Sila Klik Sini!

Saturday, April 9, 2011

Release Tension

Selepas MTQ berakhir, fikiran saya terasa ringan dan lega.

Tapi, sebenarnya masih banyak lagi bebanan tugas.

Sekarang kena tumpu untuk latih murid Kalam Jama'ie dan Dikir Barat Bahasa Arab pula.

Apapun, semalam saya buat aktiviti release tension bersama teman- teman serumah. Dah lama tak buat masakan selain masakan harian. Semalam kami buat kerepek pisang.

Simple je benda ni tapi menyeronokkan. Mula- mula saya tak terfikir pun nak catatkan aktiviti ni dalam blog. Tapi, bila SH, kawan serumah saya sibuk dok ambil gambar step menghasilkan kerepek, saya teringat pada adik saya Z yang pantang cuba resepi baru, mesti kamera masuk dapur dan akan dimasukkan dalam blognya. SH ni memang mengingatkan saya kepada adik saya sebab ada beberapa karekternya yang sama. Suka komik Jepun dan pandai melukis.

Inilah hasil 4 biji pisang tanduk yang kami buat....


Thursday, April 7, 2011

Soutun Najah, Yaumun Najah


Majlis Tilawah al- Quran Zon Bukit Gambir berlangsung pada hari ini.

Nama kumpulan nasyid saya Soutun Najah. Maknanya Suara Kejayaan, diambil sempena nama sekolah yang ada perkataan JAYA.

Dalam pertandingan hari ini, kumpulan Soutun Najah berjaya mendapat Naib Johan. Alhamdulillah, tak sia- sia penat lelah selama lebih kurang 2 minggu.

Bukan itu sahaja, sekolah saya berjaya mendapat Johan dalam pertandingan Berzanji (L), Tulisan Jawi/ Khat (L) dan Tulisan Jawi/ Khat (P).

Kejayaan yang melayakkan sekolah kami menggondol hadiah JOHAN KESELURUHAN ZON BUKIT GAMBIR!

Dalam kesyukuran menyambut kemenangan, datang pula berita yang sekolah kami juga menjadi JOHAN perlawanan bola sepak!

Syukur!!! Nampaknya hari ini ialah Yaumun Najah atau Hari Kejayaan bagi kami!

Kumpulan Soutun Najah

Peserta- peserta MTQ SKSJ 2011

Suasana gembira warga SKSJ ketika diumumkan sebagai Johan Keseluruhan

Bersama peserta hafazan. Mereka tak dapat hadiah tapi insya Allah tahun hadapan ada rezekinya....

Wednesday, April 6, 2011

Di Manakah Ihsan?

Hmm, baru lepas mengajar tahun 1.

Telatah budak- budak ni memang memeningkan kepala. Susah nak kawal mereka dengan kata- kata. Sebabnya riuh mereka mengatasi suara saya. Saya selalu kawal mereka guna rotan. Libas rotan atas meja untuk diamkan mereka. Kadang- kadang, mereka yang kena libas dengan rotan.

Saya memang bukan guru yang baik (sekurang- kurangnya tidak menepati etika guru yang tak boleh pukul murid). Saya percaya bahawa kekerasan perlu juga digunakan sesekali, di samping kelembutan dan kasih sayang.

Tapi, saya sangat tersentuh dengan berita seorang murid 7 tahun yang dipukul oleh gurunya sehingga membawa kematian. Macam mana agaknya guru tu sampai sanggup pukul murid sekecil tu begitu teruk?

Satu sifat mazmumah yang masih belum saya dapat buang sepenuhnya ialah ghadhab, atau dalam bahasa mudahnya, baran. Saya ni memang baran dan cepat melenting. Tapi, syukurlah saya masih belum sanggup mencederakan orang, terutamanya anak kecil sebegitu teruk. Kalaupun saya marah dan bertindak kasar dengan budak- budak ni, sebaik saja penangan saya hinggap pada badan mereka, saya segera rasa kesal. Kasihan tengok mereka kesakitan.

Sebab tu saya tertanya- tanya, macam mana guru itu boleh tiada perasaan sampai sanggup membelasah budak kecil seteruk itu? Kasihan si kecil tu. Apabila pandang wajah murid- murid tahun 1 saya yang comel, walaupun degil, saya terbayang, sanggup ke orang pukul mereka sampai teruk begitu?

Mungkinkah guru tu ada masalah mental sehingga tak dapat kawal perasaan? Apapun, kita tak tahu apa cerita sebenarnya. DIA lebih mengetahui.

Saya berharap saya dapat buang sikap baran saya ni dan tak buat tindakan seteruk itu... Peristiwa tersebut buat saya muhasabah diri

Saturday, April 2, 2011

Maafkanlah Cikgu!

Baru ini saya dapat berehat.

Pagi ada LDP Pengurusan Fail di sekolah. Habis dekat jam 2 petang. Balik makan dan basuh baju. Pukul 3 ke sekolah lagi untuk latih murid nasyid. Mereka lambat. Sambil menunggu, saya hias sikit- sikit sudut Bahasa Arab bawah tangga yang saya baru ambil tu. Dekat jam 5 habis latihan nasyid. Lepas solat Asar, saya berkejar ke Tangkak. Ada date dengan suami. Sekarang saya di D'anjung Inn. Suami belum sampai, jadi sempatlah berehat sekejap. 

Seperkara yang saya tak suka dengan kesibukan ni ialah saya terpaksa korbankan sesetengah masa mengajar saya! Ada beberapa kelas Bahasa Arab yang saya masuk dan minta murid buat kerja, kemudian saya semak hafazan peserta MTQ saya. Saya terpaksa minta maaf dengan murid dan minta dihalalkan masa mengajar saya.

Untuk pelajaran Pendidikan Islam pula, kerana ada 3 orang guru yang masuk serentak, saya minta jasa baik rakan untuk tidak masuk. Jadi, murid kumpulan saya diajar guru lain.

Kerana melatih  beberapa orang murid, saya korbankan masa berpuluh- puluh murid yang lain!

Pagi semalam, seorang murid tahun 5 datang berjumpa saya, "Nanti masa al-Quran, cikgu ajar kitaorang tak?

Saya katakan tidak sebab saya terpaksa buat latihan nasyid. Mulutnya mula muncung. Saya memujuknya, "Sampai hari Khamis depan saja. Nanti kita belajar macam biasa ya. Cikgu terpaksa bahagi masa sebab mengajar pun tugas cikgu, latih nasyid pun tugas juga."

Saya berasa sangat berdosa. Tapi apa yang boleh saya buat? saya tak dapat buat latihan pada waktu petang sebab murid- murid ni ada sekolah  agama. Malam pun mereka ada kelas tambahan yang tidak boleh dikompromi sebab melibatkan mata pelajaran teras UPSR. Terpaksalah korbankan masa Bahasa Arab saya yang tak sepenting mana....

Saya lihat, banyak kelas yang tiada guru dalam dua minggu ni sebab ramai cikgu terlibat dengan latihan olahraga, coral speaking, MTQ dan macam- macam pertandingan lagi.

Pening kepala saya dengan program yang bertindan- tindan ni. Mengapa agaknya guru tak diberikan masa yang cukup untuk mengajar?

Itu belum campur dengan tugasan sampingan guru yang menimbun- nimbun. Kena buat minit, fail, bla...bla...bla...

Agaknya, sebab itulah murid jadi kurang ajar.

Murid, maafkanlah cikgu!

Monday, March 28, 2011

Menjadi Super Cikgu

Saya rasa penat.

Sebelum tidur semalam, dan sejak beberapa hari lepas, saya asyik fikirkan nak ubah lirik nasyid, nak tambah khasidah, nak tambah lirik Inggeris.
Pagi- pagi bangun tidur, saya teringat nasyid lagi. Gaya belum buat...muzik belum masuk... baju belum beli. Dalam masa yang sama, saya teringat budak- budak hafazan...dah sampai mana agaknya mereka hafal?

Pagi ni, saya kelam- kabut betul. Asyik turun naik tangga...cari budak, cari Quran...print lirik yang baru ubah.
saya letak murid nasyid dan hafazan di dua kelas bersebelahan. Sekejap saya pergi semak hafazan murid lelaki, kejap lagi saya pergi ke tempat murid perempuan, semak hafazannya pula. Lepas tu pergi tengok budak- budak nasyid kat kelas sebelah lak.

Ada seorang murid cakap kat saya, "Cikgu ni nak latih Ayu hafazan, nak latih kita orang nasyid lagi, nak mengajar lagi. Banyaknya kerja cikgu..."

Terima kasih,murid, kerana memahami. Saya jawab, "Tak apalah, cikgu kan super cikgu."

Memang masa ni antara yang paling menekan saya dalam setahun.

Nasib baik juga hari Sabtu lepas ada aktiviti untuk release tension. Saya bawa murid- murid Literasi al- Quran keluar makan- makan di Segamat. Terhibur tengok wajah mereka yang ceria.


Thursday, March 24, 2011

Yang Paling Saya Benci

Akhirnya datang juga saat- saat yang paling saya benci dalam setiap tahun persekolahan.

Latihan nasyid! Tahun ni ialah tahun ketiga berturut- turut saya kena jadi jurulatih nasyid.

Saya tak suka sebab saya tak pandai main alat muzik, tak berbakat dalam nyanyian, suara pun tak sedap, jadi sesuai ke saya latih nasyid?

Tahun ni saya minta untuk latih murid hafazan al- Quran, sesuatu yang saya minat, dengan niat tak mahu latih nasyid lagi. Rupa- rupanya saya kena latih dua- dua.

Tak apalah. Niat saya untuk tumpukan lebih kepada hafazan al-Quran. Saya dah berjanji dengan murid tu, dalam usaha menggalakkan dia, yang saya nak menghafaz bersama- sama dengannya.

Saya berharap tahun ni hafazan sekolah saya akan dapat tempat dalam pertandingan MTQ nanti. Sebelum ni, belum dapat. Tahun lepas, hanya nasyid kami dapat tempat ke-3. Pertandingan lain semua tak dapat.

Saya ingatkan murid tersebut, niatkan menghafaz kerana Allah, bukan semata- mata untuk bertanding.

Moga- moga berjaya....

Wednesday, March 23, 2011

Muridku Yang Comel

Saya berasa seronok dengan telatah seorang murid Tahun 1.

Murid ini tergolong dalam kumpulan murid lemah.

Seperti biasa, apabila saya masuk ke kelas, selepas salam dan doa, saya akan memberi ucapan selamat pagi, selamat petang, selamat malam dan selamat datang dalam Bahasa Arab. Murid- murid akan menjawabnya.
Ucapan selamat malam dalam bahasa Arab panjang. Jawapannya juga panjang dan memang jarang murid ingat. Setiap tahun pun begitu.

Tetapi, apabila saya memberi ucapan “Tushbiha ‘Alal Khair” semalam, si Haziq Akmal yang comel tapi tak tahu duduk diam ni menjawab dengan kuat dan yakin, “Wa Anta Min Ahlih”.

 Eh, eh, terkejutnya saya. Saya memandangnya dan berkata, “Ahsanta, ya Akmal”. Dalam ramai- ramai tu, si Akmal ni yang ingat jawapannya. Dia tersenyum bangga dan menjawab, “Kita ulang-ulang kat rumah”.

Tiba- tiba saya perasan dengan gelagat si Akmal ni. Kalau duduk sorang- sorang atau sambil buat kerja, dia akan membebel- bebel sebut perkataan- perkataan Arab yang dia tahu, terutamanya ayat- ayat mudah yang selalu saya gunakan dalam kelas seperti Iqraud du’a, qiaman, ijlisuu, ahsanta…

Mungkin murid ni minat Bahasa Arab walaupun dia tak pandai sangat. Saya rasa seronok tengok sikapnya tu. Moga- moga dia berjaya dalam pelajarannya.