baharu saja menyambut kelahiran sulung saya!



Sebuah buku bertajuk "Nota Cinta Untuk Cikgu"!

Alhamdulillah, dalam debar menanti kehadiran zuriat sulung, karya sulung ini lahir dahulu. Terima kasih kepada suami yang banyak mencabar (sesekali menggalakkan) saya menulis sebuah buku. Hasilnya, saya mewujudkan blog untuk melatih saya menulis pengalaman- pengalaman sepanjang bergelar guru. Penulisan tersebut saya kembangkan, kemudian dikompilasikan menjadi sebuah buku yang kini sudah pun berada di pasaran. 

Alhamdulillah. Segalanya dengan izin Allah jua. Moga- moga buku ini menjadi hadiah kepada bayi yang bakal lahir.Moga-moga dia akan menjadi seorang yang giat berdakwah melalui pena, suatu hari nanti.