Sila Klik Sini!

Saturday, March 5, 2011

Beban Tugas Murid

Seperti biasa, selepas Maghrib murid- murid saya datang mengaji di rumah. Salah seorangnya ialah Fariz, si kecil 7 tahun. Dia datang bersama 2 abangnya dan rakan- rakan serumah saya menggelarkan mereka The Three Stoogers.


Mereka ni comel-comel dan baik- baik budaknya. Masalah mereka ni, ayah mereka selalu datang ambil anak- anaknya lewat. Kadang- kadang sampai tertidur anaknya di rumah saya. Pernah sekali sampai saya kena dukung 2 orang anaknya keluar sebab mereka dah tertidur lena dan tak dapat dikejutkan lagi.

Saya tengok Fariz tersengguk- sengguk mengantuk semasa mengaji. Saya tanya kepadanya, tak tidur siang ke? Abangnya memberitahu yang dia siapkan kerja rumah pada waktu petang. Lalu saya katakan "Tak apalah, kerja rumah dah siap, balik nanti boleh terus tidur." Jawabnya, "Ada sikit lagi kerja yang tak siap. Tiga"

Kasihannya saya kepada murid- murid ni. Saya tahu jadual waktu mereka sangat padat. Pagi ke sekolah, petang ke sekolah lagi. Kena pula haddir kelas tasmik, kelas tambahan malam dan sebagainya. Kadang- kadang saya terfikir, bila agaknya masa untuk mereka buat kerja sekolah?

Saya rasa kanak- kanak Malaysia masa kini sudah kehilangan zaman kanak- kanak mereka. Mereka terpaksa hidup di luar fitrah seorang kanak- kanak. Kanak- kanak memang perlu belajar dan diajar. Tetapi, pengajaran bukan semestinya aktiviti di dalam kelas sahaja. Mereka sepatutnya diberi kebebasan untuk bermain dan meneroka dunia ini. Mereka akan dapat banyak belajar melalui pemerhatian, pergaulan dan sebagainya. Tetapi, sistem pendidikan yang menitikberatkan peperiksaan telah memusnahkan keindahan zaman kanak- kanak mereka.

Sebagai orang dewasa, ada kalanya kita membantah apabila diberi tugasan luar kemampuan, kita ada teman- teman, atau saluran lain untuk meluahkan perasaan, kita ada cara untuk melepaskan tekanan. Kita boleh minta cuti rehat, pergi melancong, keluar membeli- belah atau mencari hiburan lain untuk meredakan tekanan.

Tetapi, bagi kanak- kanak, apa yang boleh mereka buat? Malah mereka tak tahu pun yang mereka sedang dibebani dan mereka sedang rasa tertekan. Tapi perasaan tersebut wujud dalam diri mereka, terkurung bertahun lamanya tanpa mereka sedar. Lalu muncullah tingkah laku luar kawal sebagai luahan perasaan atau cara untuk mereka meredakan tekanan.

Kasihan anak- anak kita. Saya bimbang kalau keadaan ini berterusan, masyarakat Malaysia 20 tahun lagi terdiri daripada manusia yang tidak sihat mental dan emosinya. Tapi apa yang saya boleh buat? Sebagai manusia kecil, saya hanya mampu berdoa, dan saya cuba wujudkan keceriaan semasa  proses pengajaran saya supaya murid- murid ini dapat menikmati alam kanak-kanak mereka.

Kasihan Fariz!

Thursday, March 3, 2011

Perpisahan Dengan DiBa

Hati saya rasa sedikit sayu sebab terpaksa berpisah dengan DBA (dibaca Diba) saya semalam.

Sudah lebih 4 tahun ia menemani saya (11 Dis 2006 - 2 Mac 2011)

Milik pertama, tentulah sangat bernilai dan sangat disayangi. Banyak nilai kenangan dengannya.

Tetapi dunia ini fana. Apa yang ada di dalamnya tidak kekal lama. Manusia datang dan pergi dalam hidup kita. Benda- benda lain begitu juga.

Lalu saya merelakan perpisahan ini....

Kali terakhir DiBa saya di garaj kereta sekolah.

Wednesday, March 2, 2011

Allah Sumber Bahagia

Dalam kehidupan saya, seringkali Allah kirimkan seseorang, hampir pada setiap masa, untuk menjadi sumber bahagia dan penyebab untuk saya berasa seronok menjalani hidup.

Seperti yang pernah saya katakan, manusia di sekeliling kita hadir untuk "menolak cerita terus ke depan". Menyebabkan hidup ini terus berlangsung.

Kebelakangan ini, sumber keseronokan saya datang dari seorang kanak- kanak kecil yang sangat comel.


Kedua- dua ibu dan ayahnya bertugas di sekolah saya. Jadi, kalau ada majlis apa- apa dia akan dibawa ke sekolah. Tambahan pula, rumahnya hanya di hadapan sekolah.

Peliknya, apabila nampak saya, dia akan mengekor saya dan tak mahu pergi dengan orang lain, termasuk mama dan abahnya. Dah dua kali saya terpaksa hantar dia balik rumah sebab dia tak nak ikut mama dan abahnya balik. Semua orang pelik dengan sikapnya. Saya pun rasa pelik juga. Apa yang menarik sangat saya ni di matanya?

Tambah pelik lagi apabila masa cuti hari tu, mamanya cerita dia ambil telefon , beri kepada mamanya, berkali- kali dia sebut nama saya, tunjuk kat telefon...dan akhirnya dia kat, "nak cakap". Apa agaknya yang ada dalam fikiran budak kecil ni sampai dia boleh teringatkan saya?

Seronoknya, telatahnya mendatangkan doa kepada saya. Kawan- kawan di sekolah selalu ketawakan saya apabila dia asyik mengekor, tapi dalam masa yang sama mendoakan secara tak langsung dengan kata- kata, "Tak lama lagi jangkit la tu.", "Kalau macam ni, tak lama lagi lekat la tu" dsb.

Saya pun selalu tanya pada budak kecil tu, "Kenapa Farish suka sangat ikut acik? Acik ni nak dapat adik comel macam Farish ya?"

Moga- moga...walaupun sebenarnya dari tahun lepas dia dok ngekor saya tapi belum "lekat- lekat" lagi.

Ya Allah Engkau sumber bahagia...Engkau sumber keselamatan
Ya Allah, Engkau sumber keamanan...Engkau adalah segalanya.


Saturday, February 19, 2011

I Thank Allah For Sending Me You, My Sis

"Allah selamatkan kamu...Allah selamatkan kamu...Allah selamatkan Zzzzz Beee.... 
Allah selamatkan kamu!"


This cute baby is now a sweet and smart girl. 
Thank you for being my lovely sister. You presence in this world adds happiness, joyful and laughter in our life.
May Allah will always be with you.

Thursday, February 17, 2011

Catatan Sebuah Perjalanan

Saya paling tak suka Bandaraya Johor Bahru!

Sebabnya? Dah berkali- kali saya memandu ke sana, tak pernah sekali pun saya tak sesat!

Semalam saya ke Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk mengambil penyata rekod perkhidmatan dan mendapatkan pengesahan untuk permohonan melanjutkan pengajian. Tak tahulah mana silapnya, saya sesat sehingga hampir ke Woodlands.

Akhirnya, selepas “puter-puter” beberapa kali, saya lalu di hadapan sebuah sekolah. Saya segera berhenti dan terus ke pejabat sekolah tu untuk tanya jalan ke JPN.

Terima kasih kepada kakak Pembantu Tadbir di SK (P) Jalan Yahya Awal yang sudi melukiskan pelan untuk saya. Dah jauh sangat saya sesat sampai pelan yang dilukisnya tu bersambung- sambung di 3 tempat.

Akhirnya sampai di JPN. Urusan di Bahagian Perkhidmatan beres. Kena ke Bahagian Latihan pula untuk dapat pengesahan. Malangnya, Tn Hj Mansor, pegawai yang bertanggungjawab tak ada. Malang lagi, Pengarah dan Timbalan Pengarah pun tak ada juga!

Saya disuruh tinggalkan borang, dan datang semula pada hari lain untuk mengambilnya.

Arrgh!!! Nak kena ambil cuti lagi? Nak menempuh perjalanan jauh termasuk sesat- sesat tu lagi? Nak kena berhabis duit minyak ngan tol lagi?
Tempat saya bukan dekat. Perjalanan pergi balik ke JB mau lebih 400 km (tak termasuk “puter-puter” sesat tu).

Dengan muka yang menagih belas kasihan, saya tanya pada kakak Pembantu Tadbir tu, boleh tak kalau saya pergi beli sampul pos ekspres dan dia tolong poskan borang tu pada saya. Nasib baik la kakak tu baik dan nak tolong saya. Saya pun ke Bandar Baru Uda untuk beli sampul pos. Tersilap jalan gak sikit!

Akhirnya, urusan selesai jam 12 lebih.

Terima kasih kepada Pembantu- pembantu Tadbir di Bahagian Perkhidmatan, Bahagian Latihan dan Kak Masaliza Selamat di Bilik Timbaan Pengarah, yang manis budi bahasa mereka. Terima kasih kerana mempermudahkan urusan saya. Saya doakan supaya Allah mempermudahkan urusan kalian dan menemukan kalian dengan orang yang sudi membantu apabila kalian dalam kesusahan nanti.

Syukran! Syukran! Tak tergambar syukur apabila menerima pertolongan yang sangat diperlukan. Walaupun nampak kecil, tetapi bagi saya sangat berharga. 

Syukur kepada Allah yang menemukan saya dengan insan- insan sebaik mereka.

Thursday, February 10, 2011

Duniaku Buku




Setiap kali pulang ke rumah@perpustakaan saya, pasti ada buku baharu yang saya tekuni.

Sekarang saya sedang menghayati novel Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer. Novel ini yang ditulis pada 1975, semasa beliau menjadi tahanan politik di Pulau Buru, barangkali karyanya yang terbaik. Sepatutnya sudah lama saya baca…malu rasanya mengakui baru kini membacanya. Kisah dalam novel ini berlatarbelakangkan Indonesia pada tahun-tahun 1890-1918. Zaman kebangkitan nasional Indonesia.
Ada Nyai Ontosoroh, watak wanita yang menggetarkan hati saya. Takdir telah menentukan hidupnya untuk kalah…tetapi, dia dengan semangat waja telah mengubah takdir dan bangkit untuk menang.

"Mereka telah bikin aku jadi nyai begini. Maka aku harus jadi nyai, jadi budak belian, yang baik, nyai yang sebaik- baiknya. Mama pelajari segala yang dapat kupelajari dari kehendak tuanku : kebersihan, bahasa Melayu, menyusun tempat tidur dan rumah, masak cara Eropa…………… Akan kubuktikan pada mereka, apapun yang telah diperbuat atas diriku, aku harus bisa lebih berharga daripada mereka, sekalipun hanya sebagai nyai."

Kata- katanya mengagumkan, bukan?

Sejak hampir 2 tahun lepas, entah kenapa saya menjadi penggemar novel- novel Indonesia yang berlatarbelakangkan zaman kebangkitan ni. Pertama kali saya membaca karya Toer adalah sewaktu saya masih di bangku sekolah rendah lagi, novel Keluarga Gerilya. Juga kisah perjuangan bangsa Indonesia menuntut kebebasan daripada penjajahan Belanda. Novel ini saya ulang baca semasa dalam Tingkatan 4, dengan lebih penghayatan kerana waktu itu saya sudah lebih memahami. Sejak itu, saya jatuh cinta kepada karya- karya Toer. Malah, sewaktu ke Medan pada 2004, tujuan utama saya adalah untuk mencari novel- novelnya. Antara novel beliau yang sudah saya baca ialah :
  1. Cerita Dari Blora
  2. Perburuan
  3. Gulat Di Jakarta
  4. Subuh
  5. Gadis Pantai
Selain karya Toer, novel Indonesia lain yang meninggalkan kesan dalam hati saya ialah Senja Di Jakarta (saya tak ingat nama pengarangnya). Kisahnya berkisar tentang perbandingan kehidupan golongan atasan serta golongan marhaen di kota Jakarta, pada tahun-tahun 1950-an (kalau tak silap). Satu lagi buku ialah Layar Terkembang oleh Sutan Takdir Alisjahbana yang ditulis pada tahun 1930. Buku ini sarat dengan idea- idea perjuangan pemodenan cara berfikir bangsa Indonesia yang ketika itu masih lagi di takuk lama, masih belum begitu sedar kepentingan ilmu pengetahuan, masih mengamalkan adat-adat yang sehingga menghambakan manusia dan masih memandang rendah terhadap kedudukan kaum wanita. Menariknya buku ini adalah kerana lukisan alamnya yang digambarkan melalui bahasa yang menarik, indah dan segar. Hebatnya gambaran penulis terhadap keindahan alamnya menyebabkan saya rasa nak segera terbang ke Indonesia.

Saya menggemari sastera. Melaluinya, kita dapat mengenal diri, sejarah dan perjuangan sesuatu bangsa itu. Saya cuba juga membaca novel- novel Inggeris yang bertambun di sekeliling saya ni. Tapi, novel- novel tersebut gagal membangkitkan minat saya. Mungkin kerana rohnya yang jauh dari jiwa saya,atau mungkin sebab saya masih lagi dalam pencarian mengenal diri, lalu saya pilih kisah- kisah yang lebih akrab dengan saya. Kisah bangsa serumpun dan barangkali sebenua, sebab selain karya Indonesia, saya juga menggemari karya- karya terjemahan Asia yang lain. Saya dah baca antologi cerpen Genta Daerah Wadi yang memuatkan cerpen- cerpen karya penulis Timur Tengah; antologi cerpen penulis-penulis India; antologi cerpen penulis Asia Tenggara, Orang Di Jambatan; dan karya- karya lain.

Seronoknya kalau saya dapat hasilkan penulisan yang dapat berfungsi sebagai artifak sejarah bangsa macam mereka.

Monday, February 7, 2011

Ulang Tahun Ke-5

6 Februari.

Genap 5 tahun saya di sini, di sebuah penempatan yang dikelilingi ladang- ladang getah dan sawit. Penempatan yang saya tak tahu pun kewujudannya sebelum ini.

5 tahun bukanlah masa yang singkat.

Baby yang masih kat dalam perut masa saya mula- mula dulu, sekarang dah masuk pra sekolah.

Murid- murid tahun 1 yang saya ajar mula- mula masuk dulu, akan menduduki UPSR tahun ni.

Murid yang dulu Tahun 6, sekarang dah jadi anak dara yang manis- manis dan anak bujang yang hensem- hensem. Yang dah tak jadi manusia pun ada.

Banyak yang saya lalui di sini. Kalau dulu saya cuma kenal murid dengan nama rasminya, sekarang saya dah kenal bila orang sebut anak Apang, anak Badar, anak Arab, anak Man Tepang, cucu Komeng, cucu Wak Jamalan, cucu Haji Katan dan sebagainya.

Daripada 303 murid sekolah ni, hanya 32 orang murid pra sekolah yang saya tak kenal semua namanya. Yang lain- lain, dari kelas Pendidikan Khas sampai ke tahun 6, semuanya saya hafal nama, siap dengan bin bintinya serta ejaannya sekali.

Banyak kenangan manis, suka, ria, gembira, pahit, luka, pedih, sedih kat sini.

Saya tak dapat lupakan apabila satu masa tu, seorang ibu minta saya buatkan air tawar/ jampi untuk anaknya.
Haaa? saya bukannya bomoh!
Tapi saya buatkan la juga air Yassin. Saja nak menyampaikan hasratnya.

Kelakar juga bila kawan serumah balik cerita, seorang bapa murid beria- ria cerita tentang saya kepadanya:
"Cikgu tu baik kan. Anak- anak saya semua suka belajar dengan dia. Dia tu lembut sangat, macam tak tau nak marah."
Saya gelak kuat-kuat bila kawan saya cerita macam tu. Kata kawan saya, "Hem, kalaulah dia tahu akak lempang budak..."
Itulah baiknya anak- anak murid saya ni. Hanya baik saya, lembut saya yang mereka ceritakan pada ibu bapa, ya? Masa saya mengamuk jadi ibu harimau tu, tak pula mereka cerita!
TERIMA KASIH MURID-MURID, CIKGU.

Peristiwa lain yang diingat ialah masa dapat jemputan Yasinan wanita kat rumah seorang penduduk kampung. Tiba- tiba masa nak baca doa tuan rumahnya cakap, "Cikgu ...la yang baca doa. Nak ambil berkat."
Tersentak saya yang tengah bersandar mengantuk kat tepi almari. Saya ni ada berkat ke? Nak tak nak, baca la juga.

Paling seronok adalah apabila murid- murid yang mengikuti program j-QAF menunjukkan pencapaian membaca al-Quran lebih baik daripada murid yang tidak mengikutinya. Alhamdulillah, tak sia- sia program ni dibuat.
Harap- harap, akhlak dan penghayatan agama mereka juga lebih baik. Tentang tu agak abstrak dan sukar sedikit nak diukur.

Peristiwa pahit pun banyak. Tapi tak payahlah diingat.

Dah 5 tahun saya di sini...Saya menyenangi tempat ni, walaupun ada sikit- sikit yang tak berapa dipersetujui.

Tapi, saya mesti pergi. SAYA MESTI PERGI! Saya bukanlah orang yang suka diam lama di satu- satu tempat. Saya TAK MAHU JADI BATU YANG TAK BERGOLEK SEHINGGA AKHIRNYA BERLUMUT.

Saya mahu menimba banyak lagi pengalaman dan meluaskan lagi pandangan. Saya mahu belajar sebanyak- banyaknya daripada alam.

 Saya menyenangi tempat ini. 
-Pemandangan kuarters guru daripada Blok B sekolah-