Sila Klik Sini!

Thursday, February 17, 2011

Catatan Sebuah Perjalanan

Saya paling tak suka Bandaraya Johor Bahru!

Sebabnya? Dah berkali- kali saya memandu ke sana, tak pernah sekali pun saya tak sesat!

Semalam saya ke Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk mengambil penyata rekod perkhidmatan dan mendapatkan pengesahan untuk permohonan melanjutkan pengajian. Tak tahulah mana silapnya, saya sesat sehingga hampir ke Woodlands.

Akhirnya, selepas “puter-puter” beberapa kali, saya lalu di hadapan sebuah sekolah. Saya segera berhenti dan terus ke pejabat sekolah tu untuk tanya jalan ke JPN.

Terima kasih kepada kakak Pembantu Tadbir di SK (P) Jalan Yahya Awal yang sudi melukiskan pelan untuk saya. Dah jauh sangat saya sesat sampai pelan yang dilukisnya tu bersambung- sambung di 3 tempat.

Akhirnya sampai di JPN. Urusan di Bahagian Perkhidmatan beres. Kena ke Bahagian Latihan pula untuk dapat pengesahan. Malangnya, Tn Hj Mansor, pegawai yang bertanggungjawab tak ada. Malang lagi, Pengarah dan Timbalan Pengarah pun tak ada juga!

Saya disuruh tinggalkan borang, dan datang semula pada hari lain untuk mengambilnya.

Arrgh!!! Nak kena ambil cuti lagi? Nak menempuh perjalanan jauh termasuk sesat- sesat tu lagi? Nak kena berhabis duit minyak ngan tol lagi?
Tempat saya bukan dekat. Perjalanan pergi balik ke JB mau lebih 400 km (tak termasuk “puter-puter” sesat tu).

Dengan muka yang menagih belas kasihan, saya tanya pada kakak Pembantu Tadbir tu, boleh tak kalau saya pergi beli sampul pos ekspres dan dia tolong poskan borang tu pada saya. Nasib baik la kakak tu baik dan nak tolong saya. Saya pun ke Bandar Baru Uda untuk beli sampul pos. Tersilap jalan gak sikit!

Akhirnya, urusan selesai jam 12 lebih.

Terima kasih kepada Pembantu- pembantu Tadbir di Bahagian Perkhidmatan, Bahagian Latihan dan Kak Masaliza Selamat di Bilik Timbaan Pengarah, yang manis budi bahasa mereka. Terima kasih kerana mempermudahkan urusan saya. Saya doakan supaya Allah mempermudahkan urusan kalian dan menemukan kalian dengan orang yang sudi membantu apabila kalian dalam kesusahan nanti.

Syukran! Syukran! Tak tergambar syukur apabila menerima pertolongan yang sangat diperlukan. Walaupun nampak kecil, tetapi bagi saya sangat berharga. 

Syukur kepada Allah yang menemukan saya dengan insan- insan sebaik mereka.

Thursday, February 10, 2011

Duniaku Buku




Setiap kali pulang ke rumah@perpustakaan saya, pasti ada buku baharu yang saya tekuni.

Sekarang saya sedang menghayati novel Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer. Novel ini yang ditulis pada 1975, semasa beliau menjadi tahanan politik di Pulau Buru, barangkali karyanya yang terbaik. Sepatutnya sudah lama saya baca…malu rasanya mengakui baru kini membacanya. Kisah dalam novel ini berlatarbelakangkan Indonesia pada tahun-tahun 1890-1918. Zaman kebangkitan nasional Indonesia.
Ada Nyai Ontosoroh, watak wanita yang menggetarkan hati saya. Takdir telah menentukan hidupnya untuk kalah…tetapi, dia dengan semangat waja telah mengubah takdir dan bangkit untuk menang.

"Mereka telah bikin aku jadi nyai begini. Maka aku harus jadi nyai, jadi budak belian, yang baik, nyai yang sebaik- baiknya. Mama pelajari segala yang dapat kupelajari dari kehendak tuanku : kebersihan, bahasa Melayu, menyusun tempat tidur dan rumah, masak cara Eropa…………… Akan kubuktikan pada mereka, apapun yang telah diperbuat atas diriku, aku harus bisa lebih berharga daripada mereka, sekalipun hanya sebagai nyai."

Kata- katanya mengagumkan, bukan?

Sejak hampir 2 tahun lepas, entah kenapa saya menjadi penggemar novel- novel Indonesia yang berlatarbelakangkan zaman kebangkitan ni. Pertama kali saya membaca karya Toer adalah sewaktu saya masih di bangku sekolah rendah lagi, novel Keluarga Gerilya. Juga kisah perjuangan bangsa Indonesia menuntut kebebasan daripada penjajahan Belanda. Novel ini saya ulang baca semasa dalam Tingkatan 4, dengan lebih penghayatan kerana waktu itu saya sudah lebih memahami. Sejak itu, saya jatuh cinta kepada karya- karya Toer. Malah, sewaktu ke Medan pada 2004, tujuan utama saya adalah untuk mencari novel- novelnya. Antara novel beliau yang sudah saya baca ialah :
  1. Cerita Dari Blora
  2. Perburuan
  3. Gulat Di Jakarta
  4. Subuh
  5. Gadis Pantai
Selain karya Toer, novel Indonesia lain yang meninggalkan kesan dalam hati saya ialah Senja Di Jakarta (saya tak ingat nama pengarangnya). Kisahnya berkisar tentang perbandingan kehidupan golongan atasan serta golongan marhaen di kota Jakarta, pada tahun-tahun 1950-an (kalau tak silap). Satu lagi buku ialah Layar Terkembang oleh Sutan Takdir Alisjahbana yang ditulis pada tahun 1930. Buku ini sarat dengan idea- idea perjuangan pemodenan cara berfikir bangsa Indonesia yang ketika itu masih lagi di takuk lama, masih belum begitu sedar kepentingan ilmu pengetahuan, masih mengamalkan adat-adat yang sehingga menghambakan manusia dan masih memandang rendah terhadap kedudukan kaum wanita. Menariknya buku ini adalah kerana lukisan alamnya yang digambarkan melalui bahasa yang menarik, indah dan segar. Hebatnya gambaran penulis terhadap keindahan alamnya menyebabkan saya rasa nak segera terbang ke Indonesia.

Saya menggemari sastera. Melaluinya, kita dapat mengenal diri, sejarah dan perjuangan sesuatu bangsa itu. Saya cuba juga membaca novel- novel Inggeris yang bertambun di sekeliling saya ni. Tapi, novel- novel tersebut gagal membangkitkan minat saya. Mungkin kerana rohnya yang jauh dari jiwa saya,atau mungkin sebab saya masih lagi dalam pencarian mengenal diri, lalu saya pilih kisah- kisah yang lebih akrab dengan saya. Kisah bangsa serumpun dan barangkali sebenua, sebab selain karya Indonesia, saya juga menggemari karya- karya terjemahan Asia yang lain. Saya dah baca antologi cerpen Genta Daerah Wadi yang memuatkan cerpen- cerpen karya penulis Timur Tengah; antologi cerpen penulis-penulis India; antologi cerpen penulis Asia Tenggara, Orang Di Jambatan; dan karya- karya lain.

Seronoknya kalau saya dapat hasilkan penulisan yang dapat berfungsi sebagai artifak sejarah bangsa macam mereka.

Monday, February 7, 2011

Ulang Tahun Ke-5

6 Februari.

Genap 5 tahun saya di sini, di sebuah penempatan yang dikelilingi ladang- ladang getah dan sawit. Penempatan yang saya tak tahu pun kewujudannya sebelum ini.

5 tahun bukanlah masa yang singkat.

Baby yang masih kat dalam perut masa saya mula- mula dulu, sekarang dah masuk pra sekolah.

Murid- murid tahun 1 yang saya ajar mula- mula masuk dulu, akan menduduki UPSR tahun ni.

Murid yang dulu Tahun 6, sekarang dah jadi anak dara yang manis- manis dan anak bujang yang hensem- hensem. Yang dah tak jadi manusia pun ada.

Banyak yang saya lalui di sini. Kalau dulu saya cuma kenal murid dengan nama rasminya, sekarang saya dah kenal bila orang sebut anak Apang, anak Badar, anak Arab, anak Man Tepang, cucu Komeng, cucu Wak Jamalan, cucu Haji Katan dan sebagainya.

Daripada 303 murid sekolah ni, hanya 32 orang murid pra sekolah yang saya tak kenal semua namanya. Yang lain- lain, dari kelas Pendidikan Khas sampai ke tahun 6, semuanya saya hafal nama, siap dengan bin bintinya serta ejaannya sekali.

Banyak kenangan manis, suka, ria, gembira, pahit, luka, pedih, sedih kat sini.

Saya tak dapat lupakan apabila satu masa tu, seorang ibu minta saya buatkan air tawar/ jampi untuk anaknya.
Haaa? saya bukannya bomoh!
Tapi saya buatkan la juga air Yassin. Saja nak menyampaikan hasratnya.

Kelakar juga bila kawan serumah balik cerita, seorang bapa murid beria- ria cerita tentang saya kepadanya:
"Cikgu tu baik kan. Anak- anak saya semua suka belajar dengan dia. Dia tu lembut sangat, macam tak tau nak marah."
Saya gelak kuat-kuat bila kawan saya cerita macam tu. Kata kawan saya, "Hem, kalaulah dia tahu akak lempang budak..."
Itulah baiknya anak- anak murid saya ni. Hanya baik saya, lembut saya yang mereka ceritakan pada ibu bapa, ya? Masa saya mengamuk jadi ibu harimau tu, tak pula mereka cerita!
TERIMA KASIH MURID-MURID, CIKGU.

Peristiwa lain yang diingat ialah masa dapat jemputan Yasinan wanita kat rumah seorang penduduk kampung. Tiba- tiba masa nak baca doa tuan rumahnya cakap, "Cikgu ...la yang baca doa. Nak ambil berkat."
Tersentak saya yang tengah bersandar mengantuk kat tepi almari. Saya ni ada berkat ke? Nak tak nak, baca la juga.

Paling seronok adalah apabila murid- murid yang mengikuti program j-QAF menunjukkan pencapaian membaca al-Quran lebih baik daripada murid yang tidak mengikutinya. Alhamdulillah, tak sia- sia program ni dibuat.
Harap- harap, akhlak dan penghayatan agama mereka juga lebih baik. Tentang tu agak abstrak dan sukar sedikit nak diukur.

Peristiwa pahit pun banyak. Tapi tak payahlah diingat.

Dah 5 tahun saya di sini...Saya menyenangi tempat ni, walaupun ada sikit- sikit yang tak berapa dipersetujui.

Tapi, saya mesti pergi. SAYA MESTI PERGI! Saya bukanlah orang yang suka diam lama di satu- satu tempat. Saya TAK MAHU JADI BATU YANG TAK BERGOLEK SEHINGGA AKHIRNYA BERLUMUT.

Saya mahu menimba banyak lagi pengalaman dan meluaskan lagi pandangan. Saya mahu belajar sebanyak- banyaknya daripada alam.

 Saya menyenangi tempat ini. 
-Pemandangan kuarters guru daripada Blok B sekolah- 

Monday, January 31, 2011

Skrip Yang ALLAH Tulis

Di Johor, hujan masih mencurah.Air dah naik di beberapa tempat. Khabarnya, lebih teruk daripada yang berlaku tahun 2006.Entah apa agaknya yang ditangiskan oleh langit...

Saya terpaksa membatalkan rancangan ke JPN, Johor Bahru.

Lalu, saya di sini, Mydin Melaka dalam perjalanan pulang ke KL. Nak cari flask untuk dihadiahkan kepada Kak Dewi (dia dok berkenan flask makanan yang saya guna untuk bawa bekal ke sekolah).

Kak Dewi Karthina ialah seorang guru Bahasa Inggeris kontrak di sekolah saya, bermula awal Januari 2011. Beliau berbangsa India. Muslim.Usianya dah 61, tapi dia masih mengajar secara kontrak kerana cintanya kepada dunia pendidikan. Saya menyenanginya. Dalam banyak perbincangan kami, saya selalu bertemu point of view dengannya, walaupun usia kami jauh berbeza. 

Dia pernah bercakap tentang saya kepada seorang guru lain. Katanya :

"Dalam banyak-banyak rakan discusion saya, she's the most intelligent."

Waaaahh, bangganya saya. Terperasan sekejap.

Tapi Kak Dewi tak akan bersama kami lagi selepas cuti Tahun Baru Cina ni. Dia ditukarkan ke sekolah lain. Rupanya, dia silap dipostingkan ke tempat kami.

Begitulah Allah mengaturkan pertemuan. Walaupun singkat, tetapi amat bermakna.

Entah kenapa, akhir-akhir ni, saya banyak melihat hikmah...terutamanya terhadap orang-orang yang hadir dalam hidup saya...yang saya kenali. Bagi saya, kehadiran mereka, perkenalan dengan mereka...mendorong saya untuk terus ke hadapan. Ada kalanya, mengubah sedikit haluan yang sedang saya tuju. MEREKA MENAMBAHKAN RENCAH DALAM KEHIDUPAN SAYA. MENJADIKANNYA LEBIH MANIS, PAHIT, MASAM DAN PEDAS....segalanya saya percaya telah diaturkan dengan teliti oleh Yang Maha Kuasa.

Saya pernah belajar menulis skrip drama, malah pernah menghasilkan skrip. Tiba-tiba, dalam dua tiga hari ini saya dapat mengaitkan perjalanan hidup ni dengan sebuah skrip. Dalam skrip, watak-watak dicipta untuk menghidupkan dan menjalankan cerita. Dialog juga mesti dibuat untuk terus mengembangkan plot, bukan direka saja-saja. Dalam skrip, ada simbolik, ada mesej tersirat. Sebuah skrip yang baik mesti ada simbolik, tidak semuanya dizahirkan dengan nyata atau dengan kata-kata. Skrip mesti ada konflik, mesti ada klimaks seterusnya penyelesaian. Konflik itulah yang menjalankan cerita, yang mencipta keseronokan kepada cerita itu untuk ditonton.

Demikianlah saya melihat kehidupan ini sebagai sebuah skrip yang panjang dan agung. Penulisnya ialah Allah Yang Maha Mencipta. Pengarahnya juga Allah Yang Maha Kuasa. Setiap watak yang tercipta itu tidak sia-sia. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.Segalanya akan mengembangkan plot cerita...seterusnya menolak cerita bersama watak-wataknya terus ke hadapan....

MAHA SUCI ENGKAU, YA ALLAH.

Sekaligus, saya rasa saya lebih memahami makna ayat 28 dalam surah Fathiir :

Sesungguhnya, orang- orang yang takut kepada Allah itu ialah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang berilmu

Benar rupanya ilmu itu akan membuka mata kita melihat kebesaran-Nya. Dengan sedikit ilmu penulisan skrip yang saya ada, saya dapat memahami perjalanan hidup ini dengan cara tersendiri. Ilmu apapun, sangat berguna...asal saja kita mahu merenung dan berfikir...asal mata hati tidak buta.

Saya tambah berminat dan bersemangat untuk menuntut sebanyak-banyak ilmu!  

Friday, January 28, 2011

Hadiah Hari Jumaat-MERCI BEAUCOUP!

Hari ni saya gembira!

Pagi-pagi ni, ada seorang murid memberikan sebuah bungkusan kepada saya. Katanya, "Mama bagi pada cikgu" Isinya ialah sebuah kitab hadis. Seronoknya saya tak terhingga mendapat hadiah yang tak dijangka tu. Memang saya selalu rasa seronok kalau dihadiahkan buku.Terutamanya buku ilmiah dan yang saya dapat manfaatkan.

Sekarang saya memang telah seronok menekuni kitab tafsir. Saya rasakan saat-saat membaca kitab tersebut ialah waktu yang sangat menggembirakan. Sedang menghayati kitab tersebut, dapat pula hadiah kitab hadis!


Buat pemberi, toce...toce, merci beaucoup, syukran jazilan...baarakallahu fiikuma!

Thursday, January 27, 2011

Cepatnya Teguran-MU Datang

Minggu lepas, saya terasa (terluka?) dengan sikap seorang murid tahun 5.

Murid ini datang daripada keluarga yang berantakan. Bapanya seorang warga asing, yang kini telah berpisah dengan ibunya.Dia dan dua lagi adik-beradiknya ditinggalkan bersama nenek di sini.Taraf ekonomi keluarga neneknya pula tidak begitu baik.

Mungkin kerana latar belakangnya itu, saya lebih sedikit mengambil berat terhadapnya. Bukan sekadar dalam pelajaran, malah kehidupan peribadi juga. Tambahan pula, prestasi pelajarannya sangat lemah kerana dia hanya masuk sekolah di akhir tahun darjah 1.

Saya masukkan murid ini ke kelas literasi al-Quran kerana dia masih belum menguasai. Malangnya, di luar dugaan saya, dia sering mengelak untuk belajar. Setiap hari dia datang awal ke sekolah tetapi dia sengaja tidak naik ke kelasnya supaya dia tidak perlu mengaji.

SAYA BERASA SANGAT MARAH ATAS PERBUATANNYA ITU.

Tetapi, saya cuba memujuk hati. Sabarlah, saya kan orang dewasa yang dah banyak menelan kepahitan, dia cuma kanak-kanak yang belum kenal erti kehidupan. Jangan simpan rasa benci dalam hati. Tapi, saya tetap juga berniat untuk memanggilnya nanti, dan meluahkan rasa hati saya. Saya dah merangka kata-kata yang kira-kira begini:

"Cuba kamu fikir, selama ni, ada tak cikgu Bahasa Inggeris, Cikgu Matematik atau cikgu-cikgu lain yang tahu kamu lemah dalam pelajaran tu, dan nak bimbing kamu secara persendirian? Tak ada kan? Tapi hari ni, ada seorang cikgu depan kamu yang sangat ambil berat tentang kamu, dari segala segi, dan sanggup luangkan masa pagi-pagi untuk ajar kamu. Kenapa kamu tak nak bersyukur?...."

Tetapi, semalam semasa saya menekuni  Kita Fi Zilalil Quran, saya membaca tafsiran ayat 263 surah al-Baqarah yang maksudnya .....SESUNGGUHNYA ALLAH ITU MAHA KAYA DAN MAHA SABAR. Huraian maksud potongan ayat tersebut ialah :


…Maha Sabar, iaitu Allah mengurniakan rezeki kepada para hamba-Nya, tetapi mereka tidak bersyukur. Namun demikian Allah tidak bertindak segera menghukumkan mereka dan mengambil daya utama menyeksakan mereka. Allahlah yang mengurniakan segala-galanya kepada mereka dan Dialah yang mengurniakan kewujudan kepada diri mereka sebelum mengurniakan sesuatu yang lain kepada mereka. Oleh sebab itu manusia hendaklah belajar dari kesabaran Allah s.w.t terhadap mereka. Oleh itu mereka seharusnya jangan gopoh melakukan sesuatu perbuatan yang menyakiti hati dan menunjukkan kemarahan kepada orang yang mereka telah berikan sebahagian dari rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada mereka apabila orang-orang itu menunjukkan kelakuan yang tidak menyenangkan mereka atau tidak berterima kasih kepada mereka.

Menitis air mata saya membaca tafsiran tersebut. TERASA BETAPA HALUS ALLAH MENEGUR SAYA. BETAPA CEPAT TEGURAN ITU DATANG SUPAYA SAYA TIDAK TERUS TERSALAH LANGKAH. 

Ya Allah, ampunkan saya kerana memandang besar kepada diri sendiri, memandang hebat kepada jasa yang tidak seberapa. Sedangkan betapa banyak nikmat yang saya terima, tetapi banyak pula yang saya kufuri. 

Syukran, Ya Tuhan, atas teguran yang halus tetapi sangat mendalam. Tak tergambar besarnya nikmat yang Engkau berikan. 

Tambahan huraian ayat yang saya baca :

Peradaban seseorang Muslim juga sentiasa melihat (dan mencari contoh) pada sifat-sifat Allah. Dia berusaha mendaki anak-anak tangganya hingga dia berjaya mencapai sebahagian darinya yang telah ditentukan kepadanya mengikut kemampuan tabiatnya.   

Semoga saya termasuk ke dalam golongan manusia tersebut!

Wednesday, January 26, 2011

Tabahlah Hati! Teguhlah Iman!

Semalam saya menerima SMS daripada seorang teman lama. Memberitakan khabar gembira, kelahiran anak keduanya, seorang puteri.

Beritanya gembira, tetapi berita itu menyebabkan saya menangis.Sejak dua minggu lepas, dah beberapa kali saya menerima khabar kelahiran "anak-anak buah" saya. Akhirnya, pedih yang ditahan sekian lama di dada pecah juga dengan tangisan. Bukan benci...bukan iri, tetapi terbandingkan pula kehidupan kawan-kawan dengan nasib diri sendiri.

Saya menginsafi hati saya yang masih belum begitu suci, iman saya yang masih belum begitu mantap. Sebenarnya, dah beberapa kali saya berniat nak melawat teman saya ni. Terutamanya apabila dia memberitakan yang emaknya selalu menyebut tentang saya. Apabila melibatkan orang tua-tua ni, hati saya cepat tersentuh. Rindu pada mak cik tu. Tempatnya pun tak jauh, Melaka, negeri yang selalu saya lalui. Tetapi, keinginan tu terpaksa saya batalkan. Bimbang hati saya sedih dan tertekan melihat keluarga bahagia yang sudah dimilikinya, sedangkan saya belum punya apa-apa. 

Saya memujuk hati, tabahlah...redhalah...kerana setiap yang berlaku itu semuanya bawah kekuasaan Allah. Siapalah saya untuk mempersoalkan takdir-Nya. Perancangan-Nya Maha Hebat. Bukankah saya meyakini sifat Aliim dan Rahiim-Nya?